16 May, 2008

TERIMA KASIH CIKGU!!!!!

Tanggal 16 Mei pastinya menjadi tarikh keramat buat semua insan bergelar guru atau cikgu. Saban tahun tarikh yang dipilih ini, istimewa untuk menghargai jasa dan sumbangan cikgu yang banyak mencorakkan masa depan anak bangsa dan semestinya mendidik seseorang insan itu dengan ilmu dan tunjuk ajar yang berguna. Setiap insan pastinya akan pernah melalui detik-detik berhadapan dengan cikgu dan menerima tunjuk ajar serta bimbingan daripada insan istimewa ini. Tak terkecuali juga aku yang sememangnya banyak menerima bimbingan dan dorongan daripada seorang cikgu sehingga mampu bekerjaya seperti sekarang.
Sempena menyambut hari guru pada hari ini, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada cikgu-cikgu yang banyak memberi bimbingan dan dorongan kepada aku. Bermula daripada Cikgu Saayah Din yang mengajar aku semasa darjah satu hingga darjah dua (SRK Methodist Parit Buntar), seterusnya Mr. Yeoh di darjah tiga. Kemudiannya aku berguru dengan cikgu yang amat aku hormati iaitu Cikgu Mazlan Bin Mansor dari darjah empat sehingga darjah enam. Daripadanya aku mendapat banyak pengalaman dan sememangnya manis untuk dikenang, walaupun cikgu Mazlan terkenal dengan ketegasan dan hukuman 'ganas-ganas' yang dikenakan kepada pelajarnya. Namun semua itulah yang banyak memberi pengajaran kepada kami semua di kelas Enam Kuning dan sehingga kini aku masih berusaha untuk mencari Cikgu Mazlan yang hampir 20 tahun tidak berjumpa.
Seterusnya kepada cikgu-cikgu di Sek. Men. Methodist Parit Buntar (1989-1991) semasa aku di tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Bermula dengan Cikgu Saari, Cikgu Rosilawati, Cikgu Zainal, Cikgu Osman dan lain-lain yang tidak dapat aku ingat namanya lagi. Tidak lupa juga cikgu-cikgu di Sek. Men Teknik Tunku Abdul Rahman Putra Pulau Pinang (TI Penang : 1992-1993), yang banyak memberi aku pengalaman hidup di sekolah berasrama, walaupun pada mulanya aku memberontak untuk pindah dari sekolah tersebut. Masih lagi terngiang-ngiang ketegasan warden asrama Cikgu Mohd Ali dan juga cikgu-cikgu lain di TI Penang seperti cikgu Ahmad Abdul Rahman, Cikgu Jaludin, Cikgu Hisanuddin, Cikgu Saupi dan yang paling aku ingat cikgu mata pelajaran Matematik iaitu Mr. Lim Eng Chin yang pernah meramalkan aku dan sahabat baik aku Pick akan bekerja sebagai operator pengeluaran di Bayan Lepas setelah kami terlalu bengap dengan mata pelajaran matematik yang diajarnya. Mujur juga mulutnya itu tidak masin, dan sebenarnya kami telah membuktikan bahawa sindirannya itu telah memberi dorongan kepada kami untuk berjaya. Selain itu tidak lupa juga buat semua cikgu-cikgu di Sek. Men. Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar (1994-1995) yang banyak memberi panduan kepada aku untuk mengambil peperiksaan STPM. Antara nama-nama yang aku masih ingat ialah Cikgu Norzila, Cikgu Harris, Cikgu Jalil, Cikgu Razali, Cikgu Guna dan ramai lagi yang turut sama menyumbang ilmu.
Apa pun kesemua mereka yang aku sebutkan ini adalah antara insan istimewa yang banyak membentuk aku menjadi seorang insan yang masih terus mencari ilmu sehingga kini. Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk mendidik anak bangsa tidak kira di mana berada. Semoga cikgu-cikgu semua terus dirahmati dan diberi kesejahteraan untuk terus mendidik dan membimbing anak bangsa. Sebagai seorang murid dan pelajar cikgu, saya berbangga kerana pernah dididik oleh cikgu dan Insyaallah semua ilmu yang ditaburkan itu sentiasa tersemat di hati. Memetik kata-kata Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said, "Walau diambil kembali semua buku, Sempat ditinggalkannya asas Ilmu..." Terima Kasih Cikgu...!!!

