07 December, 2017

KERINGAT DAN AIR MATA TERAKHIR SEARCH DALAM KATHARSIS

Sejujurnya sebagai peminat setia kumpulan lagenda ini, aku tidak menaruh harapan besar yang Search akan muncul dengan album penuh dalam keadaan industri muzik yang nazak di Malaysia dan kemunculan aplikasi digital pada era kini. Setiap kali berjumpa dengan Cikgu Nick seorang Die Hard Fans di Kota Bharu, dia sering meminta aku menyampaikan kepada Search untuk membuat album penuh. Jawapan aku, kalau Search dapat buat single atau album mini pun dah cukup bagus. Namun ternyata telahan aku meleset dan doa cikgu Nick menjadi kenyataan.

Awal tahun 2017, dalam kemelut berdepan dengan isu konsert 35 Tahun, Search membuat keputusan untuk muncul dengan album penuh. Berkat sokongan dan peruntukan daripada peminat nombor satu kumpulan ini, Dato’ Zaharul Annuar (pemilik Dream Studio, Pawana Music dan Fenomena Music) dan kembalinya sifu M. Nasir ke studio membuatkan penantian peminat kumpulan ini selama 11 tahun terubat. Search kembali bertapa di Bsync Studio di Jalan Robson bermula April 2017,  dan tanggal 22 November 2017, kemunculan album Katharsis menjadi pengubat kepada kerinduan peminat selama ini yang terus mendambakan irama Search.

Search memulakan sesi rakaman dengan tangan kosong, apatah lagi sebelum itu dihimpit dengan pelbagai kemelut dan krisis dengan penganjur konsert. Tetapi berkat sokongan semua pihak dan doa daripada peminat, maka lahirlah Katharsis. Album studio ke-12 ini amat dinanti-nantikan, apatah lagi gabungan terakhir dua beradik Kid dan Din dalam satu album ialah menerusi album Bikin Wilayah pada tahun 1998. Tapi bagi aku bukan sahaja gabungan dua beradik ini, tetapi sebenarnya gabungan terakhir Search yang lengkap hanya menerusi album Rock N Roll Pie (1996). Walaupun selepas itu mereka bersama dalam album Double Troube II, tetapi bukan dalam satu album penuh dan ketika itu posisi pemain bass digalas Fauzy. Selepas Gothik Malam Edan, dan kemunculan semula gabungan Kid dan Din pada tahun 2009, Search hanya bersatu menerusi konsert tanpa album. Biarpun mereka merakamkan kembali Kejoraku Bersatu versi Amy pada tahun 2012, tapi ramai yang tidak tahu sebenarnya kerja-kerja gitar dalam rakaman tersebut digalas sepenuhnya oleh Kid, tanpa Din. Kerana itulah album ini ditunggu-tunggu oleh ramai peminat, kerana gabungan Amy, Nasir, Kid dan Din antara yang terbaik untuk Search. Cuma, kali ini tanpa Yazit dan kerana itu bagi aku biarpun album ini antara yang terbaik buat Search tetapi agak tidak ‘sempurna’. 


Album ini bermula dengan Gagalista. Kisah seorang yang gagal dalam hidup. Lagu ini sebenarnya untuk album solo Amy. Aku terbayang kembali lirik-lirik rebel lagu Kongkang, Hey Apache menerusi album solo Aku Amy yang ditulis oleh arwah Loloq dan rasanya Buddhi Hekayat mampu meneruskan legasi penulisan lirik yang baik seperti arwah. Sidang Kangaroo pula menjadi pilihan Search sebagai single pertama sebelum Katharsis dilancarkan. Ini antara trek yang menjadi pilihan aku. Gabungan irama, gubahan muzik dan lirik lagu ini antara yang terbaik dalam Katharsis. Bila aku tanya Mael (Ishmael) yang menulis lirik ini daripada mana datangnya idea 'kangaru' ini, Mael memaklumkan lirik ini ditulis dalam kapal terbang dalam perjalanan balik dari Australia ke Malaysia. Ketika di Australia, dia sempat ke zoo dan melihat kangaru. Dan ketika di sana juga M. Nasir menghubungi Mael, mendesak untuk siapkan lirik lagu tersebut yang akhirnya memunculkan idea buat Mael menghasilkan lirik ini. Aku tidak bercadang nak kupas satu-persatu setiap lagu dalam album ini. Bagi seorang kipas mati Search seperti aku, setiap lagu ada keistimewaan yang tersendiri. Nama Yang Kau Lupa ciptaan Aceh (Nasir) juga pastinya menjadi trek pilihan untuk album ini kerana melodinya yang mampu membuai perasaan, begitu juga dengan Henjut dan Sulalatus Salatin. Gabungan M. Nasir dan Search sebenarnya adalah suatu magis! Kemunculan penulis lirik baru seperti Buddhi Hekayat, Ishmael dan Ad Samad pula mampu menggantikan bait-bait seni kata yang ditinggalkan arwah Loloq, Bob, Usop dan beberapa nama lagi yang pernah bersama Search. Tetapi untuk album ini, Usop kembali melalui lagu Mitos Atau Nyata. 

Jubah Pengantin antara trek yang perlu diberikan perhatian khusus. Lirik S. Amin Shahab ini ada sesuatu. Sebelum ini S. Amin Shahab antara yang banyak menyumbang kepada Search. Balada Pemuzik Jalanan, Seroja, Panggung Khayalan, Manusia Reptilia, Sutera Atau Rayon, Pawana, Kejora, Nirmala,  Gadis Misteri dan banyak lagi antara hasil coretan beliau. Namun kali ini nama seorang lelaki iaitu Kamaludin dalam lirik lagu tersebut menjadi igauan seorang sahabat aku yang bernama Qalqalah Qubra. Lagu ini juga ada roh yang tersendiri dan wajib didengar banyak kali untuk memahaminya. Apologia pula antara yang terbaik dalam Katharsis. Ini antara buah tangan Din yang sesekali bila keluarkan ideanya akan menghasilkan sesuatu yang mantap. Apatah lagi Kid seolah memahami resah serta perasaan abangnya ini menerusi permainan dan petikan solo yang bernyawa. Lagu ini juga sesuatu yang istimewa buat Din sehinggakan hanya menggunakan petikan lirik ini untuk ruangan catatannya dalam inlay album. Embun sebenarnya lagu yang diambil daripada katalog album solo Amy yang tertangguh, tetapi lagu ini kena dengan Search dan antara melodi terbaik yang dihasilkan oleh M. Nasir dalam Katharsis. Trek ini antara yang sering aku ulang dan ada ketikanya melayang! Bebas Liar pun antara trek berat yang sangat aku minat. Lagu ni hasil melodi Nasir Rockfather, he..he..baru perasan bro Nasir dah tak guna nama Aceh untuk lagu ciptaannya. Riff lagu ini mengimbau kembali aku kepada Memandu Nafsu (Karisma, 1990). Macam mana aku gila dengar Memandu Nafsu berulang kali dulu, lagu ini juga pastinya akan diulang-ulang nanti. 


