30 August, 2007

AMUKAN HARIMAU HADIAH MERDEKA

* Gambar ihsan Utusan Malaysia
Akhirnya....akhirnya pasukan bawah 23 tahun negara mengakhiri kemarau 14 tahun tanpa piala, apabila memenangi kejuaraan Pesta Bola Merdeka semalam. Tahniah diucapkan kepada anak-anak muda negara yang menunjukkan aksi bergaya menewaskan Myanmar 3-1. Aksi yang ditunjukkan amat menarik dan menghiburkan, cuma beberapa kelemahan di bahagian pertahanan terutamanya apabila setelah mendahului 3-0. Diharapkan kejayaan ini menjadi titik permulaan untuk cabaran seterusnya di Sukan Sea Korat. Tak lupa juga tahniah kepada FAM, kalau sebelum ni teruk dikritik, apa salahnya kita mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad bimbingan B. Sathiananthan ini. Tak lupa juga buat semua lebih 40 ribu penyokong Malaysia yang membanjiri Stadium Shah Alam kerana telah menghadirkan sorakan dan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan. Aku sebenarnya agak cemburu kerana tidak dapat bersama-sama memberi sokongan secara langsung di stadium. Sekurang-kurangnya kejayaan ini dapat memadam keaiban yang ditempuhi oleh skuad senior dalam Piala Asia. Seharusnya juga aku rasakan skuad muda ini terus diberi peluang membawa maruah negara. Tidak perlu lagi dibentuk skuad senior, andai kelak hanya menghabiskan wang dan menconteng arang ke muka sendiri. Apapun tahniah buat Malaysia!

28 August, 2007

MASIH ADA CAHAYA BUAT SKUAD NEGARA


* Gambar ihsan Berita Harian

Aku sengaja memilih tajuk yang agak klise dan tipikal ini kerana tajuk sebegini seringkali digunakan oleh akhbar tempatan untuk melaporkan mengenai perkembangan skuad kebangsaan negara. Namun malam tadi aku benar-benar gembira kerana akhirnya skuad bawah 23 tahun Malaysia berjaya menunjukkan jalan keluar kepada Singapura apabila mereka layak ke perlawanan akhir kejohanan Pesta Bola Merdeka setelah menumpaskan negara Singa yang berpura-pura 3-1. Kejayaan mara ke perlawanan akhir bagi aku merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi skuad muda ini kerana mereka pada awalnya tidak diberi harapan yang besar dan merupakan skuad bidan terjun yang dipaksa untuk bermain dalam pertandingan ini. Sekurang-kurangnya skuad ini mampu mengubat kedukaan yang dipamerkan oleh skuad senior yang teruk dibelasah dalam Pertandingan Piala Asia lepas.
Walaupun permainan mereka masih belum mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, dan masih ada kelemahan di sana-sini, namun mereka berjaya menunjukkan aksi menarik dan menghiburkan. Terbukti, masih ada anak-anak muda Malaysia yang tahu dan mahir bermain bola sepak ketika ramai yang lain telah menjadi Mat Rempit dan lebih berminat memasuki Akademi Fantasia. Kemenangan besar ke atas Lesotho dan persembahan yang menyakinkan semalam boleh memberi keyakinan kepada peminat tempatan untuk terus menyokong dan membakar semangat para pemain dalam perlawanan akhir bertemu Myanmar esok.
Cuma aku agak terkilan semalam kerana perlawanan sepenting ini tidak disiarkan secara langsung. Sudahnya aku terpaksa berjaga sehingga ke angka dua pagi semata-mata untuk menyaksikan aksi persembahan skuad negara ini. Kalau perlawanan peringkat kumpulan tempohari boleh diadakan siaran secara langsung, tetapi perlawanan separuh akhir hanya disiarkan rakaman tertunda. Pelik bukan? mungkin strategi FAM untuk menggalakkan peminat memenuhkan stadium agaknya dan mungkin juga kabel tak cukup panjang dari Angkasapuri untuk membuat siaran langsung di Petaling Jaya! Apa pun, tahniah sekali lagi kepada skuad bawah 23 Malaysia yang mempamerkan semangat kental dan berjuang berhabis-habisan menjulang nama negara. Buat para peminat dan pengkritik sukan tanah air, marilah kita sama-sama memberi sokongan yang padu kepada skuad ini. Kalau nak kritik pun, biarlah kritikan yang membina, bukannya membunuh. Kali ini rasanya skuad ini harus diberi pujian dan seharusnya kita tidak segan-segan untuk menyokong dan memuji skuad kebangsaan kita sendiri. Dan dengan sokongan padu semua pihak rasanya masih ada cahaya buat skuad muda ini untuk membawa nama Malaysia kembali disegani dan ditakuti pihak lawan...

