22 October, 2008

KEGILAAN MEDIA ATAU KEBODOHAN KITA?

Maaflah kerana agak lama membiarkan blog ini tanpa sebarang bicara. Bukan kerana aku marahkan Datuk Shah Rukh Khan. Memang pada mulanya aku tak puas hati..tetapi bila difikirkan kembali aku harus akur dengan segala yang tersurat itu. Sudah menjadi hak yang mempunyai kuasa untuk memberi kurnia bulan dan bintang kepada yang difikirkan layak, jadi sama-sama lah kita redha dengan ketidakcerdikan itu. Apatah lagi, semalam salah seorang ahli parlimen dari Melaka mempertahankan anugerah itu di Parlimen dengan mengatakan anugerah itu merupakan satu pelaburan kepada negeri Melaka. Beliau telah memberikan angka-angka kemasukan pelancong dari India semenjak tahun 2005 sehingga kini yang saban tahun semakin meningkat. Jadi dengan penganugerahan Datuk kepada Shah Rukh Khan ini maka difikirkan lebih ramai pelancong lagi akan melawat negeri Melaka. Dan kerana itu suka sekali aku mencadangkan agar anugerah ini turut diberikan kepada artis -artis dari negara luar yang lain supaya mereka ini turut sama dapat mempromosikan negeri Melaka seperti yang telah dibuat oleh Datuk Shah Rukh Khan dengan jayanya.
Ok, tinggalkan dulu berkenaan perkara 'bodoh' itu tetapi apa yang ingin aku catat sedikit di sini tentang perkara yang lebih kurang sama iaitu 'Kegilaan Media dan Kebodohan Kita'. Semalam mencatat lagi satu sejarah buat penyanyi terkenal Mawi apabila diberi peluang oleh Astro melalui saluran 501 untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya. Dan pagi semalam juga Astro melalui saluran radio Era telah memberi peluang kepada pendengarnya untuk memberi pandangan kepada Mawi berkenaan persiapan perkahwinannya. Tak cukup dengan itu, muka depan akhbar Berita Harian hari ini memuatkan berita bergambar warna tentang pengumuman tarikh perkahwinan Mawi. Utusan Malaysia pula telah memberikan ruang separuh muka (juga dengan gambar warna) untuk menyiarkan berita ini dengan transkrip penuh temubual yang telah dibuat. Itu aku belum akhbar-akhbar lain. Sebelum mencatat seterusnya, tulisan ini bukan bermaksud aku dengki dan tidak suka Mawi. Walaupun aku bukan peminat separuh mati Mawi tetapi aku masih boleh bersiul mendengar lagu-lagu Mawi. Dalam hal ini aku melihat Mawi lebih hanya sebagai boneka yang digunakan untuk meraih keuntungan. Walaupun sememangnya Mawi mendapat peratusan daripada keuntungan itu tetapi peratusan itu hanyalah kecil berbanding peratusan besar yang dikaut oleh pihak media ini.
Kegilaan media di negara kita semakin menjadi-jadi pada hari ini setelah berlakunya persaingan dengan tumbuhnya stesen TV swasta dan berbayar, serta rangkaian stesen radio swasta. Persaingan antara stesen radio dan tv ini membuatkan mereka terpaksa atau harus memikirkan jalan terbaik untuk menarik perhatian penonton, pendengar dan pembaca. Maka sudah tentunya artis menjadi bahan utama untuk dieksploitasi memandangkan golongan ini sering mendapat perhatian daripada sebahagian besar rakyat Malaysia. Mungkin pada awal persaingan bahan-bahan yang dipaparkan dalam media mereka masih boleh diterima, namun apabila persaingan semakin sengit maka alternatif atau kaedah lain perlu dicari untuk menarik perhatian penonton. Dan akhirnya kini setiap hari kita akan dimomokan dengan berita-berita sebegini yang sebenarnya tiada nilai berita pun. Tetapi oleh kerana berita ini berkaitan selebriti dan kebanyakan orang kita memang gilakan berita sebegini maka sudahnya kita terpaksa akur dengan situasi yang meloyakan ini. Kalau kita sedar semenjak dulu hingga kini, media di negara kita sering mengeksploitasikan golongan artis dan selebriti ini untuk meraih keuntungan. Betul, sememangnya keuntungan diperlukan untuk meneruskan perniagaan tetapi apabila rakyat dan masyarakat terus dihidangkan dengan berita-berita 'kurang cerdik' seperti ini maka sudahnya masyarakat kita hanya mampu berbincang tentang hal-hal dalam kain artis bila bercakap berkaitan industri seni di negara kita.
Secara tidak langsung, kegilaan media yang terus menyajikan kita dengan cerita-cerita murahan atau kisah kahwin cerai artis, kisah cinta selebriti dan sebagainya sebenarnya telah menyebabkan masyarakat memandang rendah industri seni itu sendiri. Seharusnya media memainkan peranan yang penting dalam membantu mengembangkan industri muzik dan seni di negara kita yang semakin malap ini tetapi dalam keadaan sekarang kita sebenarnya sedang mengundur ke belakang. Walaupun diakui masih ada bahan media yang membantu mengangkat darjat industri ini tetapi peratusannya masih kecil berbanding cerita-cerita bertaraf sampah yang terus dihidangkan. Dan oleh kerana sudah terlalu asyik membaca, menonton dan mendengar bahan-bahan murahan sebegini maka agak sukar untuk mengubah perspektif masyarakat kita untuk menghayati seni dengan pemikiran, ilmu dan persepsi yang lebih bijak. Oleh sebab itulah sehingga hari ini industri muzik dan filem di negara kita semakin layu dan salah satu faktornya media di negara kita tidak mampu memainkan peranan yang diperlukan. Kegilaan media untuk memaparkan perkara remeh-temeh dalam industri ini menjadikan kita terpaksa 'memperbodohkan' diri untuk membaca, menonton dan mendengar apa yang disajikan. Dalam hal ini, sekali lagi kita sebagai pengguna mempunyai pilihan untuk menentukan yang cerdik atau yang kurang cerdik...