Jangka masa 700 jam di studio,  kemuncaknya Katharsis lahir ketika Search mencapai tahun ke-36. Bukan mudah untuk bertahan, apatah lagi mengumpul peminat daripada generasi ke generasi. Seperti yang aku nyatakan tadi, album ini sedikit tidak sempurna kerana Search 'tidak lengkap' tetapi masih yang terbaik dalam koleksi album Search. Kelahiran album ini menunjukkan tahan kematangan Search dan wajib menjadi panduan kepada kumpulan-kumpulan baru. Album ini juga wajib dimiliki oleh semua peminat setia Search sebagai satu khazanah muzik rock unggul Malaysia. Biarpun ada suara-suara mengatakan Amy sedikit ‘pancit’ dalam album ini, tetapi dalam usia menjangkau angka 60 pada tahun hadapan, Amy berjaya membawa lagu dalam album ini sesuai dengan karektor suaranya. Mana mungkin Amy mampu menjerit lagi seperti dalam Mentari Merah, Fenomena atau Karisma yang dirakam kira-kira 30 tahun yang lalu. Gabungan Din & Kid pula bagi aku antara yang terbaik dalam susunan line up Search. Biarpun ada peminat yang lebih suka gabungan antara Hillary & Din tetapi bagi aku chemistry Search lebih kepada Kid & Din. Dalam Katharsis, idea dua beradik ini masih terus unggul. Din terus mencipta riff-riff ‘jahat’ yang kena dengan irama Search. Mana mungkin ada orang lain yang boleh memandu irama Search sebaik pemilik nama Noordin Mohd Taib. Permainan Kid pula terbaik untuk album ini. Solo-solonya kukuh bernafas dan memberi nyawa kepada lagu. Jolokon King Of Tremolo sangat sesuai untuk adik bongsu dalam Search. Cuma aku sedikit terkilan kerana tidak ada solo keramat seperti Isabella atau intro menyengat seperti Nurnilam Sari dalam Katharsis. Mungkin juga ada, aku kena dengar lagi dan lagi rasanya. Bro Nasir pula antara tulang belakang yang terus berusaha mengekalkan jenama Search untuk terus kukuh. Komitmen Nasir untuk album ini tidak boleh dipertikaikan lagi dan ideanya untuk bass line semua lagu dalam Katharsis menjadi sebab untuk dia harus berbangga dengan album ini. Pae pula cemerlang sebagai pengganti Abang Yazit. Walaupun belum mampu menyaingi stroke dan pattern Yazit, tetapi sekurang-kurangnya Pae membuktikan dia antara pelapis pemain drum terbaik di Malaysia.

Album ini dikatakan album terakhir Search. Mungkin ada yang agak skeptikal dengan kenyataan ini, tetapi andainya betul rasanya Search telah menghadiahkan sesuatu yang berharga buat semua peminat setianya. Album ini dibuat dengan keringat dan air mata Search setelah melalui pelbagai dugaan sebelum ini. Search telah melalui semua onak dan ranjau dalam industri muzik di Malaysia namun terus unggul sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia. Penghargaan dan ucapan terima kasih juga buat Dato’ Zaharul yang memahami kehendak peminat-peminat Search. Sebagai seorang peminat, Dato’ Zaharul membuktikan dia ialah peminat nombor satu Search atas usahanya tidak jemu-jemu mengeluarkan produk Search biarpun dipandang negatif oleh sesetengah pihak. Sebagai peminat, kita mungkin terus mengharapkan jenama Search akan terus kekal, tetapi sebarang kemungkinan kita juga harus menerimanya. Apa yang penting kita terus memberikan sokongan kepada apa yang telah Search perjuangkan. 


Catatan ini ditulis sambil aku mendengar album ini berulang-ulang. Sebagai peminat biasa yang mula mendengar Search sekitar tahun 1987, sangat teruja dan bangga apabila nama tercatat dalam inlay Katharsis. (Cuma sahabat aku Edrus yang sedikit kecewa bila nama yang tercatat dalam inlay ialah Wahid, iaitu nama ayahnya..he..he..). Sesekali fikiran melayang mengenang kembali apa yang telah aku lalui selama ini. Irama Search banyak memberikan inspirasi dan di akhir catatan ini sayup-sayup terdengar bait lirik Apologia di gegendang telinga...


“...Ingin ku wariskan mereka, 
dengan cinta dan kedamaian
Bukan bara permusuhan 
bagaikan api dalam sekam...” 

11 January, 2017

SEARCH TEGUH SELEPAS 35 TAHUN

Alhamdulillah, setelah sekian lama, aku dapat menulis tentang kumpulan legenda rock di Malaysia Search yang juga inspirasi aku dalam muzik selama ini. Peluang ini bermula selepas artikel asal ini aku muatkan di laman fb DuniaSearch dan menarik perhatian sahabat aku, Ahmad Riadz (editor hiburan di Harian Metro) untuk mengambilnya sebagai artikel di Harian Metro. Hasilnya pada 9 Januari 2017 (Jumaat), artikel ini dikeluarkan dua muka penuh dengan gambar warna. Rasa bersyukur sangat kerana dapat peluang ni walaupun sebahagian artikel tersebut telah diedit oleh editor tanpa mengubah keseluruhan cerita yang aku buat. Di bawah ini aku paparkan artikel penuh yang telah aku hantar kepada Harian Metro sebelum diedit dan disiarkan dalam akhbar tersebut. 

SELEPAS 35 TAHUN, SEARCH TERUS TEGUH
Oleh : Sharrul Rizal Hashim

Mengikut perancangan, mereka akan menyambut temasya ulang tahun ke-35 pada tahun 2016. Tetapi semua perancangan tersebut musnah dalam kemelut yang sudah diketahui umum. Pada ketika itu, banyak khabar angin dan tohmahan yang mereka terima sehingga membuatkan moral dan semangat setiap anggota jatuh sama sekali. Mereka dikecam netizen melalui media sosial dan lebih malang terdapat segelintir peminat setia turut sama mengambil peluang mengutuk dan mempersoalkan kredibiliti mereka. Ramai yang tidak tahu cerita dan punca sebenar kemelut yang terjadi, tetapi ramai pula lebih bijak menghakimi keadaan yang berlaku pada waktu tersebut. Selepas mengharungi perjuangan dalam bidang seni selama 35 tahun, peristiwa tersebut menjadi sejarah hitam buat empat orang sahabat ini.

Mengimbau sejarah kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 1981 ini, mereka mula bertapak bermain muzik di sebuah kelab di Kuala Lumpur sehingga berjaya menarik minat komposer M. Nasir untuk membawa mereka ke studio rakaman sehingga terbitnya album Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1985. Album tersebut telah membuka mata banyak pihak dan mendapat sambutan daripada peminat dan seterusnya Search melalui karier perjalanan yang panjang. Setiap album mereka terjual ratusan ribu unit, di samping barisan konsert di pelbagai lokasi yang mendapat sambutan hangat daripada ribuan peminat. Lebih manis mereka berjaya menakluki jutaan peminat di Indonesia berbekalkan lagu Isabella yang termuat dalam album Fenomena. Pencapaian mereka juga telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah yang diterima dari dalam dan luar negara sehingga berjaya membuat persembahan di New York pada tahun 1991. Selain itu, video berkaitan mereka juga pernah ditayangkan televisyen Belanda dalam sebuah  rancangan popular Veronica Goes Asia pada tahun 1993.

