31 May, 2007

Cerita Tentang Milo Ais

Sejak seminggu yang lepas, masyarakat kita heboh dengan cerita Milo Ais. Bermula dengan pendedahan seorang pengguna dalam akhbar harian mengenai harga Milo Ais yang diminumnya naik sehingga RM 1.80 di Kuala Terengganu, sehinggalah peniaga tersebut dikenakan kompoun melebihi RM 20,000.00. Sejak itu, setiap hari cerita tentang harga Milo Ais yang dilaporkan naik mula mendapat tempat di akhbar harian. Sebenarnya bercakap tentang Milo Ais ini aku ingin berkongsi cerita tentang sebuah warung kecil di Kota Bharu yang terkenal dengan minuman Milonya. Warung Pak Lah yang terletak berhampiran Hospital Pakar Perdana mempunyai keistimewaan tersendiri dalam penyediaan air Milonya. Tidak kira sama ada Milo panas ataupun Milo ais, cara pembuatannya amat menarik dan tentunya 'kaw' serta harganya pula amat berpatutan. Tak silap aku harga Milo Ais dalam lingkungan RM 1.20 dan aku jamin para pelanggan pasti berpuas hati dengan harga tersebut. Bagi mereka yang berkunjung ke Kota Bharu, teringin hendak menikmati Milo Ais yang 'kaw' dengan harga yang berpatutan, seharusnya Warung Pak Lah mesti dikunjungi. Kalau tak tahu tempatnya, aku boleh tunjukkan kerana aku merupakan antara pelanggan setia warung tersebut sehingga kini...

30 May, 2007

Nasib Bahasa Melayu

Dalam akhbar Kosmo hari ini ada berita yang berbunyi begini : Politeknik guna Bahasa Inggeris 2008. Dalam laporan tersebut antara lain menyatakan bahawa kesemua 22 politeknik di seluruh negara akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam sesi pembelajaran mulai tahun 2008.
Begitulah nasib bahasa Melayu. Setelah kita menjangkau usia 50 tahun kemerdekaan, bahasa Melayu semakin lama semakin asing di tanah sendiri. Dan yang lebih perit bahasa Melayu dipinggirkan oleh bangsa sendiri. Bukan menafikan kepentingan menguasai bahasa penjajah ini, tapi mengapa kita perlu mengorbankan bahasa bangsa kita? Inikah yang harus kita korbankan menjelang ulang tahun ke-50 kemerdekaan? Jawapannya ada dalam diri kita sendiri...

16 May, 2007

Aku, Merdeka dan Manchester...


Baru-baru ini persada sukan tanah air kita agak kecoh dengan isu perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Manchester United. Umum telah tahu apa keputusannya dan tak perlu aku ulangi lagi di sini. Cuma yang aku agak musykil ialah apabila kedatangan pasukan MU itu dikatakan adalah sebagai salah satu acara untuk sambutan 50 tahun kemerdekaan negara. Pelik bukan? Aku tak pasti dan keliru di sebalik semua yang berlaku ini cuma apabila Pak Lah pun masuk campur dan mengakui kedatangan pasukan 'Red Devils' ini adalah sebagai sebahagian daripada acara sambutan kemerdekaan sudah tentulah ianya bersifat nasional dan mempunyai kepentingan kepada rakyat. Bagi para peminat fanatik pasukan MU, kedatangan pasukan ini sudah pasti sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tak hairanlah ramai yang membantah apabila ada ura-ura untuk membatalkan perlawanan ini setelah FIFA dan AFC memberi amaran kepada FAM. Cuma pada pendapat aku perlawanan ini hanya untuk menarik perhatian pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dan pastinya tidak ada kena mengena dengan sambutan kemerdekaan. Bolehkah kita berbangga untuk mengakui acara ini untuk sambutan kemerdekaan sekiranya pasukan kebangsaan kita akan dibelasah oleh MU dan anak-anak kita lebih ramai yang menyokong MU daripada pasukan negara sendiri. Bukannya aku tidak boleh bersikap terbuka dalam hal ini kerana masih ada beberapa perkara positif atas kunjungan MU ke Malaysia, cuma alasan sebagai sebagai salah satu acara menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara bagi aku kurang tepat.Kalau itulah salah satu caranya kita merayakan kemerdekaan, nyata sebenarnya kita masih dijajah....

