29 January, 2009

SEDIKIT CATATAN TENTANG BAHASA MELAYU

Malam tadi, melalui rancangan Ally (TV3) yang dihoskan oleh Ally Iskandar satu lagi topik berkaitan bahasa Melayu telah dikupas iaitu isu bahasa rojak. Aku pasti mungkin ramai yang menonton dan mungkin juga ada yang tidak peduli dengan rancangan ini, apatah lagi ia membincangkan satu isu yang mungkin tidak terlalu popular iaitu “Bahasa Rojak”. Tiga orang ahli panel telah dijemput untuk program ini iaitu Kartunis Ujang, Puan Hajah Noresah Baharom (mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP) dan ahli bahasa, Dr. Teo Kok Seong. Aku tidak ingin mengupas panjang berkaitan isu yang telah mereka bincangkan malam tadi kerana aku bukanlah seorang yang layak bercakap mengenai isu ini tetapi agak tertarik dengan salah satu cadangan yang diutarakan oleh Ally Iskandar pada akhir rancangan iaitu meminta kerajaan menukar semua alamat laman web (sesawang) ke dalam bahasa Melayu. Mungkin cadangan ini agak terlewat tetapi dalam masa yang sama ia masih mampu dilaksanakan sekiranya digerakkan sepenuhnya oleh kerajaan. Dalam hal ini, aku juga melihat bukan alamat laman web sahaja yang perlu di tukar tetapi setiap laman web kerajaan (kementerian/jabatan/organisasi/ agensi/ badan berkanun/IPTA) juga perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk setiap capaian dan sekiranya perlu menggunakan bahasa Inggeris boleh sahaja dibuat dalam dua versi tetapi capaian utama sewajibnya dalam bahasa Melayu. Melalui beberapa tinjauan yang aku pernah buat, sememangnya terdapat laman-laman web di bawah organisasi kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Salah satu yang aku cukup kecewa adalah laman web Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sebagai seorang alumni UiTM aku cukup kecewa apabila melihat laman web universiti ini dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Aku cuba juga untuk mencari capaian atau butang yang boleh menukar status bahasa ke bahasa Melayu tetapi gagal (sekiranya ada mungkin aku yang tidak pandai mencari). Sebagai salah sebuah universiti yang diperuntukkan khas untuk anak-anak Melayu, apalah salahnya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama laman web tersebut. Walaupun aku tahu betapa pentingnya fungsi bahasa Inggeris dan UiTM juga begitu menitikberatkan kebolehan berbahasa Inggeris untuk setiap pelajar, tetapi apakah dosa bahasa Melayu sehingga ia diketepikan sebegitu sekali. Terlalu susah sangatkah untuk membuat laman web dalam bahasa Melayu dan seterusnya dibuat terjemahan dalam bahasa Inggeris? Atau mungkinkah siswa-siswi UiTM tidak faham membaca dalam bahasa Melayu sehingga kedudukan bahasa Melayu dalam dasar Pendidikan Kebangsaan dipinggirkan begitu sahaja? Dalam hal ini aku tidak mampu menjawab, kena pikirlah sendiri. Itu baru satu contoh yang dapat aku beri, dan aku rasa banyak lagi laman web berkaitan kerajaan yang seolah-olah lupa dengan bahasa Melayu.
Bila dah bercakap soal bahasa Melayu ini, aku nak sentuh sikit tentang suatu perkara yang mungkin agak klise, tipikal tetapi bagi aku masih membawa banyak erti. Pada hari ini, sering kali apabila timbul sesuatu perkara tentang isu dan nasib bahasa Melayu, ramai orang meletakkan tanggungjawab ini kepada kerajaan, ahli politik dan DBP. Betul, seharusnya kerajaan memainkan peranan dalam isu yang telah jelas termaktub dalam perlembagaan ini tetapi sebagai seorang warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, adakah kita sendiri telah melaksanakan tanggungjawab kita memartabatkan bahasa Melayu? Dalam hal ini aku bercakap dalam konteks orang Melayu dan tidak membabitkan kaum-kaum lain. Perkara yang mungkin sudah basi yang aku ingin sentuh di sini adalah sikap orang Melayu terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Situasi yang paling mudah dilihat apabila hendak mengeluarkan duit di mesin ATM. Biasanya ketika beratur di mesin ATM aku sering mengintai orang di hadapan yang sedang mengeluarkan wang melalui mesin tersebut. Aku bukan mengintai jumlah wang yang hendak dikeluarkan atau cuba untuk mencuri nombor laluannya tetapi aku hendak melihat apakah bahasa yang dipilih untuk membuat transaksi tersebut. Percaya atau tidak masih ramai orang-orang Melayu tanpa segan silu akan memilih butang pilihan bahasa Inggeris untuk membuat urusan di mesin ATM. Aku tak hairan kalau yang menekan butang bahasa Inggeris itu bernama Muthu atau Ah Chong tetapi apabila Ahmad bin Si Polan pun menggunakan bahasa Inggeris, maka itu boleh menjadi ukuran kedudukan dan nilai bahasa Melayu ketika ini. Mungkin ada yang mengatakan “suka hati akulah nak guna bahasa apa pun, asalkan duit keluar atau ini duit aku” tetapi apabila kita sebagai orang Melayu tidak percaya untuk menggunakan kemudahan dalam bahasa Melayu maka adakah kita perlu menyalahkan orang lain yang tidak langsung menghormati bahasa Melayu? Mungkin ada juga beranggapan yang perkara ini remeh tetapi secara tidak langsung ia membuktikan bahawa masih ada lagi orang-orang kita yang takut untuk menggunakan bahasa sendiri untuk berurusan.
Aku tidak pasti adakah terlalu sukar untuk mereka-mereka ini membezakan ‘BALANCE’ dengan ‘BAKI’, ‘CURRENT ACCOUNT’ dengan ‘AKAUN SEMASA’ atau ‘PASSWORD’ dengan ‘KATA LALUAN’? Atau adakah dengan menggunakan ‘BALANCE-CURRENT ACCOUNT dan PASSWORD’ ini wang yang keluar bukan Ringgit Malaysia tetapi US Dollar dan mungkin juga Euro. Dalam hal ini pastinya yang menjadi mangsa bahasa Melayu itu sendiri kerana nilai dan kedudukannya tidak diendahkan oleh bangsa sendiri. Situasi di mesin ATM itu antara salah satu contoh yang aku rasa wajar direnung oleh kita yang berbangsa Melayu ini. Masih banyak lagi situasi-situasi yang kita sedari atau tanpa kita sedari seolah-olah menghina kedudukan bahasa Melayu dan lebih malang ia dilakukan oleh bangsa yang juga bernama Melayu. Apabila kita sendiri tidak percaya dengan bahasa kita untuk apa pula kita nak salahkan orang lain apabila bahasa kita dipermainkan. Seharusnya tanggungjawab memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu ini bermula dalam diri kita sendiri dan bukannya terus mengharapkan pihak-pihak berwajib melaksanakannya.
Sebelum terlupa, semalam dalam rancangan tersebut juga Ally Iskandar dalam nada sinis mengatakan bahawa beliau telah berusaha untuk mendapatkan orang DBP hadir membincangkan isu tersebut tetapi apabila beliau membuat undangan, permohonannya tidak mendapat maklum balas positif. Mungkin agaknya orang di DBP masih sibuk bercuti tahun baru Cina dan mungkin juga mereka merasakan tanggungjawab itu perlu diserahkan kepada bakal Ketua Pengarah baru yang akan memulakan tugasnya tidak berapa lama lagi. Wallahualam...