Ketika para peminat masing-masing merasakan tidak ada lagi sambutan ulang tahun ke-35 pada tahun ini, tiba-tiba empat rockers legenda ini kembali bangkit menerusi dua siri konsert khas yang dibawakan oleh Artist’s Colony dan Decode. Konsert secara percuma di dua buah lokasi menjadi tanda kebangkitan semula Search untuk meneruskan perjuangan sebagai ikon legenda rock Malaysia. Pemilihan lokasi di luar Lembah Klang, iaitu di Kota Bharu dan Alor Setar oleh penganjur menjadikan konsert ini ditunggu-tunggu oleh para peminat di kedua-dua negeri tersebut. Kali terakhir Search mengadakan persembahan di Kota Bharu pada tahun 2010, menerusi siri persembahan percuma Malam Bersama Search yang dibawa oleh Define, manakala konsert terakhir di Alor Setar kira-kira 25 tahun yang lalu, pada tahun 1991.

KOTA BAHARU – 24 DISEMBER 2016

Siri konsert Decode Legenda Search bermula di Kota Bharu pada 24 Disember 2016, di Grand Ballroom, Hotel Renaissance, Kota Bharu. Biarpun tiada hebahan menerusi media arus perdana, namun dengan menggunakan kemudahan media sosial secara atas talian pada era hari ini, menjadikan para peminat menantikan kemunculan Search sejak pukul 7 petang lagi. Di Kota Bharu, peminat dihidangkan dengan persembahan selingan oleh sebuah kumpulan buskers tempatan dan seterusnya kehadiran Monoloque makin menghangatkan suasana. Search hadir di pentas lewat pukul 10 malam dan memadamkan keresahan penonton yang menunggu dengan irama Langit dan Bumi. Kelainannya di Kota Bharu, Search tampil dengan kostum yang agak kemas berbanding kostum ‘biasa’ mereka sebelum ini. Momentum persembahan diteruskan dengan Pelesit Kota yang menjadikan penonton semakin menggila. Seterusnya atas permintaan daripada pihak penganjur, Search memainkan dua buah lagu daripada album solo Amy iaitu Tiada Lagi dan Kerja Gila, namun begitu penonton tetap layan dan terus menyanyi bersama. Aksi diteruskan dengan Honky Tong Kosong sebelum disusuli dengan syahdu Rozana dan Gadisku. Seterusnya penonton terus berhibur dengan Paranoid, No Way!, Isabella, Gothik Malam Edan, Diari Habil dan Qabil, Isi Atau Kulit, Fantasia Bulan Madu dan pengakhiran konsert menerusi lagu wajib Search, Pawana. 15 buah lagu, dan orang Kota Bharu tersenyum puas. Lebih membanggakan, khalayak penonton bukan sahaja daripada orang Kota Bharu sahaja tetapi menjangkau peminat dari negeri Terengganu, Pahang dan Perak. Rata-rata peminat layan dan berpuas hati dengan persembahan dan sistem bunyi yang ditampilkan Search pada malam tersebut.

Aksi Search di Kota Bharu membuktikan mereka masih tidak ada tandingan. Tenaga dan energetik Amy yang menjangkau usia 58 tahun merangsang persembahan konsert pada malam tersebut. Sesekali Amy terbang berbaring ke atas khalayak penonton yang sentiasa memberikan sokongan. Nasir di posisi bass pula sentiasa ‘cool’ dalam permainannya yang melengkapkan muzik Search. Noordin Mohd Taib atau lebih dikenali dengan panggilan Din antara figura penting dalam membentuk irama Search. Biarpun agak pendiam namun Din tidak pernah mengecewakan dengan riff-riff dan aksi ganasnya di atas pentas. Kid pula membuktikan dia masih berbisa walaupun masih ada suara-suara sumbang yang terus membuat perbandingan dengan pemain gitar asal Search. Pada malam itu, Kid mantap menerusi sound (bunyi) dan solo-solo yang mencengkam. Kehadiran Pae sebagai pemain drum undangan pula sangat bertepatan dengan muzik Search. Pae cemerlang memikul tanggungjawab sebagai tukang pukul Search yang baru, biarpun sekadar sebagai ‘pemain gantian’.

ALOR SETAR – 31 DISEMBER 2016

Ruang tepi Hotel Grand Alora, Alor Setar yang menempatkan khemah untuk mendapatkan pas masuk ke Konsert Lagenda Search telah dipenuhi peminat sejak awal petang lagi. Bukan sahaja peminat dari Alor Setar dan Kedah, juga dari pelbagai negeri termasuk dari Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kuala Lumpur. Selepas 25 tahun, Search akhirnya singgah juga ke Alor Setar. Lebih istimewa, peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan Search, tetapi sebelum itu disajikan dengan persembahan kumpulan Bittersweet, Hyper Act dan Hujan. Search tampil di pentas selepas persembahan Hujan, ketika itu jarum jam menghampiri ke angka 12. Seperti di Kota Bharu, Langit dan Bumi menjadi pembuka tirai dan disusuli dengan Pelesit Kota. Persembahan terhenti seketika untuk acara countdown tahun baru 2017 dan selepas itu mereka terus beraksi. Tenaga dan aksi Search tetap sama seperti di Kota Bharu, dan yang paling menarik tumpuan sudah tentu kelibat Din dengan seluar bell bottomnya. Seleksi pilihan lagu masih sama seperti di Kota Bharu, tapi dengan susunan yang sedikit berbeza. Cuma peminat di Alor Setar sedikit rugi apabila Search mendapat isyarat pada pukul 1 pagi untuk menghentikan persembahan ketika solo Isabella dimainkan. Biarpun begitu, Search tetap berdegil dan meneruskan aksi terakhir dengan Pawana yang menutup tirai persembahan 13 buah lagu mereka pada malam tersebut. Secara keseluruhannya, dalam tempoh seminggu Search berjaya mengubat kerinduan peminat setianya yang terus menyokong mereka dalam apa jua situasi. Ucapan terima kasih seharusnya diucapkan kepada DECODE dan Artist’s Colony sebagai penganjur yang membawa konsert secara percuma ini kepada khalayak peminat. Biarpun percuma, namun apa yang dipersembahkan secara keseluruhannya adalah eksklusif buat peminat dan Search. Sudah tentu peminat menantikan sebuah konsert yang berskala besar daripada Search. Bagi penulis sendiri, rasa tidak puas menonton persembahan tersebut kerana banyak lagu kegemaran yang tidak dimainkan Search. Purnama, Di Pintu Sepi, Melastik Ke Bintang, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Derap Komando, Pembakar Perasaan, Fenomena, antara puluhan lagi irama Search yang boleh menggegarkan pentas Search.