12 October, 2008

AKU SEMAKIN PENING

Aku semakin pening dan mungkin akan termuntah tak lama lagi... Hanya kerana ini sahajakah alasan untuk membolehkan Datuk Shah Rukh Khan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM)? Bacalah artikel yang aku petik dari laman BERNAMA ini. Dan kalau rajin cuba-cubalah jenguk komen dari Faisal Tehrani berkaitan hal ini (http://www.tehranifaisal.blogspot.com)
Anugerah Datuk Kepada Shah Rukh Khan Kerana Promosi Melaka Melalui Filemnya
By: Ramjit-->
MELAKA, 11 Okt (Bernama) -- Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.Beliau berkata Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk "One Two Ka Four" di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas."Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort di Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka," katanya.Beliau bercakap kepada pemberita selepas istiadat penyampaian anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini.Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.Mohd Ali berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang."Kalau kita hendak buat promosi Melaka secara sendiri melalui sesuatu filem yang ditonton jutaan orang di seluruh dunia tentu kosnya bernilai beratus juta ringgit," katanya."Melaka mempunyai banyak tempat pelancongan menarik seperti Sungai Melaka, Menara Taming Sari, Eye On Melaka dan tempat-tempat bersejarah yang menarik untuk filem seperti filem Hindustan. Kawasan lain di dunia pernah ditonton oleh orang ramai tetapi Melaka belum ditunjukkan secara menyeluruh," katanya.Mohd Ali berkata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mencadangkan kepada Mohd Khalil supaya pelakon Bollywood itu diberi anugerah bagi membantu Melaka menjadi terus popular lebih-lebih lagi selepas Melaka mendapat pengiktirafan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).Katanya Tun Daim sedang menguruskan tarikh yang sesuai untuk membawa Shah Rukh Khan datang ke Melaka menerima anugerah berkenaan, mungkin dalam tempoh sebulan ini.Beliau juga berkata kerajaan negeri mahu menjadikan Melaka tempat perfileman antarabangsa, apabila Melaka popular maka Malaysia pun popular.

11 October, 2008

DATUK SHAH RUKH KHAN

TANPA PREJUDIS

Sekembali aku dari pasar pagi tadi, ketika mula membelek akhbar Utusan Malaysia aku terkedu seketika ketika membaca satu tajuk berita muka depan akhbar itu di mana Shah Rukh Khan dikurniakan anugerah Datuk. Setelah membaca dengan lebih tenang bermacam perasaan muncul. Nak tergelak pun ada, nak marah pun ada. Inilah satu-satunya anugerah Datuk yang paling tak relevan pernah dikurniakan oleh kerajaan sesebuah negeri kepada seorang manusia. Kebiasaanya anugerah Datuk diberikan kepada seseorang individu yang banyak berjasa dan menyumbang bakti kepada masyarakat sama ada dalam sesebuah negeri ataupun kepada negara tetapi kali ini Datuk Shah Rukh Khan dikurniakan gelaran Datuk atas sumbangannya dalam bidang seni peringkat antarabangsa dan juga di Malaysia. Ha..ha...ha...memang lawak punya kerja. Aku kurang pasti siapakah empunya diri yang 'kurang cerdik' memberi cadangan agar pelakon yang kononnya hebat ini layak diberi anugerah sedemikian rupa.

