07 December, 2017

KERINGAT DAN AIR MATA TERAKHIR SEARCH DALAM KATHARSIS

Sejujurnya sebagai peminat setia kumpulan lagenda ini, aku tidak menaruh harapan besar yang Search akan muncul dengan album penuh dalam keadaan industri muzik yang nazak di Malaysia dan kemunculan aplikasi digital pada era kini. Setiap kali berjumpa dengan Cikgu Nick seorang Die Hard Fans di Kota Bharu, dia sering meminta aku menyampaikan kepada Search untuk membuat album penuh. Jawapan aku, kalau Search dapat buat single atau album mini pun dah cukup bagus. Namun ternyata telahan aku meleset dan doa cikgu Nick menjadi kenyataan.

Awal tahun 2017, dalam kemelut berdepan dengan isu konsert 35 Tahun, Search membuat keputusan untuk muncul dengan album penuh. Berkat sokongan dan peruntukan daripada peminat nombor satu kumpulan ini, Dato’ Zaharul Annuar (pemilik Dream Studio, Pawana Music dan Fenomena Music) dan kembalinya sifu M. Nasir ke studio membuatkan penantian peminat kumpulan ini selama 11 tahun terubat. Search kembali bertapa di Bsync Studio di Jalan Robson bermula April 2017,  dan tanggal 22 November 2017, kemunculan album Katharsis menjadi pengubat kepada kerinduan peminat selama ini yang terus mendambakan irama Search.

Search memulakan sesi rakaman dengan tangan kosong, apatah lagi sebelum itu dihimpit dengan pelbagai kemelut dan krisis dengan penganjur konsert. Tetapi berkat sokongan semua pihak dan doa daripada peminat, maka lahirlah Katharsis. Album studio ke-12 ini amat dinanti-nantikan, apatah lagi gabungan terakhir dua beradik Kid dan Din dalam satu album ialah menerusi album Bikin Wilayah pada tahun 1998. Tapi bagi aku bukan sahaja gabungan dua beradik ini, tetapi sebenarnya gabungan terakhir Search yang lengkap hanya menerusi album Rock N Roll Pie (1996). Walaupun selepas itu mereka bersama dalam album Double Troube II, tetapi bukan dalam satu album penuh dan ketika itu posisi pemain bass digalas Fauzy. Selepas Gothik Malam Edan, dan kemunculan semula gabungan Kid dan Din pada tahun 2009, Search hanya bersatu menerusi konsert tanpa album. Biarpun mereka merakamkan kembali Kejoraku Bersatu versi Amy pada tahun 2012, tapi ramai yang tidak tahu sebenarnya kerja-kerja gitar dalam rakaman tersebut digalas sepenuhnya oleh Kid, tanpa Din. Kerana itulah album ini ditunggu-tunggu oleh ramai peminat, kerana gabungan Amy, Nasir, Kid dan Din antara yang terbaik untuk Search. Cuma, kali ini tanpa Yazit dan kerana itu bagi aku biarpun album ini antara yang terbaik buat Search tetapi agak tidak ‘sempurna’. 


