18 June, 2015

DARI TIMUR KE UTARA

Sekitar bulan Mac tahun 2001, apabila aku menerima surat tawaran sebagai Pustakawan berstatus (kontrak) kegembiraan terpancar di wajah. Setelah hampir setahun membuat kerja-kerja sambilan di warung dan restoran sebagai pembancuh air, akhirnya aku mendapat juga kerja yang agak baik. Tetapi kegembiraan itu tidak lama apabila aku membaca di perenggan akhir surat tersebut yang menyatakan "Tuan akan ditempatkan di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan". Aku menjadi sedikit terkedu setelah membaca kenyataan akhir itu. Kota Bharu dan Kelantan adalah suatu tempat asing bagi aku. Hanya pernah sekali ke Kelantan sebelum itu, menghadiri majlis kenduri keluarga yang kebetulan orang Kelantan. Selain itu, bagi aku Kelantan adalah seperti negeri asing yang jauh dan tak pernah terbayangkan untuk aku bekerja apa lagi menetap di sana. Setelah berbincang dengan keluarga, akhirnya aku menerima tawaran daripada DBP. Aku melaporkan diri di DBP Ibu Pejabat di KL, ketika itu masih di bangunan lama pada 9 April 2001. Pada ketika itu, aku dikehendaki berkursus dahulu di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP selama dua bulan sebelum dihantar ke Kota Bharu. Buat seketika aku menumpang di rumah Ajan (Meor Shahizal) di Seri Kembangan dalam tempoh dua bulan tersebut. 

Tanggal 2 Jun 2001, aku dihantar oleh ayah dan mak ke stesen bas di Butterworth. Berbekalkan dua beg besar baju dan macam-macam pesanan yang lain oleh emak, aku bertolak ke Kota Bharu menaiki bas transnasional ke Kota Bharu. Perjalanan pagi itu satu perjalanan baru bagi aku, apatah lagi untuk bertugas di tempat baru. Sekitar pukul 5 petang, bas sampai di stesen bas Kota Bharu dan Ezani (rakan yang sama-sama belajar di UiTM) telah menunggu aku di situ. Buat sementara aku menumpang di rumah Ezani di Kampung Chicha, Kubang Kerian (berhadapan Istana Kelantan), kebetulan dia juga tinggal sorang kerana keluarganya berpindah ke Sarawak. 

Tarikh 3 Jun 2001, aku melaporkan diri di DBP Wilayah Timur dan ditempatkan di Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis sebagai pustakawan dan bermula daripada tarikh itu, semuanya menjadi sejarah panjang dalam hidup aku. 

Catatan ini sengaja dimulakan dengan sejarah 14 tahun yang lalu kerana itulah yang berlaku ketika menerima tawaran bekerja di Kota Bharu. Sebenarnya juga sepanjang tempoh itu telah beberapa kali aku memohon untuk bertukar ke DBP Wilayah Utara tetapi terhalang oleh beberapa sebab. Dan antaranya setelah aku berkahwin dengan seorang gadis dari Machang yang membuatkan perjalanan aku di Kota Bharu memanjang ke tempoh 14 tahun. Sepanjang tempoh tersebut banyak yang telah dilalui. Banyak suka duka yang aku dan keluarga telah tempohi. Rasanya tak tercatat di sini, tetapi pengalaman itu banyak mengajar kami memahami asam garam kehidupan. Setelah 14 tahun di Tanah Serendah Sekebun Bunga, bumi Kota Bharu bukanlah asing lagi bagi aku. Banyak yang telah aku lalui, banyak juga yang telah aku jelajahi dan fahami.