SELEPAS 35 TAHUN

Angka 35 tahun merupakan satu angka yang agak besar bagi sesebuah kumpulan muzik untuk terus bertahan. Mereka telah melalui pelbagai pengalaman dan ranjau dalam industri, dan semua itu menjadi azimat untuk mereka terus bertahan dengan irama dan nama SEARCH. Tidak dapat disangkal lagi Search tetap terus relevan sehingga kini biarpun banyak kumpulan baru yang muncul untuk menjual bakat tersendiri. Dalam tempoh lebih tiga dekad ini, Search bukan sahaja terus mendapat kepercayaan peminat setianya sejak dari tahun 80-an, tetapi juga menambah peminat daripada generasi Y yang mungkin mendengar Search daripada keluarga masing-masing. Ketika masing-masing sudah melewati usia lebih lima dekad, gabungan empat tenaga ini masih mampu meneruskan perjuangan rock di Malaysia. Pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud ketika dihubungi baru-baru ini melahirkan rasa bersyukur kerana dalam tempoh 35 tahun ini Search terus diterima dengan baik oleh pelbagai peminat daripada pelbagai peringkat umur. Bagi Nasir, muzik sudah menjadi darah daging bagi setiap anggota Search. Setelah sekian lama berjuang dalam industri ini, akhirnya nama Search menjadi satu institusi dan jenama yang kukuh dalam arena muzik Malaysia, bahkan menjangkau ke peringkat serantau. Nasir juga berharap agar kumpulan-kumpulan baru yang muncul dapat mengambil iktibar dan panduan apa yang telah dilalui oleh Search untuk terus berjuang dan mempertahankan irama muzik mereka. Bagi Nasir, tiada jalan pintas untuk berjaya dan setiap artis perlu mencari identiti dan gaya tersendiri tanpa perlu meniru gaya orang lain.


Selepas 35 tahun, SEARCH terus Teguh mempertahankan empayar mereka. Kita tidak dapat menjangka sampai bila mereka boleh bertahan memperdagangkan irama Search, tetapi yang pasti kita tidak pernah jemu untuk terus mendengar dan mendengar lagu-lagu mereka. Untuk hadiah kepada semua peminat setianya, Search bakal muncul dengan single terbaru mereka dan pastinya menjadi penyambung hayat kepada kelangsungan perjuangan Search. 

01 July, 2016

Salam Aidilfitri 2016 / 1437Hijrah



Pejam celik pejam celik, raya muncul lagi. Blog bukan lagi medium utama dalam media sosial hari ini. Jadi blog ini juga sama, setahun sekali baru akan dikemaskini. Apapun Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada yang membaca catatan ini. Maaf Zahir dan Batin kalau ada salah dan silap selama ini. Tahun ini, tahun kedua kami sekeluarga berpuasa dan beraya di Parit Buntar setelah berpindah daripada Kota Bharu tahun lepas. Masih ada sisa-sisa kerinduan dengan suasana di Kelantan, walaupun aku tak berapa gemar dengan menu ni sana. Cuma kami agak bertuah kerana sebagai Setiausaha Peradaban, aku harus selalu balik ke Kota Bharu untuk bermesyuarat dan menjalankan aktiviti yang dirancang. Jadi secara tidak langsung, dapat bertemu dengan sahabat dan rakan-rakan di sana. Tahun ini juga akan beraya di Parit Buntar, seminggu lepas raya baru akan balik ke Kelantan. Bukan  tak mahu balik awal, tetapi tak mahu terperangkap dengan kesesakan jalan raya yang dijangka teruk kerana cuti raya yang agak singkat. Apapun semoga semua terus diberkati dan dirahmati. Jadikan kedatangan Syawal ini sebagai permulaan untuk sebuah kehidupan yang baru setelah berjaya menamatkan ibadah berpuasa. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. 

05 August, 2015

ANUGERAH


Alhamdulillah, semalam kami sekeluarga berada di DBP KL. Puteri kami terpilih menerima Hadiah Sastera Penulis Muda 2014 yang disampaikan oleh YB Dato' Seri Haji Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan II. Kami pun tak pernah menyangka yang puteri kami akan menerima hadiah ini. Sebetulnya tahun lepas, sekembali daripada program Ziarah Bahasa ke Sabah dengan persatuan penulis, kami telah meminta dia membuat satu cerita pengalaman di sana. Setelah beberapa kali disuruh akhirnya cerita itu siap dan aku menyemak dan menyunting  sedikit cerita tersebut sebelum dihantar ke editor majalah Dewan Pelajar. Alhamdulillah, cerita tersebut disiarkan dalam majalah keluaran September 2014. Tahun ini apabila mendapat tahu akan diadakan Hadiah Sastera Penulis Muda untuk karya-karya yang telah tersiar pada tahun 2014 kami tidak pernah memasang harapan. Juga tidak menghantar pun penyertaan kerana khabarnya pihak urus setia akan memilih sendiri karya-karya yang telah tersiar di dalam majalah Dewan Pelajar tahun 2014. 

Akhirnya pada bulan Ramadan yang lepas kami menerima berita gembira ini. Karya tersebut terpilih untuk menerima Hadiah Sastera Penulis Muda 2014 bersama-sama empat lagi pemenang yang lain. Alhamdulillah atas kurniaan ini. Semoga menjadi galakan buat puteri kami untuk terus menulis dan berkarya. Syukur dan terima kasih. 

18 June, 2015

DARI TIMUR KE UTARA

Sekitar bulan Mac tahun 2001, apabila aku menerima surat tawaran sebagai Pustakawan berstatus (kontrak) kegembiraan terpancar di wajah. Setelah hampir setahun membuat kerja-kerja sambilan di warung dan restoran sebagai pembancuh air, akhirnya aku mendapat juga kerja yang agak baik. Tetapi kegembiraan itu tidak lama apabila aku membaca di perenggan akhir surat tersebut yang menyatakan "Tuan akan ditempatkan di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan". Aku menjadi sedikit terkedu setelah membaca kenyataan akhir itu. Kota Bharu dan Kelantan adalah suatu tempat asing bagi aku. Hanya pernah sekali ke Kelantan sebelum itu, menghadiri majlis kenduri keluarga yang kebetulan orang Kelantan. Selain itu, bagi aku Kelantan adalah seperti negeri asing yang jauh dan tak pernah terbayangkan untuk aku bekerja apa lagi menetap di sana. Setelah berbincang dengan keluarga, akhirnya aku menerima tawaran daripada DBP. Aku melaporkan diri di DBP Ibu Pejabat di KL, ketika itu masih di bangunan lama pada 9 April 2001. Pada ketika itu, aku dikehendaki berkursus dahulu di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP selama dua bulan sebelum dihantar ke Kota Bharu. Buat seketika aku menumpang di rumah Ajan (Meor Shahizal) di Seri Kembangan dalam tempoh dua bulan tersebut. 

Tanggal 2 Jun 2001, aku dihantar oleh ayah dan mak ke stesen bas di Butterworth. Berbekalkan dua beg besar baju dan macam-macam pesanan yang lain oleh emak, aku bertolak ke Kota Bharu menaiki bas transnasional ke Kota Bharu. Perjalanan pagi itu satu perjalanan baru bagi aku, apatah lagi untuk bertugas di tempat baru. Sekitar pukul 5 petang, bas sampai di stesen bas Kota Bharu dan Ezani (rakan yang sama-sama belajar di UiTM) telah menunggu aku di situ. Buat sementara aku menumpang di rumah Ezani di Kampung Chicha, Kubang Kerian (berhadapan Istana Kelantan), kebetulan dia juga tinggal sorang kerana keluarganya berpindah ke Sarawak. 

Tarikh 3 Jun 2001, aku melaporkan diri di DBP Wilayah Timur dan ditempatkan di Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis sebagai pustakawan dan bermula daripada tarikh itu, semuanya menjadi sejarah panjang dalam hidup aku. 

