31 December, 2007

SALAM TAHUN BARU 2008

Diam tak diam esok tahun 2007 akan menginjak ke angka 2008, secara tidak langsung juga akan mengubah kedudukan angka umur kita sendiri. Bila tiba tahun baru sahaja, pasti orang akan terus akan bercakap tentang azam. Aku sendiri tak pasti adakah ini satu kemestian yang perlu atau telah menjadi satu budaya yang perlu kita turuti. Pastinya apabila menuju ke akhir tahun, ramai yang mula bercakap pasal azam tahun baru, dan ntah apa-apa lagi yang berkaitan dengannya. Yang pasti ramai yang hanya pandai berazam tetapi yang mengotakan azam tersebut hanya mungkin beberapa kerat sahaja. Itu baru cerita pasal azam, sambutannya pula satu cerita lain yang tak kurang menarik. Bila tiba tahun baru sahaja kita akan dihidangkan dengan pelbagai acara sambutan. Bermula dari konsert besar-besaran sehinggalah ke pesta bunga api yang menyemarak setiap negeri di negara kita. Bagi aku tiada apa yang menarik sangat apabila tibanya tahun baru masihi ini. Kita tetap sama, mungkin angka sahaja yang akan berubah. Bagi mereka yang ingin terus berazam, silakanlah dan harapnya segala yang diinginkan itu tercapai. Namun bagi aku ketika menuju ke penghujung tahun ini apa salahnya kita mengimbas kembali apa yang telah kita lalui sepanjang tahun 2007 ini.

Seharusnya kita dapat bermuhasabah diri mengenai kekurangan diri yang harus diperbaiki untuk menempuh hari-hari mendatang. Bagi yang suka membazir, mungkin boleh kurangkan sikit tabiat membazir tu. Bagi yang suka menipu, sekurang-kurangnya tahun yang akan datang ini tabiat itu seharusnya tidak lagi menjadi tabiat. Begitulah juga dengan perkara-perkara lain. Dalam erti kata lain kita mencari jalan untuk memperbaiki diri untuk berubah sifat-sifat yang kurang baik kepada yang baik dan lebih baik. Sebagai seorang Islam, sama ada kita sedar atau tidak setiap hari kita sentiasa ditunjukkan jalan untuk berubah. Seruan azan “Marilah menuju kejayaan” secara tidak langsung mengajak kita untuk terus berusaha mencari kejayaan dan dalam bacaan al-Fatihah juga kita sentiasa memohon untuk “Tunjukkan aku jalan yang lurus” . Untuk mencapai kejayaan kita seharusnya sentiasa bersedia untuk berubah dan sememangnya mencari jalan yang diredhai Allah. Kita tidak perlu untuk menunggu akhir tahun atau awal tahun baru untuk berubah dan berazam kerana setiap saat dan jam kita boleh berubah andainya kita mempunyai keyakinan dan iltizam diri.

Ketibaan tahun baru juga bukan bermakna kita diberi kebebasan untuk berhibur sehingga lupa diri. Apa salahnya masa yang sering kita gunakan untuk berhibur menyambut tahun baru ini diisi dengan berkumpul sesama ahli keluarga demi untuk mengeratkan lagi hubungan yang sentiasa erat terjalin. Rasanya itu lebih afdal daripada kita terkinja-kinja di pub-pub atau disko atau berpesta di konsert hiburan hanya demi untuk menyambut tahun baru yang akan terus disambut saban tahun beribu tahun lagi. Entahlah, budaya terlalu gilakan hiburan ini seakan-akan merasuk masyarakat kita dewasa ini sehingga apa sahaja kita perlu disogokkan dengan hiburan. Semoga budaya ini tidak berterusan dan kita mampu menjadi satu bangsa yang lebih bermaruah.

Apapun tahun baru tetap akan tiba. Selamat Tahun Baru 2008 kepada semua saudara-mara, rakan-rakan dan sesiapa jua yang telah mengunjungi blog ini. Semoga kita semua terus dirahmati Allah S.W.T sepanjang tahun yang bakal kita lalui ini. Sama-samalah kita berdoa agar kita sentiasa dilimpahi rezeki dan dapat hidup dengan aman dalam negara tercinta ini.

18 December, 2007

SALAM AIDILADHA


Menjelang Aidiladha yang bakal menjelang dua hari lagi, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua kaum keluarga, kawan-kawan dan sesiapa jua umat Muhammad yang melawati laman blog ini. Semoga kita semua dapat meraikan hari yang mulia ini dengan penuh kesejahteraan dan kesyukuran. Dalam keadaan cuaca yang tak menentu dan musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri di negara kita ini, diharapkan kita semua sentiasa berwaspada agar tidak ditimpa dengan apa jua dugaan dan kecelakaan. Alhamdulillah, tahun ini juga aku ada membuat korban di kampung dan Insyaallah, pada hari raya ketiga (Sabtu) nanti akan membuat sedikit majlis kenduri di Parit Buntar. Jadi buat semua rakan-rakan, jemputlah datang ke rumah kalau berkesempatan. Dan sekali lagi buat semua aku ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha dan berhati-hati di jalan raya....(baru semalam dapat surat saman ni....haru!)

05 December, 2007

PERTEMUAN

Sepanjang dua minggu lepas aku agak sibuk sehingga tidak sempat untuk menjengah blog ini. Bermula dengan kerja luar di Kuala Terengganu, Kuantan dan Kuala Lumpur sehinggalah bercuti di kampung. Ahad lepas seorang rakan lama telah melangsungkan perkahwinan dan sempena cuti sekolah ini ramai rakan-rakan yang sempat hadir ke majlis kenduri tersebut. meriah dengan gurau dan gelak tawa rakan-rakan lama. Apapun selamat pengantin baru buat Wan Shaharuddin dan pasangannya....

*PASANGAN PENGANTIN BARU : aku tak tahu nama bini dia...he..he..

SAMA WARNA : Ajan tak lepas peluang bergambar dengan pengantin...

ANAK BAPAK : Marul, Zalil, & Firdaus terpaksa menjaga anak sementara isteri mereka makan.

SEBAYA : Tam, Ayun, Marul, Aku, Ajan, Wan, Abbe & Syukur