28 September, 2008

BILA TIBA HARI RAYA.....

Insyaallah, dalam masa tiga hari lagi (ketika catatan ini dibuat), kita semua akan sama-sama menyambut 1 Syawal. Seperti tahun-tahun sudah persiapan Syawal aku semestinya sepasang baju Melayu. Yang lain-lain belum sempat dibeli. Semalam dalam keadaan kesibukan menyiapkan biskut raya yang ditempah, aku dan isteri sempat juga keluar untuk membeli-belah. Seperti biasa, pusat membeli belah di Kota Bharu sesak dengan pengunjung. Kekadang tu buat aku terfikir bahawa kehidupan masyarakat kita sebenarnya masih mewah walaupun dunia berada dalam krisis ekonomi. Kalau tak percaya bolehlah jengah gedung membeli-belah yang dibuka sehingga ke pukul 12.00 malam sehari dua ini. Berbalik kepada cerita shopping, cadangnya aku hendak membeli sehelai dua T-Shirt tetapi akhirnya puteri kecil aku yang dapat sehelai dua baju baharu. Tak kisahlah, tanpa baju pun masih tetap boleh beraya. Tahun ni aku dah ada sehelai t-shirt raya yang gempak, nak tengok nanti balik Parit Buntar aku akan pakai...he...he..
Bermula dari awal Ramadan juga isteri aku sibuk membuat biskut raya yang ditempah. Alhamdulillah, tahun ini tempahan meningkat dari tahun sudah walaupun aku terpaksa menaikkan sedikit harga akibat kenaikan kos harga minyak (he..he...alasan sama macam peniaga2 lain). Sudahnya sampai ketika ini kami sedang berjuang untuk menyiapkan semua tempahan dan jangan terkejut kalau rumah kami sendiri tidak ada biskut raya kerana mungkin tak sempat nak siapkan untuk stok di rumah. Bayangkanlah tauke biskut raya terpaksa membeli biskut dari orang lain di pagi syawal nanti...he..he..
Apapun, aku ingin mengambil kesempatan seperti tahun-tahun lepas untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Maaf Zahir & Batin kalau-kalau ada catatan yang mungkin menyinggung perasaan dan menikam sukma saudara-saudari sekalian. Kalau ada yang hendak beri komen mohon kerjasama untuk meletakkan nama sekali. Kalau tanpa nama tu, jenuh aku nak memikirkannya nanti siapalah yang empunya diri yang menghantar komen. Boleh tidur tak lena ooo....Insya Allah tahun ni aku akan beraya di Kelantan seperti rakan-rakan seperantauan yang lain (Dicky, Comel, Zul) dan akan pulang ke Parit Buntar pada hari raya ketiga. Kalau ada kesempatan jemputlah datang ke rumah untuk mengeratkan tali silaturahim yang mungkin telah lama tidak berjumpa. Dan kalau nak datang tu harap-harap dapat telefon dulu, maklum sahajalah bila harga minyak dah turun sepuluh sen ni panjang sikit la langkahnya. Kalau ikut harga asal masa mula-mula dulu aku dah ingat nak naik basikal ajer gi raya rumah kawan-kawan. Diharapkan kedatangan Syawal ini kita semua dapat sambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Dalam keadaan ketidakstabilan politik dan ekonomi di negara kita pada hari ini, seharusnya hadir hari kemuliaan ini dapat digunakan sepenuhnya untuk kita semua Islam bersatu kembali demi kelangsungan hidup yang harmoni dan keutuhan bangsa Melayu yang kita sayangi. "Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar...!!!

