31 January, 2008

PERGINYA SEORANG INSAN SENI : LOLOQ

Semalam, sekitar pukul dua petang aku menerima SMS daripada seorang rakan DuniaSearch yang memaklumkan bahawa penulis lirik terkenal, Loloq telah kembali ke rahmatullah. Terkedu seketika kerana sebelum itu aku baru sahaja membaca kisahnya yang sedang terlantar di hospital dalam akhbar Harian Metro. Sesungguhnya ini satu kehilangan besar dalam industri hiburan tanah air terutamanya dalam bidang seni penulisan kreatif.

Rosli Khamis atau lebih dikenali dengan nama Loloq dan sering juga menggunakan nama Nurbisa dalam hasil karyanya merupakan seorang anak kelahiran Singapura yang lahir 50 tahun dahulu. Ketika menginjak usia pertengahan 20-an, Loloq nekad meninggalkan Singapura dan segala kisah hidupnya di gelandangan untuk menuruti jejak seorang sahabat lama yang telah mencipta nama di Malaysia iaitu M. Nasir. Bermula dari situlah Loloq telah ‘dipaksa’ oleh M. Nasir untuk menulis lirik dan menurut cerita Loloq sendiri beliau pernah dikurung oleh M. Nasir supaya menghasilkan lirik lagu dan hasilnya tujuh lirik tercipta dalam satu masa. Sebelum itu, Loloq juga pernah di minta oleh M. Nasir untuk menubuhkan sebuah band dan merakamkan album. Akhirnya bersama Joe, Ajeed dan Wan maka tertubuhlah band yang bernama Rastari dan sempat menghasilkan sebuah album di mana Loloq bertindak sebagai penyanyi utama.

Bertitik-tolak daripada paksaan M. Nasir untuk menghasilkan lirik, Loloq terus melangkah ke depan dan atas minat membacanya yang tinggi disamping penguasaan bahasa yang kuat, bait puitis Loloq mula diterima dalam arena industri muzik di Malaysia. Ketika sebahagian besar lirik lagu Melayu berkisah tentang kekecewaan dan hidup yang tidak bercahaya, Loloq mula menerobos melalui liriknya yang melangkaui pemikiran biasa. Aku sendiri terkadang perlu membuka Kamus Dewan untuk mentafsir bait kata atau bahasa yang digunakan oleh Loloq dalam liriknya. Bermula dengan menghasilkan lirik untuk lagu-lagu M. Nasir, Loloq kemudiannya mencipta nama dalam melalui lagu-lagu rock dan slow rock yang kebanyakkannya dicipta oleh M. Nasir.

Kreatif, Bombastik, Melankolik, dan adakalanya begitu eksplisit dengan bait bahasanya ketika menyusun lirik. Minat aku dengan M. Nasir, Search dan muzik rock tempatan menjadikan lirik Loloq sentiasa melekat dalam kotak pemikiran. Jampi serapah Loloq begitu menjadi dalam Mentera Semerah Padi (M. Nasir). Katanya “Hai kersani mengalirlah engkau, Menjadi raksa mengisi belikat punggungku” Koloborasi Nasir dan Loloq dalam Mentera Semerah Padi cukup memukau dan sehingga kini merupakan antara masterpiece M. Nasir yang cukup unggul. Melalui album Canggung Mendonan (M. Nasir), Loloq terus berfalsafah dalam Secangkir Kopi Semanis Puan, Ada dan Loloq juga menghantar suara seorang anak dalam Bonda. Di tangan Loloq, Bonda menjadi begitu syahdu dan menginsafkan pengorbanan besar seorang manusia bergelar ibu. Sebelum itu dalam album Saudagar Mimpi (M. Nasir) pula, kehebatan Loloq terlihat dalam Keroncong Nostradamus, Apokalips, serta Insan dan Manikam. Loloq sendiri mengakui bahawa Keroncong Nostradamus merupakan antara karya terbaik beliau dan ini diakui melalui bait lirik
Hikmah madah syair seloka. Gurindam selang seli kail. Mengail bebunga daun berduri. Beburung berwarna warni”