26 January, 2009

KOLEKSI ROCK MALAYSIA 80-AN


Seorang kawan sedang dalam proses untuk menerbitkan satu ensiklopedia berkenaan zaman kegemilangan muzik rock di Malaysia pada era tahun 1980-an. Sebagai seorang Mat Rock dulu kini dan selamanya....aku diminta untuk turut sama membantu dan sememangnya amat teruja untuk menolong apa yang patut. Jadi kawan-kawan yang mempunyai apa jua bahan berkaitan Rock Malaysia sekitar tahun 80-an (artikel, kaset,LP, video klip, tiket konsert, poster dan apa jua bahan berkaitan) bolehlah menghubungi aku di talian 012-4931700. Kami hanya ingin ingin berkongsi bahan tersebut, dan bukan untuk terus mengambilnya. Bahan-bahan ini akan dimasukkan dalam ensiklopedia ini (sekiranya sesuai) dan mungkin juga ada kredit untuk anda. Aku juga sebenarnya sedang mencari sesiapa jua yang mempunyai koleksi pita video (VHS) berkaitan apa jua koleksi Rock Malaysia seperti video klip, konsert, rakaman TV dan lain-lain. Bahan-bahan ini bertujuan untuk dikongsi dan diconvertkan dalam bentuk DVD dan VCD. Jadi, Mat-Mat Rock atau Minah Rock yang masih lagi mempunyai koleksi tersebut sila hubungi aku segera.....

25 January, 2009

HARI INI...

Genap hari ini aku telah menghirup nafas kira-kira 12,045 hari, 289,080 jam, 17,344,800 minit dan mungkin berpuluh juta saat. Seribu kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi kerana dengan rahmat dan kebesaranNya aku diberi kesempatan untuk terus meniti perjalanan ini. Terlalu banyak yang telah di tempuhi dan tak terkira pula yang bakal di harungi. Moga terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk terus menempuh hari-hari mendatang....

19 January, 2009

TAHNIAH ANAK-ANAK SAUDARA PAK CIK HUSSAIN

Tahniah diucapkan buat anak-anak saudara pakcik Hussein (kumpulan Meet Uncle Hussain) yang telah dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu 2008 yang berlangsung semalam. Tanpa diberi sebarang harapan tinggi oleh peminat muzik, Lan, Taja dan rakan-rakan berjaya membuktikan mereka seharusnya memenangi anugerah berprestij ini. Ketika mata semua tertumpu kepada Faizal Tahir, akhirnya Meet Uncle Hussain (MUH) diumumkan sebagai juara. Kemenangan MUH dan pada tahun lepas oleh Estranged membuktikan bahawa Malaysia masih lagi mempunyai anak-anak muda yang berbakat besar. Persembahan bersahaja tetapi mantap oleh MUH dan Estranged mungkin boleh mengubah persepsi peminat-peminat tempatan yang tergila-gilakan band seberang. MUH dan Estranged telah membuktikan mereka setanding dengan band-band Indon yang menyerang Malaysia, bahkan mungkin lebih hebat daripada band-band tersebut. Dengan vokal high pitch Lan, dan gabungan muzik yang bertenaga (kredit buat Ramli M.S kerana berjaya mengabungkan muzik okestra yang cukup hebat), serta sedikit solekan di muka, Lagu Untukmu yang dicipta hampir empat tahun yang lalu berjaya menewaskan calon-calon favorite yang lain seperti Bukan Di Sini (Sofaz), Aku Stacy (Stacy) dan Yang Pernah (Estranged). Dari persembahan di gig-gig yang kecil, akhirnya MUH berjaya membuktikan bahawa mereka sudah benar-benar sedia keluar dari kepompong Underground. Walaupun aku bukanlah peminat kumpulan ini, tetapi sebagai seorang yang mengikuti perkembangan muzik di Malaysia termasuk kumpulan-kumpulan muzik underground, rasanya mulai saat ini para peminat muzik tempatan perlu terus menyokong dan memberi peluang kepada bakat-bakat baru seperti mereka untuk tampil dalam muzik mainstream tempatan.
Tahniah juga kepada saudara Ku Seman Ku Husin, di mana lirik lagu yang ditulis oleh beliau iaitu Persoalan Cinta (Farawahida) telah memenangi dalam kategori Etnik Kreatif.
* Takziah buat keluarga penulis, penyair dan aktivis teater Kelantan, Allahyarham Sazalee Yaacob yang telah kembali ke rahmatullah pagi semalam. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

11 January, 2009

MASIRAH



Masirah


Suara duka angin Gazza

Gegar jantung bumi kita

Nyawa anak di hujung senjata

Tangisan bonda hanya sia-sia



Masirah anak al-durrah

Netzarim bermandi darah

Begitu megah mata memandang dusta

Masirah dalam amarah

Hilang kalam kebenaran

Kudrat alam hanya menjadi rebutan



Berbaris-barislah ke satu arah

Jangan sampai berpisah menyusun langkah

Mencari-cari erti kedamaian

Di dalam jiwa tersirat jawapan



Masirah anak al-durrah

Netzarim lambang perjuangan

Kita menanti tangan pembelaan

Masirah dalam amarah

Hilang kalam kebenaran

Kudrat alam hanya menjadi rebutan

Masirah anak al-durrah

Netzarim lambang perjuangan

Kita menanti (kita menanti) tangan pembelaan



Masih menanti tangan pembelaan


M. Nasir

-Phoenix Bangkit-

08 January, 2009

BABI!

Hanya itu satu-satunya perkataan yang aku dapat ungkapkan kepada sebuah negara pimpinan Syaitan ini.