21 September, 2008

RAGAM RAMADHAN


Kerang rebus....sengaja aku letak gambar kerang rebus untuk catatan ini kerana lazimnya di kampung aku kerang rebus cicah dengan kuah kacang merupakan menu popular apabila tibanya bulan ramadan. Aku sendiri kurang pasti bila sejarahnya bermula, tetapi seingat aku semasa sekolah rendahlah menu ini mula popular. Dan aku merupakan peminat setia menu ini sehinggalah sekarang. Setiap kali tibanya ramadan semestinya aku kerang rebus menjadi santapan paling popular di Parit Buntar. Tak hairanlah kalau ada peniaga yang berniaga kerang rebus sebulan dan untungnya cukup untuk kehidupan setahun....Bila dah jauh dari kampung ni, cuma sesekali dapat merasa kenikmatan menu ini..dan minggu lepas semasa pulang ke kampung sempatlah aku melepas gian untuk tahun ini.
Sebenarnya apabila tiba sahaja bulan ramadan bermacam ragam yang akan kita temui dan lalui. Ragam-ragam ini biasanya hanya muncul apabila tibanya sahaja bulan ramadan. Ragam orang berpuasa, ragam membeli juadah berbuka dan pelbagai ragam lain yang unik yang hanya boleh dilihat pada bulan ramadan. Kalau mengikut sunah, seharusnya berbuka puasa dimulakan dengan kurma dahulu namun lain orang lain pula ragamnya. Dan kerana itulah kadangkala sunah dan sunat entah ke mana apabila tepat sahaja waktu berbuka. Aku sendiri pun biasanya akan 'belasah' nasi dahulu sebelum ke makanan ringan yang lain. Rasanya tak puas kalau sekadar menjamah kuih atau makan makanan ringan yang lain. Nafsu! itulah hakikat sebenarnya yang menjadikan kita berbeza-beza ragam apabila tibanya bulan ramadan. Itu belum lagi ragam orang ponteng puasa...he..he..dan ikhlasnya aku juga pernah terjebak dalam golongan ini. Kalau sesiapa yang pernah ponteng tu pastinya akan mengakui hakikat betapa nikmatnya nasi kandar yang dibungkus dalam beg plastik hitam, walaupun pada hakikatnya bukanlah sedap sangat pun. Cuma sekali lagi, nafsu memainkan peranannya dengan amat baik ketika itu.
Begitu juga ragam orang bersahur. Opah aku juga sebenarnya ada ragam yang tersendiri untuk bersahur. Biasanya opah akan makan nasi dengan buah mangga (mempelam) untuk bersahur. Cukup dengan itu sudah boleh membuka selera opah. Andai tiada mangga, tembikai boleh menjadi ganti. Aku tak pasti bila tabiat dan ragam itu bermula, tetapi sehingga kini opah tetap akan bersahur dengan menu istimewanya itu. Dahulu, seorang sepupu aku hanya akan bersahur andainya ada cornflakes + susu, kalau tak ada cornflakes mau mengamuk dia subuh-subuh tu...
Itu belum lagi dikira ragam ketika membeli makanan di pasar ramadan. Dalam hal ini, ragam ini lah yang paling popular kerana masing-masing ada ragam yang tersendiri. Ada yang mencuba resepi berbeza setiap hari sehinggakan bila berakhir sahaja ramadan maka semua juadah di pasar ramadan itu telah dicubanya. Ada juga yang setia dengan menu-menu tertentu di pasar ramadan sehinggakan setiap hari akan membeli juadah yang sama bermula dari 1 ramadan sehinggalah ke penghujungnya. Dan jangan terkejut ada juga yang setiap hari akan ke pasar ramadan tanpa membeli apa-apa....semuanya ada ragam yang tersendiri...

09 September, 2008

MANTERA BERADU

Aku bukanlah peminat fanatik lagu-lagu berirama hip-hop, tetapi sentiasa terbuka untuk mendengar apa jua jenis lagu (kecuali Hindustan, aku elergic sikit) yang singgah di pendengaran. Buat masa ini aku begitu senang mendengar koloborasi antara Malique & Masterji Nasir dalam Mantera Beradu. Kalau sebelum ini ketika bersama Too Phat, aku senang sekali mendengar "Alhamdulillah" dalam versi Melayu (feat Ahli Fikir). Kali ini Malique secara solo berani sekali mempelawa M. Nasir untuk duet yang menarik ini. Ditambah pula dengan lirik yang penuh makna dan akhirnya karya ini menambat hati aku untuk mendengar berulang kali tanpa jemu...Yo!!

Mantera Beradu- Malique ft. M.Nasir

Masih belum sempurna..

Gerakkan Hati… Hati gerakkan…
Pandanglah aku.. aku lah dia..

kulitku tebal.. ku kebal.. ingatku kebal..
hanya berbual makan angin kembung perut mual…
resah dan tidak senang.. hidup tak pernah lenang..
ku schizo paranoia takut pecah tembelang

pecah tembelang… peta dah hilang…
bangau dah pulang… suara sumbang..

