30 November, 2006

Setitis Tinta Di Hujung November















Aku agak sibuk sejak kebelakangan ini, sebenarnya baru balik menghadiri Perkampungan Bahasa di Pulau Langkawi dari 25-27 November yang lalu. Sebelumnya pada 22hb aku ke Kuala Terengganu. Sehari sebelum ke Langkawi umum dikejutkan dengan berita dua buah feri ke Langkawi berlanggar antara satu sama lain. Aku juga agak terkejut dan sedikit bimbang tetapi semuanya telah diurus dan harus berada di sana tepat pada masanya. Namun tragedi feri berlanggar itu tidak memadamkan semangat 'orang kita' untuk bercuti di Pulau Lagenda ini. Setibanya aku di jeti Kuala Perlis, kelihatan manusia berduyun-duyun sedang menunggu feri dan setibanya aku di pulau , aku di maklumkan bahawa semua bilik hotel di Langkawi telah penuh dan kereta untuk sewa juga telah kehabisan. Mujur aku telah membuat tempahan bilik awal dan kereta pula akhirnya terpaksa menyewa sebuah Kancil yang sedikit daif. Esok dan lusa aku perlu berada di Pantai Cahaya Bulan untuk satu program dan pada minggu hadapan perlu ke Kuala Terengganu untuk persembahan Teater. Jadualku agak penuh sepanjang bulan ini dan juga bulan hadapan. Insyaallah, harap2 semuanya dapat berjalan seperti yang dirancang.

20 November, 2006

Iswaraku...oh...Iswaraku...

Emm...keriangan anak aku ini mungkin kerana ketawakan aku yang terkena dengan kereta sendiri. Baru minggu lepas aku menulis dan memuji tentang kereta kesayangan aku dan akhirnya mungkin untuk menguji kesetiaan, ia mula membuat ragam. Alkisahnya, sebelum aku ke Kuantan baru ni, aku telah menukar wiper kereta aku yang dah mula berbunyi kerana getahnya dah makin haus. Maklumlah, musim2 hujan ni wiper sememangnya penting untuk kereta. Semuanya berjalan lancar semasa aku di Kuantan, sehinggalah aku sampai ke Kuala Lumpur dan menginap di rumah mak saudara isteriku untuk bermalam.Keesokannya semasa hendak bersiap balik ke Kota Bharu, aku dikejutkan oleh kehilangan sepasang wiper yang baru aku beli. Hampeh! ada juga kutu yang teringin dengan wiper kereta aku ni. Dan sebelum bertolak balik, terpaksalah aku menukar wiper baru untuk kali kedua dalam tempoh seminggu.
Perjalanan seterusnya begitu lancar sehingga aku sampai di Machang (rumah mertua), dan malamnya semasa hendak bertolak balik ke Kota Bharu, iswaraku ini sekali lagi membuat hal. Kali ini wiper itu tidak boleh berfungsi dan lampu juga tidak boleh dipasang. Akhirnya terpaksa aku bermalam di Machang dan mengambil cuti keesokan harinya. RM 75.00 kos yang terpaksa dibayar untuk untuk membaiki kabel wire yang rosak dan campur Rm25.00 lagi untuk wiper baru menjadikan genap angka RM 100.00 yang terpaksa aku keluarkan di hujung-hujung bulan ni. Dan semasa dalam perjalanan balik, aku teringat tentang tulisan aku di dalam blog ini yang memuji kereta ini yang tidak pernah membuat hal. Mungkin apa yang terjadi adalah untuk menguji kesetiaan aku kepadanya. Namun, sehingga hari ini aku tetap setia dengan iswaraku...

14 November, 2006

Iswaraku...


Kali ni aku nak bercerita sikit pasal kereta,bukan nak menayang kereta buruk aku ni cuma sebagai satu penghargaan buat kereta ni yang banyak membantu aku. Inilah kereta aku atau dengan lebih tepat lagi kereta yang aku 'pinjam' daripada bank sebelum menjadi hak mutlak aku tiga tahun lagi. Kereta yang aku beli pada tahun 2003 ni merupakan kereta kedua aku dan sebenarnya banyak menyimpan nostalgia dalam hidup aku. Walaupun tak la sehebat mana kereta ni tapi ia jarang sangat memberi masalah kepada aku. Setakat tayar bocor dan bunyi tikus sikit-sikit tu ada la. Dan kereta ni juga banyak berjasa kepada aku, sejak zaman aku bertunang hinggalah sampai dah ada anak sorang ni, semuanya dengan kereta ini. Tak banyak perubahan yang aku buat dengan kereta ni sebab aku ni bukanlah spesies yang gila make-up kereta, aku juga bukan jenis yang setiap kali naik kereta setiap kali tu la akan basuh dan lap kereta tu. Aku cuma jaga seadanya, dan yang penting aku tak lupa untuk hantar servis bila sampai waktunya. Apa yang aku bangga sangat, dalam buruk-buruk kereta aku ni dah ramai gak selebriti terkenal di Malaysia yang pernah menumpang naik kereta ni. Antaranya Nash Lefthanded, Sabri Yunus, Imuda, Os dan jangan terkejut bekas Pengetua AF 4, Ramli Sarip dan juga Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said juga pernah duduk di kerusi kereta ni. Dan atas sebab-sebab itulah aku sayang sangat dengan kereta ini...Iswaraku!

Potret Raya



06 November, 2006

Setelah Penat Beraya...

Alhamdulillah, aku kembali setelah 'beraya sakan' bersama keluarga di kampung. Maksud beraya sakan bukanlah aku beraya bersungguh-sungguh cuma aku cuti agak panjang dan berehat lama di kampung. Bagi aku sambutan lebaran sama sahaja setiap tahun, sudah terlalu tipikal dengan semuanya. Sesekali teringin juga merasa suasana yang berlainan. Sebenarnya banyak gambar semasa sambutan Aidilfitri yang lepas aku rakamkan dan hendak paparkan di blog ini untuk tatapan kawan-kawan tetapi tidak berkesempatan lagi. Insyaallah,catatan selepas ini aku akan paparkan gambar-gambar tersebut.