27 August, 2007

PAK SAMAD DAN IKLAN KEMERDEKAAN



Dalam banyak-banyak iklan kemerdekaan yang tersiar di radio, aku tersentuh dengan suara Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang mendeklamasi puisi sempena hari sambutan kemerdekaan yang ke-50. Iklan tajaan Perodua ini nyata berbeza dan memberi kelainan kepada iklan-iklan lain yang disiarkan di radio. Secara tidak langsung mengangkat martabat puisi Melayu dan bahasa Melayu itu sendiri yang kini makin dipinggirkan oleh bangsa sendiri. Ternyata Perodua mengambil langkah bijak dan berani dengan membawa perubahan ini dan seharusnya wajar diikuti oleh syarikat-syarikat besar yang lain. (Komen mengenai perkara ini ada ditulis oleh Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia semalam).

22 August, 2007

KITA DISERANG GERODA


Anda mungkin pernah dengar nama kumpulan Dewa, Gigi, Padi, Peter Pan, Sheila on 7, mungkin juga selalu mendengar nama Kris Dayanti, Melly Goeslow, Ruth Sahanaya, biasa saja menonton Bawang Putih Bawang Merah, Mutiara Hati, Ratapan Anak Tiri dan seribu nama lagi yang pastinya datang dari Indonesia. Sehingga hari ini aku semakin lemas dan sesak dengan kebanjiran 'geroda' ini yang menyerang setiap pelusuk masyarakat kita. Aku juga hampir pitam melihat keterbukaan masyarakat kita menerima serangan geroda ini dengan hati terbuka malah dengan sepenuh jiwa. Meniti beberapa hari lagi ulang tahun kemerdekaan, rupanya pemikiran kita masih terus dijajah. Kebanjiran geroda dari negara seberang ini ke negara kita telah lama bermula, namun akhir-akhir ini kita lihat semakin kronik dan menyeramkan. Mereka terus menyerang dari pelbagai sudut industri hiburan sehinggakan bakat-bakat negara kita sukar untuk mencari rezeki di negara sendiri.

Aku sendiri keliru dengan dasar keterbukaan kita menerima mereka sewenang-wenangnya tanpa sebarang sekatan atau syarat, walhal untuk kita memasuki sempadan mereka, harus mengikuti pelbagai syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Keterbukaan ini dan penghayatan seni yang rendah oleh kebanyakan masyarakat Malaysia membuatkan geroda-geroda ini senang bertapak dan bermastautin dengan mewah di negara kita. Kadang kala aku merasa seperti berada di Jakarta kerana sentiasa dikelilingi oleh geroda-geroda ini. Buka sahaja stesen radio Hangat FM "lebih Indonesia dari Malaysia", kita akan dapat mendengar lagu-lagu geroda ini akan disiarkan setiap waktu sehingga adakalanya melebihi lagu-lagu penyanyi negara kita. Buka pula saluran TV tempatan, dan pastinya setiap hari ada sahaja sinetron geroda ini yang kualitinya kadangkala ke tahap memualkan.

