05 December, 2006

Potret Kasih

Potret di atas adalah puteri kesayangan aku yang di ambil semasa Aidilfitri yang lalu. Bagi aku ini merupakan antara potret terbaik anak aku yang pernah dirakamkan. Aku merasa puas melihat gambar ini kerana dari kaca mata seorang jurugambar amatur seperti aku ini, potret ini begitu sempurna dan seolah-olah diambil oleh seorang jurugambar profesional. Apa yang menariknya, gambar ini bukan diambil oleh aku tetapi oleh adik ipar aku dengan menggunakan kamera filem yang biasa. Cuma mungkin secara kebetulannya semasa gambar ini diambil semuanya serba menjadi, cahayanya, posisi gambar, gelagat anak aku sehinggakan mampu menterjemahkan subjek yang menarik. Gambar ini telah menjadi penghias dinding untuk komputer yang aku gunakan, dan gambar ini juga tidak lama lagi akan menghiasi dinding rumah aku. Sebelum menutup kata, tahniah aku ucapkan kepada rakan seperjuangan iaitu saudara Syaidul Azam yang telah selamat menerima cahayamata kedua pada hari Sabtu yang lalu. Alhamdulillah, dah dua orang 'hero' sekarang ini.Ramai orang bertanya, aku bila lagi nak tambah anak. Jawapannya mungkin sedang difikirkan oleh si kecil di atas. Agaknya semasa gambar itu diambil, mungkin dia sedang memikirkan "bilalah aku hendak mendapat adik?".

30 November, 2006

Setitis Tinta Di Hujung November















Aku agak sibuk sejak kebelakangan ini, sebenarnya baru balik menghadiri Perkampungan Bahasa di Pulau Langkawi dari 25-27 November yang lalu. Sebelumnya pada 22hb aku ke Kuala Terengganu. Sehari sebelum ke Langkawi umum dikejutkan dengan berita dua buah feri ke Langkawi berlanggar antara satu sama lain. Aku juga agak terkejut dan sedikit bimbang tetapi semuanya telah diurus dan harus berada di sana tepat pada masanya. Namun tragedi feri berlanggar itu tidak memadamkan semangat 'orang kita' untuk bercuti di Pulau Lagenda ini. Setibanya aku di jeti Kuala Perlis, kelihatan manusia berduyun-duyun sedang menunggu feri dan setibanya aku di pulau , aku di maklumkan bahawa semua bilik hotel di Langkawi telah penuh dan kereta untuk sewa juga telah kehabisan. Mujur aku telah membuat tempahan bilik awal dan kereta pula akhirnya terpaksa menyewa sebuah Kancil yang sedikit daif. Esok dan lusa aku perlu berada di Pantai Cahaya Bulan untuk satu program dan pada minggu hadapan perlu ke Kuala Terengganu untuk persembahan Teater. Jadualku agak penuh sepanjang bulan ini dan juga bulan hadapan. Insyaallah, harap2 semuanya dapat berjalan seperti yang dirancang.

20 November, 2006

Iswaraku...oh...Iswaraku...

Emm...keriangan anak aku ini mungkin kerana ketawakan aku yang terkena dengan kereta sendiri. Baru minggu lepas aku menulis dan memuji tentang kereta kesayangan aku dan akhirnya mungkin untuk menguji kesetiaan, ia mula membuat ragam. Alkisahnya, sebelum aku ke Kuantan baru ni, aku telah menukar wiper kereta aku yang dah mula berbunyi kerana getahnya dah makin haus. Maklumlah, musim2 hujan ni wiper sememangnya penting untuk kereta. Semuanya berjalan lancar semasa aku di Kuantan, sehinggalah aku sampai ke Kuala Lumpur dan menginap di rumah mak saudara isteriku untuk bermalam.Keesokannya semasa hendak bersiap balik ke Kota Bharu, aku dikejutkan oleh kehilangan sepasang wiper yang baru aku beli. Hampeh! ada juga kutu yang teringin dengan wiper kereta aku ni. Dan sebelum bertolak balik, terpaksalah aku menukar wiper baru untuk kali kedua dalam tempoh seminggu.
Perjalanan seterusnya begitu lancar sehingga aku sampai di Machang (rumah mertua), dan malamnya semasa hendak bertolak balik ke Kota Bharu, iswaraku ini sekali lagi membuat hal. Kali ini wiper itu tidak boleh berfungsi dan lampu juga tidak boleh dipasang. Akhirnya terpaksa aku bermalam di Machang dan mengambil cuti keesokan harinya. RM 75.00 kos yang terpaksa dibayar untuk untuk membaiki kabel wire yang rosak dan campur Rm25.00 lagi untuk wiper baru menjadikan genap angka RM 100.00 yang terpaksa aku keluarkan di hujung-hujung bulan ni. Dan semasa dalam perjalanan balik, aku teringat tentang tulisan aku di dalam blog ini yang memuji kereta ini yang tidak pernah membuat hal. Mungkin apa yang terjadi adalah untuk menguji kesetiaan aku kepadanya. Namun, sehingga hari ini aku tetap setia dengan iswaraku...

14 November, 2006

Iswaraku...


Kali ni aku nak bercerita sikit pasal kereta,bukan nak menayang kereta buruk aku ni cuma sebagai satu penghargaan buat kereta ni yang banyak membantu aku. Inilah kereta aku atau dengan lebih tepat lagi kereta yang aku 'pinjam' daripada bank sebelum menjadi hak mutlak aku tiga tahun lagi. Kereta yang aku beli pada tahun 2003 ni merupakan kereta kedua aku dan sebenarnya banyak menyimpan nostalgia dalam hidup aku. Walaupun tak la sehebat mana kereta ni tapi ia jarang sangat memberi masalah kepada aku. Setakat tayar bocor dan bunyi tikus sikit-sikit tu ada la. Dan kereta ni juga banyak berjasa kepada aku, sejak zaman aku bertunang hinggalah sampai dah ada anak sorang ni, semuanya dengan kereta ini. Tak banyak perubahan yang aku buat dengan kereta ni sebab aku ni bukanlah spesies yang gila make-up kereta, aku juga bukan jenis yang setiap kali naik kereta setiap kali tu la akan basuh dan lap kereta tu. Aku cuma jaga seadanya, dan yang penting aku tak lupa untuk hantar servis bila sampai waktunya. Apa yang aku bangga sangat, dalam buruk-buruk kereta aku ni dah ramai gak selebriti terkenal di Malaysia yang pernah menumpang naik kereta ni. Antaranya Nash Lefthanded, Sabri Yunus, Imuda, Os dan jangan terkejut bekas Pengetua AF 4, Ramli Sarip dan juga Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said juga pernah duduk di kerusi kereta ni. Dan atas sebab-sebab itulah aku sayang sangat dengan kereta ini...Iswaraku!