Awal tahun 2015. Setelah mendapat tahu terdapat beberapa kekosongan jawatan di DBP Wilayah Utara dan di DBP Wilayah Timur serta di DBP KL yang perlu diisi dan dan aku salah seorang senarai calon yang diminta untuk menghantar maklumat lengkap perkhidmatan untuk dinilai, aku sebenarnya dah mula bersedia untuk menerima perpindahan. Aku sedar sebagai seorang penjawat awam, aku harus menerima ketentuan sekiranya diarahkan untuk berpindah. Sebenarnya kami sekeluarga memang merancang agar seboleh-bolehnya kami dapat tinggal di Kota Bharu sehingga puteri kami menamatkan darjah enam, kalau boleh tak hendak mengganggu pembelajarannya apatah lagi dia dapat bersekolah di sekolah yang baik. Tetapi mungkin sudah ditentukan, dan mungkin juga berkat doa daripada seorang ibu yang sentiasa mengharapkan agar anaknya dapat kembali bekerja di kampung halaman. Akhirnya kami harus menerima kenyataan itu. 

14 Mei 2015. Sekitar pukul 2 petang aku menerima berita dan surat pelantikan dan juga sekaligus pertukaran ke DBP Wilayah Utara berkuatkuasa 18 Mei 2015 melalui Pengarah DBP Wilayah Timur. Ketika menerima berita dan surat itu, sebenarnya perasaan agak berbelah bahagi. Gembira kerana dapat berpindah ke utara dan sedih kerana perlu meninggalkan negeri Kelantan. Selepas menerima berita pertukaran itu, aku menerima pula berita pemergian sahabat penulis Allahyarham Rahimidin Zahari ke Rahmatullah. Jadi perasaan sedih menyelubungi aku sepanjang hari itu. Setelah berbincang dengan pengarah, akhirnya aku memohon penanggguhan untuk bertukar ke tarikh 1 Jun 2015 bagi menguruskan semua urusan perpindahan dan juga pertukaran sekolah anak.

Bermula dari tarikh tersebut, kami sekeluarga melalui hari-hari sedih untuk meninggalkan bumi Kota Bharu. Dalam tempoh yang singkat kami perlu mengemas rumah, dan menguruskan beberapa perkara penting yang berkaitan. Jadi aku terpaksa untuk membuat perancangan melaporkan diri terlebih dahulu pada 1 Jun untuk beberapa hari dan mengambil cuti untuk kembali ke Kota Bharu bagi menguruskan urusan pindah sehingga selesai sebelum cuti sekolah berakhir. Dalam tempoh itu juga gunakan masa untuk bertemu saudara dan sahabat di sana sekurang-kurangnya untuk mengucapkan selamat tinggal dan mengucapkan terima kasih atas segala budi baik selama kami di bumi Kelantan. Sempat juga kami mengadakan dua majlis untuk puteri kami dan rakan-rakan di sekolahnya. Begitu juga dengan majlis dengan rakan, sahabat penulis. Bertuahnya juga kami kerana pada 9 Jun 2015, kami sekeluarga diraikan oleh semua persatuan penulis di negeri Kelantan dalam satu majlis khas yang diadakan di Hotel Juita Inn. 