11 May, 2008

APABILA PENCEN MENGINJAK KE ANGKA 58


Pengumuman oleh Perdana Menteri semalam berkaitan kadar pencen kakitangan awam yang telah dinaikkan dari usia 56 ke 58 telah disambut baik oleh kakitangan kerajaan. Bagi aku pula perkiraannya begini...Sekiranya panjang umur aku akan bekerja lagi 26 tahun, 312 bulan, 1352 minggu, 6,760 hari, 60,840 jam (9 jam bekerja) dan 3,650,400 minit. Dengan angka-angka yang sebegini besar, seharusnya dari sekarang aku perlu memikirkan masa yang dapat aku peruntukkan pula kepada keluarga.......

08 May, 2008

Padi, Beras dan Nasi

Semenjak dua menjak ni, sibuk orang kita bercakap mengenai kenaikan harga beras dan krisis makanan dan mula melanda dunia. Aku pun tidak terkecuali untuk terpaksa memikirkannya. Secara terus-terangnya, selama ini aku tidak pernah pun mengambil kisah tentang harga beras. Walaupun datang dari kampung yang ditarafkan sebagai Jelapang Padi Negeri Perak, dan nasi merupakan makanan wajib bagi aku tetapi aku sememangnya jahil dengan harga beras semasa. Aku juga tidak pernah kisah dengan jenis beras yang digunakan untuk dimasak, bagi aku nasi semua sama jer. Yang beza mungkin bila ianya dah bertukar menjadi nasi lemak, nasi beriani, dasi dagang, nasi himpit dan segala jenis nasi lagi yang terdapat di dunia ini. Aku tidak pernah kisah sama ada beras itu beras tempatan ke, beras siam ke, beras import ke..aku main belasah jer. Aku hanya sedikit kisah bila isteri aku merungut dengan jenis beras yang aku beli kerana kekadang itu menimbulkan masalah kepadanya untuk memasak. Satu lagi, yang aku malu sikit nak cerita sebenarnya sampai sekarang aku beli beras kat kedai runcit biasa jer. Jenis yang timbang tu, dan biasanya aku beli dua kilo jer. Jarang sangat aku beli jenis yang kampit besar zsaiz 5 atau 10 kilo tu. Mungkin bagi sesetengah keluarga tu, 2 kilo beras cukup untuk beberapa hari sahaja tetapi bagi keluarga aku yang kecil ni, bekalan beras sebanyak dua kilo tu cukup untuk makan lebih dari seminggu dan kekadang tu boleh mencecah ke angka dua minggu.

He..he..he..mungkin ada yang terkejut, tapi bagi aku biasa jer. Sebabnya isteri aku hanya masak sekali sahaja sehari untuk makan petang. Dan untuk sekali makan itu hanya satu pot beras jer kut yang digunakan. Dan berdasarkan pot beras tu, lebih 2/3 daripadanya aku yang makan manakala selebihnya baru isteri aku yang makan. Jadi bayangkan la kalau satu pot beras tu bersamaan dengan 100gm maka dekat 10 hari gak aku nak habiskan stok beras tu. Itu belum masuk bab aku kena gi out station atau balik kampung, maka stok beras sebanyak 2 kilo itu akan bertahan sehingga minggu yang ketiga. Oleh sebab itulah, ketika ini aku tidak begitu kisah dengan kenaikan harga beras kerana buat ketika ini aku rasa ianya tidaklah membebankan sangat dan syukur Alhamdullillah kerana itu. Namun bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan mempunyai ahli keluarga yang ramai, sudah tentu kenaikan harga beras ini begitu membebankan dan sememangnya aku amat bersimpati. Jadi, bagi mengawal keadaan ini seharusnya kita yang sedikit berkemampuan ini merenung kembali dengan tabiat makan kita. Aku setuju dengan cadangan Perdana Menteri dan juga YB Tuan Guru Nik Aziz agar kita dapat berjimat cermat dan mengawal tabiat makan kita yang seharusnya diakui agak mewah. Mulai hari ini kita perlu berjimat cermat dan mengawal nafsu makan kita agar kita tidak terlalu merasa terbeban dengan kenaikan harga beras dan barang keperluan yang lain. Dengan berjimat cermat dan mengawal nafsu makan juga kita dapat mengelakkan diri daripada terkena penyakit yang berpunca daripada makanan. Seharusnya fenomena yang berlaku ini membuatkan kita mengubah gaya hidup dan secara tidak langsung dapat membantu kita menjaga kesihatan.
Emm...aku sendiri hanya mampu menulis tetapi apabila dihidangkan dengan makanan kegemaran rasanya aku masih tak mampu mengawal nafsu. Tambahan pula isteri aku suka memasak dan seringkali akulah orangnya yang menjadi bahan uji kaji dengan rasa masakan yang baru dicubanya. Biasanya juga aku bukan sekadar menguji makanan tersebut, tetapi melantaknya dengan bersungguh-sungguh....abis camno?