Potret Raya



06 November, 2006

Setelah Penat Beraya...

Alhamdulillah, aku kembali setelah 'beraya sakan' bersama keluarga di kampung. Maksud beraya sakan bukanlah aku beraya bersungguh-sungguh cuma aku cuti agak panjang dan berehat lama di kampung. Bagi aku sambutan lebaran sama sahaja setiap tahun, sudah terlalu tipikal dengan semuanya. Sesekali teringin juga merasa suasana yang berlainan. Sebenarnya banyak gambar semasa sambutan Aidilfitri yang lepas aku rakamkan dan hendak paparkan di blog ini untuk tatapan kawan-kawan tetapi tidak berkesempatan lagi. Insyaallah,catatan selepas ini aku akan paparkan gambar-gambar tersebut.

18 October, 2006

Salam Aidilfitri

Pejam celik pejam celik lebih kurang seminggu lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Terasa Ramadhan berlalu dengan agak pantas. Mungkin kerana kesibukan dengan tugas harian di pejabat di samping bisnes biskut raya di rumah membuatkan aku rasa masa begitu cepat berlalu. Bagi aku, bulan puasa bukan alasan untuk kita tidak membuat kerja. Seharusnya kita tidak menjadikan letih berpuasa itu alasan untuk kita membuat kerja dengan ala kadar. Kerja juga satu ibadah dan sekiranya kita melakukan amanah itu dengan jujur dan ikhlas,nescaya pahalanya juga akan berlipatkali ganda pada bulan ini. Persiapan raya? Bagi aku sepasang baju Melayu sudah cukup baik untuk tahun ini. Persiapan untuk puteri aku yang barangkali agak berlebihan. Kadang-kadang aku agak takut melihat orang kita membeli-belah pada musim perayaan ini yang seolah-olah tidak ada raya lagi untuk tahun hadapan. Habis semuanya hendak ditukar baru. Dari pakaian hinggalah ke perabot di rumah, dan jangan terkejut kalau ada yang tukar kereta setiap kali tiba musim hari raya ini. Entahlah, mungkin kita tersilap tafsir perkataan 'Raya' itu sehingga kita harus merayakannya bersungguh-sungguh. Aku lebih senang menggunakan sambutan Aidilfitri atau 1 Syawal sahaja kerana istilah hari raya itu lebih menggambarkan kita perlu merayakannya bersungguh-sungguh.Kalau mengikut istilah puasa pula, ianya bermaksud menahan nafsu dan ramai yang menyalah tafsirkan maksud puasa itu dengan andaian puasa hanyalah menahan nafsu makan sahaja.Seharusnya kita sedar istilah berpuasa itu adalah menahan nafsu daripada segala-galanya. Nafsu makan, nafsu berbelanja, nafsu tidur dan yang seumpama dengannya. Bermula hujung minggu ini akan kelihatanlah berduyun-duyun orang kita di pasar raya yang gila membeli-belah, dan semua ini kerana kita gagal menahan nafsu untuk berbelanja seadanya sahaja, bukan berlebih-lebihan. Dan bermula hujung minggu ini juga jalan raya akan dipenuhi kenderaan yang akan pulang ke kampung. Dalam kesibukan kenderaan yang memenuhi jalan raya pada ketika ini, kita kadang-kala hilang pertimbangan dan kewarasan yang boleh menyebabkan kemalangan. Ini sekali lagi boleh dikaitkan dengan nafsu.
Sempena menyambut 1 Syawal yang bakal menjelang, seharusnya kita bersyukur dan menginsafi segala kelebihan dan kekurangan yang ada. Usah biarkan diri kita bertuhankan nafsu hanya semata-mata untuk dilihat gah dan hebat di hari raya ini. Antara sedar atau tidak masih ramai saudara seagama yang menyambut Syawal dalam serba kekurangan, berbanding masyarakat kita yang terlampau berlebihan. Buat mereka yang sudi menjenguk ke dalam laman blog ini, aku ingin ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri, semoga kehadiran Syawal ini akan memberi seribu pengertian dan keinsafan buat kita semua. Maaf Zahir Batin andai ada salah dan silap selama ini. Berhati-hati di jalan raya / lebuh raya dan Jangan Main Mercun!

11 October, 2006

Salam Dunia







"Suara tangis yang kau dengar Memecah hari kudus ini Adalah aku Mengenang pemilikmu Kita pohon kemenangan Meroboh kota keakuan Ini saatnyaYang kunanti-nanti" petikan lagu Salam Dunia dendangan M. Nasir ini merupakan antara lagu kegemaran aku selain lagu Satu Hari Di Hari Raya yang juga hasil ciptaannya. Bagi yang suka bernostalgia dengan lagu sememangnya lagu mampu mencipta satu nostalgia indah yang sukar diungkap. Dan menjelang hari raya, tak akan lengkap sekiranya kita tidak dihidangkan dengan lagu-lagu raya daripada para penyanyi tempatan sejak dahulu hingga kini. Masih aku ingat ketika zaman belajar di T.I Penang, lagu raya menjadi begitu syahdu ketika bersendirian di bilik asrama. Walaupun kami yang tinggal di asrama tidak dibenarkan membawa radio tetapi larangan hanya tinggal larangan kerana radio menjadi teman penghibur hati ketika itu. Begitu juga semasa belajar di UiTM Shah Alam, suasana begitu meriah semasa lepas berbuka terutamanya selepas tarawikh. Bayangkan satu blok kolej menyanyi bersama-sama lagu Balik Kampung yang berkumandang melalui corong radio (ketika itu Radio Muzik jer yang glamour dan semua memasang saluran yang sama). Memang meriah dan sehingga kini masih menjadi nostalgia.

