13 June, 2007

Sendait Ria



Bemula dari 7 Jun 2007 hingga 11 Jun 2007 aku telah diminta membantu membuat rakaman acara Sendait Ria - Dendangan Lagu Tradisi Rakyat Sabah 50 Jam Tanpa Henti yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah. Aktiviti ini merupakan sempena menyambut perayaan kemerdekaan negara yang ke-50 dan sekaligus bakal mencipta satu rekod dalam Malaysian Book of Record. Aku ke sana bersama rakan sepejabat, En. Mat Rani Setapa dan banyak pengalaman yang kami perolehi semasa berada di sana. Ikuti catatan perjalanan yang aku buat selama 5 hari semasa berada di sana.

* Peralatan yang wajib aku bawa untuk membuat rakaman

7 Jun 2007 (Khamis)
9.20 pagi
Kami memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dengan menaiki pesawat MAS. Aku sengaja meminta tempat duduk di pintu kecemasan kerana ianya agak lapang dan terdapat dua kerusi sahaja di kawasan itu berbanding tiga di bahagian lain. Sampai di KLIA menjengah pukul 10.30 pagi. Aku dan Cik Mat berkeliaran di kawasan balai berlepas memandangkan pesawat untuk ke Kota Kinabalu akan berlepas pada pukul 12.00 tengah hari. Tidak berapa lama selepas itu, Kamalisa dan Asmadi (petugas dari DBPKL) tiba. Sebenarnya kami 6 orang ditugaskan untuk membuat kerja-kerja rakaman selama 50 jam tanpa henti ini dan dua rakan lain iaitu Zubir dan Ezuwan telah pun berlepas ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat pada pukul 9.00 pagi tadi.


* Berehat seketika di KLIA, sementara menunggu penerbangan seterusnya

12.00 tengah hari
Kami berlepas dengan menaiki pesawat MAS MH 0086 ke Kota Kinabalu. Perjalanan seperti biasa, cuma sekali lagi kami di tempatkan di tempat duduk berhampiran pintu kecemasan. Kamalisa dan Asmadi pula terus ke bahagian belakang. Setelah menaiki pesawat ini baru aku perasan yang tempat duduk yang berhampiran dengan pintu kecemasan tidak boleh disandarkan. Aku lantas bertanya dengan pramugari dan dia mengakui sememangnya kerusi di bahagian tersebut tidak boleh disandarkan. Sudahnya aku dengan Cik Mat terpaksa duduk secara menegak selama 2 jam setengah....


*Bersama Kamalisa dan Encik Muziat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu

2.45 petang
Pesawat yang dinaiki selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Cuaca agak mendung. Kami terpaksa menunggu agak lama kerana menantikan bagasi yang agak banyak, kebanyakannya peralatan video yang sememangnya pelbagai. Encik Muziat, Pegawai dari DBP Cawangan Sabah telah sedia menanti dan setelah memunggah barang ke dalam kenderaan pacuan empat rodanya kami terus ke DBP Cawangan Sabah untuk mengambil beberapa peralatan lain.

*Pertama kali aku sampai di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Sabah
4.30 petang
Kami memulakan perjalanan dari DBP Cawangan Sabah. Cuaca masih mendung dan titisan gerimis mula turun semasa kenderaan yang membawa kami meninggalkan Kota Kinabalu. Menurut Encik Muziat, perjalanan akan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Melalui Kota Belud, Kota Marudu dan selepas itu barulah akan sampai ke Pitas. Lebih kurang pukul 6.30 petang kami sampai di Kota Marudu. Sememangnya perut kami telah berbunyi minta diisi, maklumlah kali terakhir hanya sempat menjamah hidangan di atas kapal terbang. Kami berhenti di sebuah restoran di Kota Marudu. Pekan Kota Marudu agak besar. Mempunyai bangunan-bangunan baru, hotel serta infrastrukturnya juga agak moden. Semasa menanti makanan aku sempat berjalan-jalan ke kawasan berdekatan dan sempat menjengah pasar malamnya. Suasana di pasar malam agak sama dengan di semenanjung cuma aku tertarik dengan hidangan ikan bakar yang banyak dijual di situ. Besar-besar dan segar-segar belaka. Sayang aku tak sempat merakamkan apa-apa visual semasa singgah di sini.
Kami meneruskan perjalanan lewat pukul 7.00 malam dan cuaca telah pun bertukar gelap. Perjalanan kali ini lebih mencabar. Jalan raya dari Kota Marudu ke Pitas tidak berapa sempurna. Beberapa kali Encik Muziat terpaksa membrek secara tiba-tiba untuk mengelak lubang yang agak banyak di atas jalan dan juga ancaman lembu peliharaan yang bebas berkeliaran di atas jalan raya pada waktu malam. Asmadi yang duduk di bangku hadapan erat memegang kamera videonya kerana perjalanan yang tidak begitu selesa itu. Hampir pukul 9.00 malam kami sampai ke pekan kecil Pitas. Terpaksa juga berhenti beberapa kali untuk bertanyakan arah jalan, rupanya Encik Muziat juga baru pertama kali sampai di sini.


