23 September, 2007

Kenangan 'Berlakon' Drama

Kisah berlakon drama ini berlaku hampir 15 tahun lepas, ketika aku berada di tingkatan 5. Biasanya bila tiba hari cuti, kami pelajar Sek. Men. Teknik Pulau Pinang akan diberi keluar 'outing' selama separuh hari bermula tengah hari sehinggalah pukul 6 petang. Dan destinasi kami pada ketika itu sudah tentunya KOMTAR yang ketika itu begitu popular. Cerita bermula ketika aku bersama sahabat baik aku iaitu Pick (Rasydi) sedang berjalan-jalan di sekitar bangunan KOMTAR. Sedang kami berjalan terlihat sekelompok manusia sedang mengerumuni sesuatu dan kami pun bergegas hendak melihat sama apa yang berlaku. Tiba sahaja di situ di dapati ada penggambaran drama sedang dilakukan dan ketika baru sedang hendak meninjau seorang lelaki menarik aku dan Pick dan meminta kami berjalan melintasi sekumpulan pemuzik yang cacat penglihatan (pelakon) sedang bermain muzik. Kami dan juga beberapa orang lain yang turu dipanggil sama diminta melintas beberapa kali di hadapan pemuzik tersebut ketika penggambaran dibuat. Selesai penggambaran lelaki itu mengucapkan terima kasih dan meneruskan kerjanya dan kami pula begitu teruja kerana secara tiba-tiba terbabit dalam adegan drama itu.
Beberapa bulan selepas itu, drama yang bertajuk Matahati itu disiarkan di slot cerekarama TV3. Melalui promo yang disiarkan sebelumnya, aku yakin drama itulah yang kami 'berlakon' tempohari dan tidak sabar menanti waktu tayangannya. Setelah beberapa lama menonton, akhirnya sampai ke babak yang aku rasa melibatkan kami dan jeng..jeng..jeng...rupa-rupanya semasa babak itu dibuat kamera hanya merakam gambar kaki kami yang melintas di hadapan pemuzik buta itu bukannya gambar penuh. He..he..he..patutlah pengarah drama tersebut suruh kami lintas beberapa kali, rupanya hendak ambil syot kaki sahaja. Aku sendiri tak pasti yang mana kaki aku dan yang mana kaki Pick semasa babak drama itu ditayangkan. Alkisah akhirnya ia menjadi kenangan lucu buat kami berdua dan yang manisnya pengarah drama yang menarik aku dan Pick dan meminta kami melintas di hadapan kamera itu ialah pengarah tersohor di Malaysia pada ketika ini iaitu U Wei Haji Saari yang pada ketika itu aktif menghasilkan drama TV.

al-Fatihah Buat Nurin

gambar ihsan Utusan Malaysia

Takziah buat keluarga Allahyarham Nurin Jazlin atas pemergian puteri ini dengan cara yang begitu menyayat hati dan memilukan. Begitulah akhirnya bila manusia tidak mampu lagi menjadi manusia. Seorang anak kecil akhirnya menjadi mangsa si celaka! Al-Fatihah...

19 September, 2007

ISTERI

Selamat hari lahir buat isteri tercinta. Semoga dipanjangkan umur dan beroleh kesejahteraan serta kedamaian sepanjang perjalanan ini...

12 September, 2007

SALAM RAMADHAN


Pejam celik pejam celik, Ramadhan datang kembali. Hari ini semua umat Islam telah memulakan ibadah puasa seperti yang termeterai dalam Rukun Islam ketiga. Bulan yang penuh kemuliaan ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh kita semua. Diharapkan kita semua dapat menunaikan ibadah ini dengan penuh keimanan dan mendapat keberkatan dariNya. Ramadhan juga seringkali membawa kembali nostalgia dan kenangan lama. Kenangan ketika mula belajar berpuasa, kenangan ponteng puasa dan pelbagai kenangan lain yang pastinya manis jika dikenang. Aku pasti semua orang mempunyai banyak kenangan di bulan Ramadhan ini. Tak tertulis rasanya kenangan-kenangan itu di sini. Apapun kesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan buat semua kawan-kawan dan sanak-saudara yang sempat singgah menjengah blog ini. Semoga kita semua dapat menunaikan ibadah ini dalam keadaan aman dan damai di bumi tercinta. Selain itu harap-harapnya kita semua dapat bersederhana dalam berbelanja. Kebanyakan orang kita biasanya boleh menahan nafsu lapar dan dahaga tetapi amat payah mengawal nafsu berbelanja pada bulan puasa ini. Esok, aku akan pulang berpuasa ke Parit Buntar, sudah tentunya akan mencari juadah kegemaran aku. Ayam percik, kueteow goreng pak ngah, dan pastinya kerang rebus yang terkenal di kampung aku. Tak lupa juga aku ingin mengingati diri sendiri bahawa bulan puasa ini bukan tiket untuk kita mengurangkan kerja yang diamanahkan kepada kita dengan alasan letih dan sebagainya. Seharusnya kita bekerja seperti biasa dan kalau boleh lebih daripada biasa kerana kerja itu juga satu ibadah sekiranya kita melakukan dengan jujur dan ikhlas. Selamat Berpuasa dan Salam Penuh Keinsafan...