19 November, 2007

SRIKANDI CINTAKU dan BLOODSHED

Dingin malam tirai kenanganku, Menyerlahkan sekurun ingatan, Terciptalah rimba kehidupan, Percintaan dalam perjuangan...
Aku percaya semua orang pernah mendengar lagu ini. Apatah lagi bagi golongan rockers tahun 80-an sehinggalah sekarang ini, tidak sah anda menjadi seorang rockers Melayu kalau tidak tahu dengan lagu ini. Percaya atau tidak lagu ciptaan dua orang bernama Nasir ini (M. Nasir / Nasir Jani) ini dicipta hampir 20 tahun yang lalu dan sehingga kini masih lagu terus berkumandang di corong-corong radio dan masih lagi menjadi pilihan para pendengar sekarang.
Cuma agak malangnya kegemilangan lagu ini telah menenggelamkan penyanyi dan kumpulannya sendiri kerana masih ramai yang tidak mengetahui siapakah yang empunya suara menyampaikan lagu ini.
Lagu Srikandi Cintaku ini dimuatkan dalam album kedua Kumpulan Bloodshed yang bertajuk Samarkand, dikeluarkan pada tahun 1988 di bawah label EMI(lihat gambar di bawah).
Bloodshed (album Samarkand) yang dianggotai oleh Rosedan (Vokalist), Opie (Guitaris), Rawita (Bassist), Hamdan (drum) & Azizul Azman (keyboard) diasaskan pada tahun 1985 dengan menyertai Battle Of The Band dan pada tahun 1987 muncul dengan album sulung mereka bertajuk Ilusi Sebuah Mimpi. Selepas kejayaan album Samarkand yang popular dengan lagu Sirikandi Cintaku, penyanyi kumpulan ini iaitu Rosedan telah meninggalkan kumpulan ini dan menyertai sebuah kumpulan underground bernama Punisher. Selepas daripada itu, Bloodshed telah menukar nama mereka menjadi Blackshed dan muncul dengan satu album bertajuk Villa Misteri pada tahun 1990. Selepas daripada itu, kumpulan ini terus tenggelam dan yang tinggal hanyalah Srikandi Cintaku yang terus bertapak kukuh di hati para peminat pemuzik tanah air.
Jeng..jeng..jeng..kalau anda semua nak tahu inilah gambar empunya suara yang mengalunkan lagu Srikandi Cintaku itu yang terus kekal diputarkan dalam versi asal sehingga ke hari ini. Rosedan Baharum atau dipanggil Rosedan. Memulakan kariernya bersama Bloodshed di Kelab Red Rooster, Kuala Lumpur dan selepas meninggalkan Bloodshed, Rosedan menubuhkan kumpulan underground bernama Punisher dan merupakan salah satu kumpulan Thrash Metal yang hebat pernah wujud dalam arena muzik bawah tanah. Pada tahun 1991, Rosedan telah berhijrah ke Denmark dan aktif bermain muzik di sana hampir 10 tahun. Setelah pulang ke Malaysia, Rosedan tidak lagi aktif menyanyi dan kini mengusahakan sebuah syarikat yang menghasilkan seni airbrush (yang lukis2 kat skuter & helmet tu) berdasarkan temubual dengan beliau dalam majalah ROTTW, Rosedan tidak lagi mahu menyanyi kerana lebih berminat menumpukan perhatian kepada perniagaannya.
Namun baru-baru ini diberitakan Bloodshed akan muncul kembali untuk menggegarkan arena rock Malaysia. Belum pasti dengan line up yang mana, tapi khabarnya mereka telah mula jamming di studio. Pastinya ini berita gembira buat semua peminat Bloodshed termasuk aku sendiri. Dan sememangnya apa yang aku nak ceritakan di sini ialah berita reunion Bloodshed ni sahaja, sengaja aku pusing-pusing cerita pasal lagu semua untuk memanjangkan cerita..he..he..tunggu sahajalah kemunculan mereka....
sumber : http://www.lagendarock.com/ & ROTTW Ogos 2005

08 November, 2007

BERAYA DI RUMAH AMY SEARCH



JANGAN PERCAYA! Muka depan majalah ROTTW ini sengaja aku edit menggunakan photoshop untuk memaparkan gambar aku dengan ikon Rock Tanah Melayu, Amy Search. Dua minggu lepas semasa berada di Kuala Lumpur aku mengambil kesempatan berkunjung ke rumah baru Amy di kediaman mewah Kota Damansara. Bukan kunjungan biasa tetapi kerana Amy mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri pada petang itu. Aku sekeluarga sampai hampir senja dan ketika itu kumpulan Rabbanni baru sahaja selesai mengalunkan bacaan Selawat. Ramai tetamu yang datang pada hari itu termasuklah rakan-rakan baik Amy seperti Joe Wings, Hattan, Edrie Hashim, Hilliary (John), Fiq Mentor, Kat, Aru(ROB), member-member Duniasearch.Com dan tidak ketinggalan mentor baru Amy, Ustad Badrul Amin. Alhamdullilah, menurut cakap rakan-rakan, Amy semakin berubah sekarang. Perubahan yang semuanya menuju arah kebaikan. Tidak lama aku di sana pada petang itu, tetapi sempat merakamkan beberapa keping gambar (gambar lain akan dimasukkan nanti) bersama Amy dan juga menyerahkan VCD konsert-konsert Search kepada Amy. Insyaallah, tahun hadapan Amy akan menyambut ulang tahun yang ke-50 dan semoga dia terus sukses dan berjaya dengan kerjaya bahagian dengan keluarga tersayang. Apa pun, walau apa perubahan yang berlaku Amy akan tetap 'Keep On Rockin'...Pheewittt!!!