25 June, 2009

Belasungkawa - Roshizal Ibrahim

Roshizal Bin Ibrahim (aka carvedijan, ijan)19 July 1974 - 25 June 2009
Awal pagi sebelum memulakan kerja,biasanya aku akan menyemak facebook terlebih dahulu dan pagi ini amat terperanjat sekali apabila Zaini memaklumkan melalui facebooknya yang rakan kami iaitu Ijan (Roshizal Ibrahim) telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi. Aku terus sahaja menelefon Zaini dan untuk memastikan berita tersebut dan sesungguhnya apa yang dikhabarkan itu adalah kenyataan yang pasti!
Aku mengenali Ijan melalui laman maya Multiply. Ijan cukup dikenali di laman maya kerana merupakan peminat setia kumpulan Wings. Oleh kerana aku juga mempunyai banyak koleksi khazanah Wings seperti video klip dan sebagainya, dari situ kami mula rapat dan sering berhubung melalui telefon, sms dan chat. Bukan setakat itu sahaja bermula dari situ apabila aku turun ke Kuala Lumpur kami mula jamming bersama beberapa orang rakan lain yang juga ahli Multiply dan menggelarkan band projek ini sebagai Multipliers. Sejak itu apabila aku turun ke KL, pastinya akan menghubungi Ijan untuk jamming bersama dan kebiasannya arwah tak akan menolak. Namun semenjak hujung tahun lepas aku sudah tidak berjumpa dengan arwah kerana kesibukan tugasnya dan dia juga orang yang menguruskan kelab peminat kumpulan Wings yang dikenali sebagai Sayap-Sayap Wings. Namun kami masih sempat berbalas SMS dan adakalanya bersembang di ruang maya untuk bertanya khabar masing-masing.
Baru dua hari lepas, arwah telah membina laman Sayap-sayap Wings dalam perisian Facebook dan aku sempat menghantar beberapa artikel berkaitan kumpulan Wings kepada laman berkenaan. Dalam pada tu, aku tergerak hati meninjau facebook arwah dan sempat menatap gambar arwah bersama keluarganya. Dan hari ini aku menerima berita sedih ini. Aku kehilangan seorang lagi rakan yang baik, jujur dan sentiasa ceria dengan kawan-kawan. Al-fatihah buat Roshizal Ibrahim, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman....

16 June, 2009

MENGIMBAU KEMBALI KISAH ARWAH TUK WAN AKU


Gambar seorang insan yang berpakaian seragam Polis itu adalah arwah Tuk Wan aku, Sarjan Mejar (B) Allahyarham Ariffin Bin Ismail yang memakai nombor polisnya 11203. Semasa hayatnya, arwah Tuk Wan aku selalu mengimbau kisahnya ditembak komunis semasa berjuang menjaga keselamatan negara sekitar tahun 1950-an, di kawasan hutan negeri Kedah (tak silap aku). Menurut Wan, (nama panggilan kami sekeluarga kepadanya) dia ditelah ditembak komunis di bahagian kaki (sekitar betis) dengan dua butir peluru menembusi kulit kakinya dan sambil bercerita Wan akan menyelak kain yang dipakai untuk menunjukkan kesan parut tembakan komunis yang telah mencedarakannya itu. Wan terus bercerita setelah dia ditembak, Wan berpura-pura pengsan atau mati untuk mengelakkan dari terus ditembak dan komunis pada waktu itu telah menyeret tubuh Wan lebih dari satu kilometer di dalam hutan. Tak silap aku, (menurut cerita Wan)dengan takdir Tuhan, komunis mendapat maklumat bahawa ada sepasukan polis lagi berada berhampiran kawasan tersebut dan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan itu segera untuk membuat tindakan lain. Namun, tubuh Wan bukan ditinggalkan begitu sahaja. Sebelum mereka meninggalkannya di dalam hutan, salah seorang anggota komunis telah menghentak mulut Wan dengan belakang senapang sehinggakan kesemua gigi Wan patah dan hancur. Setelah berpuas hati barulah komunis ini bergegas meninggalkan tubuh Wan di dalam hutan sebelum dijumpai oleh rakan sepasukan yang lain. Semenjak itu sehingga akhir hayat, Wan memakai gigi palsu akibat hentakan belakang senapang komunis yang telah menghilangkan kesemua giginya. Parut akibat tembusan peluru di betisnya pula sentiasa menjadi kenangan buat Wan, betapa dia pernah berjuang membela negara suatu masa dahulu.


