Sejujurnya sebagai peminat setia kumpulan lagenda ini, aku tidak menaruh
harapan besar yang Search akan muncul dengan album penuh dalam keadaan industri
muzik yang nazak di Malaysia dan kemunculan aplikasi digital pada era kini.
Setiap kali berjumpa dengan Cikgu Nick seorang Die Hard Fans di Kota Bharu, dia sering meminta aku menyampaikan
kepada Search untuk membuat album penuh. Jawapan aku, kalau Search dapat buat single atau album mini pun dah cukup
bagus. Namun ternyata telahan aku meleset dan doa cikgu Nick menjadi kenyataan.
Awal tahun 2017, dalam kemelut berdepan dengan isu konsert 35 Tahun, Search
membuat keputusan untuk muncul dengan album penuh. Berkat sokongan dan
peruntukan daripada peminat nombor satu kumpulan ini, Dato’ Zaharul Annuar (pemilik
Dream Studio, Pawana Music dan Fenomena Music) dan kembalinya sifu M. Nasir ke
studio membuatkan penantian peminat kumpulan ini selama 11 tahun terubat. Search
kembali bertapa di Bsync Studio di Jalan Robson bermula April 2017, dan tanggal 22 November 2017, kemunculan album
Katharsis menjadi pengubat kepada
kerinduan peminat selama ini yang terus mendambakan irama Search.
Search memulakan sesi rakaman dengan tangan kosong, apatah lagi sebelum itu
dihimpit dengan pelbagai kemelut dan krisis dengan penganjur konsert. Tetapi
berkat sokongan semua pihak dan doa daripada peminat, maka lahirlah Katharsis. Album studio ke-12 ini amat
dinanti-nantikan, apatah lagi gabungan terakhir dua beradik Kid dan Din dalam
satu album ialah menerusi album Bikin
Wilayah pada tahun 1998. Tapi bagi aku bukan sahaja gabungan dua beradik
ini, tetapi sebenarnya gabungan terakhir Search yang lengkap hanya menerusi
album Rock N Roll Pie (1996). Walaupun
selepas itu mereka bersama dalam album Double
Troube II, tetapi bukan dalam satu album penuh dan ketika itu posisi pemain
bass digalas Fauzy. Selepas Gothik Malam
Edan, dan kemunculan semula gabungan Kid dan Din pada tahun 2009, Search
hanya bersatu menerusi konsert tanpa album. Biarpun mereka merakamkan kembali Kejoraku Bersatu versi Amy pada tahun
2012, tapi ramai yang tidak tahu sebenarnya kerja-kerja gitar dalam rakaman
tersebut digalas sepenuhnya oleh Kid, tanpa Din. Kerana itulah album ini
ditunggu-tunggu oleh ramai peminat, kerana gabungan Amy, Nasir, Kid dan Din
antara yang terbaik untuk Search. Cuma, kali ini tanpa Yazit dan kerana itu
bagi aku biarpun album ini antara yang terbaik buat Search tetapi agak tidak ‘sempurna’.
Album ini bermula dengan Gagalista.
Kisah seorang yang gagal dalam hidup. Lagu ini sebenarnya untuk album solo Amy.
Aku terbayang kembali lirik-lirik rebel lagu Kongkang, Hey Apache menerusi album solo Aku Amy yang ditulis oleh arwah Loloq dan rasanya Buddhi Hekayat mampu
meneruskan legasi penulisan lirik yang baik seperti arwah. Sidang Kangaroo pula menjadi pilihan Search sebagai single pertama
sebelum Katharsis dilancarkan. Ini antara trek yang menjadi pilihan aku.
Gabungan irama, gubahan muzik dan lirik lagu ini antara yang terbaik dalam
Katharsis. Bila aku tanya Mael (Ishmael) yang menulis lirik ini daripada mana
datangnya idea 'kangaru' ini, Mael memaklumkan lirik ini ditulis dalam kapal
terbang dalam perjalanan balik dari Australia ke Malaysia. Ketika di
Australia, dia sempat ke zoo dan melihat kangaru. Dan ketika di sana juga M.
