31 December, 2008

SALAM TAHUN BARU

Ketika entri ini ditulis, dunia menghampiri ke tahun 2009, dan baru dua hari lepas kita menyambut tahun baru Islam. Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada semua saudara seagama. Semoga kedatangan tahun Hijrah ini membawa keberkatan buat kita semua. Namun, sambutan tahun baru pada kali ini membawa episod duka apabila Si Syaitan Israel kembali membedil bumi Islam Palestin. Sekali lagi dunia hanya mampu bersuara tetapi tidak mampu menghalang anak kecil yang tidak berdosa daripada menjadi mangsa peluru askar-askar Israel. Setelah sekian banyak rundingan dan jalan penyelesaian di cari, peluru dan bom masih menjadi alat utama untuk menunjukkan kuasa. Sekali lagi dalam hal ini sebenarnya kita harus kembali merenung diri. Dengan ratusan juta umat Islam di dunia ini, kita masih tidak mampu bersatu untuk menentang musuh. Cukupkah hanya sekadar berdemonstrasi di negara sendiri, kempen memboikot barangan Israel dan sekutunya dan atau sekadar berdoa? Banyak yang harus difikirkan dan banyak yang harus direnung kembali dalam kita meneruskan perjuangan di tahun baru ini.
Selamat Menyambut Tahun Baru dan semoga kita semua tabah mengharungi cabaran dunia yang semakin sesak dan menyesakkan.

28 December, 2008

SATU DUGAAN...

Dalam perjalanan balik dari Bukit Mertajam ke Parit Buntar petang semalam, aku menggunakan lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Dalam perjalanan menghampiri susur keluar Jawi, kenderaan bergerak agak perlahan-lahan dan seketika terus berhenti. Apabila kereta di hadapan mula bergerak, dalam kedudukan gear satu aku mula menekan minyak. Belum sempat hendak menukar gear dua, kereta di hadapan membrek secara tiba-tiba dan aku terus menekan brek kereta serapat-rapatnya. Namun kedudukan kenderaan yang agak dekat membuatkan kereta aku terus juga menuju ke belakang kereta di hadapan dan sudahnya beginilah keadaan kereta aku. Alhamdulillah, kesemua kami dalam kereta selamat dan kereta masih boleh dipandu. Setelah berurusan dengan kereta yang aku langgar (keadaan keretanya hanya sedikit calar), aku pun membuat laporan Polis di Balai Polis Jawi.
Itulah serba-sedikit senario kemalangan yang menimpa kami sekeluarga semalam. Kereta kesayangan yang masih aku pinjam dari bank ini (Insyaallah setahun lagi akan menjadi milik mutlak), mengalami sedikit kerosakan di bahagian hadapan. Sebetulnya aku perlu balik ke Kota Bharu hari ini, tetapi oleh kerana kemalangan ini aku perlu menyambung cuti untuk memperbaiki kereta ini. Sedikit sebanyak kemalangan ini menyedarkan aku untuk lebih berhati-hati ketika memandu dan mungkin ini satu dugaan kecil dari Allah SWT, dan mungkin juga ada hikmahnya dengan kejadian yang berlaku ini. Apa pun perjalanan perlu diteruskan, dan ini merupakan satu cabaran dalam perjalanan hidup. Terima kasih kepada Tuan Haji Yussop Ishak dan Encik Mat Rani Setapa yang bersusah payah segera ke rumah aku di Pengkalan Chepa untuk mengambil geran kereta untuk di faks ke kampung. Terima kasih juga kepada Encik Asri yang menguruskan urusan insuran kereta ini dengan segera dan tidak lupa buat jiran (keluarga Abang Nasir) yang senantiasa membantu kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya segala bantuan itu dapat meringankan beban yang perlu dilalui...

18 December, 2008

LUKA BAHASA PADA BANGSA

Puisi di bawah ini aku tulis sekitar tahun 2006 semasa menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII di Balai Budaya DBP. Puisi ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah 2-6 Mac 2008 (bil 0087), iaitu hampir setahun setengah selepas ianya ditulis...
LUKA BAHASA PADA BANGSA

Meniti separuh abad jiwa merdeka
Masih ada belum terbuka
Gegar tekad perwira bangsa
Menjulang bahasa kukuh di persada
Dengan air mata, darah bertaruh nyawa
Dalam titis lara mengocak sukma
Bahasa Jiwa Bangsa! Laungan kita


Pada Keranda 152 bersalut duka
Berarak mereka melaungkan sumpah keramat
Di Balai Budaya sumpah terpahat
Obor semangat kebangsaan harus dipertahan
Teguh setia ikrar pejuang watan
Penuh harapan bersulam impian