Tak dinafikan terdapat sesetengah daripada geroda ini yang berkualiti. Aku sendiri telah lama mendengar Dewa, Gigi dan Padi. Lama dulu, sekitar awal tahun 2000. Tak dinafikan mereka ini berbakat dan mempunyai lagu-lagu yang agak berkualiti. Tetapi haruskah kerana itu kita perlu menafikan bakat dan kredibiliti anak tempatan kita. Apa kurangnya Search, Wings, May, Exist, Spider, Metalasia, Flopp Popy? Hebat sangatkah Samsons, Ungu, Peter Pan, Radja? Bagi aku mereka hanya setaraf kumpulan Scoin, Spoon, Lestari, EYE, Visa di negara kita. Muzik yang mereka bawa tu sebenarnya dah ketinggalan 10 tahun yang lalu. Cuma mereka ini diberi peluang dan ruang seluas-luasnya oleh orang-orang kita sendiri untuk mengaut untung tanpa memikirkan kepentingan industri muzik tempatan yang kian merudum. Itu belum lagi sinetron-sinetron yang begitu banyak pincangnya. Aku pernah cuba mengikuti beberapa sinetron bersiri kaum geroda ini dan malangnya aku terpaksa merendahkan taraf pemikiran aku ke tahap budak tadika untuk menerima jalan cerita yang ditayangkan.

Aku harap fenomena diserang geroda ini tidak kekal lama. Setelah kita dibanjiri lebih daripada dua juta geroda yang mencari nafkah di sini, seharusnya kita tidak melulu menerima segala budaya dan warisan mereka. Kita boleh menerima dan berkongsi apa yang mereka bawa seadanya tetapi apa yang kita ada seharusnya dipertahan dan diperkukuhkan, bukan dilupakan. Dalam kita sibuk bercerita tentang Mutiara Hati, lara mendengar sepasang kekasih bersuara sengau menyanyikan lagu Cinta, sekurang-kurangnya kita harus punya jiwa yang merdeka untuk mengangkat martabat bangsa di puncak dunia.

21 August, 2007

MERAKAM DAN DIRAKAM

Secara ringkas tugas seorang jurugambar dan jurukamera adalah merakam apa jua gambar dan visual seperti yang diarahkan dan diingini berdasarkan kebolehan dan kreativiti masing. Namun secara sedar atau tidak ketika menjalankan kerja-kerja tersebut gelagat seorang jurukamera dan jurugambar juga sering diperhatikan. Dibawah ini ialah gelagat rakan-rakan setugas yang sempat aku rakamkan semasa mereka sedang tekun menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan...



13 August, 2007

Antara Blog dan Goblok!


*Gambar di atas hanyalah hiasan buat para perokok. Berita hari ini memaklumkan harga rokok mungkin akan meningkat lagi. Jadi fikir-fikirlah apa yang patut dibuat...

Sebenarnya cerita ini sudah agak basi. Isu tentang amaran kerajaan kepada pengendali blog agar berhati-hati dengan bahan yang ingin dipaparkan dalam laman maya ini. Peringatan oleh PM dan TPM jelas menunjukkan bahawa isu bloggers ini sudah menjadi isu penting dan juga ancaman kepada kestabilan negara. Walau apapun isunya, bagi aku ini semua diperbesarkan adalah kerana menjelangnya pilihanraya umum yang dijangkakan pada penghujung tahun ini. Maka semua pengendali blog harus bercerita tentang yang baik-baik sahaja. Cerita tentang ayam berlaga, kumbang terbang, itik pulang petang. Andai kita terlebih cerita, nanti dikatakan boleh menggugat kestabilan negara. Dalam sibuk-sibuk memantau pengendali blog ini, YB Datuk Seri seharusnya memantau juga para suku sakat politik yang berada di Parlimen dan ADUN. Sudahkah mereka ini memenuhi semua janji yang ditaburkan pada pilihan raya lepas?, sudahkah mereka menjalankan tanggung jawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan sempurna? Mana-mana yang belum tu, seharusnya diberi perhatian kerana ia juga boleh menggugat kestabilan negara dan menimbulkan tidak keselesaaan kepada rakyat kiranya janji tidak tertunai.. Pengendali blog hanya menyuarakan pendapat dan pandangan, tetapi ahli politik yang banyak berjanji dan menabur kata perlu lebih diberi perhatian. Pantau dan tinjau-tinjau lah, selama sepenggal mereka ini berkhidmat, setakat mana tulus dan mulusnya mereka menabur bakti. Kalau hanya pandai bercakap sahaja, nanti dikata orang Goblok!