26 July, 2006

Al-Fatihah buat Hani Mohsin


Semalam industri hiburan tanah air telah kehilangan seorang aktor & pengacara berbakat, Hani Mohsin Hanafi setelah allahyarham rebah ketika dalam perjalanan hendak menaiki pesawat di LCCT Sepang akibat serangan jantung. Agak terkejut juga apabila menerima berita tersebut kerana barangkali tiada siapa akan menyangka allahyarham yang selama ini dilihat sihat rupanya mempunyai masalah jantung. Namun kuasa Tuhan tiada siapa mampu menahannya. Menyorot penglibatan allahyarham dalam industri hiburan di Malaysia, allahyarham sememangnya pelakon yang berbakat besar. Beberapa filem lakonan beliau seperti Jimi Asmara, Ringgit Kasorga, Merah dan Embun membuktikan bahawa allahyarham adalah pelakon serba boleh dan berbakat. Aku juga tidak boleh lupa telemovie Pukul Dua Petang yang dilakonkan oleh allahyarham dan sempat juga aku rakam dan convertkan dalam bentuk VCD untuk simpanan. Filem terakhir allahyarham yang sempat aku tonton adalah Man Laksa dimana allahyarham telah muncul dalam satu babak ketika pementasan drama untuk persembahan yang diusahakan oleh Man Laksa. Watak pelakon pentas sebagai Polis itu berjaya mencuit hati walaupun hanya muncul cuma seketika. Minggu lepas (14/7/2006) ketika aku menghadiri majlis Anugerah Citra Wangsa di DBP, allahyarham telah berpasangan dengan Ogy sebagai pengacara majlis dan gabungan dua pengacara itu berjaya menceriakan majlis dengan usikan dan gurau senda mereka. Dan itulah kali terakhir aku melihat allahyarham. Semoga allahyarham ditempatkan dikalangan roh orang yang beriman dan diredhai oleh Allah S.W.T. Al-Fatihah buat Hani Mohsin Hanafi...

18 July, 2006

Andai Aku Menjadi Melayu

Sebenarnya dibawah ini adalah puisi kedua aku yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia (18 Jun 2006). Mungkin ada yang perasan tapi rasanya ramai yang tak perasan. Puisi ini sebenarnya catatan resah aku mengenangkan nasib bangsa kita yang semakin leka. Kita sudah tidak ambil kisah tentang tiga perkara penting sebagai orang Melayu iaitu Tanah Melayu, Adab dan Budaya Melayu serta Bahasa Melayu. Bila tiga perkara ini sudah tidak ada pada orang Melayu, apa lagi yang harus dibanggakan oleh bangsa Melayu?

Andai Aku Menjadi Melayu

Andai aku menjadi Melayu
Pasti hati berasa sayu
Mengenang tanah warisan pusaka ini
Makin hilang di negeri sendiri
Dirobek dan didagang sesuka hati
Tidak banyak yang tinggal
Untuk milik abadi

Andai aku menjadi Melayu
Mungkin harus berasa malu
Merenung khilaf anak bangsaku
Tiada lagi segan dan silu
Hidup diruntun hawa dan nafsu
Adab sopan jadi hinaan
Maruah diri sanggup digadaikan

Andai aku menjadi Melayu
Mampukah untuk rintih bersuara
Melihat bahasaku tidak dibela
Dalam payah dihimpit setia
Tersepit kelu dimamah usia
Tidak ramai yang memahami
Hirup nafas bahasa sendiri

Sebenarnya aku juga Melayu
Cuma agak resah untuk mengaku
Kerana tiada apa yang tinggal untuk dibangga
Pada jasad yang merdeka
Masih ada yang belum terbuka
Menjulang bangsa di tanah tercinta
Melayu kekal selama-lamanya

Dari Kutub Khanah

Dah lama gak aku tak menulis dalam blog ni, bukan tak idea cuma masa membataskan aku untuk mencatat sesuatu dalam blog ni. Memang agak sibuk sikit sekarang dengan kerja hakiki dan kerja-kerja sampingan yang harus dibereskan. Lagipun sekarang orang lebih suka baca cerita Mawi dan Siti jadi catatan ni mungkin hanya jadi catatan syok sendiri. Sebut pasal Mawi dan Siti ni kadang-kadang aku sendiri pelik melihat masyarakat kita yang terlampau fanatik dengan artis dan hiburan pada hari ini. Bukan tak boleh menjadi fanatik, aku sendiri fanatik dengan M. Nasir, Search dan 2-3 artis lain.Cuma dalam menjadi seorang peminat yang fanatik aku rasa ada batas-batas yang perlu kita hadkan, tak la perlu terlampau fanatik sehingga perlu tahu segala-galanya tentang artis itu. Sebenarnya aku sendiri simpati dengan Mawi dan Siti kerana banyak diganggu dengan berita-berita yang tak sepatutnya menjadi berita akibat sikap fanatik peminat dan media sendiri. Jadi aku rasa sudah sampainya masyarakat kita dikurangkan sedikit dengan berita-berita yang sebenarnya tidak ada nilai berita langsung. Dalam kita semua sedang sibuk dengan cerita Mawi putus tunang dan kisah persiapan majlis perkahwinan Siti dan Dato' K, saudara seagama kita di Beirut dan Palestin makin teruk dibedil dan dibunuh oleh askar Yahudi. Berapa ramai daripada kita yang mengambil berat tentang hal ini? mungkin ada yang membaca berita-berita ini sekali imbas sahaja dan mungkin juga hanya melihat tajuk tanpa berminat membaca beritanya. Hari ini kita sebenarnya makin selesa dengan kenikmatan dunia, dan ini membuatkan kita semakin leka...