Diam tak diam hari ini sudah masuk 18 Ramadhan, aku agak sibuk membantu isteri membuat biskut raya yang ditempah oleh kawan-kawan. Agak sedih kerana ketika ini ibu mertua sedang terlantar di hospital KB kerana masalah diabetisnya dan jari kakinya terpaksa dipotong semalam.Ini membuatkan aku terpaksa berbuka puasa di luar 2-3 hari ini kerana terpaksa berada dihospital pada sebelah petang. Terima kasih juga kepada Puan Nisah Haron yang melawat blog ini dan sudi memberi sedikit komen. Tak sangka ada juga penulis terkenal yang sudi melawat blog yang tak seberapa ini. Aku tinggalkan catatan ini dengan bait rangkap lagu Salam Dunia...Salam dunia Salam semua Salam Hari RayaBersinar akhirnya Salam dunia Salam semua Salam Hari Raya Bersinar akhirnya Inilah hari kita Tiada lagi rasa ketakutan...

28 September, 2006

Salam Ramadhan Penuh Keinsafan
















Agak terlewat aku menulis sesuatu untuk bulan Ramadhan ni, bukan tak ada masa cuma masalah idea yang membuatkan blog ini tidak terusik lebih dari seminggu. Sebenarnya kedatangan Ramadhan banyak menimbulkan nostalgia, bukan sahaja buat aku tetapi aku yakin pada semua orang. Seingat aku, mula belajar berpuasa semasa darjah 3-4 dan selepas itu setiap tahun aku cuba mengenapkan puasa aku. Part yang best mestilah masa gi beli baju raya masa bulan puasa ni. Biasanya ayah akan bawa aku dan adik2 beli baju kat Parkson di Butterworth. Lepas tu yang paling best mestilah masa nak sambut raya, ramai sedara mara yang balik. Oleh kerana aku sekeluarga tinggal dengan tuk wan dan opah aku jadi secara tak langsung aku menjadi tuan rumah kepada sepupu-sepupu aku yang balik beraya. Macam-macam nostalgia yang pernah kami lalui dan sememangnya manis untuk dikenang. Masuk sekolah menengah, semasa di tingkatan 4-5 aku terpaksa berpuasa di hostel. Satu pengalaman baru buat aku, walaupun pada mulanya macam nak menitis air mata gak tapi akhirnya semua pengalaman tu menjadi sesuatu yang tak ternilai buat aku. Lepas sekolah lain pulak jadinya, masa bulan puasa ni aku menjadi pekerja tetap Pak Ngah dan Paksu menjual kueh teow kerang dan mee kari di pasar Ramadhan. Memang best masa time ni, sambil berniaga sempat-sempat lagi ushar awek yang lalu-lalang kat depan tu.
Kenangan semasa berpuasa di UiTM pun tak kurang banyaknya. Oleh sebab ramai yang menumpang dalam bilik maka kami terpaksa menipu semasa nak ambil makanan kat dewan makan. Caranya, letak lilin kat Kad Dewan Makan tu. Bila pekerja kat situ dah tanda dan balik ke bilik, bekas tanda yang dibuat atas lilin tu boleh dihilangkan. Dan rutin itu berulang 2-3 kali untuk satu kad dan akhirnya penuhlah juadah dalam bilik yang cukup untuk 20 orang berbuka puasa.
Esok aku akan pulang ke Parit Buntar untuk bercuti dan berpuasa di sana. Apa yang bestnya kat kampung aku ni, masa bulan puasa ni ada juadah istimewa iaitu kerang rebus yang dicicah dengan kuah kacang. Memang best giler makan kerang ni, dan aku tak sabar2 lagi nak balik pekena kerang rebus dengan member2. Memang aku dok mengidam sangat ni pasal setahun sekali jer dapat makan kerang rebus stail ni. Bukan tak boleh buat masa bulan lain, tapi feel bulan puasa tu menjadikan ianya lebih menarik dan sedap. Buat semua yang melawat ke blog ni, aku ucapkan Selamat Berpuasa. Semoga kedatangan Ramadhan ini disambut dengan penuh keinsafan. Sesekali semasa mengadap timbunan juadah atas meja tu, seharusnya kita berfikir tentang saudara seagama kita di negara lain yang mungkin hanya berbuka dengan segelas air sahaja...

20 September, 2006

Tanggal 19 September...

















Semalam 19 September 2006 merupakan tarikh penting dalam hidup aku sekeluarga. Tarikh tersebut merupakan hari lahir isteri kesayangan aku dan juga tarikh ulang tahun perkahwinan kami yang ke-3. Jadi, semalam aku aku mengambil cuti untuk bersama-sama keluarga meraikan hari yang penting ini. Bermula dari awal pagi kami sekeluarga keluar makan dan akhirnya sampai ke Pengkalan Kubor. Petangnya aku mengambil kesempatan membawa puteri aku naik bas. Sebenarnya dah lama dia teringin sangat hendak naik bas, dan semalam aku mengotakan hajat si kecil ini. Gembira sungguh nampaknya kerana asyik berceritakan mengenai naik bas itu kepada ibunya. Di sebelah malamnya pula aku sekeluarga keluar makan bersama Azam dan Hadi sekeluarga di Sri Cerana Restoran. Pertama kali dapat berkumpul sekali bersama keluarga masing-masing dan sememangnya itu sudah cukup menggembirakan aku dan isteri dalam meraikan hari yang bersejarah ini.
(Gambar atas tu adalah gambar lama yang dirakamkan dua tahun lepas )

17 September, 2006

Gelagat Sang Puteri


Inilah gambar yang dihantar oleh member aku, Rasydi a.k.a Pick semasa kami sekeluarga keluar bersama-sama ke Ikea lewat bulan Julai yang lalu. Gambar puteri kesayangan aku dengan putera kesayangannya yang diletakkan sekali dalam satu troli dan inilah gelagat yang sempat dirakamkan pada petang itu...