lidahku kaku tak selicin kuku
teman baikku buku
bini ku pena.. tak pernah lena
aku suka mengintai pantang ditenung
berakhir pertelingkahan dalaman
pasti belum

ikut gerak hati.. pena melayang
dilihat dua layang pandang
tak lah sekarang
takat meradang
tanya.. abang gedang, apa barang?
badan macam badang
main macam belakang parang

kuhunuskan keris musuh ada pistol
tradisi kekalkan adaptasi harus betul
tujuh baris keramat tujuh garis penamat
baik berpada biar jahat asal selamat

ramai saudaraku yang baik telah dipijak

awan mendung yang berarak
bawa tangis bawa resah
rebah rindu yang terkumpul
semua birat dan kalimah
semua janji yang terikat
lebur disisimu

yo ijazah terbaik datangnya dari jalanan
dari pengalaman bercakap dan bersalaman
konflik motivasi cuba medatasi
positif dan benci jadi inspirasi pagi

peduli itu interpretasi basi pekakkan sebelah
halang biar keduanya muka cantik
soalan bodoh yang ditanya jadi melodinya
lebih hina dari zina

lu bikin dosa ku bikin prosa
testosterone testarosa
citacita sosa kl kl kosa nostra
jalan berliku ku harung roller coaster
gah sentosa tiada penyesalan
luas pandangan jauh dah berjalan
tak sempurna masih ada kejanggalan
gagal merancang, merancang kegagalan

awan mendung yang berarak
bawa tangis bawa resah
rebah rindu yang terkumpul
semua birat dan kalimah
semua janji yang terikat
lebur disisimu

kucing bawa tidur rimau bawa igau
masuk tempat orang bawa otak bukan pisau

naik bukit angkuh cakap ayah jangan risau
turun bukit pucat dengar tiga miaww
kucing bawa tidur rimau bawa igau
masuk tempat orang bawa otak bukan pisau

tolak pintu gua tiga kerat tenaga
kosong tak dijaga sampai datang tiga naga
ingat nak berlaga tapi tak kan boleh menang
menang dengan otak tak mesti dengan pedang

sebelum jadi bangkai ikan koi renang renang
pura pura salah jawapan untuk naik berang
panggil lima kawan atau biar pergi laju
risaukan pekara remeh kita tak akan maju
muka sama hijau hati siapa tahu
merah dah menyala pasti mati siapa mahu
gagap tiga kali bercakap benar saja
bulan terang ramai yang keluar buat kerja

panjat pokok buluh cari tukun air terjun
naik sampai nampak dah terpegun turun
tiga ular ikut lompat atau paut
kalau lari mati jika jerut maut

awan mendung yang berarak
bawa tangis bawa resah
rebah rindu yang terkumpul
semua birat dan kalimah
semua janji yang terikat
lebur disisimu

puisi hati mu… hati mu puisi
palu hati ku palu hatiku

kulit tak bersalin walau saling ganti baju
pandang sini pandang sini
ku berbahasa baku kata kata nahu
himpun jadi satu
mantera beradu dengan irama dan lagu

akhirnya sempurna….