Bermula dari tarikh 3 Jun 2001 sehinggalah hari terakhir kami meninggalkan Kota Bharu pada 13 Jun 2015, bermakna selama 14 tahun aku menetap di sana. Kami meninggalkan bumi Kota Bharu dengan perasaan sedih dan sayu. Banyak air mata yang mengalir sepanjang tempoh mendapat tahu tentang berita pertukaran sehinggalah kami melalui banjaran Titiwangsa untuk balik ke utara. Sebenarnya ada beberapa perkara yang membuatkan kami berasa amat berat hati dan sedih untuk berpindah ke utara. Pertama sekali kerana kami perlu mengorbankan persekolahan puteri kami di sebuah sekolah yang amat baik (SK Zainab 2). Sebelum ini kami sentiasa berharap agar puteri kami dapat menamatkan persekolahnnya di sini, apatah lagi dia sentiasa dapat aktif dalam pelbagai kegiatan sama ada di dalam atau di luar sekolah sepanjang tempoh berada di Kota Bharu. Kami bimbang dan risau sekiranya perpindahan ini akan memberikan kesan kepada pembelajaran dan emosi puteri kami. 
Perkara kedua yang menjadikan kami amat sedih kerana terpaksa meninggalkan jiran yang amat baik. Keluarga Abang Nasir dan Kak Mah serta anak-anaknya yang menjadi jiran kami selama 12 tahun sudah seperti keluarga sendiri. Banyak pertolongan dan budi yang telah dihulurkan kepada kami yang tak mampu dibalas. Puteri kami juga sudah dianggap seperti anak mereka sendiri, di situlah dia bermain sejak dari kecil sehinggalah ke hari ini. Mereka sekeluarga juga sangat memahami kami dan banyak berkongsi suka dan duka kami sekeluarga. Apatah lagi sejak tahun lepas, cucu abg Nasir dan Kak Mah (Rahim) dijaga oleh isteri dan kami anggap seperti anak sendiri. Jadi kesedihan itu semakin bertambah. 

Perkara ketiga yang membuatkan kami amat berat hati untuk meninggalkan negeri Kelantan tentu sahaja untuk meninggalkan sahabat-sahabat penulis dan dunia sastera di negeri Kelantan. Sememangnya ramai daripada kalangan rakan-rakan penulis di negeri Kelantan yang telah kami anggap seperti saudara sendiri. Norhisham Mustaffa, Abdul Hadi Yusoff, Wadi Leta S.A, Rosli K. Matari dan CT Puspa antara nama-nama penyair yang sentiasa dekat di hati kami sekeluarga. Begitu juga nama-nama lain seperti Aziz Mohd Nor, Abd Razak Othman, Wan Aisyeah Wan Nawang, Satinah Ziran, Aiman Mohd Razali, Salman Sulaiman,Tuah Sujana dan Kamarulzaman Ismail antara penulis yang sentiasa berhubung diluar daripada urusan rasmi. Begitu juga dengan dunia sastera di negeri Kelantan khususnya. Kalau diikutkan hati, aku nak menyelesaikan urusan Anugerah Sastera Negeri Kelantan yang telah tertunda lebih daripada 12 tahun. Urusan awal telah pun selesai, dan kalau diikutkan perancangannya akan diadakan pada tahun ini juga. Itu 'hutang' aku dengan pada penulis dan sasterawan di negeri Kelantan. Harap-harap hutang ini dapat dilangsaikan oleh rakan yang mengantikan tempat aku. 

1 Ramadan 1436H. Ketika catatan ini dibuat, telah 5 hari kami menjadi orang utara. Alhamdulillah urusan perpindahan telah selesai. Kebanyakan barang di dalam kotak sudah dibuka. Rasanya sekitar 60-70% urusan mengemas rumah telah selesai. Harap-harap dalam seminggu ini dapat dibereskan semuanya. Urusan persekolahan puteri kami juga telah selesai. Pada mulanya kami bercadang hendak mendaftarkannya di SK Methodist Parit Buntar, tetapi pada saat akhir mengubah ke SK Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal. Melihat daripada tingkahnya, mungkin mengambil masa sedikit untuk puteri kami menyesuaikan diri di sekolah baru. Harap-harap juga dia mampu menerima dengan alam baru di sekolah yang agak berbeza dengan sekolahnya sebelum ini. Dari timur kami ke utara. Selepas ini mungkin ada lagi perpindahan, cepat atau lambat kami harus menerima penghijrahan untuk suatu yang lebih baik. Perpindahan dan penghijrahan ini merupakan satu pengalaman baru buat kami. Banyak yang kami pelajari, dan banyak juga yang kami rasai. Setiap hari hanya mampu berdoa untuk terus diberikan kekuatan dalam mengharungi semua cabaran dan kehidupan kami sekeluarga terus dirahmatiNya.