10 September, 2006

Berakhirnya Perjuangan Perak















Selepas melalui perjalanan yang getir, akhirnya perjuangan pasukan Perak menemui titik nokhtah setelah tewas kepada Perlis dalam masa tambahan malam semalam. Frust betul aku, baru dok berkira-kira nak pergi ke Bukit Jalil minggu depan tetapi sekali lagi dihampakan oleh Perlis. Apapun pencapaian Perak tahun ini bolehlah dikatakan agak sederhana dan seharusnya masih banyak yang boleh diperbaiki oleh pihak pengurusan untuk musim depan. Apapun buat semua penyokong pasukan Yob, "sabor jer lah..."

29 August, 2006

Sekeping Gambar Sebuah Cerita


Agak lama juga aku tak menulis, yang terakhir adalah catatan ringkas mengenai Allahyarham Hani Mohsien. Bukan tak punya idea untuk menulis tetapi keterbatasan masa membuatkan aku terpaksa melupakan blog ini sebentar. Banyak kerja yang harus dibereskan pada ketika ini dan aku juga terpaksa ke sana dan ke mari atas tuntutan kerja yang telah diamanahkan. Minggu lepas aku ke Kuantan dan kemudiannya terus ke Kuching sebelum pulang ke Parit Buntar untuk berehat bersama keluarga. Sebenarnya pada minggu lepas aku berpeluang lagi bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Dr. A Samad Said yang sememangnya aku hormati dan kagumi. Kesempatan itu aku ambil untuk mengabadikan gambar puteri kesayangan aku dengan tokoh sastera negara ini. Sekeping gambar bagi aku akan menjadi satu bukti dan sejarah yang mampu bercerita satu ketika nanti. Mungkin bila anak aku dah besar nanti, gambar ini menjadi bukti yang satu ketika dahulu dia pernah berada di ribaan dan pelukan seorang Sasterawan Negara. Apabila seorang anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa bertemu dengan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai pengalaman dan kisah hidup yang tersendiri tentunya kata-kata tidak memainkan peranan penting. Hanya gambar di atas yang mampu menceritakan segala-galanya...

26 July, 2006

Al-Fatihah buat Hani Mohsin


Semalam industri hiburan tanah air telah kehilangan seorang aktor & pengacara berbakat, Hani Mohsin Hanafi setelah allahyarham rebah ketika dalam perjalanan hendak menaiki pesawat di LCCT Sepang akibat serangan jantung. Agak terkejut juga apabila menerima berita tersebut kerana barangkali tiada siapa akan menyangka allahyarham yang selama ini dilihat sihat rupanya mempunyai masalah jantung. Namun kuasa Tuhan tiada siapa mampu menahannya. Menyorot penglibatan allahyarham dalam industri hiburan di Malaysia, allahyarham sememangnya pelakon yang berbakat besar. Beberapa filem lakonan beliau seperti Jimi Asmara, Ringgit Kasorga, Merah dan Embun membuktikan bahawa allahyarham adalah pelakon serba boleh dan berbakat. Aku juga tidak boleh lupa telemovie Pukul Dua Petang yang dilakonkan oleh allahyarham dan sempat juga aku rakam dan convertkan dalam bentuk VCD untuk simpanan. Filem terakhir allahyarham yang sempat aku tonton adalah Man Laksa dimana allahyarham telah muncul dalam satu babak ketika pementasan drama untuk persembahan yang diusahakan oleh Man Laksa. Watak pelakon pentas sebagai Polis itu berjaya mencuit hati walaupun hanya muncul cuma seketika. Minggu lepas (14/7/2006) ketika aku menghadiri majlis Anugerah Citra Wangsa di DBP, allahyarham telah berpasangan dengan Ogy sebagai pengacara majlis dan gabungan dua pengacara itu berjaya menceriakan majlis dengan usikan dan gurau senda mereka. Dan itulah kali terakhir aku melihat allahyarham. Semoga allahyarham ditempatkan dikalangan roh orang yang beriman dan diredhai oleh Allah S.W.T. Al-Fatihah buat Hani Mohsin Hanafi...

18 July, 2006

Andai Aku Menjadi Melayu

Sebenarnya dibawah ini adalah puisi kedua aku yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia (18 Jun 2006). Mungkin ada yang perasan tapi rasanya ramai yang tak perasan. Puisi ini sebenarnya catatan resah aku mengenangkan nasib bangsa kita yang semakin leka. Kita sudah tidak ambil kisah tentang tiga perkara penting sebagai orang Melayu iaitu Tanah Melayu, Adab dan Budaya Melayu serta Bahasa Melayu. Bila tiga perkara ini sudah tidak ada pada orang Melayu, apa lagi yang harus dibanggakan oleh bangsa Melayu?

Andai Aku Menjadi Melayu

Andai aku menjadi Melayu
Pasti hati berasa sayu
Mengenang tanah warisan pusaka ini
Makin hilang di negeri sendiri
Dirobek dan didagang sesuka hati
Tidak banyak yang tinggal
Untuk milik abadi

Andai aku menjadi Melayu
Mungkin harus berasa malu
Merenung khilaf anak bangsaku
Tiada lagi segan dan silu
Hidup diruntun hawa dan nafsu
Adab sopan jadi hinaan
Maruah diri sanggup digadaikan

Andai aku menjadi Melayu
Mampukah untuk rintih bersuara
Melihat bahasaku tidak dibela
Dalam payah dihimpit setia
Tersepit kelu dimamah usia
Tidak ramai yang memahami
Hirup nafas bahasa sendiri

Sebenarnya aku juga Melayu
Cuma agak resah untuk mengaku
Kerana tiada apa yang tinggal untuk dibangga
Pada jasad yang merdeka
Masih ada yang belum terbuka
Menjulang bangsa di tanah tercinta
Melayu kekal selama-lamanya