Pada hari ini, komunis bukan lagi ancaman kepada negara tetapi kebelakangan ini makin ramai yang membela keinginan Ketua Komunis Malaya ini untuk pulang dan bermastautin di bumi tercinta bernama Malaysia. Aku boleh pejam sebelah mata kalau mereka yang beria-ia setuju agar makhluk laknat ni dibenarkan pulang ke Malaysia adalah daripada kalangan bangsa dan keturunan ia sendiri tetapi aku amat-amat terkejut apabila ada juga MANGKUK-MANGKUK HAYUN dari bangsa aku sendiri yang bersetuju agar makhluk hutan bernama Chin Peng ini dibenarkan untuk pulang ke Malaysia. Aku tak pasti adakah pendirian yang diambil ini atas dasar simpati atau sekadar ingin meraih sokongan politik yang pada aku sekarang semakin gila! Cuma aku berharap agar orang-orang yang melemparkan pandangan dan cadangan ini memikirkan implikasi dan kesannya terlebih dahulu kepada bukan sahaja mangsa kekejaman komunis ini tetapi juga kepada keluarga dan anak-cucunya yang masih terasa keperitan yang dilalui dahulu.


Kiranya Wan aku masih hidup, aku tahu dia juga akan menentang habis-habisan cadangan ini. Tentu sekali dia akan terus bercerita dan menunjukkan kesan parut tembakan komunis dan gigi palsu yang perlu dipakainya akibat kekejaman anak-anak buah Chin Peng. Bagi mereka yang setuju sangat agar makhluk hutan ini dibenarkan pulang ke Malaysia, satu sahaja yang aku ingin ingatkan; Darah yang mengalir akibat kesan tembakan di kaki Wan dan gigi yang bersepai akibat hentakan senjata oleh komunis laknat itu masih lagi membayangi diri cucunya ini. Dan kalau boleh, ingin sahaja aku buat begitu kepada mereka-mereka yang terus bersetuju untuk mengizinkan mahkluk bernama Chin Peng itu pulang ke Tanah Melayu!

03 June, 2009

CATATAN AWAL JUN

Sepanjang bulan lepas aku sememangnya sibuk. Dengan tugasan di pejabat dan setiap hujung minggu perlu bergegas ke setiap venue konsert Penghargaan Search Di Awan Biru, membuatkan stamina aku semakin menguncup dan masa tidur aku menjadi amat terhad. Alhamdulillah, masuk bulan Jun keadaan kembali tenang buat seketika kerana tour Di Awan Biru berehat untuk sementara dan akan menyambung perjalanan pada hujung bulan ini di Sarawak. Aku sendiri tak pasti lagi sama ada akan turut ke Sarawak atau tidak. Jadi masa yang ada sepanjang bulan ini adalah untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pejabat yang mungkin sedikit terabai akibat kesibukan aku dan juga masa untuk bersama-sama keluarga.

Jumaat lepas, konsert ini bertandang ke Kuala Terengganu. Setelah lebih kurang 20 tahun Search tidak membuat konsert di sini, akhirnya impian peminat di Kuala Terengganu menjadi kenyataan. Aku mengambil kesempatan ini membawa sekali keluarga aku untuk turut merasai pengalaman dan gegaran Search yang memang belum pernah mereka tonton. Puteri kecil aku tak sabar-sabar hendak menonton 'uncle Amy Search' nyanyi dan malam itu impiannya menjadi kenyataan apabila menjadi peminat paling kecil berdiri di hadapan pentas.






Diam tak diam 2009 dah menjengah ke pertengahan musim. Banyak kerja yang belum dibereskan, dan seharusnya semua tanggung jawab perlu dilaksanakan dengan sempurna. Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak stabil ini, banyak yang perlu difikirkan untuk meneruskan hidup. Ada kalanya rezeki ada di depan mata, tetapi andai kita tidak pandai menyambarnya pastinya akan menjadi milik orang lain. Untuk itu, apa yang penting kita seharusnya berusaha untuk hidup dalam dunia yang semakin mencabar. Aku juga sentiasa berdoa agar diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk meneruskan perjuangan hidup ini. Insya-Allah...