Album ini bermula dengan Gagalista. Kisah seorang yang gagal dalam hidup. Lagu ini sebenarnya untuk album solo Amy. Aku terbayang kembali lirik-lirik rebel lagu Kongkang, Hey Apache menerusi album solo Aku Amy yang ditulis oleh arwah Loloq dan rasanya Buddhi Hekayat mampu meneruskan legasi penulisan lirik yang baik seperti arwah. Sidang Kangaroo pula menjadi pilihan Search sebagai single pertama sebelum Katharsis dilancarkan. Ini antara trek yang menjadi pilihan aku. Gabungan irama, gubahan muzik dan lirik lagu ini antara yang terbaik dalam Katharsis. Bila aku tanya Mael (Ishmael) yang menulis lirik ini daripada mana datangnya idea 'kangaru' ini, Mael memaklumkan lirik ini ditulis dalam kapal terbang dalam perjalanan balik dari Australia ke Malaysia. Ketika di Australia, dia sempat ke zoo dan melihat kangaru. Dan ketika di sana juga M. Nasir menghubungi Mael, mendesak untuk siapkan lirik lagu tersebut yang akhirnya memunculkan idea buat Mael menghasilkan lirik ini. Aku tidak bercadang nak kupas satu-persatu setiap lagu dalam album ini. Bagi seorang kipas mati Search seperti aku, setiap lagu ada keistimewaan yang tersendiri. Nama Yang Kau Lupa ciptaan Aceh (Nasir) juga pastinya menjadi trek pilihan untuk album ini kerana melodinya yang mampu membuai perasaan, begitu juga dengan Henjut dan Sulalatus Salatin. Gabungan M. Nasir dan Search sebenarnya adalah suatu magis! Kemunculan penulis lirik baru seperti Buddhi Hekayat, Ishmael dan Ad Samad pula mampu menggantikan bait-bait seni kata yang ditinggalkan arwah Loloq, Bob, Usop dan beberapa nama lagi yang pernah bersama Search. Tetapi untuk album ini, Usop kembali melalui lagu Mitos Atau Nyata. 

Jubah Pengantin antara trek yang perlu diberikan perhatian khusus. Lirik S. Amin Shahab ini ada sesuatu. Sebelum ini S. Amin Shahab antara yang banyak menyumbang kepada Search. Balada Pemuzik Jalanan, Seroja, Panggung Khayalan, Manusia Reptilia, Sutera Atau Rayon, Pawana, Kejora, Nirmala,  Gadis Misteri dan banyak lagi antara hasil coretan beliau. Namun kali ini nama seorang lelaki iaitu Kamaludin dalam lirik lagu tersebut menjadi igauan seorang sahabat aku yang bernama Qalqalah Qubra. Lagu ini juga ada roh yang tersendiri dan wajib didengar banyak kali untuk memahaminya. Apologia pula antara yang terbaik dalam Katharsis. Ini antara buah tangan Din yang sesekali bila keluarkan ideanya akan menghasilkan sesuatu yang mantap. Apatah lagi Kid seolah memahami resah serta perasaan abangnya ini menerusi permainan dan petikan solo yang bernyawa. Lagu ini juga sesuatu yang istimewa buat Din sehinggakan hanya menggunakan petikan lirik ini untuk ruangan catatannya dalam inlay album. Embun sebenarnya lagu yang diambil daripada katalog album solo Amy yang tertangguh, tetapi lagu ini kena dengan Search dan antara melodi terbaik yang dihasilkan oleh M. Nasir dalam Katharsis. Trek ini antara yang sering aku ulang dan ada ketikanya melayang! Bebas Liar pun antara trek berat yang sangat aku minat. Lagu ni hasil melodi Nasir Rockfather, he..he..baru perasan bro Nasir dah tak guna nama Aceh untuk lagu ciptaannya. Riff lagu ini mengimbau kembali aku kepada Memandu Nafsu (Karisma, 1990). Macam mana aku gila dengar Memandu Nafsu berulang kali dulu, lagu ini juga pastinya akan diulang-ulang nanti. 