Dari Kutub Khanah

Dah lama gak aku tak menulis dalam blog ni, bukan tak idea cuma masa membataskan aku untuk mencatat sesuatu dalam blog ni. Memang agak sibuk sikit sekarang dengan kerja hakiki dan kerja-kerja sampingan yang harus dibereskan. Lagipun sekarang orang lebih suka baca cerita Mawi dan Siti jadi catatan ni mungkin hanya jadi catatan syok sendiri. Sebut pasal Mawi dan Siti ni kadang-kadang aku sendiri pelik melihat masyarakat kita yang terlampau fanatik dengan artis dan hiburan pada hari ini. Bukan tak boleh menjadi fanatik, aku sendiri fanatik dengan M. Nasir, Search dan 2-3 artis lain.Cuma dalam menjadi seorang peminat yang fanatik aku rasa ada batas-batas yang perlu kita hadkan, tak la perlu terlampau fanatik sehingga perlu tahu segala-galanya tentang artis itu. Sebenarnya aku sendiri simpati dengan Mawi dan Siti kerana banyak diganggu dengan berita-berita yang tak sepatutnya menjadi berita akibat sikap fanatik peminat dan media sendiri. Jadi aku rasa sudah sampainya masyarakat kita dikurangkan sedikit dengan berita-berita yang sebenarnya tidak ada nilai berita langsung. Dalam kita semua sedang sibuk dengan cerita Mawi putus tunang dan kisah persiapan majlis perkahwinan Siti dan Dato' K, saudara seagama kita di Beirut dan Palestin makin teruk dibedil dan dibunuh oleh askar Yahudi. Berapa ramai daripada kita yang mengambil berat tentang hal ini? mungkin ada yang membaca berita-berita ini sekali imbas sahaja dan mungkin juga hanya melihat tajuk tanpa berminat membaca beritanya. Hari ini kita sebenarnya makin selesa dengan kenikmatan dunia, dan ini membuatkan kita semakin leka...

20 June, 2006

Gothik Malam Edan




















Gothic Malam Edan merupakan album terbaru Search yang akan keluar penghujung bulan ini setelah mereka mengalami masalah dalaman dan menyebabkan penggunduran dua bersaudara Nordin dan Hamzah (Kid) dan juga kehilangan album Empire Garden (Lost Album?) yang dirancang terbit awal tahun ini. Apapun aku agak kecewa dengan kehilangan Din & Kid kerana bagi aku gabungan dua beradik ini adalah antara yang terbaik dalam arena rock tempatan selepas Man Kidal dan Samad. Dilihat tidak terlalu menonjol berbanding Amy, namun bagi aku Din dan Kid banyak menyumbang kepada kegemilangan Search. Sampai sekarang tak boleh lupa riff-riff Din dan solo Kid yang begitu mencengkam. Namun pengunduran dua beradik ini telah mengembalikan anggota asal Search iaitu Hilliary. Cuma bagi aku Search tidak akan menjadi Search dengan hanya seorang gitarist. Seharusnya Din dikekalkan untuk berganding bersama Hilliary dan gabungan itu akan mengembalikan sejarah kegemilangan Search silam ketika mereka baru bertapak. Rata-rata peminat Search yang dok bersembang di forum laman web Search mahukan Din kembali dalam Search untuk berganding dengan Hilliary. Buat semua kawan-kawan yang meminati Search, tunggu apa lagi. Layarilah laman web Search dan boleh terus daftar jadi ahli. Yuran tak mahal, cuma RM 4 sebulan dan banyak benda yang boleh dapat kat dalam tu. Untuk permulaan single terbaru Yin & Yang boleh dimuat turun sekiranya mendaftar menjadi ahli. Daftar cepat, bayar kat Maybank 2u jer......!

14 June, 2006

Selamat Melihat Dunia Qistina!




Sebelum terlupa, aku ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat baik aku Meor Shahizal (Ajan) dan pasangannya Majidah yang telah selamat menerima cahaya mata sulung mereka bulan lepas. Puteri Dayana Qistina (betul ke aku eja ni?) telah selamat dilahirkan di Selangor Medical Centre (tarikh aku dah lupa) dan kini menjadi permata hati kawan aku ni. Nanti boleh la berkawan dengan anak aku yang semakin lasak sekarang ni. Tahniah.....!

18 April, 2006

Dedikasi Buat Wak Khalid
















Sebut sahaja nama Khalid Salleh mungkin agak ramai tak mengenalinya. Insan seni ini tidak mempunyai aura sehebat Mawi. Kisah hidup, kisah percintaan, kisah keluarganya tidak pernah dibongkarkan oleh mana-mana majalah hiburan di tanah air ini. Gambarnya agak asing dikalangan jurugambar majalah hiburan, apatah lagi untuk dimuatkan dalam majalah Mangga sambil berposing dalam kolam renang. Namun Khalid tetap Khalid.
Kesempatan aku bertemu dan berbual dengan Wak (nama panggilan untuk Khalid) baru-baru ini, sedikit sebanyak membuatkan aku teruja untuk terus mengenali insan misteri ini. Berbual sambil makan makanan laut di tepi pantai Teluk Ketapang, Terengganu dan esoknya bersarapan bersama di hotel, sedikit sebanyak membuka persepsi untuk aku mengenali Wak. Dalam usia 59 tahun, Wak terus aktif menghambakan dirinya dengan seni terutamanya teater. Siapa sangka, seorang penjual ubat di gelandangan suatu ketika dahulu telah meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia menerusi Filem Jogho, Anugerah sama yang pernah diraih oleh Tan Sri P. Ramlee. Dan siapa sangka ketika ini berbekalkan segala pengalamannya Wak telah diberi peluang untuk mengajar di UMS dalam bidang teater. Banyak sekali ranjau dan onak yang telah dilalui oleh beliau. Daripada hidup susah dengan menjual ubat, kepada sikap birokrat yang memandang sinis kerja seninya, Wak tetap tabah dalam meneruskan hidup. Percaya atau tidak, insan seni ini pernah mementaskan puisi teaterikal seorang diri selama dua jam, iaitu bercakap, berpuisi dan bermonolog seorang diri di atas pentas. Dan yang lebih menarik beliau pernah membuat persembahan teater tanpa dialog seorang diri selama 45 minit, tak salah aku di Brussel yang membuatkan ramai yang kagum dengan kehebatannya.
Walaupun filem lakonannya boleh dikira dengan jari tetapi hasil kerja seni seniman ini sentiasa boleh dibanggakan. Wak lebih serasi dengan U Wei kerana baginya mereka boleh berbincang, bertekak dan bertegang urat demi untuk mencapai kepuasan di layar. Banyak lagi yang kami bualkan dan episod ini akan bersambung kerana Wak akan datang ke Kota Bharu pula pada 7 Mei nanti...