Tidak cukup dengan itu, seterusnya Loloq kian menggila dengan Andalusia dan Kias Fansuri yang kedua-duanya hasil sentuhan M. Nasir. Kolumnis Ku Seman Ku Hussain dalam ruangan Getaran pernah menulis : Andalusia antara kelangsungan Loloq untuk keluar daripada lingkungan yang membendung tradisi lirik lagu Melayu. Andalusia menjejak mimpi-mimpi silam era kegemilangan Islam di Andalusia (kini Sepanyol). Loloq menerusi lirik ini ternyata cukup terharu dengan hilangnya sebuah kegemilangan yang dicatatkan sebagai ''biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar, cahayamu sediakala.'' Kias Loloq dalam Kias Fansuri juga begitu dalam maknanya sehingga ramai yang tersalah tafsir dan menjadi isu seketika dulu. Melalui bait puitis “Tak sia-sia mimpi Zulaikha bisa jadi cermin mengintai jiwa, Tak sia-sia mimpi Zulaikha bisa jadi lorong insan bercinta” Loloq terus bermain dengan jiwa sehingga ramai yang tersalah tafsir maknanya.

Itu baru secebis karya Loloq dalam nyanyian M. Nasir. Kerana ratusan karya lain begitu menjadi dan rasanya tidak mampu tercatat di sini. Melankolik Loloq pula boleh dikesan melalui Layar Impian (Ella). “Jika mimpi masa silam, Dapat kusimpan dalam kaca jadi perhiasan”, Kalimah Cinta (Amy)”Kau kasih isyarat jiwa, Kumeniti jalan yang lurus”. Begitu juga dengan puluhan lirik-lirik lain seperti Awan Yang Terpilu (Ning Baizura), Biru Mata Hitamku (Wings), dan Suralaya Dalam D Major (Amy). Loloq juga dilihat cuba mengubati kesedihan seorang rakan yang kehilangan orang tercinta iaitu M. Nasir yang kematiannya isterinya melalui bait syahdu Nur Nilam Sari (Search-Awie/Bikin Wilayah) di mana nama itu merupakan nama puteri tunggal masterji Nasir bersama arwah Nana.

Kadangkala Loloq juga begitu lantang dan eksplisit dalam menghasilkan seni kata lagu. Jerangkung Dalam Almari (Wings), Melastik Ke Bintang (Search), Zen-Bikin Wilayah (Search+Awie), Aku (Amy), antara karya beliau yang dilihat begitu berani bermain dengan kata-kata dan berterus terang. Zen (Bikin Wilayah) Loloq melontarkan kata “Masing-masing bikin wilayah, Sisa najis jadikan petanda, Amalannya di lubuk situ, Segala-gala dia sahaja punya” manakala melalui Jerangkung Dalam Almari pula sinis Loloq “Maafkanlah kami, Dalam generasi ini, Tak faham tak kenal, Syair perahu tunjang pujangga Melayu”. Walaupun terkenal sebagai seorang penulis yang begitu mendaulatkan bahasa Melayu, kadang-kala Loloq sengaja memilih bahasa rojak dan bahasa slanga yang sering diungkapkan oleh anak-anak muda. Ini terbukti daripada puluhan lagu kumpulan Spider yang dihasilkannya seperti Aladin, Kacap Terlabik, Kasih Latifah, Nazraku. Dalam lagu Ichiban (Search+Awie) pula Loloq seakan sengaja melontarkan bait berikut “Ichiban, gua gerenti lu don’t fell rugi, Lain kali datang sini, Lu mesti carilah lagi”. Dalam bait lirik Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi+M. Nasir), pula Loloq seakan terluka dengan nasibnya dan susun kata lagu tersebut menceritakan seakan perihal dirinya dalam industri muzik tempatan.