Catatan ini sengaja dimulakan dengan sejarah 14 tahun yang lalu kerana itulah yang berlaku ketika menerima tawaran bekerja di Kota Bharu. Sebenarnya juga sepanjang tempoh itu telah beberapa kali aku memohon untuk bertukar ke DBP Wilayah Utara tetapi terhalang oleh beberapa sebab. Dan antaranya setelah aku berkahwin dengan seorang gadis dari Machang yang membuatkan perjalanan aku di Kota Bharu memanjang ke tempoh 14 tahun. Sepanjang tempoh tersebut banyak yang telah dilalui. Banyak suka duka yang aku dan keluarga telah tempohi. Rasanya tak tercatat di sini, tetapi pengalaman itu banyak mengajar kami memahami asam garam kehidupan. Setelah 14 tahun di Tanah Serendah Sekebun Bunga, bumi Kota Bharu bukanlah asing lagi bagi aku. Banyak yang telah aku lalui, banyak juga yang telah aku jelajahi dan fahami.

Awal tahun 2015. Setelah mendapat tahu terdapat beberapa kekosongan jawatan di DBP Wilayah Utara dan di DBP Wilayah Timur serta di DBP KL yang perlu diisi dan dan aku salah seorang senarai calon yang diminta untuk menghantar maklumat lengkap perkhidmatan untuk dinilai, aku sebenarnya dah mula bersedia untuk menerima perpindahan. Aku sedar sebagai seorang penjawat awam, aku harus menerima ketentuan sekiranya diarahkan untuk berpindah. Sebenarnya kami sekeluarga memang merancang agar seboleh-bolehnya kami dapat tinggal di Kota Bharu sehingga puteri kami menamatkan darjah enam, kalau boleh tak hendak mengganggu pembelajarannya apatah lagi dia dapat bersekolah di sekolah yang baik. Tetapi mungkin sudah ditentukan, dan mungkin juga berkat doa daripada seorang ibu yang sentiasa mengharapkan agar anaknya dapat kembali bekerja di kampung halaman. Akhirnya kami harus menerima kenyataan itu. 

14 Mei 2015. Sekitar pukul 2 petang aku menerima berita dan surat pelantikan dan juga sekaligus pertukaran ke DBP Wilayah Utara berkuatkuasa 18 Mei 2015 melalui Pengarah DBP Wilayah Timur. Ketika menerima berita dan surat itu, sebenarnya perasaan agak berbelah bahagi. Gembira kerana dapat berpindah ke utara dan sedih kerana perlu meninggalkan negeri Kelantan. Selepas menerima berita pertukaran itu, aku menerima pula berita pemergian sahabat penulis Allahyarham Rahimidin Zahari ke Rahmatullah. Jadi perasaan sedih menyelubungi aku sepanjang hari itu. Setelah berbincang dengan pengarah, akhirnya aku memohon penanggguhan untuk bertukar ke tarikh 1 Jun 2015 bagi menguruskan semua urusan perpindahan dan juga pertukaran sekolah anak.

Bermula dari tarikh tersebut, kami sekeluarga melalui hari-hari sedih untuk meninggalkan bumi Kota Bharu. Dalam tempoh yang singkat kami perlu mengemas rumah, dan menguruskan beberapa perkara penting yang berkaitan. Jadi aku terpaksa untuk membuat perancangan melaporkan diri terlebih dahulu pada 1 Jun untuk beberapa hari dan mengambil cuti untuk kembali ke Kota Bharu bagi menguruskan urusan pindah sehingga selesai sebelum cuti sekolah berakhir. Dalam tempoh itu juga gunakan masa untuk bertemu saudara dan sahabat di sana sekurang-kurangnya untuk mengucapkan selamat tinggal dan mengucapkan terima kasih atas segala budi baik selama kami di bumi Kelantan. Sempat juga kami mengadakan dua majlis untuk puteri kami dan rakan-rakan di sekolahnya. Begitu juga dengan majlis dengan rakan, sahabat penulis. Bertuahnya juga kami kerana pada 9 Jun 2015, kami sekeluarga diraikan oleh semua persatuan penulis di negeri Kelantan dalam satu majlis khas yang diadakan di Hotel Juita Inn. 



Bermula dari tarikh 3 Jun 2001 sehinggalah hari terakhir kami meninggalkan Kota Bharu pada 13 Jun 2015, bermakna selama 14 tahun aku menetap di sana. Kami meninggalkan bumi Kota Bharu dengan perasaan sedih dan sayu. Banyak air mata yang mengalir sepanjang tempoh mendapat tahu tentang berita pertukaran sehinggalah kami melalui banjaran Titiwangsa untuk balik ke utara. Sebenarnya ada beberapa perkara yang membuatkan kami berasa amat berat hati dan sedih untuk berpindah ke utara. Pertama sekali kerana kami perlu mengorbankan persekolahan puteri kami di sebuah sekolah yang amat baik (SK Zainab 2). Sebelum ini kami sentiasa berharap agar puteri kami dapat menamatkan persekolahnnya di sini, apatah lagi dia sentiasa dapat aktif dalam pelbagai kegiatan sama ada di dalam atau di luar sekolah sepanjang tempoh berada di Kota Bharu. Kami bimbang dan risau sekiranya perpindahan ini akan memberikan kesan kepada pembelajaran dan emosi puteri kami. 
Perkara kedua yang menjadikan kami amat sedih kerana terpaksa meninggalkan jiran yang amat baik. Keluarga Abang Nasir dan Kak Mah serta anak-anaknya yang menjadi jiran kami selama 12 tahun sudah seperti keluarga sendiri. Banyak pertolongan dan budi yang telah dihulurkan kepada kami yang tak mampu dibalas. Puteri kami juga sudah dianggap seperti anak mereka sendiri, di situlah dia bermain sejak dari kecil sehinggalah ke hari ini. Mereka sekeluarga juga sangat memahami kami dan banyak berkongsi suka dan duka kami sekeluarga. Apatah lagi sejak tahun lepas, cucu abg Nasir dan Kak Mah (Rahim) dijaga oleh isteri dan kami anggap seperti anak sendiri. Jadi kesedihan itu semakin bertambah. 

Perkara ketiga yang membuatkan kami amat berat hati untuk meninggalkan negeri Kelantan tentu sahaja untuk meninggalkan sahabat-sahabat penulis dan dunia sastera di negeri Kelantan. Sememangnya ramai daripada kalangan rakan-rakan penulis di negeri Kelantan yang telah kami anggap seperti saudara sendiri. Norhisham Mustaffa, Abdul Hadi Yusoff, Wadi Leta S.A, Rosli K. Matari dan CT Puspa antara nama-nama penyair yang sentiasa dekat di hati kami sekeluarga. Begitu juga nama-nama lain seperti Aziz Mohd Nor, Abd Razak Othman, Wan Aisyeah Wan Nawang, Satinah Ziran, Aiman Mohd Razali, Salman Sulaiman,Tuah Sujana dan Kamarulzaman Ismail antara penulis yang sentiasa berhubung diluar daripada urusan rasmi. Begitu juga dengan dunia sastera di negeri Kelantan khususnya. Kalau diikutkan hati, aku nak menyelesaikan urusan Anugerah Sastera Negeri Kelantan yang telah tertunda lebih daripada 12 tahun. Urusan awal telah pun selesai, dan kalau diikutkan perancangannya akan diadakan pada tahun ini juga. Itu 'hutang' aku dengan pada penulis dan sasterawan di negeri Kelantan. Harap-harap hutang ini dapat dilangsaikan oleh rakan yang mengantikan tempat aku. 