03 April, 2006

Tatapan Istimewa...


Inilah gambar yang sempat dirakamkan kelmarin ketika membawa keluarga aku berkelah di air terjun. Apa yang menarik, puteri kesayangan aku telah mencipta sejarah kerana boleh tertidur didalam air kerana terlalu letih. Gambar di atas menceritakan keletihannya kerana terlalu penat bermain...

27 March, 2006

Lagi Gambar di Pulau Langkawi

Maaflah gambar-gambar ni kurang jelas sebab aku 'grab' daripada video.



14 March, 2006

Pasal Bola Lagi...

Kali ini, aku nak sentuh bab bola lagi, maklumlah dah dekat-dekat nak demam Piala Dunia tak berapa lama lagi. Sebenarnya mungkin ada yang tertanya, bila aku tulis bab bola ni boleh ke aku ni main bola sepak? He..he..jawapannya ada dalam gambar di atas (berdiri - dua dari kiri). Semasa dok belajar kat UiTM aku secara paksa rela telah diminta untuk turun ke padang mewakili kelas @ part bagi perlawanan antara part dalam fakulti. Pemilihan yang dibuat secara sukarela ini telah membolehkan aku bermain dalam beberapa perlawanan yang kebanyakannya kami kalah atau seri. Aku sendiri tak ingat berapa kali aku dapat menendang bola masa tu, cuma apa yang aku ingat jurulatih dan kawan-kawan pesan kalau dapat bola tendang jer. Tak kisah la ke mana bola tu pergi, asalkan tugas kita selesai. Dan teringat aku cerita seorang kawan aku yang tak ada dalam gambar iaitu Ah Fong (Huzairul) yang pernah juga mewakili pasukan kelas @ part ni. Nak jadi cerita dalam satu perlawanan, dia telah berjaya menjaringkan gol sendiri yang pada masa itu penjaga gol kami tak salah aku ialah si Mac. Peristiwa hitam itu telah membuatkan Ah Fong terus fobia nak main bola dan selepas itu terus tak main lagi bila di ajak. Yang pasti banyak kenangan dan pengalaman yang aku dapat semasa menjadi ahli pasukan bola sepak handalan ini...

Mat Som


Kalau ada sesiapa ada yang ingat, pada tahun 1990 ada sebuah filem yang telah diterbitkan di tayangkan di negara kita iaitu filem Mat Som. Filem ini adalah satu-satunya filem adaptasi daripada komik yang dihasilkan oleh Datuk Lat dan diarahkan oleh Hatta Azad Khan. Filem lakonan Imuda dan Tiara Jacquelina (Datin Seri) ini telah memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (Zami Ismail) dalam Festival Filem Malaysia 1991. Sebenarnya tujuan aku menulis sedikit mengenai filem Mat Som ini adalah kerana aku ingin mencari salinan rakaman filem ini, kut-kut kalau ada orang yang menyimpannya. Tak silap aku aku menonton filem ni kat pawagam dan memang ok la cerita ni tapi sampai sekarang cerita ni tak pernah ditayangkan lagi dan tak dikeluarkan langsung dalam bentuk VCD. Baru-baru ini ketika berkesempatan berborak dengan Imuda (hero filem ni), aku ada bertanyakan hal filem ni kepadanya dan menurut Imuda filem ini memang tidak boleh ditayangkan lagi kerana penerbit filem ini (Strawberry FTV) telah membawa semua salinan dan hakciptanya ke luar negara dan tidak memberi keizinan kepada mana-mana syarikat untuk mengeluarkannya kembali. Penerbit filem ini dikatakan adalah penerbit daripada negara luar dan Imuda sendiri terkilan kerana tidak mempunyai salinan filem ini untuk simpanan peribadi. Jadi, kalau ada sesiapa yang menyimpan dan merakam filem ini dalam bentuk video atau lain-lain bolehlah maklumkan kat aku kerana aku nak sangat mendapatkan salinan filem ini sebagai salah satu koleksi peribadi. Untuk yang berminat nak mendapatkan maklumat berkaitan industri (kalau boleh dikatakan industri) filem di negara kita ni, bolehlah buka web site ni : www.filemkita.com banyak informasi mengenai filem ada kat dalam tu...

Cerita Pasal Aku

Cerita di bawah ini ditulis oleh member baik aku masa di UiTM dulu iaitu Harith a.k.a Semenyih dalam blog dia (www.harithsidek.blogspot.com). Cuma aku ambil masukkan di sini sebagai tanda penghargaan kepada Harith kerana sudi menulis sedikit tentang aku. Sememangnya aku ni banyak nama gelaran, nama kat kampung lain, masa kat T.I Penang orang panggil lain, masa aku tingkatan enam orang panggil lain, kat UiTM pun nama panggilan aku lain. Jadi agak mudah aku buat pecahan kawan-kawan aku melalui panggilan mereka kat aku. Apa pun terima kasih buat Harith atas sedikit catatan ini dan nanti bolehlah aku belanja makan satay kajang.....
(ni ler gambar Harith)
Tribute to Sudirman@Atan...
Hari ni aku berpeluang melayari Blog sorang member lama aku time kat itm sampailah jadi UiTM....Mr Sharrul Rizal Hashim..a.k.a Sudirman@ Atan. Member aku sorang ni agak pemalu tapi kengkadang tu misteri nusantara gak. Camna jadi sudirman? tersebutlah kisah masa mula2 kitorang masuk kelas..masa tu haram tak kenal sangat dia pasal bilik kolej dia agak terpencil dari geng2 sekelas....nak dijadikan cerita masa dalam kelas tu tetiba je dia nyanyi lagu sudirman...member kitorang si Yo (Azrul Zarizi Said) terus panggil dia Sudirman...maka lekatlah nama tu sampai ke hari ni.Sudirman yang aku kenal ni memang "power" gak main gitar kapuk...so time "Annual Dinner" adala dua kali naik pentas main musik...mengiringi nyanyian sumbang aku. Sudirman penyokong kuat skuad Perak....sama cam aku..bila main bola...falsafah permainan dia pun sama cam aku gak ..."bola datang sepak"...tapi takde la sampai jogging cam ad ulo. Perkara "gila" yang pernah aku bersekongkol dengan sudirman ni banyak...tapi yang aku ingatla...kitorang berpakat cukur misai masa part 6 kalau tak silap aku...ha.ha..memang kelakau...mulut masing2 muncung semacam je pasal dah takde misai. Sudirman minat gila kat M.Nasir, pernah dia menapak malam2 ntah berapa batu jauh balik rumah sewa pasal time tu bas dah takde..ada banyak lagi nostalgia dengan Sudirman ni..bagi member2 UiTM yang diluar sama, ayuh kita memblog...semoga blog ini dapat mengekalkan silaturrahim antara kita.....idup gagak hitam. Buat Sudirman....ko ingat lagi tak kat awek sayur tu? he..he..

