03 March, 2010

KEHILANGAN

Jumaat lepas aku kehilangan orang yang disayangi, apabila kembalinya ibu mertua aku (Allahyarhamah Hanisah Mohamed) ke rahmatullah di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, Kelantan, jam 12.30 tengah hari. Sesungguhnya pemergian ini satu kehilangan besar buat keluarga isteri aku yang sememangnya begitu menyayangi Umi (panggilan dalam keluarga). Setelah bertahun-tahun menanggung penyakit kencing manis, sehingga 3 jari kaki terpaksa dipotong, dua bulan lepas arwah Umi terjatuh di bilik air dan beberapa hari selepas itu doktor mengesahkan arwah lumpuh sebelah badan (kiri). Bermula dari saat itu, kami sekeluarga berusaha untuk mengubati penyakit Umi selain terus memberi semangat kepadanya untuk melawan penyakit. Kesihatan Umi ada kalanya baik, tetapi ada kalanya membimbangkan sehingga terpaksa di masukkan ke hospital.
Awal pagi Jumaat (26/02/2010), jam 1 pagi kami menerima panggilan telefon daripada keluarga di Machang memaklumkan yang Umi terpaksa di hantar ke hospital kerana pendarahan yang keluar agak banyak. Akhirnya pada pukul 6 pagi, pihak Hospital Machang telah menghantar Umi ke Kota Bharu untuk tindakan lanjut akibat keadaan yang agak serius. Aku sekeluarga menunggu di Hospital Kota Bharu, dan sebaik sahaja van ambulan yang membawa Umi sampai, arwah terus dibawa masuk ke wad kecemasan. Setelah beberapa pemeriksaan dibuat dan darah dimasukkan ke dalam badan, akhirnya Umi dimasukkan ke wad pada pukul 10.30 pagi. Keadaan Umi pada ketika itu agak stabil dan masih boleh bercakap dengan kami. Menjelang tengah hari kami sekeluarga mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sekejap tetapi di pertengahan jalan menerima panggilan telefon memaklumkan Umi tenat. Kami bergegas kembali ke hospital tetapi tidak sempat untuk bertemu apabila Umi menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12.30 tengah hari dengan tenang.
Sesungguhnya kami sekeluarga redha dengan pemergian ini, apatah lagi di hari Jumaat bersamaan dengan Maulidur Rasul. Walaupun kasih dan sayang kami sekeluarga kepada Umi begitu mendalam tetapi sesungguhnya Allah lebih menyayangi diri Umi. Semoga roh Umi ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

3 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Sdra. Sharrul,
AL-FATIHAH buat arwah ibu mertua.

Wan A. Rafar said...

Sdr Sharrul,
Takziah dan turut berduka di atas kembalinya arwah umi. Alfatihah.

mohamadkholid said...

alfatihah utk umi sdr...