31 May, 2010

ZAMAN BATU

Gambar di bawah ini diambil sekitar tahun 89-90 (aku sendiri kurang pasti). Cuma yang pastinya pada ketika ini zaman muzik rock sedang hangat melanda negara kita dan aku salah seorang yang tercampak dalam arena ini dengan kawan-kawan menubuhkan kumpulan muzik sendiri. Kami pada ketika itu di tingkatan dua sering 'jamming' bersama-sama di sebuah studio di Parit Buntar (Pertama Studio) dan pada suatu ketika boleh kata setiap hari muka aku sentiasa berada di situ, sama ada untuk jamming atau hanya untuk melihat rockers-rockers yang lebih senior jamming. Paling best kelas tuisyen aku betul-betul terletak di atas studio jamming ni dan hasilnya aku banyak berada dalam studio daripada berada di dalam kelas. Nasib baiklah keputusan SRP masih di tahap yang membanggakan...he..he..

Dan sehingga hari ini hobi jamming masih tetap diteruskan, bukan sahaja untuk mengisi masa lapang dan minat tetapi juga secara tidak langsung untuk menguruskan badan...he..he...

Amin (Lead), Sharrul (Bass), Marul (Vocal)


Masa ni tukar ke posisi asal sebagai Drummer, Fakhrul ganti main Bass

23 May, 2010

SEKETIKA DI WILAYAH SELATAN

Bermula hari Jumaat lepas (21 Mei 2010) hingga ketika catatan ini ditulis, aku berada di Johor Bahru atas undangan dari pihak DBP Wilayah Selatan bagi menyaksikan persembahan teater eksperimental monolog Kampung Cetek. Walaupun harus menempuh jarak perjalanan yang jauh dan menonton persembahan yang hanya mengambil masa sekitar 45 minit, namun banyak perkara yang telah dipelajari melalui persembahan tersebut. Terutama yang membabitkan 'ruang dan wang' untuk mementaskan sesebuah persembahan. Tahniah kepada DBP Wilayah Selatan dan produksi Teater Kampung Cetek yang berjaya mementaskan sebuah persembahan yang menarik walaupun di akhir setiap sesi pementasan, terdapat banyak komen dan pandangan daripada para penonton dan pengkaji ketika sesi diskusi dibuka kepada khalayak. Sekurang-kurangnya setiap komen dan kritikan itu dapat membantu semua pihak untuk terus meningkatkan lagi mutu persembahan dan memberi ilmu-ilmu baru terutama buat aku yang bakal menguruskan sebuah pementasan tak berapa lama lagi.

Ketika di Johor Bahru juga sempat menghadiri majlis perkahwinan adik kepada seorang rakan (Yan & Saiful) di Pasir Gudang. Kesempatan untuk menghadiri majlis kenduri itu bukan sekadar untuk memenuhi jemputan seorang rakan tetapi sebenarnya untuk melihat senario kenduri di sebelah selatan ini. Dan yang paling menarik bagi aku pastinya ketika pengantin lelaki di tahan beberapa kali untuk membayar 'tol' sebelum dibenarkan naik ke pelamin dan melihat wajah pasangan sendiri.
Malam semalam pula sempat ke Zig Zag Station di Pandan City untuk berjumpa dengan Abang Latif bagi menguruskan beberapa kerja sebelum berlakunya 'Masalah Berganda' di Johor Bahru pada 5 Jun nanti. Sempat juga meninjau di sekitar Pandan City pada lewat malam itu dan suasana seakan pasar Wakaf Che Yeh di Kota Bharu. Cuma keadaan di sini agak lebih teratur dan 'happening' berbanding di sana.

Pagi ini akan bertolak balik ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu mesyuarat pada petang esok. Kemungkinan besar akan kembali ke Wilayah Selatan ini dalam masa dua minggu lagi. Kali ini bukan atas tugasan rasmi tetapi 'undangan rasmi' yang agak sukar untuk ditolak.....