12 March, 2006

Kejor Yop Kejor

Kali ini aku ingin sentuh sikit bab pasukan bolasepak kesayangan aku, tak lain tak bukan pasukan Perak Darul Ridzuan. Rasanya saudara-mara dan akwan-kawan yang mengenali aku pastinya tahu yang aku memang penyokong fanatik pasukan Perak ni. Dari kawan-kawan kampung, kawan-kawan kat T.I Penang sampai la ke kawan-kawan di UiTM, semuanya tahu pasal ni. Dan kerana fanatik sangatlah loker aku kat hostel masa sekolah dulu pernah kena conteng pasal kekalahan Perak dalam satu permainan...He..he..itu semua menjadi nostalgia yang memang tak dapat dilupakan. Walaupun aku ni fanatik tetapi tak ler setiap game aku gi tengok, cuma untuk setiap perlawanan akhir yang dilalui oleh Perak, rasanya aku tidak ketinggalan. Tahun ini pasukan Perak sedang mendahului takhta. Walaupun berdepan berbagai masalah yang rasanya sengaja dicipta FAM tetapi pasukan yob ini sentiasa menunjukkan permainan yang baik daripada satu perlawanan ke perlawanan yang lain. Dan aku rasa Insyaallah tahun ni Perak boleh menjadi Juara Liga Super....
Bercakap tentang bola ni, ada juga rakan dan saudara mara yang hairan kerana aku cuma fanatik dengan Perak tetapi tak menyokong pasukan lain terutamanya dalam English Premier League macam mereka. Jawapan aku mudah, sebagai anak jati Perak (walaupun lahir kat Penang) sokongan aku hanya untuk pasukan negeri Perak sahaja. Aku bukannya lahir kat Manchester, Liverpool, atau kota raya London yang mengharuskan aku menyokong pasukan itu bermati-matian. Cukuplah sekadar menonton perlawanan-perlawanan mereka secara live kat Tv tu, tetapi tak perlulah menyokong sampai seolah-olah yang kita ni dah jadi rakyat Britain. Dalam hal ni aku agak patriotik. Setelah datuk dan nenek kita dijajah oleh mereka ini suatu kita dahulu, aku tidak mahu lagi turut dijajah pemikiran dan budaya mereka sehingga terlupa kedudukan kita sendiri. Memang aku akui yang mutu permainan dan persembahan pasukan dari EPL ni bertaraf dunia dan sememangnya menarik tetapi bagi aku tak perlulah menjadi terlalu fanatik mengalahkan penyokong mereka sendiri di sana tu. Seharusnya para penyokong bola sepak dan mereka yang terlibat dalam bola sepak dalam negara kita mengambil contoh teladan yang baik daripada mereka untuk diaplikasikan di sini dalam meningkatkan mutu bola sepak di negara kita sendiri. Tak perlu menyokong membabi buta hanya untuk menunjukkan kita berada dalam 'kelas' tersendiri kalau menyokong pasukan-pasukan ini.
Apa pun setiap manusia mempunyai hak dan kebebasan untuk menyokong mana-mana pasukan. Terpulang lah kepada diri masing-masing kerana setiap orang mempunyai cita rasa yang berlainan.
Kejor Yop Kejor....

05 March, 2006

Bercuti Di Langkawi





















Setelah berjanji lebih dari setahun dengan bini dan emak aku, akhirnya dapat juga aku bawa diorang bercuti ke Langkawi minggu lepas. Itu pun kerana aku ada bengkel yang sengaja dirancang dibuat disana. Jadi kata orang, "sambil menyelam sambil minum air" la. Selain isteri, anak dan mak aku, yang turut serta dalam lawatan sambil bekerja ini adalah 'anak angkat' mak aku iaitu Mat Qawiem. Dapat la aku bawa diaorang melawat ke Makam Mahsuri (ni acara wajib kalau pi Langkawi) dan tempat-tempat menarik kat sana. Sambil tu sempat jugak ler membuat kerja-kerja menghabiskan duit seperti beli minyak gamat, beli t-shirt langkawi dan kain batik indonesia yang berlambak jual kat sana. Emmm...dah terbayar la hutang janji aku dengan bini aku. Lepas ni dia nak ajak gi tidur kat Genting pulak.......yang ni pun dah lama aku janji. Habis la duit aku lagi..... Apa-apa pun sudilah tengok antara gambar-gambar menarik yang sempat aku rakamkan masa kat sana.

12 February, 2006

Aku dan Nostalgia...

Sekeping gambar mampu memberi seribu pengertian dan kenangan buat kita semua dan itulah yang aku rasa masa dok membelek gambar dalam album-album aku yang ada dirumah. Gambar-gambar di bawah ini aku pilih khas untuk dimuatkan dalam blog ni.
Gambar di sebelah ni diambil masa usia aku lebih kurang 6-7 tahun kut. Kira-kira 20 tahun yang lepas bersama sepupu2 aku. Aku yang duduk kat sebelah kiri sekali(baju belang), sebelah aku Aco (dah kawin, sekarang kerja kat Astro), sebelah dia Lati(belum kawin, kerja kat AmBank), sebelah Lati tu adiknya Boy (dah pun jadi cikgu, anak pun dah dua), sebelah Boy adik aku, Shema. Sebelah Shema, Suraidah (tak kawin lagi kut, aku tak pasti dia kerja kat mana). sebelah tu pulak kakak dia, Suzana (dah kawin, tiap2 tahun dok beranak jer. masuk ni anak dah masuk 3 rasanya) dan yang sebelah kanan sekali Mel (dah kawin gak, anak pun dah 3)

Ni pulak gambar aku semasa di Sek. Men. Teknik, Pulau Pinang bersama rakan-rakan seperjuangan. Gambar ni diambil dalam tandas sekolah 13 tahun yang lepas. Sebelah kiri sekali Pick (dah jadi pensyarah kat MKM), Mat John (kerja kat Shah Alam), Pak Din Koko (dok kerja kat Penang), Chik (aku tak pasti dia kat mana sekarang) dan yang kurus kering tu pastinya aku....