Hari ini bahasa kembali luka
Kerana bangsanya makin leka dan alpa
Tiada lagi sumpah setia
Melihat nasib bahasa tidak dibela
Perlukah kita berarak lagi
Mengusung keranda sepi
Atau mentalkinkan sahaja
Kalam bersulam aturan dunia
Hanya suara-suara kecil mampu bercerita
Dalam hingar-bingar suara-suara berkuasa
Masihkah ada susur untuk kita
Meletakkan hak kembali ke takhta
Untuk selamanya

Dan luka bahasa pada bangsanya
Tiada mampu berkata-kata

16 December, 2008

CATATAN DISEMBER

* gambar sekadar hiasan

Catatan 1

Awal -awal ni aku nak bercerita sikit tentang sampah. Cuba bayangkan kalau kawasan perumahan anda tidak dikunjungi lori sampah selama hampir dua minggu. Dan itulah yang berlaku di kawasan perumahan aku bila lori sampah yang dirindui tidak menampakkan dirinya hampir dua minggu. Tong sampah di hadapan rumah masing-masing sudah tidak mampu menerima muatan dan sudahnya penduduk membuang sampah di tong sampah besar di jalan masuk ke taman. Masalah itu belum selesai kerana tong sampah besar itu tidak mampu lagi menerima ribuan longgokan sampah dan akhirnya bungkusan-bungkusan sampah itu bertaburan di sekitar kawasan tersebut dengan keadaan pemandangan dan bau yang memualkan. Menurut jiran yang telah membuat aduan kepada majlis perbandaran, alasan yang diberikan adalah kerana masalah lori sampah yang rosak. Mahukan kita menerima alasan yang begitu dangkal? Adakah kawasan perbandaran Kota Bharu ini hanya mempunyai satu lori sampah sehinggakan apabila yang satu ini rosak maka semua sistem kitaran bahan buangan ini akan terencat? Aku semakin pelik memikirkan kalaupun betul lori sampah itu rosak, dalam masa dua minggu ini tak kan tak ada seorang pun pegawai yang dapat memikirkan jalan penyelesaian sementara daripada membiarkan sampah-sampah itu busuk dan berulat? Dalam hal ini, sebuah bandar yang dicanangkan sebagai bandaraya Islam, masalah sampah ini merupakan satu masalah serius kerana Islam itu mementingkan kebersihan. Aku bukan bercakap soal politik tetapi soal sikap dan sahsiah mereka yang bertanggungjawab menguruskan perkara ini. Masalah sampah ini bukan masalah baru. Sebelum ini lori mengambil sampah masuk dua kali seminggu ke kawasan perumahan kami, dan peliknya bermula pertengahan tahun ini telah berkurang menjadi seminggu sekali sahaja. Sudahnya sejak hampir dua minggu lepas kelibat lori sampah masih belum dapat dilihat. Jadi dalam hal ini bak kata Nabil "Li pikirlah sendiri....!"
Catatan 2
Seminggu dua ini aku sebenarnya meninggalkan sementara alam blog kerana asyik melayan alam Facebook. Mungkin aku agak ketinggalan dalam interaktif maya baru ini tetapi dengan Facebook aku dapat mencari kembali rakan-rakan lama yang hampir berpuluh tahun tidak bersua. Cuma dengan syarat mereka juga harus mempunyai Facebook. Dan kalau anda yang membaca ini turut mempunyai Facebook, jangan lupa untuk 'add' saya nanti.
Catatan 3
Dalam masa dua minggu lagi, puteri sulung aku akan menjejakkan kaki ke alam awal persekolahan . Sehingga kini kami masih belum mendaftar dengan mana-mana Tadika, mungkin dalam minggu ini akan menguruskan pendaftarannya. Sekejap saja masa berlalu dan sedikit sebanyak bila nak menghantar anak ke tadika ni, aku pasti akan teringat pengalaman aku di sekolah tadika hampir 25 tahun yang lalu. Alam persekolahan aku bermula di sebuah tadika Cina di pekan Bukit Tengah (berhampiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang). Pada waktu itu, keluarga aku tinggal bersama dengan arwah Tuk aku di Balai Polis Bukit Tengah, dan kebetulan pula Tadika tersebut (yang aku lupa namanya)terletak betul-betul di hadapan balai polis. Maka sudahnya aku dihantar setiap hari oleh mak ke tadika itu. Tak banyak yang aku ingat kenangan ketika di sekolah tersebut, cuma yang pasti aku seorang sahaja anak Melayu dalam kelompok anak-anak berbangsa Tionghua di situ. Dan aku juga satu-satunya murid yang terpaksa membawa bekal kerana mak tidak membenarkan aku makan makanan yang disediakan oleh cikgu di situ...he...he..
Selepas setahun di tadika Cina, kami berpindah ke Parit Buntar. Di Parit Buntar, aku yang ketika itu berumur enam tahun dihantar ke tadika Inggeris (kononnyalah) yang bernama Tadika St. Mary. Tadika ini terletak hampir tiga kilometer dari rumah dan keluarga menggunakan perkhidmatan beca untuk mengambil dan menghantar aku. Tuan punya beca kami panggil Pak Noq atau pun kalau di kampung di gelar Noq Puyuh kerana saiz badannya yang kecil bak burung puyuh. Setiap awal pagi aku sudah pun berada di atas beca dengan 5-6 orang rakan lain dan kenangan ini sentiasa segar sehingga kini. Pak Noq juga sehingga kini masih terus menyara hidup dengan menghantar anak-anak ke sekolah, cuma becanya sudah diganti dengan kereta! Berbalik kepada cerita tadika St. Mary, sebenarnya tadika ini menumpang di bangunan sekolah tamil. Maka sudahnya kami berpeluang secara tidak langsung belajar bahasa Tamil dan budaya hidup mereka. Di sekolah ini aku mengenali Twinkle-twinkle Little Star, Oh! McDonald, Ba Ba Black Sheep dan segala lagu Inggeris yang lain daripada mengenal lagu kanak-kanak dalam bahasa Melayu.
Dan hari ini dengan segala pengalaman aku di tadika selama dua tahun itu, aku memutuskan untuk menghantar anak aku ke tadika Islam.....