07 September, 2008

Ramadan dan Kenangan

Setiap kali tibanya Ramadan, kita pastinya tidak dapat tidak akan diusik dengan kenangan. Tidak kira sama ada kenangan semasa mula belajar berpuasa, kenangan ponteng puasa, kenangan bertarawikh dan moreh di surau dan seribu satu kenangan lain yang kita bawa sepanjang jalan kehidupan. Aku juga tidak lepas mempunyai banyak kenangan apabila tiba bulan yang mulia ini. Salah satu kenangan yang terus segar dalam kotak fikiran ialah semasa aku berniaga di pasar ramadan.
Rasanya lebih 10 tahun dulu aku melalui kenangan ini, selepas mengambil SPM aku membantu rakan untuk berniaga di pasar ramadan. Kami berniaga Kue Teow Goreng (keu teow kerang paling top di Parit Buntar), Mee Kuah dan Bihun Sup. Rutin pekerjaan aku bermula lebih kurang pukul 10 pagi. Aku harus mengupas ubi untuk membuat kuah mi, menggoreng kacang, memotong cili kering, menggoreng fish ball, merebus telur, merebus ubi dan pelbagai kerja rutin lain sehinggalah menjengah ke tengah hari. Selepas kuah mee masak, kerja seterusnya lebih berat lagi. Harus memasukkan mee ke dalam bungkusan bersama perencahnya dan seterusnya memasukkan kuah pula ke dalam bungkusan. Itu baru bahagian mee, belum lagi untuk membuat bihun sup. Lazimnya kami 2-3 orang akan bersama-sama membantu untuk menyiapkan semua bungkusan mee dan bihun sup sebanyak lebih kurang 200 bungkus untuk dijual pada pasar ramadan. Selepas selesai semua kerja membungkus, kami harus pula menyediakan bahan-bahan lain seperti payung, meja, dapur dan sebagainya ke dalam kereta. Ketika mula-mula berniaga, kami hanya menggunakan basikal roda tiga untuk membawa barang-barang sebelum menggunakan kereta tahun berikutnya. Hanya selepas selesai semua itu barulah dapat berehat seketika, itu pun cukup untuk mandi dan bersiap untuk misi yang seterusnya....
Seawal pukul 4.oo petang biasanya kami akan ke tapak pasar ramadan. Bermulalah kerja memasang payung, membuka meja, menyusun barang-barang dan sebagainya sehingga boleh mula berniaga. Biasanya memang meletihkan. Andai kata cuaca panas, terik mentari cukup untuk membuat tekak haus. Ditambah lagi apabila melihat kesegaran air-air minuman yang dijual gerai berhampiran. Andai kata hari hujan pula, situasinya akan lebih sukar dan bayangkanlah dalam keadaan puasa harus membuka gerai di tengah-tengah hujan yang mencurah-curah....he..he...basah yop!
Waktu yang paling aku suka apabila mula berniaga.Melihat kepada sambutan orang yang membeli sehingga harus berdiri menunggu kue teow siap digoreng, dan pada masa yang sama mee kuah serta bihun sup yang kami buat mendapat sambutan membuatkan rasa letih dari pagi bekerja hilang. Dalam situasi inilah banyak ragam manusia dapat dilihat, ada yang tidak sabar, ada yang nak murah lagi (kue toew RM 1.00 sebungkus, nak minta 50 sen, boleh?) dan macam-macam karenah yang kekadang tu membuatkan pahala puasa aku berkurangan kerana menjadi modal aku dan rakan-rakan mentertawakan dan mengutuk...he...he..Andai kata musim hujan pula, situasi akan bertukar. Kami akan bersembang sesama sendiri untuk menghilangkan rasa bosan sementara menunggu pelanggan. Sambil-sambil tu akan berharap hujan akan cepat berhenti kerana kebiasaannya orang ramai akan keluar apabila hujan berhenti dan jumlahnya akan berkali-kali ganda.
Andai kata semua yang kami bawa habis cepat, maka kami akan segera mengemas barang untuk berbuka puasa di rumah. Andai kata sebaliknya, biasanya kami akan berbuka puasa di pasar ramadan bersama peniaga-peniaga yang lain. Yang bestnya apabila masing-masing bertukar-tukar barang perniagaan yang tidak habis untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Selepas itu barulah kami akan pulang menghantar barang ke kedai dan seterusnya barulah aku dapat pulang ke rumah. Kebiasaannya pada ketika itu, jarang sangat untuk aku dapat berbuka puasa bersama keluarga di rumah.
Pengalaman aku berniaga di pasar ramadan Parit Buntar bukan setahun dua, rasanya banyak tahun juga aku membuat kerja-kerja part time ini. Banyak pengalaman yang aku kutip dan banyak kenangan pahit manis yang aku lalui semasa berniaga. Terima kasih banyak-banyak kepada Allahyarham Mohd Shahini (Pak Ngah) yang banyak mengajar aku tentang ilmu berniaga dan memberi pengalaman berguna untuk dijadikan panduan. Tak lupa juga buat Mak Ngah (Sharifah Hasnah), Pak Su (Syed Halim), Kak Ju, Abang Zam, Ajan, Ayang, rakan-rakan setugas: allahyarham Najib, Abbe, Pick, Lan dan rakan-rakan lain yang turut sama mewarnai kenangan pada waktu itu. Ketika itu aku merasakan upah yang aku dapat agak tidak setimpal dengan kerja yang aku buat, namun ketika ini baru aku sedar pengalaman dan kenangan yang aku perolehi semasa melalui zaman itu lebih berharga daripada duit upah yang aku terima....

01 September, 2008

Merdeka!...dan bermulanya Ramadan

Rasanya tidak terlalu lewat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua warga Malaysia yang tanah tumpahnya di bumi bertuah ini. Semoga kedamaian yang kita kecapi hari ini terus berkekalan selama-lamanya. Hari ini juga bermulanya 1 Ramadan. Kesempatan ini aku ambil untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam dan khususnya buat saudara-mara, kawan-kawan dan sesiapa jua yang sudi singgah menjenguk laman blog yang tidak seberapa ini. Semoga kita semua dapat berpuasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, insya-Allah.....