15 May, 2007

Kumpulan Awe Gedebe



Pernahkah anda mendengar nama kumpulan muzik Awe Gedebe? Kalau belum pernah, gambar di atas itulah yang di maksudkan dengan kumpulan muzik tersebut. Kumpulan Awe Gedebe ini ditubuhkan sekitar tahun 2004 secara paksa dan rela untuk menyertai sebuah pertandingan bakat. Kumpulan yang dianggotai oleh Awe Man (Penyanyi), Awe Aziz (Akordian), Awe Mat (Tamborin), Awe Azam (Gitar) dan Awe Sharrul (Bongo) ini pernah mendapat tempat ketiga dalam sebuah pertandingan bakat yang diberi nama Malam Sekalung Seni. Kumpulan ini biasanya menyanyikan lagu-lagu daerah Kelantan dan mampu juga menyampaikan lagu-lagu puisi dengan baik (sekiranya cukup latihan). Terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar muzik yang berlainan, kumpulan ini kini mula meniti nama di persada muzik daerah negeri Kelantan. Baru-baru ini kumpulan ini telah dijemput untuk mengadakan persembahan di Pulau Pinang, sempena perasmian Lepau Seni-Anjung Indah, sebuah tempat khusus untuk acara sastera dan kesenian. Apa yang menarik, persembahan pada malam itu telah ditonton oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Haji Abdul Rahman Abbas bersama beberapa ahli exco dan ADUN peringkat negeri Pulau Pinang. Buat pertama kalinya juga kumpulan Awe Gedebe ini telah dapat bersama-sama membuat persembahan dan berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Rahimidin Zahari, Khalid Saleh, Yus Raja Lawak dan beberapa nama lain yang tidak kurang hebatnya. Selepas persembahan pada malam tersebut, kumpulan Awe Gedebe mula mendapat perhatian dan menerima beberapa undangan untuk membuat persembahan. Menurut jurucakap kumpulan, mereka akan menimbang pelbagai faktor untuk menerima undangan tersebut memandangkan ahli kumpulan ini sentiasa sibuk dan mempunyai banyak komitmen lain. Bagi mereka, penglibatan dalam bidang muzik ini hanyalah untuk mengisi masa lapang dan bukan untuk menjadikan muzik sebagai sumber pendapatan.

13 May, 2007

Hidup dan Cabaran

Dalam hidup ini kita sentiasa berdepan dengan cabaran. Kehidupan juga satu cabaran sebenarnya. Sama ada suka atau tidak, setiap hari kita akan melalui pelbagai cabaran yang sememangnya dirancang atau yang tidak diundang. Kata orang, hidup dengan takut melalui cabaran seakan kita merancang untuk gagal dalam kehidupan. Seharusnya kita bersedia untuk melalui segala cabaran dan berusaha mencari jalan untuk mengatasinya sebaik mungkin.
Aku juga suka akan cabaran, oleh sebab itu aku jarang menolak sekiranya menerima cabaran. Apatah lagi cabaran itu sesuatu yang menarik atau yang belum pernah dicuba. Dengan melalui cabaran kita akan merasai pelbagai perasaan dan nikmat. Bayangkan kalau kita hidup tanpa cabaran....setiap hari melalui nafas perjalanan yang sama sehingga akhirnya akan jadi sesuatu yang membosankan. Oleh itu seharusnya kita semua berani menghadapi dan cabaran dan bersedia merancang mengatasi cabaran itu dengan matang dan sabar.