07 December, 2008

MINGGU LARA...

Sepanjang minggu lepas, aku berada di Kuala Terengganu atas urusan rasmi. Walaupun dalam musim tengkujuh dan banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur, itu semua tidak menjadi halangan untuk kami menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Hasilnya dalam keadaan yang agak haru-biru akibat banjir yang melanda negeri Terengganu, kami masih dapat menyelesaikan segala masalah yang menimpa hasil daripada kesepakatan dan kerjasama antara satu sama lain. Pada hari kedua aku di bandar Kuala Terengganu, aku mendapat berita sedih tentang kehilangan empat orang sahabat daripada Perpustakaan Awam Negeri Kelantan yang meninggal dunia dalam satu kemalangan dengan sebuah bas ekspres semasa mereka baru balik dari tugas rasmi di Kuala Lumpur. Walaupun berlainan jabatan tetapi hubungan aku dengan dua orang mangsa yang terkorban dalam kemalangan itu iaitu Nik Farah dan Puan Asnida agak rapat memandangkan kami sentiasa bekerjasama dalam menganjurkan sesuatu perkara yang melibatkan kempen membaca. Berita yang mengejutkan itu sebenarnya amat memilukan. Sehingga kini aku masih terbayang kemesraan dan ramah mesra mereka berdua apabila kami berjumpa dan bertemu dalam sesuatu majlis. Isteri aku juga menerima berita ini dengan sayu memandangkan dia akrab dengan Nik Farah semasa kami sama-sama menganjurkan satu bengkel di Jeli baru-baru ini. Semoga roh mereka semua ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. ..
Dalam kesyahduan dan kepiluan mendengar kehilangan empat orang sahabat itu, aku juga menerima berita daripada jiran sebelah rumah yang mengatakan rumah kami telah dinaiki air kerana hujan yang terlalu lebat. Sepanjang hampir tujuh tahun menetap di situ, kawasan itu adalah kawasan selamat dan rumah tidak pernah dimasuki air. Mungkin ini satu ujian Tuhan, dan mujur jugalah sempat meninggalkan kunci kepada jiran sebelah. Merekalah yang bersusah payah mengangkat barang-barang rumah aku ke tempat tinggi. Dan sekali lagi mujur juga air naik hanya sedikit di bahagian dapur dan di bahagian hadapan rumah. Kalau tidak mungkin sampai sekarang kami masih lagi bertungkus-lumus mencuci rumah.
Di saat ini aku berada di Parit Buntar untuk menyambut Aidiladha di sini. Rupanya kepiluan dan lara itu tetap mengikut aku. Sekali lagi ada musibah yang harus aku lalui. Semoga Tuhan memberi kekuatan kepada kami sekeluarga melalui semua ini dengan tabah dan sabar. Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang terus sudi mengunjungi laman blog ini. Semoga hari yang mulia ini dapat disambut dengan penuh keberkatan dan kesyukuran. Amin...