31 July, 2008

AL-FATIHAH BUAT SASTERAWAN NEGARA S. OTHMAN KELANTAN

Awal pagi tadi ketika senang diulit mimpi aku menerima sms daripada pengarah memaklumkan mengenai pemergian Sasterawan Negara S. Othman Kelantan atau nama sebenarnya Syed Othman Syed Omar. Sebelum ini aku sedia maklum yang Allahyarham telah dimasukkan ke hospital kerana beberapa komplikasi berkaitan jantung dan kencing manis. Tidak sangka pula terlalu cepat Allahyarham pergi meninggalkan kita dan khususnya dunia persuratan di Malaysia ini. Walaupun tidak selalu dapat bertemu dengan Allahyarham, tetapi sesekali apabila Allahyarham hadir dalam majlis atau aktiviti yang kami anjurkan sempat juga beramah-mesra dengannya. Mengenali beliau secara peribadi, Allahyarham seorang yang gemar bergurau dan berjenaka. Seringkali dalam ucapan dan syarahan yang disampaikannya, kita tak akan kering gusi dengan gurauan dan usikan melalui kata-katanya. Namun kadang-kala banyak maksud tersirat daripada gurauan dan usikan tersebut yang tidak dinyatakan secara langsung. Kini, arena kesusasteraan Melayu di Malaysia hilang sebutir lagi permata berharga yang banyak menyumbang kepada pembinaan persuratan dan tamadun Melayu. Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga Alahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah......
Sedikit Latar Tentang Allahyarham
S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.
Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).
S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.
Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.
Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.
Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.
Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.
Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). -

09 July, 2008

ANTARA DUA DARJAT


Kalau catatan aku sebelum ini menggunakan perkataan 'Antara' di awalnya, kali ini aku masih mahu menggunakan perkataan ini sekali lagi. Cuma tajuknya kali ini Antara Dua Darjat. Ceritanya begini.....Hari Sabtu lepas aku berpeluang mengikuti satu seminar berkaitan dunia perpustakaan yang dibuat di Kuala Terengganu. Semasa sedang duduk menunggu ketibaan tetamu kehormat, aku disapa oleh seorang kawan lama (perempuan) yang sama-sama menuntut di universiti dahulu. Perbualan awal hanya berkisar tentang perkembangan terkini dan keluarga masing-masing. Sebenarnya semasa belajar dahulu aku memang tidak rapat sangat dengan dia kerana beberapa faktor, antaranya kerana dia seorang yang rajin, alim dan baik. Manakala aku pula dalam kategori kurang rajin, kurang alim dan kurang baik...he...he...Lagipun aku memang agak kurang rapat sangat dengan pelajar-pelajar wanita, makanya perhubungan kami masa di universiti dulu hanya setakat kalau ada benda penting barulah bercakap.


Berbalik pada kawan aku tadi, dalam rancak berbual tiba-tiba dia menyatakan rasa kesal dengan beberapa peristiwa yang telah berlaku pada dia. Sebenarnya, kawan aku ini buat masa sekarang memegang jawatan penolong pegawai di sebuah perpustakaan cawangan. Walaupun mempunyai ijazah, tetapi oleh kerana masih tiada rezeki maka dia masih kekal dengan jawatan tersebut. Dalam ceritanya kepada aku, dia merasa sangat sedih dan kesal kerana dipandang rendah dan dihina oleh rakan-rakan yang sama-sama belajar di universiti suatu ketika dahulu. Kebanyakan mereka ini berkhidmat sebagai pegawai di salah sebuah perpustakaan terulung negara. Hanya kerana perbezaan status pegawai dan penolong pegawai maka apabila mereka berjumpa dengannya ada yang melarikan diri, ada yang menunjukkan rasa kurang senang dan ada juga yang sanggup menghina. Aku tak pasti sama ada benar atau tidak ceritanya ini, dan sama ada kawan-kawan yang lain itu sekadar bergurau. Tetapi dari gaya penyampaian ceritanya, aku yakin ianya benar. Lagi pun tiada faedahnya dia nak menipu kerana aku bukanlah orang yang ada kuasa yang boleh merubah segala-galanya.
Bila mendengar cerita tersebut, macam-macam perasaan yang timbul. Marah pun ada, nak tergelak pun ada. Rupa-rupanya masih ada lagi manusia yang terlalu bangga dengan status dalam zaman milenium ni. Hello....kakak-kakak dan abang-abang, ini bukan zaman macam filem Antara Dua Darjat sehingga Ghazali dihina oleh keluarga Tengku Zaleha. Ini juga bukan lagi zaman Ibu Mertuaku yang perlu memilih kedudukan dan harta. Kalau pun anda semua terlalu bangga dengan jawatan pegawai yang disandang tetapi janganlah terlalu riak atau bongkak. Tak salah untuk berbangga dengan kedudukan anda setelah berhempas-pulas belajar dahulu tetapi janganlah sampai tak kenal kawan dan rakan. Kalau pun anda tak suka dengan kawan kita yang seorang ni, tak perlulah menunjukkan sikap yang kurang adab sehingga boleh menjatuhkan aib beliau. Mungkin perbezaan status itu masih boleh diguna pakai semasa menjalankan tugas rasmi tetapi sekiranya luar dari tugas rasmi seharusnya kita perlu menghormati kawan.
Sebenarnya gejala Antara Dua Darjat ini bukan pertama kali aku dengar, banyak juga cerita-cerita dari dari jabatan lain yang pernah singgah di cuping telinga. Percaya atau tidak ada pegawai yang tidak membenarkan staf lain yang tidak ada diploma dan ijazah untuk makan sekali satu meja dengannya. Agak lucu sebenarnya memikirkan golongan-golongan sebegini yang terlalu riak dengan ijazah dan pangkat mereka sehingga harus mengenepikan silaturahim sesama insan. Itu baru menjadi pegawai, tak tahu la apa nak jadi sekiranya menjawat jawatan yang lebih besar dan tinggi. Dan aku juga bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku mungkin tidak tergolong dalam golongan ini. Bukan niat meninggi diri, tetapi aku tidak pernah meletakkan batas pangkat dan jawatan aku yang tidak seberapa ini untuk bergaul dengan rakan-rakan lain yang rendah jawatannya. Bagi aku jawatan itu hanya amanah sementara yang diberi kepada kita untuk dilaksanakannya, dari segi perhubungan dan silaturahim seharusnya tidak ada batasan di situ. Seharusnya keikhlasan dan kejujuran mengatasi segala-galanya. Sejak dari kecil hingga sekarang aku jarang ada masalah dengan kawan-kawan, sehinggakan aku seringkali di perli isteri kerana lebihkan kawan daripada saudara-mara. Dan aku sebenarnya mengakui hakikat itu walaupun sebenarnya aku cuba bersikap adil dalam perhubungan kedua-duanya. Cuma apa yang aku harap kita dapat berfikir sejenak dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita, dan janganlah terlalu sombong dan riak sehingga harus menafikan ikatan persahabatan yang telah lama dibina. Mungkin hari ini kita berada di atas dan tidak semestinya kekal, mungkin suatu hari nanti kita berada dibawah dan harus mendongak pula untuk meminta belas kasihan dari yang di atas. Wallahualam....

