27 November, 2008

RINDU TENGKUJUH II

gambar hiasan...

Seperti entri aku minggu lepas, sehingga hari ini Kota Bharu masih rindu dengan hujan. Hanya berhenti beberapa hari dan 2-3 hari lepas hujan lebat menyirami bumi Cik Siti Wan Kembang ini. Aku rasa bukan sahaja di KB, tetapi di tempat-tempat lain juga di pantai timur mengalami situasi serupa. Seperti biasa juga masyarakat di sini sudah lali dengan banjir. Aku yang lebih tujuh tahun menjadi warga Kelate ini pun sudah dapat mentafsir keadaan semasa berdasarkan situasi disesuatu tempat. Cuma, Alhamdulillah semenjak awal tahun projek-projek tebatan banjir giat dilaksanakan dan hari ini aku dapat melihat sedikit perbezaan walaupun hujan lebat turun mencurah-curah. Insyaallah, bermula Sabtu hingga Khamis depan aku akan berada di Kuala Terengganu lagi untuk menyudahkan program akhir tahun. Harap-harap Kuala Terengganu tidak akan banjir sehingga boleh mencacatkan segala yang telah dirancang ini. Selepas balik dari Kuala Terengganu akan terus balik ke Parit Buntar untuk beraya. Kali ini giliran aku pula berhari raya Aidiladha di kampung. Dengan segala keadaan menuju ke penghujung, aku juga bersiap-siap merancang buku baru untuk tahun hadapan. Tanggungjawab kerja nyata lebih berat dan banyak. Puteri kecil aku juga akan memulakan alam persekolahan di tadika. Mungkin suasana tahun hadapan akan berlainan dengan tahun-tahun sebelum ini. Apa yang pasti semoga terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk melaksanakan perjalanan kehidupan ini. Salam Aidiladha....

20 November, 2008

RINDU TENGKUJUH

Sepanjang 3 hari lepas hingga ke saat aku menulis entri ini, bandar Kota Bharu mula menerima hujan lebat yang tak henti-henti. Petanda akan hadirnya musim tengkujuh tak lama lagi. Maka akan muramlah wajah pengusaha kedai membasuh kereta, penjual air batu, dan penjaja-penjaja jalanan. Yang tersenyum pula mungkin tauke-tauke yang menjual payung dan baju hujan dan tak lupa juga bakal-bakal pengantin yang bakal melayari alam rumah tangga. Diam tak diam usia blog ini juga melepasi angka tiga tahun. Banyak juga yang telah aku tulis, walaupun kekadang tu ada entri yang sekadar syok sendiri. Pada mulanya tujuan aku membuat blog ini hanya untuk tujuan peribadi dan suka-suka. Tetapi selepas melihat perkembangan blog masa kini, seharusnya aku perlu berkongsi sesuatu dengan orang lain agar segala manfaat dapat dipelajari bersama. Aku sedang merancang sesuatu untuk membuat sedikit perubahan kepada blog ini, mungkin awal tahun hadapan bakal direalisasikan.
Suasana di tempat kerja juga mula berubah. Aku baru kehilangan seorang rakan karib yang telah berpindah ke selatan tanah air. Lebih kurang tujuh tahun yang lalu kami pernah tinggal bersama-sama ketika masih bujang. Seterusnya menjadi pasangat duet untuk melaksanakan kerja dan aktiviti di pejabat. Dan kini saudara Syaidul Azam meneruskan hijrahnya ke tempat baru dengan pelbagai kenangan dan nostalgia bersama rakan-rakan di sini. Semoga penghijrahan ini membawa lebih banyak manfaat dan peluang untuk lebih berjaya.

Hujan masih turun dengan lebat, musim tengkujuh baru hendak bermula...dan aku masih tetap seperti biasa.....

08 November, 2008

MENTARI MERAH DI UFUK TIMUR

Jangan terpengaruh dengan tajuk entri yang sengaja aku letak dan tidak ada kena mengena dengan apa yang nak aku tulis. Cuma agak buntu untuk meletakkan tajuk entri, lalu tajuk album Search menjadi pilihan aku. Sebenarnya kalau nak diikutkan sebelum catatan entri ini aku telah dua kali menulis entri sepanjang dua minggu yang lalu. Pertama sekali ketika aku berada di Dungun hujung bulan lepas. entri yang bertajuk Petanda Papan Tanda aku tulis di Perpustakaan Awam Daerah Dungun. Malangnya bila saja aku menekan kekunci publish untuk entri tersebut dengan tiba-tiba semuanya hilang. Frust gila aku,sebab agak panjang catatan yang aku tulis itu akhirnya hilang begitu sahaja. Tambah malang lagi aku tidak sempat untuk simpan catatan tersebut.
Balik dari Dungun ada lagi entri yang aku cuba publishkan, malangnya entri tersebut aku delete sendiri kerana merasakan ia kurang sesuai menjadi tatapan di alam maya ini. Dan kerana kesibukan tugas seharian aku terpaksa membiarkan laman blog ini tidak terusik walaupun bermacam perkara bermain diingatan. Daripada isu kontroversi Norman Hakim dan Abby Abadi hinggalah ke pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang baru, semuanya boleh menjadi isu dalam entri cuma aku kekurangan masa dan idea untuk menulis. Ditambah lagi dengan keadaan kesihatan yang tidak berapa memuaskan membuatkan banyak perkara yang sebelum ini mudah menjadi beban buat aku.
Diam tak diam blog ini menghampiri tahun yang ketiga. Terima kasih sekali lagi kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang sudi menjenguk ke laman blog yang tidak seberapa ini. Aku tidak mengharapkan anda semua bersetuju dengan apa yang tercatat di sini, cuma berharap sekurang-kurangnya kita semua dapat berkongsi cerita melalui ruang maya yang semakin luas sekarang ini. Tahun 2008 pun dah hampir menginjak ke penghujung. Kami di pejabat ketika ini sedang bertungkus lumus untuk menyudahkan beberapa program sebelum akaun ditutup pertengahan Disember nanti. Tambahan pula apabila bekerja di Pantai Timur faktor cuaca merupakan antara aspek penting yang perlu diambil kira sebelum merancang sesuatu program. Oleh sebab itulah bermula esok hingga 13hb kami semua akan berkampung di Cameron Highlands untuk menjalankan beberapa aktiviti dengan masyarakat di sana. Mudah-mudahan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insyallah mungkin akan ada cerita-cerita menarik yang aku boleh kongsi nanti bersama rakan-rakan semua......