*Dewan Serbaguna Pitas, tempat berlangsungnya acara

* Pekan Baru Pitas, tempat penginapan kami di atas restoran ini.

Pitas sebenarnya merupakan sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 260km dari bandaraya Kota Kinabalu. Aku tak pasti jumlah penduduknya, cuma sebilangan besar masyarakat di sini terdiri daripada kaum Rungus dan orang sungai. Sebab itulah pekan Pitas ini dipilih sebagai lokasi untuk acara Sendait Ria ini kerana Sendait itu sendiri adalah diambil daripada perkataan bangsa Sungai yang bermaksud puisi rakyat yang dinyanyikan. Pekan kecil Pitas terdiri daripada sebuah arked dan beberapa deretan kedai kayu sahaja. Terdapat sebuah petempatan dua blok rumah kedai yang diberi nama Pekan Baru Pitas, tetapi hanya beberapa buah kedai sahaja yang ada penghuninya.

Selepas kami menjamu selera di kantin Sekolah Rendah Kebangsaan Pitas (tempat penginapan peserta) kami di bawa ke Pekan Baru Pitas. Jam menunjukkan hampir pukul 10.00 malam. Kami agak bertuah kerana dapat menyewa bilik di atas sebuah restoran di Pekan Baru ini. Terdapat tiga bilik semuanya dengan kemudahan asas yang agak selesa. Aku bersama Cik Mat dan Encik Abdul Ghapar Abdullah (editor Dewan Budaya), Asmadi bersama Kamal dan Zubir pula bersama Ezuwan. Oleh kerana kasihan dengan staf DBP Sabah yang harus menginap di sekolah, kami mempelawa mereka untuk berkongsi bersama kami memandangkan ruang tamu di luar bilik yang agak luas. Cukup untuk menempatkan beberapa orang lagi. Ketika malam semakin lewat kami masih bersembang dan berbual, awal pagi esok harus bersedia untuk memasang peralatan video. Dan aku hanya dapat melelapkan mata ketika jarum jam menunjukkan angka tiga...

8 Jun 2007 (Jumaat)
Seawal pukul 9.30 pagi kami berenam telah berada di Dewan Serbaguna Pitas. Peserta yang akan membuat persembahan sempena majlis perasmian sibuk membuat latihan. Menarik sekali kerana mereka membawa pelbagai peralatan muzik tradisional dan juga memakai pakaian tradisi masing-masing. Aku kagum kerana mereka kelihatan begitu bersungguh-sungguh menjalati latihan walaupun kebanyakan daripada mereka sudah pun berusia. Selepas menikmati sarapan kami mula mencari sudut terbaik bagi memasang kamera. Tiga buah kamera bakal digunakan untuk merakam perjalanan majlis ini selama 50 jam tanpa henti. Kerja-kerja memasang peralatan dan juga latihan agak terganggu kerana masalah bekalan elektrik. Kami difahamkan bekalan elektrik yang disalurkan ke dewan tersebut tidak mampu menampung beban yang digunakan. Sehubungan itu, kakitangan TNB bertungkus-lumus menyediakan set generator dan membuat pembaikan yang mana perlu agar majlis ini dapat berjalan lancar.


*Aku cukup kagum melihat nenek yang cacat penglihatan ini bermain alat muzik
Kami semua telah bersedia untuk memulakan majlis. Ramai tetamu kenamaan yang hadir kerana Majlis Sendait Ria ini akan dirasmikan oleh seorang menteri negeri. Antara tetamu yang hadir termasuklah Dato' Ketua Pengarah DBP sendiri. Tepat pukul 3.00 petang, perjalanan untuk mencipta rekod Dendangan Lagu Tradisi Sabah 50 Jam Tanpa Henti bermula. Kami bermula dengan merakam menggunakan dua kamera sahaja manakala satu kamera lagi untuk 'standby'.

* 'Pukulan' nenek ini memang power. Kalau bagi drum macam mana ler gamaknya...

Rupanya apabila kita harus berjuang merentas masa, terasa begitu lama masa berlalu. Semasa membuat kerja-kerja rakaman ini aku sentiasa melihat ke arah jam yang di letakkan di dinding dewan. Terasa begitu perlahan jarum jam bergerak pada awal-awal kami memulakan kerja rakaman. Pun begitu, sedar tak sedar cuaca makin kelam dan kami semua yang bertugas dibekalkan dengan nasi bungkus untuk makan malam. Kami bersepakat untuk membuat kerja secara giliran, iaitu enam jam untuk setiap kumpulan. Untuk itu, aku dan Ezuwan akan terus bertugas sehingga pukul 10.00 malam dan selepas itu akan diambil oleh kumpulan Kamal dan Asmadi untuk enam jam seterusnya...Inilah cabaran yang akan kami hadapi sepanjang tiga hari ini dan semestinya pengalaman itulah yang aku mahukan


* Aku yang kononnya sedang buat kerja...
9 Jun 2007 (Sabtu)
Seawal pukul 3.30 pagi aku terjaga, mengejutkan Ezuwan dari lenanya dan selepas bersiap kami menunggu kenderaan yang akan menjemput untuk ke dewan. Giliran kami bermula pukul 4.00 pagi. Sampai di dewan sememangnya agak lengang ketika itu. Yang pasti suara yang mendendangkan lagu-lagu tradisi tetap berterusan. Sudah lebih 12 jam kami membuat rakaman dan sebenarnya itu merupakan rekod peribadi juga buat aku. Kami dihidangkan dengan kopi O panas dan biskut untuk mengalas perut. Agak malang kerana semua kedai di pekan Pitas ini ditutup seawal jam 6.00 petang (kecuali kedai Snuker), memang kebulur la kita kalau hendak mencari makanan selepas dari waktu tersebut. Ketika jam menginjak melepasi 5.00 pagi matahari mula terbit. Kalau di semenanjung biasanya waktu ini masih gelap tapi di sana sudahpun secerah pukul 7.00 pagi di sini. Peserta untuk giliran pagi sudah mula berkumpul di dewan. Aku agak kagum kerana seawal pukul 4 dan 5 pagi ini mereka sudah bersiap sedia dengan pakaian tradisi masing-masing, penuh komitmen. Apa yang aku dengar juga mereka cukup bersemangat untuk menyanyi kerana ini merasakan warisan lama ini harus dipelihara dan didokumentasikan untuk generasi akan datang. Mereka juga tidak begitu kisah dengan bayaran yang diterima kerana khabarnya bayaran diterima tidaklah banyak. Apa yang menggembirakan apabila melihat mereka begitu teruja ketika gambar mereka tersiar di skrin hadapan. Masing-masing ketawa dan tersenyum apabila kamera menghala ke wajah mereka. sekurang-kurangnya itu memberi semangat kepada kami untuk bekerja.


* Kumpulan ini amat teruja bila menyanyi, adakalanya terpaksa diminta berhenti...

Diam tak diam jam menunjukkan hampir pukul 10.00 pagi. Agak letih juga bekerja dalam waktu begini. Selepas Kamal dan Asmadi sampai untuk mengambil giliran, aku, cik Mat dan Ezuwan mengambil keputusan untuk berjalan kaki balik ke bilik. Tujuannya, untuk singgah di tamu. Tamu di pekan Pitas seperti pasar pagi di tempat kita. Kebanyakan barang yang dijual adalah barang keperluan harian seperti pakaian dan makanan. Cuma sedikit berbeza kerana terdapat juga yang menjual gulungan rokok daun yang agak besar di samping beberapa makanan tradisi yang aku sekadar melihat. Takut untuk merasanya. Di pasar tamu ini juga banyak peniaga menjual ikan kering dan ikan masin. Menurut Cik Mat tidak ada dijual di semenanjung. Aku membeli beberapa ekor ikan siakap masin. Selepas berkeliaran seketika di tamu itu, kami menapak balik ke bilik. Jaraknya lebih kurang satu kilometer. Cuaca di Pitas sememangnya panas terik, mencecah ke suhu 37 darjah celcius. Sampai di bilik aku terus melelapkan mata, menanti giliran petang pula untuk bekerja...

* Amaran : Merokok membahayakan kesihatan.

(terlewat menyambung catatan ini kerana aku berada di luar kawasan...)

* Sinar pagi yang damai di Pitas


Aku dan Ezuwan mengambil giliran seawal pukul 4.00 petang. Para peserta masih bersemangat berlagu dan berdendang. Kami pula harus tekun merakam, takut berlaku apa-apa masalah teknikal pula. Untuk menghilangkan kebosanan, biasanya kami bermain dengan kamera. Mencari wajah-wajah menarik untuk dipaparkan di skrin hadapan. Setelah penat, duduk berehat melihat monitor di hadapan. Sedar tak sedar malam pun menjelma dan hampir enam jam kami berada di dewan tersebut. Kamal dan Asmadi melapor diri lebih awal daripada biasa malam ini, untungnya kerana dapat balik awal ke bilik malam ini...


* satu-satunya klinik di Pitas...ejaan kliniknya mungkin gabungan Clinic & Klinik

10 Jun 2007 (Ahad)
Seawal pukul 4.00 pagi kami dah bersiap sedia di Dewan Serbaguna Pitas. Dingin pagi tidak mematahkan semangat para peserta untuk terus mendendangkan lagu tradisi mereka. Hanya beberapa orang peserta dan urus setia sahaja yang berada di dewan tersebut. Ada juga yang telah lena di atas sofa, mungkin kepenatan setelah hampir tiga hari majlis ini berlangsung. Alhamdulillah, pagi ini aku kurang mengantuk berbanding semalam. Mungkin mengenangkan kami akan menamatkan tugasan pada hari ini. Tiada apa yang menarik sepanjang pagi ini, cuma aku lihat semangat para peserta tidak pernah padam. Malah makin bertambah. Masuk hari ini telah tiga hari aku tidak menatap surat khabar. Tak ketentuan jadinya, kerana biasanya aku gemar membaca akhbar terutama akhbar mingguan hari Ahad. Sememangnya tidak ada kedai yang menjual akhbar di sini. Lucunya kami 'terpaksa' membaca akhbar yang dibawa sejak hari Khamis itu berulang kali untuk mengelakkan kebosanan.

3.00 petang

Aku, Ezuwan dan Cik Mat mengambil keputusan berjalan kaki ke dewan dalam cuaca panas terik. Sayup-sayup dari kejauhan aku melihat orang ramai sudah memenuhi dewan. Agak menarik petang ini terdapat juga beberapa gerai kecil yang menjual air dan makan ringan turut dibuka oleh penduduk tempatan. Aku turun membantu membuat rakaman pada petang ini. Majlis penutup akan disempurnakan oleh Y.B. Datuk Abdul Rahim Bakri, Ahli Lembaga Pengelola DBP. Diam tak diam akhirnya majlis ini mencecah ke angka 50 jam. Orang ramai mula berpusu-pusu mengambil tempat di dalam dewan. Cuaca yang tadi mulanya panas terik mula bertukar mendung dan tatkala jarum jam mencecah pukul 5.00 petang hujan lebat turun membasahi bumi Pitas. Alhamdulillah, dalam cuaca dingin di luar majlis ini telah berlangsung dengan jayanya. Tepat pukul 5 petang wakil dari Malaysia Book Of Records telah mengesahkan rekod nyanyian Lagu Tradisi Sabah 50 jam tanpa henti ini. Selepas sahaja majlis selesai, kami bertungkus-lumus mengemaskan segala peralatan. Mengikut perancangan kami akan bermalam di Kota Kinabalu malam ini. Hampir pukul 6.30 petang baru kami selesai mengemaskan semuanya. Kembali ke bilik untuk mengambil beg dan rombongan kami bertolak balik ke Kota Kinabalu dalam keadaan letih dan lesu...
* Aku sempat ber'posing' di depan dewan pada majlis penutup.

05 June, 2007

Bahasa Melayu @ Bahasa Malaysia?

Sekali lagi nasib bahasa Melayu diganggu gugat. Dan yang mengganggu gugatnya bukan orang lain. Orang-orang kita belaka. Apa perlunya kita mengubah bahasa Melayu ke bahasa Malaysia? Sedangkan dalam perlembagaan sendiri jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan itu bahasa Melayu. Perkataan Melayu itu sendiri seharusnya tidak dijadikan isu kerana bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam jelas mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam perlembagaan Malaysia. Hanya kerana kepentingan perpaduan kononnya, sekali lagi kita perlu bertolak ansur dalam hal ini. Nyata tidak banyak lagi yang ada untuk dibangga dengan MELAYU. Tanah kita semakin hilang Melayunya, bahasa kita juga makin layu di bumi sendiri....