21 September, 2008

RAGAM RAMADHAN


Kerang rebus....sengaja aku letak gambar kerang rebus untuk catatan ini kerana lazimnya di kampung aku kerang rebus cicah dengan kuah kacang merupakan menu popular apabila tibanya bulan ramadan. Aku sendiri kurang pasti bila sejarahnya bermula, tetapi seingat aku semasa sekolah rendahlah menu ini mula popular. Dan aku merupakan peminat setia menu ini sehinggalah sekarang. Setiap kali tibanya ramadan semestinya aku kerang rebus menjadi santapan paling popular di Parit Buntar. Tak hairanlah kalau ada peniaga yang berniaga kerang rebus sebulan dan untungnya cukup untuk kehidupan setahun....Bila dah jauh dari kampung ni, cuma sesekali dapat merasa kenikmatan menu ini..dan minggu lepas semasa pulang ke kampung sempatlah aku melepas gian untuk tahun ini.
Sebenarnya apabila tiba sahaja bulan ramadan bermacam ragam yang akan kita temui dan lalui. Ragam-ragam ini biasanya hanya muncul apabila tibanya sahaja bulan ramadan. Ragam orang berpuasa, ragam membeli juadah berbuka dan pelbagai ragam lain yang unik yang hanya boleh dilihat pada bulan ramadan. Kalau mengikut sunah, seharusnya berbuka puasa dimulakan dengan kurma dahulu namun lain orang lain pula ragamnya. Dan kerana itulah kadangkala sunah dan sunat entah ke mana apabila tepat sahaja waktu berbuka. Aku sendiri pun biasanya akan 'belasah' nasi dahulu sebelum ke makanan ringan yang lain. Rasanya tak puas kalau sekadar menjamah kuih atau makan makanan ringan yang lain. Nafsu! itulah hakikat sebenarnya yang menjadikan kita berbeza-beza ragam apabila tibanya bulan ramadan. Itu belum lagi ragam orang ponteng puasa...he..he..dan ikhlasnya aku juga pernah terjebak dalam golongan ini. Kalau sesiapa yang pernah ponteng tu pastinya akan mengakui hakikat betapa nikmatnya nasi kandar yang dibungkus dalam beg plastik hitam, walaupun pada hakikatnya bukanlah sedap sangat pun. Cuma sekali lagi, nafsu memainkan peranannya dengan amat baik ketika itu.
Begitu juga ragam orang bersahur. Opah aku juga sebenarnya ada ragam yang tersendiri untuk bersahur. Biasanya opah akan makan nasi dengan buah mangga (mempelam) untuk bersahur. Cukup dengan itu sudah boleh membuka selera opah. Andai tiada mangga, tembikai boleh menjadi ganti. Aku tak pasti bila tabiat dan ragam itu bermula, tetapi sehingga kini opah tetap akan bersahur dengan menu istimewanya itu. Dahulu, seorang sepupu aku hanya akan bersahur andainya ada cornflakes + susu, kalau tak ada cornflakes mau mengamuk dia subuh-subuh tu...
Itu belum lagi dikira ragam ketika membeli makanan di pasar ramadan. Dalam hal ini, ragam ini lah yang paling popular kerana masing-masing ada ragam yang tersendiri. Ada yang mencuba resepi berbeza setiap hari sehinggakan bila berakhir sahaja ramadan maka semua juadah di pasar ramadan itu telah dicubanya. Ada juga yang setia dengan menu-menu tertentu di pasar ramadan sehinggakan setiap hari akan membeli juadah yang sama bermula dari 1 ramadan sehinggalah ke penghujungnya. Dan jangan terkejut ada juga yang setiap hari akan ke pasar ramadan tanpa membeli apa-apa....semuanya ada ragam yang tersendiri...

1 comment:

Anonymous said...

Salam

puasa dulu dah habis ganti ke bang?