24 February, 2009

SEARCH - FAREWELL TOUR CONCERT

Konsert Search? Farewell? Apa maknanya ni? Adakah Amy akan berhenti menyanyi? Adakah Search akan berkubur.....Segalanya akan terjawab tidak lama lagi. Nantikan pengumumannya....

16 February, 2009

TAHNIAH DATUK DAVID

Sekalung tahniah diucapkan kepada Datuk David Arumugam yang telah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk. Juga kepada Datuk Khatijah Ibrahim yang turut menerima anugerah yang sama. Sebagai antara peminat yang terus merindui lagu-lagu Alleycats, sememangnya anugerah ini tepat pada masanya dan sekurang-kurangnya Datuk David Arumugam lebih banyak jasanya daripada Datuk (Melaka) Shah Rukh Khan. Terima kaaaseyyyyyyyyy!

11 February, 2009

RUKUN NEGARA

Aku tak pasti ketika ini sama ada masyarakat kita tahu tentang apa itu Rukun Negara. Secara ringkasnya Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. (sumber Wikepedia). Pada situasi dan pergolakan yang berlaku di Malaysia pada hari ini, nampaknya masih ramai yang tidak menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara ini. Bukan bermaksud menyebelahi mana-mana pihak tapi aku rasa sekiranya semua mereka yang terlibat dalam 'situasi perbalahan' ini memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara, nescaya insiden yang memalukan bangsa Melayu tidak akan berlaku. Bagi yang mungkin terlupa dengan Rukun Negara, bacalah apa yang tertera di bawah ini....
...
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya
Memelihara cara hidup demokratik
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden:

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan


PENJELASAN PRINSIP RUKUN NEGARA

Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankankeluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.


Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

06 February, 2009

PERAK DARUL RIDZUAN

Walaupun bukan dilahirkan di negeri Perak, tapi semenjak kecil (5 tahun) aku dibesarkan di negeri bertuah ini. Justeru, aku merasakan bahawa aku adalah anak jati negeri Perak Darul Ridzuan. Dalam keadaan dan situasi yang tak menentu berlaku di Perak sekarang ini, aku hanya mampu berdoa dan berharap agar semuanya akan kembali tenang dan seluruh rakyat di negeri Perak akan dapat hidup dengan aman dan makmur....

02 February, 2009

Di Jalan Sesat

Kebanyakan orang yang rapat dengan aku biasanya tahu, aku antara peminat setia M. Nasir. Tiba-tiba teringatkan sebuah lagu ciptaan beliau dan liriknya ditulis oleh Bob. Lagu ni memang sedap dan liriknya memang cukup bermakna....

M Nasir - Di Jalan Sesat

Apakah takdir mimpi ini
Mendatang berulang kali
Berdarah penuh di tanah
Sedang tangan menongkat langit

Apakah yang ku perjuangkan
Apakah yang dipertahan
Apakah mesti aku jadi pahlawan

Oh... Tuhan
Tidaklah aku layak
Untuk SyurgaMu
Namun aku tak berdaya
Menahan panas NerakaMu

Curiga di mata orang
Bagai mentari rembang
Bagaikan aku berdosa
Pada siapa saja

Sedang Tuhan di mana-mana
Melihat semua dosa
Dalam serata usia
Walau ditelan
Segitiga Bermuda

Selalu ku mengulangi
Dosa yang telah ku buang
Diikuti kembali "mengapa begini?"
"Mengapa begini?"

Sedang Tuhan tahu sesiapa
Untuk Neraka untuk Syurga
Aku tak terpaksa memilih Syurga
Demi pengertian pada hukum alam
Dan sesungguhnya aku cinta padaMu Tuhan
Walaupun sesat jalan.