22 October, 2008

KEGILAAN MEDIA ATAU KEBODOHAN KITA?

Maaflah kerana agak lama membiarkan blog ini tanpa sebarang bicara. Bukan kerana aku marahkan Datuk Shah Rukh Khan. Memang pada mulanya aku tak puas hati..tetapi bila difikirkan kembali aku harus akur dengan segala yang tersurat itu. Sudah menjadi hak yang mempunyai kuasa untuk memberi kurnia bulan dan bintang kepada yang difikirkan layak, jadi sama-sama lah kita redha dengan ketidakcerdikan itu. Apatah lagi, semalam salah seorang ahli parlimen dari Melaka mempertahankan anugerah itu di Parlimen dengan mengatakan anugerah itu merupakan satu pelaburan kepada negeri Melaka. Beliau telah memberikan angka-angka kemasukan pelancong dari India semenjak tahun 2005 sehingga kini yang saban tahun semakin meningkat. Jadi dengan penganugerahan Datuk kepada Shah Rukh Khan ini maka difikirkan lebih ramai pelancong lagi akan melawat negeri Melaka. Dan kerana itu suka sekali aku mencadangkan agar anugerah ini turut diberikan kepada artis -artis dari negara luar yang lain supaya mereka ini turut sama dapat mempromosikan negeri Melaka seperti yang telah dibuat oleh Datuk Shah Rukh Khan dengan jayanya.
Ok, tinggalkan dulu berkenaan perkara 'bodoh' itu tetapi apa yang ingin aku catat sedikit di sini tentang perkara yang lebih kurang sama iaitu 'Kegilaan Media dan Kebodohan Kita'. Semalam mencatat lagi satu sejarah buat penyanyi terkenal Mawi apabila diberi peluang oleh Astro melalui saluran 501 untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya. Dan pagi semalam juga Astro melalui saluran radio Era telah memberi peluang kepada pendengarnya untuk memberi pandangan kepada Mawi berkenaan persiapan perkahwinannya. Tak cukup dengan itu, muka depan akhbar Berita Harian hari ini memuatkan berita bergambar warna tentang pengumuman tarikh perkahwinan Mawi. Utusan Malaysia pula telah memberikan ruang separuh muka (juga dengan gambar warna) untuk menyiarkan berita ini dengan transkrip penuh temubual yang telah dibuat. Itu aku belum akhbar-akhbar lain. Sebelum mencatat seterusnya, tulisan ini bukan bermaksud aku dengki dan tidak suka Mawi. Walaupun aku bukan peminat separuh mati Mawi tetapi aku masih boleh bersiul mendengar lagu-lagu Mawi. Dalam hal ini aku melihat Mawi lebih hanya sebagai boneka yang digunakan untuk meraih keuntungan. Walaupun sememangnya Mawi mendapat peratusan daripada keuntungan itu tetapi peratusan itu hanyalah kecil berbanding peratusan besar yang dikaut oleh pihak media ini.
Kegilaan media di negara kita semakin menjadi-jadi pada hari ini setelah berlakunya persaingan dengan tumbuhnya stesen TV swasta dan berbayar, serta rangkaian stesen radio swasta. Persaingan antara stesen radio dan tv ini membuatkan mereka terpaksa atau harus memikirkan jalan terbaik untuk menarik perhatian penonton, pendengar dan pembaca. Maka sudah tentunya artis menjadi bahan utama untuk dieksploitasi memandangkan golongan ini sering mendapat perhatian daripada sebahagian besar rakyat Malaysia. Mungkin pada awal persaingan bahan-bahan yang dipaparkan dalam media mereka masih boleh diterima, namun apabila persaingan semakin sengit maka alternatif atau kaedah lain perlu dicari untuk menarik perhatian penonton. Dan akhirnya kini setiap hari kita akan dimomokan dengan berita-berita sebegini yang sebenarnya tiada nilai berita pun. Tetapi oleh kerana berita ini berkaitan selebriti dan kebanyakan orang kita memang gilakan berita sebegini maka sudahnya kita terpaksa akur dengan situasi yang meloyakan ini. Kalau kita sedar semenjak dulu hingga kini, media di negara kita sering mengeksploitasikan golongan artis dan selebriti ini untuk meraih keuntungan. Betul, sememangnya keuntungan diperlukan untuk meneruskan perniagaan tetapi apabila rakyat dan masyarakat terus dihidangkan dengan berita-berita 'kurang cerdik' seperti ini maka sudahnya masyarakat kita hanya mampu berbincang tentang hal-hal dalam kain artis bila bercakap berkaitan industri seni di negara kita.
Secara tidak langsung, kegilaan media yang terus menyajikan kita dengan cerita-cerita murahan atau kisah kahwin cerai artis, kisah cinta selebriti dan sebagainya sebenarnya telah menyebabkan masyarakat memandang rendah industri seni itu sendiri. Seharusnya media memainkan peranan yang penting dalam membantu mengembangkan industri muzik dan seni di negara kita yang semakin malap ini tetapi dalam keadaan sekarang kita sebenarnya sedang mengundur ke belakang. Walaupun diakui masih ada bahan media yang membantu mengangkat darjat industri ini tetapi peratusannya masih kecil berbanding cerita-cerita bertaraf sampah yang terus dihidangkan. Dan oleh kerana sudah terlalu asyik membaca, menonton dan mendengar bahan-bahan murahan sebegini maka agak sukar untuk mengubah perspektif masyarakat kita untuk menghayati seni dengan pemikiran, ilmu dan persepsi yang lebih bijak. Oleh sebab itulah sehingga hari ini industri muzik dan filem di negara kita semakin layu dan salah satu faktornya media di negara kita tidak mampu memainkan peranan yang diperlukan. Kegilaan media untuk memaparkan perkara remeh-temeh dalam industri ini menjadikan kita terpaksa 'memperbodohkan' diri untuk membaca, menonton dan mendengar apa yang disajikan. Dalam hal ini, sekali lagi kita sebagai pengguna mempunyai pilihan untuk menentukan yang cerdik atau yang kurang cerdik...

4 comments:

Pak Yob said...

itu adalah hakikat hidup sebilangan orang melayu malaysia, media sendiri meletakkan cop "ikon" dan "idol" pada artis....suka atau tidak "orang itu" mengecap gemilangnya atas taburan wang ringgit dari peminatnya yang mungkin lebih separuh dari angka keseluruhan rakyat malaysia....mungkin yang suka lebih ramai dari yang jelak, maka itulah seni berita yang disaji....wallahuaklam.

Paya Redan said...

Sampai laa aku masih berjaya tak melanggan ASTRO. Walau pelbagai cara dan hasutan yang melanda namun aku masih tabah. Sampai masanya kita gunakan "kuasa pengguna" untuk melawan semua ni... tapi kena la buat ramai-ramai, kalo aku sorang je sampai MAMPUS tak jalan....

am ahmad said...

Saya budak baru belajar..kalau salah tolong tunjukkan..hehe..
Antara artis Malaysia yang layak tetapi masih tidak layak untuk mendapat gelaran adalah M.NASIR!!!

Sharrul... said...

Sebenarnya ramai lagi yang layak, cuma diaorang jer tak leh pikir...he..he....