08 January, 2008

BAYAR ATAU PERCUMA

Kalut! Mungkin itu frasa yang sesuai diungkapkan bagi berbicara tentang bayaran yuran sekolah yang hangat diperkatakan sejak bermulanya sesi pertama persekolahan. Bagi aku dalam hal ini ada pro dan kontranya. Selepas pengumuman oleh PM tentang penghapusan bayaran yuran peperiksaan dan yuran sekolah, ibu-bapa berpendapat mereka tidak perlu membayar apa-apa lagi apabila menghantar anak ke sekolah. Justeru, apabila diminta beberapa jenis yuran ketika mendaftar anak mereka, masing-masing mula membangkitkan isu ini sehingga menjadi agak kelam kabut sehingga memaksa Menteri Pelajaran campur tangan.
Bagi aku, langkah kerajaan menghapuskan bayaran yuran ini memang tepat dalam meringankan beban golongan bawahan terutamanya keluarga yang tidak berkemampuan. Namun begitu, tindakan sekolah mengenakan beberapa jenis yuran yang munasabah juga seharusnya dipandang positif dan tidak dijadikan isu oleh ibu-bapa. Bagi sekolah yang mengenakan yuran yang agak melampau sehingga ke yuran penyelenggaraan tandas dan tuala wanita, perkara ini seharusnya tidak wajar berlaku dan semenangnya perlukan penjelasan daripada pihak sekolah yang mengenakannya. Seharusnya pihak kementerian atau pihak sekolah sepakat menyelaraskan kadar bayaran yuran dan caj-caj lain agar ibu-bapa lebih jelas dan seharusnya tidak terbeban dengan masalah sebegini. Kadar antara RM 30 (sekolah rendah) dan RM 50 (sekolah menengah), rasanya merupakan kadar yang rasional dan mampu dibayar oleh semua golongan.
Ibu-bapa juga seharusnya faham dengan langkah pihak sekolah mengenakan beberapa jenis yuran ini yang semuanya menjurus kepada aspek pembangunan dan kesejahteraan sekolah. Dalam hal ini aku melihat rata-rata yang menunjukkan rasa tidak puas hati ialah 'orang-orang' kita belaka. Mungkin ada benarnya sesetengah sekolah mengenakan yuran yang melampau sehingga mencecah ratusan ringgit dan sewajarnya ibu-bapa akan merasa tidak berpuas hati, namun bagi sekiranya kadar yuran yang ditetapkan adalah munasabah dan rasional tidak wajar ibu-bapa merungut dan tidak membayarnya. Agak sedih melihat masyarakat kita yang terlalu inginkan semuanya dengan percuma sedangkan mereka tahu zaman sekarang setiap pergerakan melibatkan kos. Adakah nilai RM 50 itu terlalu besar berbanding dengan tempoh setahun yang anak-anak mereka berada di sekolah? Seharusnya ibu-bapa tidak wajar mempertikaikan hal-hal sebegini sekiranya apa yang dituntut oleh sekolah itu ada kewajarannya dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak-anak. Kalau kita lihat, masyarakat Cina di negara kita tidak lokek untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak mereka sehingga mereka mampu membina sekolah-sekolah persendirian yang lebih besar dan canggih daripada sekolah-sekolah yang dibina kerajaan. Mungkin ibu-bapa anak-anak kita pula merasakan nilai wang yang mereka sumbangkan kepada sekolah itu terlalu besar sehingga merasakan ianya terlalu menjadi bebanan hidup, walhal ada antara mereka ini tidak kisah membazir puluhan ringgit setiap hari untuk membeli rokok dan menghabiskan ratusan ringgit untuk menghantar undian SMS ke rancangan realiti TV. Seharusnya kita sama-sama dapat berfikir sejenak!

No comments: