31 December, 2009

SEBELUM 2010

Pejam-celik, pejam-celik kita sudah berada di penghujung 2009. Dan esok 2010 bakal menjalankan harinya. Banyak yang telah dilalui dan banyak juga yang bakal menanti. Semoga kita semua terus diberi kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dunia yang makin mencabar. Tak perlu rasanya untuk terus bercakap mengenai azam tahun baru apabila menjengah saja 1 Januari, kalau apa yang diharapkan tahun sebelum itu masih tidak mampu dilaksanakan. Aku cuma berharap agar diberi kesihatan dan kemampuan untuk melaksanakan segala yang diamanahkan.
Diam tak diam juga, puteri aku sudah berumur 6 tahun pada tahun 2010 ini. Sekejap sungguh masa berlalu, dan barulah terasa yang diri ini sudah agak berusia...he..he..Apapun angka pada usia tidak bermakna apa-apa bagi aku selagi terus diberi kudrat untuk bekerja dan akal untuk berfikir. Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, dan kedudukan aku juga yang masih tidak stabil, seharusnya banyak yang perlu difikirkan. Harap-harapnya terus diberi kekuatan untuk menempuh segala cabaran. Apapun, semoga angka 2010 membawa satu dimensi baru untuk kita semua. Salam Tahun Baru 2010.....

17 December, 2009

BADI 20 TAHUN AKHIRNYA LEBUR


Akhirnya pasukan bolasepak bawah 23 tahun Malaysia berjaya mengakhiri badi selama 20 tahun di Sukan Sea, setelah berjaya memenangi pingat Emas Sukan Sea Laos 2009 setelah membenam cabaran Vietnam dengan jaringan tipis 1-0. Tahniah diucapkan buat K. Rajagopal dan wira-wiranya kerana berjaya menebus dosa-dosa lalu dengan kemenangan yang cukup membanggakan dan ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Walaupun pada mulanya skuad ini tidak diberikan harapan langsung untuk muncul juara dan ada juga suara-suara sumbang yang menidakkan keupayaan skuad ini, tetapi mereka berjaya menutup suara-suara sumbang tersebut dengan menghasilkan sebutir pingat buat negara. Seharusnya pujian wajar diberikan kepada skuad ini. Walaupun masih banyak kekurangan dan kelemahan, namun kemenangan ini seharusnya diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Semoga skuad ini mampu terus menghadirkan sinar untuk menaikan imej bolasepak negara dan tidak terus dibuai perasaan dengan kejayan yang baru bermula ini. Apapun tahniah sekali lagi buat skuad bolasepak bawah 23 Malaysia.

16 December, 2009

02 December, 2009

BANJIR...

Pukul 10.00 pagi tadi aku terpaksa bergegas pulang ke rumah setelah isteri memaklumkan yang air semakin naik. Sampai di rumah, agak terkejut kerana pertama kali dalam sejarah 6 tahu aku tinggal kat sini, air naik ke dalam rumah. Kalau diikutkan kawasan ni antara tempat yang paling selamat di Pengkalan Chepa memandangkan kawasan zon perindustrian. Tapi oleh kerana masalah longkang dan perparitan yang tersumbat menyebabkan air tidak bergerak lancar dan bertakung di kawasan perumahan kami. Moga-moga hujan cepat berhenti...