1 Ramadan 1436H. Ketika catatan ini dibuat, telah 5 hari kami menjadi orang utara. Alhamdulillah urusan perpindahan telah selesai. Kebanyakan barang di dalam kotak sudah dibuka. Rasanya sekitar 60-70% urusan mengemas rumah telah selesai. Harap-harap dalam seminggu ini dapat dibereskan semuanya. Urusan persekolahan puteri kami juga telah selesai. Pada mulanya kami bercadang hendak mendaftarkannya di SK Methodist Parit Buntar, tetapi pada saat akhir mengubah ke SK Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal. Melihat daripada tingkahnya, mungkin mengambil masa sedikit untuk puteri kami menyesuaikan diri di sekolah baru. Harap-harap juga dia mampu menerima dengan alam baru di sekolah yang agak berbeza dengan sekolahnya sebelum ini. Dari timur kami ke utara. Selepas ini mungkin ada lagi perpindahan, cepat atau lambat kami harus menerima penghijrahan untuk suatu yang lebih baik. Perpindahan dan penghijrahan ini merupakan satu pengalaman baru buat kami. Banyak yang kami pelajari, dan banyak juga yang kami rasai. Setiap hari hanya mampu berdoa untuk terus diberikan kekuatan dalam mengharungi semua cabaran dan kehidupan kami sekeluarga terus dirahmatiNya.



29 March, 2015

PUTERI KAMI

Ceritanya mudah. Gambar puteri kesayangan kami disiarkan dalam akhbar Berita Harian (26 Mac 2015) dan mingguan Malaysia (29 Mac 2015). Tetapi tidak siapa yang tahu sukarnya untuk mendidik dan memupuk keyakinan diri kepada puteri kami untuk berani tampil dan membuat persembahan di hadapan khalayak ramai. Dan sehingga hari ini kami terus bersyukur dengan pemberian ini...

11 August, 2014

Alhamdulillah...

Syukur Alhamdulillah. Sekian lama meninggalkan media blog semenjak FB dan Whatsapp menjadi fenomena ramai. Lagipun tiada apa yang menarik nak diceritakan. Hidup adakalanya naik dan adakalanya turun, lumrah. Cerita kali ini berkaitan puteri tunggal aku. Alhamdulillah pada hari Khamis lepas (7 Ogos 2014) ceritanya tersiar di akhbar Berita Harian. Dalam tempoh dua-tiga tahun ini, banyak yang telah dia lalui dan artikel itu menjadi bukti. Aku dan isteri hanya mampu membimbing dan berdoa agar dia mampu menjadi orang yang berjaya. Insyaallah...

23 July, 2013

KETIKA DIA MELIHAT DUNIA

Selamat Hari Lahir yang ke-9 buat puteri tersayang Diya Ikhlas Ayrisha

02 August, 2012

Salam Ramadan, Salam Aidilfitri

Salam Ramadan dan Salam Aidilfitri buat semua. Kami sekeluarga memohon  ampun dan maaf andainya ada terkasar bahasa dan terkurang bicara dalam hubungan selama ini. Semoga Ramadan ditempuhi dengan penuh keinsafan dan Syawal diraikan dalam penuh kesederhanaan.

02 January, 2012

ASSALAMMUALAIKUM 2012

2012 baru memulakan harinya kelmarin. Agak lama tidak menulis. Sejak adanya facebook dan twitter, rasa agak malas untuk menulis di blog ini. Nak menutupnya pula sayang sebab banyak kenangan dan catatan yang tersimpan di sini. Meninggalkan 2011 dengan seribu kenangan. Paling sedih apabila kehilangan opah tercinta, Hajah Che Su Osman tanggal 10 November 2011. Namun masih sempat menghabiskan hari-hari terakhir dengan arwah. Sehingga kini walaupun terasa suatu kehilangan besar dalam keluarga, tetapi ada kalanya merasakan ia masih berada di sisi. Bagi aku tempat yang terbaik untuknya hanyalah di Syurga.

2011 juga merubah sedikit situasi hidup kami sekeluarga. Semenjak puteri tunggal melangkah ke alam persekolahan darjah satu, agak banyak juga yang berubah. Alhamdulillah, selama setahun di alam persekolahan tidak banyak masalah yang ditimbulkan oleh anak aku. Ditambah pula dengan kebolehannya membaca nazam dan mendeklamasi puisi, menyebabkan dia menjadi antara personaliti popular di sekolah..he..he..

Untuk tahun 2011 juga, tugasan dan tanggung jawab di pejabat telah dapat dilaksanakan dengan baik. Walaupun ada kekurangan dan kelemahan di sana-sini, sudah tentu menjadi pengalaman berguna untuk tanggung jawab lain di masa hadapan. Alhamdulillah, tahun 2011 juga aku telah disahkan dalam jawatan. Setelah 9 tahun berkhidmat secara kontrak dan bertukar ke jawatan tetap pada tahun 2010. Walaupun kerugian dalam tempoh perkhidmatan selama 9 tahun, namun sekurang-kurang bernasib baik kerana dapat menjawat jawatan tetap berbanding beberapa rakan yang lain.

Untuk tahun 2012 ini, semoga terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk menempuh cabaran hidup. Tak banyak yang aku harapkan. Cukuplah diberi kesihatan yang baik dan kebahagian dalam keluarga untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Salam Tahun Baru 2012.

07 October, 2011

FENOMENA 30 TAHUN SEARCH

Gambar oleh Maddaidee
  1. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Mengimbau kembali penubuhan SEARCH pada 1981, dilancar di Red Rooster dengan 4 org anggota : Yazit, Hillary, Daud dan Amy. Selain di Red Rooster, mereka pernah bermain di kelab Flamingo dan sebagai band pengiring Sahara Yaakob. Kembali semula ke Red Rooster, Hillary keluar diganti dengan Man Kidal dan Din mengambil tempat sebagai rythmist..."Dia datang dengan keranda" - petikan dari buku Fenomena Search (1989).

2. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Zainal Rampa bukan individu yg dikatakan pengasas kumpulan Search. Ianya diakui sendiri oleh Zainal dan juga Hillary Ang kepada DNS. Secara kebetulan sebelum penubuhan Search di Kuala Lumpur. Zainal dah Hillary pernah menganggotai sebuah kumpulan kelab di sekitar bandar Segamat yang memainkan lagu berentak Blues dan Funk (akhir 70-an).
Beberapa ketika Hillary kemudiannya menarik diri dari kumpulan tersebut dan pulang ke Johor Bahru mencari Yazid Ahmad untuk menubuhkan sebuah kumpulan (yang selepas itu dikenali sebagai The Search) untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur.

3. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Pertama kali Amy membuat persembahan di hadapan khalayak ramai adalah pada sebuah majlis perkahwinan di Kota Tinggi. Lagu yang dinyanyikan oleh Amy pada majlis tersebut ialah Hotel California.

4. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sebelum ditawarkan untuk menyertai kumpulan Search, Din merupakan pemain gitar kumpulan Hurricane. Antara ahli kumpulan Hurricane pada masa itu ialah pemain drum Zahid Ahmad (adik Yazit). Sesi ujibakat untuk Din telah diadakan di Kelab Red Roosters pada sebelah siang, dan Din menggunakan sebuah gitar jenama Aria Pro semasa sesi tersebut.

5. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Semasa bermain di Hard Rock Cafe, pihak pengurusan kelab tersebut telah memberi peluang kepada anggota Search membeli peralatan muzik yang baru. Mereka telah ke Singapura untuk membeli peralatan yang diingini dimana Man Kidal dan Din telah memilih gitar Gibson Flying V dan amplifier Marshall. Menurut Din, beliau telah menggunakan gitar tersebut untuk keseluruhan rakaman lagu dalam album Cinta Buatan Malaysia.

6. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sebelum mengeluarkan album Cinta Buatan Malaysia, THE SEARCH telah muncul di dalam rancangan ala MTV terbitan TV3. Dalam rancangan ini THE SEARCH mendendangkan dua buah lagu iaitu 'Rock You Like A Hurricane' (Scorpions) dan 'Jump' (Van Halen). Pada ketika ini belum ada larangan berambut panjang dan sebagainya. Pihak media massa pula merujuk kumpulan SEARCH sebagai THE SEARCH.

7. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

7 Oktober 1984 adalah tarikh rasmi SEARCH menjadi artis rakaman. dengan menandatangani kontrak bersama label Polygram yang ketika itu dianggotai oleh Amy, Nasir, Man Kidal, Yan dan Noordin. Pengarah Urusan Polygram ketika itu adalah Mr Eric Yeoh. Akan tetapi sebelum SEARCH mengeluarkan album pertama mereka, pada 12 June 1985, atas nasihat Gary Chew iaitu pengurus Hard Rock Cafe pada waktu itu, mereka memperbaharui kontrak mereka. Sebulan selepas itu, selepas hampir 2 minggu berada di Lion Studio, Singapura, pada Ogos 1985, Cinta Buatan Malaysia album pertama SEARCH dihasilkan

8. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Semasa Search merakam album Mentari Merah Diufuk Timur Di Lion Studio Singapura, mereka telah berjumpa dengan Sound Engineer Kumpulan Def Leppard yang menjadi jururakam untuk album PYROMANIA yang mengandungi lagu FOOLIN. Kebetulan Def Leppard dan Search pada masa itu bernaung di bawah label yg sama iaitu Polygram Record dan Search telah meminta kebenaran Def Leppard untuk merakam kembali lagu FOOLIN dengan menggunakan khidmat sound Engineer tersebut dengan euipment yg digunakan semasa merakamkan album PYROMANIA dan terhasillah lagu BERPALING.

9. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Penganjur konsert rock tersohor, Ali Bakar pernah menyatakan tiga konsertnya di Stadium Negara (untuk konsert sekitar tahun 80-90an) yang mencatat kutipan tertinggi dengan jualan tiket mencecah 10,000 keping setiap satu konsert ialah Konsert Battle Of The Bands, Konsert FANTASIA SEARCH dan Konsert Rusty Blade & Wings. Konsert Fantasia Search(September 1987) menduduki tangga kedua dengan kutipan sebanyak RM 90,000 berdasarkan jualan tiket berharga RM 5, RM 10 dan RM 15. Artis undangan untuk Konsert Fantasia pada waktu itu ialah Sons Of Adam, BPR dan Kopratasa.

10. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Menerusi album Cinta Buatan Malaysia, Yan telah munyumbangkan vokalnya pada lagu Jiwa-jiwa Luka dan Cinta Pertama. Dalam satu temubual berkaitan perkara ini Yan telah ditanya tentang bagaimana beliau boleh menyanyi untuk dua lagu tersebut dan Yan menjawab “ Nasir (M. Nasir) yang suruh. Saya tidak tahu apa yang ingin beliau buktikan. Saya hanya nyanyi sepertimana yang disuruh.”

11. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Dalam pertandingan akhir Juara Lagu 89,lagu Isabella telah terpilih sebagai Juara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000.00, - Piala Pusingan dan Set Karaoke RQ 12. Untuk kategori Persembahan Terbaik pula Search telah memenangi wang tunai sebanyak RM 3,000.00 - Piala dan Set Karaoke RQ12, manakala untuk kategori Lirik Terbaik pula Bob Lokman mendapat hadiah wang tunai RM 2,000.00, piala dan Set Karaoke RQ12.

12. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Lagu Sirih Gambir (persembahan asal kumpulan The Kinks dengan judul asalnya You Really Got Me) merupakan lagu pertama yang dirakamkan oleh kumpulan Search untuk album Cinta Buatan Malaysia. Lagu tersebut menjadi pilihan kerana Search sering memainkan lagu tersebut di kelab dan ini memudahkan mereka membuat kerja-kerja rakaman (secara live) untuk lagu tersebut.

13. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Search pernah menjadi pemenang bagi kategori Penyanyi Berkumpulan Popular pada Anugerah ini yang pada masa itu dikenali sebagai Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular pada 1987. Pada tahun ini juga julung kali diadakan anugerah ini. Search mendapat sejumlah 178,483 undi mengalahkan kumpulan Alleycats, Freedom, Lefthanded, Sons of Adam dan Headwind.

14. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

M. Nasir merupakan satu nama yang tidak boleh dipisahkan dengan kumpulan Search. Selain menjadi pencetus kepada terhasilnya album Cinta Buatan Malaysia, M. Nasir juga merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Search sehingga mencapai kejayaan pada hari ini. Sepanjang dengan kumpulan Search, M. Nasir telah mencipta sebanyak 52 buah lagu (tidak termasuk ciptaan bersama) untuk kumpulan lagenda ini bermula dari album Cinta Buatan Malaysia sehingga ke album Gothik Malam Edan.

15. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

SEARCH telah menghasilkan beberapa video samada dalam bentuk VHS, Video CD dan DVD. Video pertama dihasilkan dalam bentuk VHS iaitu video Konsert Kesyukuran yang dirakamkan/dikeluarkan pada tahun 1989. Video CD pertama pula dikeluarkan pada 1995 iaitu video Konsert Gema Di Timur Jauh Unplugged. Pada 2004, sempena konsert reunion SEARCH setelah beberapa tahun 'dibekukan' SEARCH mengeluarkan video konsert pertama dalam bentuk DVD iaitu video Konsert Evolusi SEARCH. DVD terkini yang dikeluarkan ialah video Konsert Double Trouble Live in JB pada Oktober 2010.

16. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Lagu Manusia Reptilia yang berdurasi 6:50 minit merupakan lagu terpanjang pernah dirakamkan oleh SEARCH. Manakala lagu Mata Kucing merupakan lagu terpendek pernah dirakamkan. Lagu yang berdurasi 2:50 minit itu juga merupakan satu-satunya lagu yang berdurasi kurang dari 3:00 minit pernah dirakamkan oleh SEARCH

17. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Idea untuk memulakan (intro) lagu Isabella dengan Bass dicadangkan oleh M.Nasir yang inginkan suatu kelainan berbanding lagu lain yang biasanya dimulakan dengan gitar & drum. Intro Bass itu akhirnya terlaksana melalui petikan spontan yang dicipta oleh bro Nasir semasa proses merakamkan lagu ini.

18. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Pada perancangan asal, sepatutnya lagu 'Kepala Angin', 'Di Pintu Sepi', 'Gadis Ayu' dan 'Setelah Hujan' dimuatkan di dalam album 'Fenomena'. Apabila pihak Polygram mengeluarkan album 'Di Pintu Sepi' maka M. Nasir telah mengambil tindakan Mahkamah menyekat pengeluaran album tersebut. Hasil dari konflik ini, beberapa perubahan telah dilakukan dalam album "Fenomena' iaitu antaranya mengeluarkan 4 lagu di atas. Antara lagu gantian ialah 'Isabella' dan lagu 'Jendela Asmara' ditukar kepada 'Gadis Misteri'

19. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Album Rampage tidak dilancarkan di Malaysia. Album yang penuh dengan idea-idea ' advance' ini pada asalnya dirancang pelancarannye secara rasmi pada tanggal 1 Mei 1992 di Indonesia. Menariknya, album ini dirancang pelancarannya dengan SEARCH mengadakan konsert di stadium Teladan,Medan Indonesia, tetapi ianya di tunda kerana Pilihanraya Indonesia yang berlangsung pada bulan yang sama. Album itu akhirnya di lancar pada 14 Mei 1992 di Indonesia. Dua hari selepas itu ianya menemui pula peminat rock di Malaysia. Konsert jelajah Rampage Indonesia pula di adakan pada sekitar bulan Julai

20. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Ketika merakamkan album Karisma, pada mulanya Search hendak meletakkan Melastik Ke Bintang sebagai tajuk album tersebut. Namun setelah merasakan tajuk tersebut mempunyai maksud sesuatu yang mustahil untuk dicapai, akhirnya Search bersepakat memilih Karisma (daya personaliti yang kuat) sebagai tajuk album mereka. Sebanyak 17 lagu telah dirakam semasa pembikinan album tersebut dan 10 lagu terbaik telah dipilih untuk dimuatkan di dalam KARISMA

21. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sepanjang 30 tahun dalam industri muzik, Search telah mencipta sebanyak 23 buah lagu (tidak termasuk ciptaan bersama) untuk album mereka. Antara masterpiece Search yang terus unggul sehingga hari ini seperti Isabella, Rozana, Emmanuelle, Melastik Ke Bintang, Nigina, dan Mentari Merah di Ufuk Timur

22. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Konsert ROCK n ROLL PIE : LIVE & LOUD berlangsung pada 2O Disember 1996 dengan penampilan Amy membotakkan kepalanya . Konsert yang di anjurkan oleh Nasir Daud (bassist ) melalui Dangaroos turut mengundang kumpulan Wings (Era Mus ) sebagai band pembukaan. Konsert ini pada awalnya dirancang pada tarikh 21 Disember tetapi dipercepatkan sehari bagi mengelakkan pertembungan dengan jadual perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia. (Selangor vs Sabah)

Apa yang menariknya, untuk menghargai peminat mereka, sesiapa yang menyambut hari kelahiran dan tarikh ulang tahun perkahwinan pada tanggal 15 Disember dan 20 Disember berpeluang mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan konsert ini. 'Tarikh 15' itu adalah sempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan Search ketika itu.

23. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Album 'Rampage' mencatat sejarah sebagai album pertama yang diterbitkan sepenuhnya oleh SEARCH. 2 lagi album di mana SEARCH menjadi penerbit adalah 'Rock n Roll Pie' dan 'Bikin Wilayah'. M.Nasir pula merupakan Penerbit utama album SEARCH di mana beliau telah terlibat sebagai penerbit dalam 9 album studio SEARCH (termasuk sebagai penerbit bersama)

24. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sehingga hari ini SEARCH adalah satu2 nya artis/band di Malaysia yang menggunakan arca dalam rekaan 'cover album' mereka. Album Rampage yang di terbitkan pada tahun 1992 menggunakan arca karya daripada salah sorang 'artis' terkenal tanahair BAYU UTOMO RADJIKIN . Karya ini di beri nama "BUJANG BERANI". Karya seni yang di siapkan pada tahun 1991 ini di perbuat daripada logam besi yang diadun dengan 'plaster of paris' adalah karya yang menceritakan tentang keberanian dan kecekalan masyarakat dayak/pribumi di sabah dan ianya menjadi 'breaktrough' kepada stail rekaan cover album Malaysia ketika itu yang masih lagi beku dalam mencari idea grafik yang unik dan radikal. SEARCH sememangnya Unggul sebagai perkarya seni negara, seperti mana arca tersebut yang sekarang masih gah berada di ruang pameran Balai Seni Lukis negara.

25. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sepanjang 30 tahun SEARCH di persada seni tanahair, sebanyak 12 studio digunakan semasa merakam album dari Cinta Buatan Malaysia hinggalah album Gothik Malam Edan. Lokasi studio tersebut merangkumi studio di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Antara studio tersebut adalah Lion Studio di Singapura; Guins Studio di Jakarta dan Synchrosound Studio & King's Studio di Malaysia.

26. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sepanjang penghasilan album, Search telah merakamkan kembali empat buah lagu tempatan (cover version) dalam album mereka iaitu lagu Malam (Sepuluh Tahun Search), Suratku Untukmu, Yale-yale dan Ku Cuba (Double Trouble 2).

27. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Search adalah satu satunya artis dari benua Asia yang terpilih untuk mengadakan persembahan bersama sama artis dari seluruh pelusuk dunia di - New Music Seminar New York, Amerika Syarikat pada July 1991. Ketika berada di sana Kid dan Noordin sempat menghubungi gitaris Vivian Campbell untuk mengadakan pertemuan santai bagi bertukar idea tentang suasana muzik. Oleh kerana kesibukan Campbell (yang ketika itu dalam proses rakaman projek band "Shadow King"), komunikasi antara mereka hanya terjadi melalui telefon sahaja.

28. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Sinambungan mengenai ciptaan lagu oleh SEARCH, keseluruhan 49 buah lagu dihasilkan termasuk ciptaan bersama seperti Nur Nilam Sari bersama M. Nasir; Satu Bangsa Satu Arah ciptaan Din, Manusia Reptilia ciptaan Aceh, Diari Habil & Qabil ciptaan Amy dan Aceh, Selepas Banjir ciptaan Yazit & Rafi dan Musafir ciptaan Man Kidal. Hanya satu lagu instrumental dipersembahkan iaitu Mencari ciptaan Din.

29. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

'Feel The Pain' merupakan satu satunya lagu berbahasa Inggeris yang dirakam oleh Search walaupun ia mempunyai beberapa lagu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai tajuknya seperti 'No Way' & 'Paranoid'.

30. FENOMENA 30 TAHUN SEARCH :

Mengikut cerita dari Hillary, semasa membuat kerja rakaman solo lagu Fantasia Bulan Madu, ianya merupakan rakaman sementara sahaja. Khabarnya M. Nasir pada ketika itu hanya mengarahkan Hillary "buat je apa2 dulu, nanti kita rakam balik", tetapi sehingga album itu disiapkan solo itu tidak dirakam semula. Dan sehingga kini, solo FBM merupakan antara solo berhantu yang dihasilkan oleh kumpulan Search.


* Hasil susunan Sharrul Rizal Hashim, Edrus Wahid, Syakirin Othman, Mohd Zaidee Suman - DuniaSearch 2011.
(Hakcipta Terpelihara DuniaSearch)