31 March, 2007

Catatan Hujung Minggu

Agak lama tak mencatat sesuatu di ruang maya ini. Sebenarnya agak sibuk menguruskan program di Pulau Perhentian minggu lepas dan selepas itu terus ke Kuala Lumpur untuk kursus. Semalam terus mengambil keputusan untuk berehat sebentar di kampung. Maaf kepada para pengunjung dan kawan-kawan yang sudi menjengah ruang ini kerana tidak dapat berkongsi catatan sejak akhir-akhir ini. Kadang-kala banyak yang terisi dalam fikiran untuk di catat di sini tetapi akhirnya lenyap semuanya kerana terpaksa membuat kerja lain. Apapun semua tanggung jawab dan amanah ini harus dilaksanakan dan sama-samalah kita berdoa untuk dinaungi kesejahteraan.Selamat Menyambut Maulidur Rasul. Semoga masyarakat kita tidak terus hanyut dengan segala keselesaan dan kemodenan ini....

06 March, 2007

Mat Som Bin Mat Top

Pada awal aku menulis dalam blog ini aku pernah menulis tentang sebuah filem yang telah lama aku cari iaitu Mat Som. Filem yang diadaptasi dari Komik Mat Som karya Datuk Lat ini dan telah diarahkan oleh Hatta Azad Khan sememangnya tidak mungkin dapat ditayangkan lagi di kaca televisyen kerana penerbitnya (dari luar negara) telah membawa semua bahan asal kembali ke negaranya. Akhirnya melalui laman blog ini juga seorang rakan (rupanya senior aku semasa zaman sekolah dulu) telah menawarkan aku VCD filem ini. Terima kasih kepada saudara Kamal Hidayat (Khys) kerana sudi berkongsi bahan ini dengan aku. Gembira sekali kerana dapat menyimpan koleksi ini yang aku rasa tak ramai yang ada. Mat Som merupakan filem yang agak berlainan daripada filem-filem yang sezaman dengannya. Gabungan Hatta Azad Khan, Imuda, Mohamad Busu dan Zami Ismail memberi kelainan kepada filem ini. Seharusnya karya-karya kartun yang baik boleh diangkat ke dalam medium filem daripada kita melihat kisah-kisah cinta yang memualkan itu...