25 January, 2007

Tanggal 25 Januari 2007

Hari ni genap umur aku 31 tahun....Diam tak diam usia ini dah melewati angka 31. Tidak ada sambutan atau hadiah istimewa tahun ini kerana aku juga tidak berharap untuk itu. Cuma sekadar ucapan daripada isteri dan nyanyian "selamat hari jadi" yang didendangkan oleh puteri aku menjadi hadiah istimewa. Juga kiriman sms dari adik-adik dan saudara terdekat. Dalam usia menjengah ke angka 31 ini agak banyak juga yang telah dilalui dan semuanya aku jadikan panduan dan pedoman untuk merancang hidup yang lebih damai. Harap-harap tahun ini mampu memberi lebih pengertian dan kebahagiaan kepada kami sekeluarga. Itulah doa serta harapan dan moga ketentuan ini dimakbulkan Tuhan...

20 January, 2007

Salam Maal Hijrah 1428H

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1428H kepada semua teman yang sudi menjengok ke blog yang tak seberapa ini. Diam tak diam usia meningkat setahun lagi. Agak unik kerana pada tahun ini tahun baru masihi dan tahun baru Hijrah agak hampir antara satu sama lain. Cuma acara sambutannya yang tentu berlainan.Diharapkan dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini kita mampu berhijrah daripada sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Antara sedar atau tidak, bila bercakap tentang tahun baru masihi ramai yang bercakap tentang azam tahun baru. Bila tiba tahun baru Hijrah kita bercakap pula tentang hijrah, melihat kepada sejarah penghijrahan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W. suatu ketika dahulu. Azam dan hijrah sama sahaja. Sudah tentu keduanya membawa ke arah kebaikan. Namun orang kita lebih banyak bercakap dari melaksanakannya. Semakin hari bangsa kita semakin ditekan dan ditindas secara halus. Dan kita semakin leka kerana digula-gulakan dengan segala bentuk hiburan, maksiat dan gejala sosial yang meloyakan. Menjelang 50 tahun kemerdekaan negara kita semakin hilang jati diri. Anak-anak muda kita semakin galak mengikut arus globalisasi sehingga lupa kepada adat dan budaya sendiri. Merdeka kita hanya tinggal kepada laungan keramat dan turunnya bendera Union Jack pada 31 Ogos 1957 tetapi minda dan pemikiran kita semakin terpenjara dengan segala bentuk nikmat dunia. Mungkinkah kita terlalu menghargai kebebasan ini sehingga kita semakin lupa dengan tanggungjawab dan amanah untuk membela bangsa dan agama? Terlalu banyak perkara jelik yang berlaku kepada bangsa kita hari ini, dan kita semakin hanyut kerana berada dalam keadaan selesa dan kemewahan. Banjir besar yang berlaku kepada beberapa buah negeri di negara kita pada awal tahun ini seharusnya dijadikan ikhtibar untuk kita semua. Kita boleh hilang segala-galanya hanya dalam sekelip mata. Jika itu ketentuan dan kemahuannya!
Selamat Menyambut Maal Hijrah.

14 January, 2007

Cerita Seorang Ayah



Sekali imbas keratan akhbar di atas tidak membawa makna istimewa buat pembacanya. Hanya satu berita ringkas mengenai pertemuan semula rakan sekolah lama. Tetapi ianya menjadi begitu istimewa bagi aku kerana ianya melibatkan ayah aku sendiri. Berita yang disiarkan dalam Kosmo (edisi Utara) sekitar bulan Disember lepas memaparkan pertemuan semula bekas pelajar Gangga English School (GES) di Beruas, Perak. Setelah lebih 40 tahun, bekas pelajar ini yang rata-ratanya berumur 60-an dapat bertemu dan berkumpul kembali untuk mengimbau kenangan lama di samping bercerita tentang perkembangan diri masing-masing. Lebih membanggakan salah seorang bekas pelajar ini adalah Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar. Ayah sendiri (gambar-memakai baju batik merah) merupakan seorang ketua kelas pada ketika itu dan maklumat ini hanya aku ketahui setelah membaca keratan akhbar ini. Dalam majlis ini ayah telah menjadi wakil kepada semua pelajar yang berkumpul menyampaikan hadiah gambar kelas mereka pada tahun 1962 kepada Tan Sri Mohd Bakri Omar. Seingat aku ayah amat gembira kerana dapat berkumpul kembali dengan rakan-rakan lamanya, dan aku juga turut berbangga kerana setelah lebih 40 tahun mereka dapat membuat satu majlis 'reunion' untuk bertemu semula. Ayah juga sering bercerita tentang persahabatannya dengan Tan Sri Mohd Bakri Omar, dan menurut ceritanya ayah merupakan pengapit Tan Sri semasa hari pernikahannya. Sehingga hari ini, kumpulan mereka sering menganjurkan perjumpaan terutama ketika adanya kenduri yang melibatkan anak masing-masing dan ayah sentiasa bangga bercerita mengenai kawan-kawan lamanya....

08 January, 2007

Search Tarik Diri Konsert 25 Tahun

"Search Tarik Diri Konsert 25 Tahun", mungkin itu antara tajuk utama ruangan hiburan akhbar di Malaysia minggu lepas. Selepas menunggu begitu lama, akhirnya konsert yang sepatutnya direalisasikan pada 5 Januari 2007 menjadi kenangan pahit buat Search termasuklah peminat setianya dan aku sendiri. Tiket di atas menjadi bukti betapa sebagai peminat setia aku berkorban membeli tiket berharga RM 82.00 (hadapan pentas) tetapi akhirnya menerima berita mengejutkan itu daripada kawan-kawan DuniaSearch melalui sms pada petang Rabu (3 Januari 2007). Apapun, aku tetap meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur pada malam itu kerana hendak menghantar adik aku ke UiTM dan sememangnya perjalanan itu direncana kerana hendak menonton konsert itu sekali. Akhirnya tiket ini terpaksa dikembalikan kerana sememangnya aku tidak berminat untuk menonton persembahan Slank dan malangnya duit tiket ini akan dikembalikan dalam tempoh dua bulan. Untuk mengubat hati yang terguris, pada malam 5hb tu, kami semua member Duniasearch jamming ramai-ramai di sebuah studio di Ampang. Walaupun tidak dapat menonton konsert Search, sekurang-kurangnya pada malam itu kami telah bersama-sama memainkan lagu-lagu Search selama dua jam setengah dengan segala bunyi yang sumbang. Penarikan diri kumpulan Search di saat-saat akhir ini menjadi satu sejarah dalam industri hiburan tanah air dan yang menjadi sejarah bagi aku kerana tiket di atas merupakan tiket termahal yang aku pernah beli dan aku tidak menonton konsert itu...

02 January, 2007

Salam Aidiladha

Terlebih dahulu Salam Aidiladha buat semua umat Islam terutama kawan-kawan yang melawati blog ini. Agak lama juga aku menyepi, hampir sebulan. Sebenarnya terlalu sibuk dengan tugasan di pejabat membuatkan aku tiada masa dan idea untuk menulis sesuatu di sini walaupun hakikatnya banyak yang bermain di minda. Belum terlambat juga untuk mengucapkan selamat tahun baru. Masih selamatkah tahun baru yang bakal kita lalui ini? Dengan segala malapetaka yang menghantui dunia akhir-akhir ini membuatkan sesekali timbul rasa bimbang akan nasib diri sendiri dan keluarga. Tidak ada azam tahun baru bagi aku kerana seharusnya setiap hari kita perlu berazam menjadi lebih baik dari hari ini dan semalam. Di penghujung + awal tahun ini aku lebih suka untuk mengenang kembali zaman yang telah dilalui, memikirkan kembali segala kesilapan dan keterlanjuran yang dilakukan untuk diperbaiki. Sepanjang 30 tahun kehidupan sebenarnya dah banyak juga yang aku lalui. Semua itu perlu diperhalusi kembali untuk merancang hidup yang lebih baik. Dan apabila mengenang kembali segala suka duka kehidupan yang telah dilalui, timbul suatu perasaan atau nikmat yang mungkin boleh diertikan sebagai nikmat kehidupan. Cuti selama seminggu ini juga aku gunakan untuk kembali ke masa silam dengan mengunjungi rakan lama yang lebih sepuluh tahun tidak berjumpa (akan aku ceritakan dalam catatan seterusnya). Hujung minggu ini aku akan berada di Kuala Lumpur dan sudah tentunya akan menyaksikan Konsert Ulangtahun 25 Search di Stadium Merdeka. Ada dua sebab utama menyebabkan aku tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini, pertama sekali kerana aku peminat setia kumpulan Search dan yang kedua kerana inilah peluang untuk aku melepaskan perasaan dan boleh menjerit semahu-mahunya setelah penat setahun bekerja. Tiket sudah dibeli, hanya menunggu masa untuk menyanyi sepuas hati......Wassalam.