Nasir menghubungi Mael, mendesak untuk siapkan lirik lagu tersebut yang
akhirnya memunculkan idea buat Mael menghasilkan lirik ini. Aku tidak bercadang
nak kupas satu-persatu setiap lagu dalam album ini. Bagi seorang kipas mati
Search seperti aku, setiap lagu ada keistimewaan yang tersendiri. Nama Yang Kau Lupa ciptaan Aceh (Nasir) juga
pastinya menjadi trek pilihan untuk album ini kerana melodinya yang mampu
membuai perasaan, begitu juga dengan Henjut
dan Sulalatus Salatin. Gabungan M.
Nasir dan Search sebenarnya adalah suatu magis! Kemunculan penulis lirik baru
seperti Buddhi Hekayat, Ishmael dan Ad Samad pula mampu menggantikan bait-bait
seni kata yang ditinggalkan arwah Loloq, Bob, Usop dan beberapa nama lagi yang
pernah bersama Search. Tetapi untuk album ini, Usop kembali melalui lagu Mitos Atau Nyata.
Jubah Pengantin antara trek yang perlu diberikan perhatian khusus. Lirik
S. Amin Shahab ini ada sesuatu. Sebelum ini S. Amin Shahab antara yang banyak
menyumbang kepada Search. Balada Pemuzik
Jalanan, Seroja, Panggung Khayalan, Manusia Reptilia, Sutera Atau Rayon,
Pawana, Kejora, Nirmala, Gadis Misteri
dan banyak lagi antara hasil coretan beliau. Namun kali ini nama seorang lelaki
iaitu Kamaludin dalam lirik lagu tersebut menjadi igauan seorang sahabat aku
yang bernama Qalqalah Qubra. Lagu ini juga ada roh yang tersendiri dan wajib
didengar banyak kali untuk memahaminya. Apologia
pula antara yang terbaik dalam Katharsis. Ini antara buah tangan Din yang
sesekali bila keluarkan ideanya akan menghasilkan sesuatu yang mantap. Apatah
lagi Kid seolah memahami resah serta perasaan abangnya ini menerusi permainan
dan petikan solo yang bernyawa. Lagu ini juga sesuatu yang istimewa buat Din
sehinggakan hanya menggunakan petikan lirik ini untuk ruangan catatannya dalam inlay album. Embun sebenarnya lagu yang diambil daripada katalog album solo Amy
yang tertangguh, tetapi lagu ini kena dengan Search dan antara melodi terbaik yang
dihasilkan oleh M. Nasir dalam Katharsis. Trek ini antara yang sering aku ulang
dan ada ketikanya melayang! Bebas Liar
pun antara trek berat yang sangat aku minat. Lagu ni hasil melodi Nasir
Rockfather, he..he..baru perasan bro Nasir dah tak guna nama Aceh untuk lagu
ciptaannya. Riff lagu ini mengimbau kembali aku kepada Memandu Nafsu (Karisma, 1990). Macam mana aku gila dengar Memandu Nafsu berulang kali dulu, lagu ini
juga pastinya akan diulang-ulang nanti.
Jangka masa 700 jam di studio, kemuncaknya
Katharsis lahir ketika Search mencapai tahun ke-36. Bukan mudah untuk bertahan,
apatah lagi mengumpul peminat daripada generasi ke generasi. Seperti yang aku
nyatakan tadi, album ini sedikit tidak sempurna kerana Search 'tidak lengkap' tetapi masih yang terbaik dalam koleksi album Search. Kelahiran album ini menunjukkan tahan kematangan Search dan wajib menjadi panduan kepada kumpulan-kumpulan baru. Album ini juga wajib
dimiliki oleh semua peminat setia Search sebagai satu khazanah muzik rock
unggul Malaysia. Biarpun ada suara-suara mengatakan Amy sedikit ‘pancit’ dalam
album ini, tetapi dalam usia menjangkau angka 60 pada tahun hadapan, Amy
berjaya membawa lagu dalam album ini sesuai dengan karektor suaranya. Mana
mungkin Amy mampu menjerit lagi seperti dalam Mentari Merah, Fenomena atau Karisma
yang dirakam kira-kira 30 tahun yang lalu. Gabungan Din & Kid pula bagi aku
antara yang terbaik dalam susunan line up
Search. Biarpun ada peminat yang lebih suka gabungan antara Hillary & Din
tetapi bagi aku chemistry Search
lebih kepada Kid & Din. Dalam Katharsis,
idea dua beradik ini masih terus unggul. Din terus mencipta riff-riff ‘jahat’
yang kena dengan irama Search. Mana mungkin ada orang lain yang boleh memandu
irama Search sebaik pemilik nama Noordin Mohd Taib. Permainan
Kid pula terbaik untuk album ini. Solo-solonya kukuh bernafas dan memberi nyawa kepada lagu. Jolokon King
Of Tremolo sangat sesuai untuk adik bongsu dalam Search. Cuma aku
sedikit terkilan kerana tidak ada solo keramat seperti Isabella atau intro menyengat seperti Nurnilam Sari dalam Katharsis.
Mungkin juga ada, aku kena dengar lagi dan lagi rasanya. Bro Nasir pula antara
tulang belakang yang terus berusaha mengekalkan jenama Search untuk terus
kukuh. Komitmen Nasir untuk album ini tidak boleh dipertikaikan lagi dan ideanya
untuk bass line semua lagu dalam
Katharsis menjadi sebab untuk dia harus berbangga dengan album ini. Pae pula
cemerlang sebagai pengganti Abang Yazit. Walaupun belum mampu menyaingi stroke dan pattern Yazit, tetapi sekurang-kurangnya Pae membuktikan dia antara
pelapis pemain drum terbaik di Malaysia.
Album ini dikatakan album terakhir Search. Mungkin ada yang agak skeptikal
dengan kenyataan ini, tetapi andainya betul rasanya Search telah menghadiahkan
sesuatu yang berharga buat semua peminat setianya. Album ini dibuat dengan
keringat dan air mata Search setelah melalui pelbagai dugaan sebelum ini.
Search telah melalui semua onak dan ranjau dalam industri muzik di Malaysia namun
terus unggul sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia. Penghargaan dan
ucapan terima kasih juga buat Dato’ Zaharul yang memahami kehendak
peminat-peminat Search. Sebagai seorang peminat, Dato’ Zaharul membuktikan dia
ialah peminat nombor satu Search atas usahanya tidak jemu-jemu mengeluarkan
produk Search biarpun dipandang negatif oleh sesetengah pihak. Sebagai peminat,
kita mungkin terus mengharapkan jenama Search akan terus kekal, tetapi
sebarang kemungkinan kita juga harus menerimanya. Apa yang penting kita terus
memberikan sokongan kepada apa yang telah Search perjuangkan.
Catatan ini ditulis sambil aku mendengar album ini berulang-ulang. Sebagai
peminat biasa yang mula mendengar Search sekitar tahun 1987, sangat teruja dan
bangga apabila nama tercatat dalam inlay Katharsis.
(Cuma sahabat aku Edrus yang sedikit kecewa bila nama yang tercatat dalam inlay
ialah Wahid, iaitu nama ayahnya..he..he..). Sesekali fikiran melayang mengenang
kembali apa yang telah aku lalui selama ini. Irama Search banyak memberikan
inspirasi dan di akhir catatan ini sayup-sayup terdengar bait lirik Apologia di gegendang telinga...
“...Ingin ku wariskan mereka,
dengan cinta
dan kedamaian
Bukan bara permusuhan
bagaikan api dalam sekam...”