Gambar ni diambil semasa aku dan kawan2 sekampung pergi berpiknik di Teluk Rubiah, Lumut. Yang paling kiri sekali pakai topeng tu, Wan (skrg kerja kat kilang tayar di PJ), sebelah tu Ajan (dah jadi Arkitek Landskap kat Telekom),macam badak kat atas bot tu Pick(hang dah gemuk la masa ni),sebelah tu pulak Ab(satu-satunya kawan aku yang ada bermacam-macam pengalaman belajar dan kerja. Sampai hari ni dah berapa kali dok bertukar kerja). Dan belakang sekali tu aku la....


Saat kegemilangan diri aku, setelah mendapat ijazah bersama kawan-kawan. Paling kiri sekali tu ET (aku dok cari sampai sekarang, ntah kat mana skrg ni). Sebelah tu Ah Fong(pustakawan di INTAN Wilayah Timur), Harith a.k.a Semenyih (sekarang di UKM), Aku, Gombal (skrg di PNM) dan paling kanan Fendi (sekarang di UTM Skudai). Tak sangka gak, dalam dok main2 tu akhirnya kami semua berjaya menamatkan pengajian dan masing-masing sudah berkeluarga dan ada kerjaya masing2 sekarang...

Gambar ni diambil masa dok melepak kat bilik 409, Kolej Perindu 2 UiTM. Memang havoc bilik ni masa tu dgn bermacam-macam aktiviti yang kebanyakannya tak berfaedah...he..he..he..Bila tengok gambar ni aku teringat balik kat member2 terutama Minami, Karno, ET, Pak Tam, Imran dan Panjang. Aku tak pasti kat mana diaorang ni skrg,kalau ada yang kenal bolehla maklumkan kat aku....

07 February, 2006

Dunia Search


Search : Lagenda dan Ikon Muzik Rock di Malaysia kini kembali dengan semangat dan nafas baru untuk menyambut Jubli Perak penubuhan mereka yang telah bertapak di negara ini selama 25 tahun. Mana-mana Mat Rock yang pernah melalui zaman kegemilangan rock tanah air sekitar tahun 80-an dan awal 90-an wajib kenal Amy, Din, Yazid, Nasir dan Kid. Lagenda rock ini telah menempuh segala onak dan ranjau, jatuh bangun dalam industri muzik negara dan telah menjulang banyak kejayaan yang seharusnya dibanggakan. Aku sebagai salah seorang peminat setia Search amat amat berbangga kerana band ini masih kekal utuh walaupun pernah berkubur seketika. Mengimbau kenangan zaman persekolahan pada sekitar penghujung 80-an dan awal 90-an, pasti ramai yang tidak lupakan bait lirik Rozana "biar seribu, biar ramai menganggu...padaku engkau lah ratu" yang menjadi ayat penguat di dalam setiap surat cinta buat kekasih. Fantasia Bulan Madu pula menjadi lagu wajib bagi setiap pasangan kekasih, manakala Isabella buat ramai yang terpukau dengan iramanya. Waktu itu Studio Jamming penuh dengan mat-mat rock (termasuk aku) yang sentiasa cuba memainkan lagu Search dengan sebaik mungkin. Masa aku berkecimpung dalam arena jamming ni, band aku diwajibkan hafal dan main semua lagu dalam album Fenomena!Memang best mengenang kembali zaman ni, dengan seluar ketat dan kasut aliph membuatkan cikgu disiplin kat sekolah pening kepala setiap kali membuat pemeriksaan keatas para pelajar. Hari ini Search masih lagi teguh untuk terus Rock N Roll dengan peminat setianya. Aku yakin Search masih lagi mempunyai ribuan peminat setia yang terus menyokong perjalanan seni band ini. Tahun ini Search akan menyambut ulang tahunnya ke 25 dan dijangkakan melancarkan album terbarunya Empire Garden pada bulan Mac ini termasuk merancang Konsert Mega Sempena Ulangtahun Yang ke-25. Pastinya aku antara insan yang akan hadir memenuhi ruang stadium untuk bersama-sama Rock N Roll dengan Search. Buat semua peminat Search, dapatkan maklumat terkini mengenai Search di www.duniasearch.com

01 January, 2006

Selamat Tahun Baru 2006

Tirai tahun 2005 telah selamat dilabuhkan dan sudah tentunya membawa seribu kenangan pahit manis buat kita semua. Sama ada suka atau suka segala kenangan itu akan menjadi sejarah yang tak mungkin berulang lagi sampai bila-bila. Bagi aku tahun ni hidup lebih ceria kerana puteri kecil aku semakin membesar dan dalam melayani kenakalannya cukup membuatkan hati terhibur. Biarpun kadangkala penat melayan keletahnya namun itu semua bagi aku satu pengalaman dan kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Azam baru? Ntahlah, bagi aku tak perlu untuk berazam dari tahun ke tahun andainya apa yang kita azamkan itu tak mampu dipenuhi kerana kelalaian dan sikap kita sendiri. Apa yang penting dari sehari ke sehari kita perlu berubah untuk menjadi lebih baik dari semalam. Tak perlu untuk menunggu tahun baru untuk berubah. Yang pastinya aku cuma mengharapkan agar kedatangan tahun baru ini membawa seribu kebahagian buat keluarga aku dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Semoga bumi ini terus aman dan umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menjadi mangsa penindasan akibat kerakusan dan kekuasaan nafsu yang tak mampu dibendung. Selamat Menyambut Tahun Baru 2006!