08 July, 2008

ANTARA PERSEPSI, TEORI DAN KONSPIRASI

Dalam keadaan kegawatan politik di negara kita pada hari ini, tiga perkataan ini sering diungkapkan dan disebutkan selain daripada satu lagi perkataan yang tak boleh dinyatakan di sini. Sebenarnya aku bukan hendak mencatat tentang politik, walaupun aku sememangnya mengambil berat dengan kisah-kisah politik. Dalam situasi politik semasa negara, aku bersikap terbuka dan mampu membaca, mendengar dan meneliti kenyataan, hujah dan berita daripada mana-mana pihak sekalipun. Bagi aku lebih baik kita meneliti dan membuat analisa tentang sesuatu perkara terlebih dahulu daripada percaya dan taksub membabi-buta. Oleh kerana aku tidak mahu berhujah panjang tentang politik, di bawah ini aku perturunkan maksud tiga perkataan popular pada masa kini menurut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat...
  1. PERSEPSI :(persépsi) gambaran atau bayangan dlm hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera), tanggapan: kekuatan imaginasi, kepekaan dan ~nya terhadap alam dan kehidupan memberikan gaya dan pengucapan yg khusus pd karya-karyanya;
  2. TEORI : téori) 1. pendapat (bersifat pandangan yg tidak dapat dibuktikan dgn kukuhnya) yg dikemukakan utk menerangkan sesuatu perkara dll: banyak ~ dikemukakan mengenai kehidupan pd masa prasejarah; 2. prinsip-prinsip am atau asas-asas kasar yg menjadi dasar pembentukan (perkembangan) sesuatu pengetahuan: ~ ekonomi; 3. asas, dasar (bukan amalan atau apa yg biasanya berlaku): pd ~nya raja yg memerintah negeri itu, tetapi sebenarnya baginda menurut nasihat jemaah penasihatnya; ~ atom (Fiz) teori yg menganggap bahawa semua jirim terbina drpd atom; ~ domino teori sains politik yg beranggapan bahawa kejatuhan salah satu negara di Asia Tenggara ke tangan komunis akan menyebabkan kemungkinan semua negara Asia Tenggara akan diambil alih oleh pihak komunis; ~ ion (Kim) teori yg menyatakan bahawa sesuatu bahan yg larutannya mengalirkan arus elektrik akan mengalami penceraian elektrolisis;
  3. KONSPIRASI : rancangan rahsia utk melakukan sesuatu yg menyalahi undang-undang (terutamanya yg berbau politik): negara kita Malaysia, juga tidak ketinggalan menerima bahang panas komplot ~ kuasa-kuasa besar tersebut;
    berkonspirasi : melakukan (menganjurkan, mengadakan dsb) konspirasi, berkomplot: ada tokoh-tokoh korporat yg dikatakan ~ utk menjatuhkan menteri berkenaan; kami tidak ~ utk menyekatnya drpd menjadi ahli parti