Aku cuba ketuk-ketuk kepala aku sebentar, takut mungkin sedang bermimpi. Cuma gosokkan mata aku takut tersilap baca. Mungkin sebenarnya Nasir Bilal Khan yang dapat, bukan Datuk Shah Rukh Khan. Mungkin juga Rina Khan yang menerima anugerah ini...Tetapi yang nyata sebenarnya penerima anugerah ini adalah Datuk Shah Rukh Khan (tolong tepuk tangan....) Aku tak pasti apa sebenarnya sumbangan besar Datuk Shah Rukh Khan kepada negeri Melaka. Dalam kepala aku memikirkan kemungkinan Datuk Shah Rukh Khan ini keturunan Parameswara yang telah membuka Melaka lebih 500 tahun dahulu, ataupun mungkin juga nenek moyangnya dulu merupakan pedagang rempah dari India atau Gujerat yang pernah berdagang di Melaka. Kalau betul pun kemungkinan yang berligar dalam kepala otak aku, Datuk Shah Rukh Khan masih belum layak menerima anugerah sebegini. Beliau harus diuji secara DNA untuk membuktikan keturunan Parameswara ataupun perlu mempunyai bukti-bukti lengkap tentang salasilah nenek moyangnya yang mungkin pernah berdagang dan menabur bakti di bumi Melaka.

Dalam leka memikirkan semua ini, aku masih cuba menarik telinga sendiri kalau -kalau aku sebenarnya sedang bermimpi. Tetapi tidak...Aku terus bingung memikirkan apakah sumbangan yang pernah ditaburkan oleh Datuk Shah Rukh Khan kepada masyarakat di Malaysia? Yang aku tahu sebenarnya rakyat Malaysia yang tergila-gilakan pelakon ini yang banyak menyumbang kepada beliau dengan membeli tiket wayang untuk menonton filem Datuk Shah Rukh Khan, membeli CD, VCD dan DVD dan ada yang terlebih cerdik sanggup berhabisan ratusan ringgit hanya untuk melihat Datuk Shah Rukh Khan miming di atas pentas. Lebih parah Datuk Shah Rukh Khan tidak pernah menghormati adab dan tatasusila masyarakat Malaysia dengan segala karenah dan gelagat yang ditimbulkan semasa berada di sini. Jadi masihkah itu dianggap sumbangan?

Dalam perjalanan balik dari Parit Buntar ke Machang pagi tadi aku terus buntu memikirkan perkara ini sepanjang perjalanan. Kalau pun anugerah ini hendak diberikan kepada artis luar yang banyak menyumbang kepada industri hiburan negara masih banyak insan lain yang lebih berkelayakan dan banyak menyumbang dari Datuk Shah Rukh Khan. Anugerah Datuk ini boleh sahaja di beri kepada M. Nasir ataupun Ramli Sarip yang banyak menyumbang kepada perkembangan muzik di Malaysia. Kalau untuk pelakon pula aku rasa Mat Sentol atau Wahid Satay lebih banyak menyumbang kepada perkembangan filem di Malaysia dan rasanya mereka ini lebih layak berbanding Datuk Shah Rukh Khan. Dan kalau anugerah Datuk ini diberi kepada AR Badul pun aku masih boleh terima, sekurang-kurangnya Badul pernah mencipta nama sebagai pelakon dan pengarah komedi disegani di Malaysia dan terus aktif sehingga kini. TETAPI KENAPA DATUK SHAH RUKH KHAN????

Dalam kereta tadi aku masih cuba untuk tidak mempercayai berita ini, dengan harapan esok akhbar akan menyiarkan "Ralat : Berita tentang Anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan merupakan kesilapan yang tidak disengajakan." Kalau aku hendak senaraikan nama insan lain yang lebih layak daripada Datuk Shah Rukh Khan memang rasanya tak muat laman blog ini. Sampai saat ini aku masih kurang mengerti mengapa Datuk Shah Rukh Khan yang wajar dikurniakan anugerah ini. Aku tak pasti apa perasaan Datuk-Datuk lain yang menerima anugerah yang sama dan sedarjat dengan Datuk Shah Rukh Khan ini. Cuma dalam fikiran aku kalau Datuk Shah Rukh Khan yang tidak ada apa-apa jasa kepada rakyat negara kita ini boleh dikurniakan gelaran Datuk maka sudahnya gelaran Datuk itu sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood bernilai RM 9.90 yang boleh didapati di Pasar Raya Maidin....


* Sekurang-kurangnya arwah Tok Wan aku lebih banyak jasanya kepada negara berbanding Datuk Shah Rukh Khan. Pernah ditembak komunis suatu ketika dahulu ketika memperjuangkan kemerdekaan negara. Al Fatihah...