Semalam, hirup nafas anak seni ini telah berhenti dan menamatkan segala-galanya. Melihat titis air mata M. Nasir dalam temubual di televisyen menceritakan betapa beliau kehilangan seorang rakan karib dan teman seperjuangan sejati yang sukar di cari ganti. Fasih bertutur dalam bahasa Hokkien, suami kepada Hariah Yaacob, 36, dan ayah kepada Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5 ini pergi bersama lebih seribu seni kata lagu yang akan terus bersemadi dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Walaupun mungkin jasadnya telah tiada, namun pemikiran, falsafah dan keresahan jiwa Loloq yang dilontarkan dalam setiap patah kata dalam liriknya akan tetap dikenang dan menjadi bukti kewibawaan dan kredibiliti seorang anak seni yang bernama Rosli Khamis. Semoga roh allahyarham akan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

25 January, 2008

TANGGAL 25 JANUARI 2008

Hari ini tanggal 25 Januari 2008, dan 32 tahun yang lalu segalanya bermula....

24 January, 2008

SUNGAI MENGALIR LESU


Sengaja aku memilih salah satu tajuk novel A. Samad Said untuk menggambarkan suasana dunia sastera Melayu di negara kita pada hari ini. Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (24 Januari 2008), Datuk A. Samad Said yang lebih mesra aku panggil Pak Samad telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara. Kenyataan itu dibuat setelah terdapat ura-ura bahawa semua pada tahun 2010 karya-karya Sasterawan Negara tidak akan lagi dipilih menjadi teks Komsas dan digantikan dengan karya-karya popular tempatan. Walaupun masih dalam peringkat cadangan, namun khabar duka itu telah mencarik hati Pak Samad hingga beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Demi kedudukan para Sasterawan Negara di Malaysia dan juga demi maruah Sastera Melayu itu sendiri sudah tentu sesuatu perlu diperbetulkan agar perkara ini tidak menjadi kenyataan.
Begitulah yang terjadi dalam senario masyarakat kita pada hari ini. Semuanya memilih yang popular dan ringan untuk menjadi santapan minda. Yang popular diangkat dengan anggapan ianya bermutu sedangkan masih banyak yang boleh dipersoalkan, manakala yang betul-betul bermutu pula semakin dipinggirkan.Masyarakat kita juga dilihat semakin hari lebih suka memikirkan benda remeh-temeh dan ringan daripada memikirkan perkara-perkara lain yang lebih memerlukan kewarasan minda untuk dianalisa, dikritik dan dihujahkan. Inilah yang menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan bangsa Melayu menjadi bangsa yang besar dan yang boleh dibanggakan. Kalau ditanya pada para pelajar kita pada hari ini berkenaan jumlah Sasterawan Negara dan namakan kesemuanya maka nescaya aku pasti tak ramai yang mampu menjawabnya. Tapi kalau ditanya berapa ramaikan Juara Akademi Fantasia dan namakan kesemuanya maka berduyun-duyunlah yang kalut untuk menjawabnya. Itu baru dalam satu perkara dan rasanya tak perlulah diberi contoh-contoh lain yang memperlihatkan betapa masyarakat kita pada hari ini makin tidak mengenali peradaban bangsa sendiri.
Kepada Pak Samad, walaupun tidak mahu lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara tetapi di mata kami di sini Bapak tetap seorang sasterawan dan seniman ulung yang dikurniakan bakat semula jadi yang hebat oleh Allah S.W.T untuk mewarnai arena persuratan Melayu di negara ini. Maafkan kami kerana hanya mampu melahirkan rasa simpati dengan apa yang berlaku ini kerana kami hanya 'menurut perintah' dan terpaksa akur dengan apa 'yang dititah'.

09 January, 2008

TANGGAL 1 MUHARRAM

SEMOGA KEDATANGAN TAHUN BARU INI MEMBAWA RAHMAT KEPADA KITA SEMUA. AMIN...

08 January, 2008

BAYAR ATAU PERCUMA

Kalut! Mungkin itu frasa yang sesuai diungkapkan bagi berbicara tentang bayaran yuran sekolah yang hangat diperkatakan sejak bermulanya sesi pertama persekolahan. Bagi aku dalam hal ini ada pro dan kontranya. Selepas pengumuman oleh PM tentang penghapusan bayaran yuran peperiksaan dan yuran sekolah, ibu-bapa berpendapat mereka tidak perlu membayar apa-apa lagi apabila menghantar anak ke sekolah. Justeru, apabila diminta beberapa jenis yuran ketika mendaftar anak mereka, masing-masing mula membangkitkan isu ini sehingga menjadi agak kelam kabut sehingga memaksa Menteri Pelajaran campur tangan.
Bagi aku, langkah kerajaan menghapuskan bayaran yuran ini memang tepat dalam meringankan beban golongan bawahan terutamanya keluarga yang tidak berkemampuan. Namun begitu, tindakan sekolah mengenakan beberapa jenis yuran yang munasabah juga seharusnya dipandang positif dan tidak dijadikan isu oleh ibu-bapa. Bagi sekolah yang mengenakan yuran yang agak melampau sehingga ke yuran penyelenggaraan tandas dan tuala wanita, perkara ini seharusnya tidak wajar berlaku dan semenangnya perlukan penjelasan daripada pihak sekolah yang mengenakannya. Seharusnya pihak kementerian atau pihak sekolah sepakat menyelaraskan kadar bayaran yuran dan caj-caj lain agar ibu-bapa lebih jelas dan seharusnya tidak terbeban dengan masalah sebegini. Kadar antara RM 30 (sekolah rendah) dan RM 50 (sekolah menengah), rasanya merupakan kadar yang rasional dan mampu dibayar oleh semua golongan.
Ibu-bapa juga seharusnya faham dengan langkah pihak sekolah mengenakan beberapa jenis yuran ini yang semuanya menjurus kepada aspek pembangunan dan kesejahteraan sekolah. Dalam hal ini aku melihat rata-rata yang menunjukkan rasa tidak puas hati ialah 'orang-orang' kita belaka. Mungkin ada benarnya sesetengah sekolah mengenakan yuran yang melampau sehingga mencecah ratusan ringgit dan sewajarnya ibu-bapa akan merasa tidak berpuas hati, namun bagi sekiranya kadar yuran yang ditetapkan adalah munasabah dan rasional tidak wajar ibu-bapa merungut dan tidak membayarnya. Agak sedih melihat masyarakat kita yang terlalu inginkan semuanya dengan percuma sedangkan mereka tahu zaman sekarang setiap pergerakan melibatkan kos. Adakah nilai RM 50 itu terlalu besar berbanding dengan tempoh setahun yang anak-anak mereka berada di sekolah? Seharusnya ibu-bapa tidak wajar mempertikaikan hal-hal sebegini sekiranya apa yang dituntut oleh sekolah itu ada kewajarannya dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak-anak. Kalau kita lihat, masyarakat Cina di negara kita tidak lokek untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak mereka sehingga mereka mampu membina sekolah-sekolah persendirian yang lebih besar dan canggih daripada sekolah-sekolah yang dibina kerajaan. Mungkin ibu-bapa anak-anak kita pula merasakan nilai wang yang mereka sumbangkan kepada sekolah itu terlalu besar sehingga merasakan ianya terlalu menjadi bebanan hidup, walhal ada antara mereka ini tidak kisah membazir puluhan ringgit setiap hari untuk membeli rokok dan menghabiskan ratusan ringgit untuk menghantar undian SMS ke rancangan realiti TV. Seharusnya kita sama-sama dapat berfikir sejenak!

02 January, 2008

MY FATHER IS A HERO

Ketika pulang ke kampung baru-baru ini, ayah telah memberikan aku gambar-gambarnya ketika zaman muda remaja untuk di 'scan'. Hasilnya ini antara gambar yang telah aku scan dan edit kembali...