Jangka masa 700 jam di studio,  kemuncaknya Katharsis lahir ketika Search mencapai tahun ke-36. Bukan mudah untuk bertahan, apatah lagi mengumpul peminat daripada generasi ke generasi. Seperti yang aku nyatakan tadi, album ini sedikit tidak sempurna kerana Search 'tidak lengkap' tetapi masih yang terbaik dalam koleksi album Search. Kelahiran album ini menunjukkan tahan kematangan Search dan wajib menjadi panduan kepada kumpulan-kumpulan baru. Album ini juga wajib dimiliki oleh semua peminat setia Search sebagai satu khazanah muzik rock unggul Malaysia. Biarpun ada suara-suara mengatakan Amy sedikit ‘pancit’ dalam album ini, tetapi dalam usia menjangkau angka 60 pada tahun hadapan, Amy berjaya membawa lagu dalam album ini sesuai dengan karektor suaranya. Mana mungkin Amy mampu menjerit lagi seperti dalam Mentari Merah, Fenomena atau Karisma yang dirakam kira-kira 30 tahun yang lalu. Gabungan Din & Kid pula bagi aku antara yang terbaik dalam susunan line up Search. Biarpun ada peminat yang lebih suka gabungan antara Hillary & Din tetapi bagi aku chemistry Search lebih kepada Kid & Din. Dalam Katharsis, idea dua beradik ini masih terus unggul. Din terus mencipta riff-riff ‘jahat’ yang kena dengan irama Search. Mana mungkin ada orang lain yang boleh memandu irama Search sebaik pemilik nama Noordin Mohd Taib. Permainan Kid pula terbaik untuk album ini. Solo-solonya kukuh bernafas dan memberi nyawa kepada lagu. Jolokon King Of Tremolo sangat sesuai untuk adik bongsu dalam Search. Cuma aku sedikit terkilan kerana tidak ada solo keramat seperti Isabella atau intro menyengat seperti Nurnilam Sari dalam Katharsis. Mungkin juga ada, aku kena dengar lagi dan lagi rasanya. Bro Nasir pula antara tulang belakang yang terus berusaha mengekalkan jenama Search untuk terus kukuh. Komitmen Nasir untuk album ini tidak boleh dipertikaikan lagi dan ideanya untuk bass line semua lagu dalam Katharsis menjadi sebab untuk dia harus berbangga dengan album ini. Pae pula cemerlang sebagai pengganti Abang Yazit. Walaupun belum mampu menyaingi stroke dan pattern Yazit, tetapi sekurang-kurangnya Pae membuktikan dia antara pelapis pemain drum terbaik di Malaysia.

Album ini dikatakan album terakhir Search. Mungkin ada yang agak skeptikal dengan kenyataan ini, tetapi andainya betul rasanya Search telah menghadiahkan sesuatu yang berharga buat semua peminat setianya. Album ini dibuat dengan keringat dan air mata Search setelah melalui pelbagai dugaan sebelum ini. Search telah melalui semua onak dan ranjau dalam industri muzik di Malaysia namun terus unggul sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia. Penghargaan dan ucapan terima kasih juga buat Dato’ Zaharul yang memahami kehendak peminat-peminat Search. Sebagai seorang peminat, Dato’ Zaharul membuktikan dia ialah peminat nombor satu Search atas usahanya tidak jemu-jemu mengeluarkan produk Search biarpun dipandang negatif oleh sesetengah pihak. Sebagai peminat, kita mungkin terus mengharapkan jenama Search akan terus kekal, tetapi sebarang kemungkinan kita juga harus menerimanya. Apa yang penting kita terus memberikan sokongan kepada apa yang telah Search perjuangkan. 


Catatan ini ditulis sambil aku mendengar album ini berulang-ulang. Sebagai peminat biasa yang mula mendengar Search sekitar tahun 1987, sangat teruja dan bangga apabila nama tercatat dalam inlay Katharsis. (Cuma sahabat aku Edrus yang sedikit kecewa bila nama yang tercatat dalam inlay ialah Wahid, iaitu nama ayahnya..he..he..). Sesekali fikiran melayang mengenang kembali apa yang telah aku lalui selama ini. Irama Search banyak memberikan inspirasi dan di akhir catatan ini sayup-sayup terdengar bait lirik Apologia di gegendang telinga...


“...Ingin ku wariskan mereka, 
dengan cinta dan kedamaian
Bukan bara permusuhan 
bagaikan api dalam sekam...” 

11 January, 2017

SEARCH TEGUH SELEPAS 35 TAHUN

Alhamdulillah, setelah sekian lama, aku dapat menulis tentang kumpulan legenda rock di Malaysia Search yang juga inspirasi aku dalam muzik selama ini. Peluang ini bermula selepas artikel asal ini aku muatkan di laman fb DuniaSearch dan menarik perhatian sahabat aku, Ahmad Riadz (editor hiburan di Harian Metro) untuk mengambilnya sebagai artikel di Harian Metro. Hasilnya pada 9 Januari 2017 (Jumaat), artikel ini dikeluarkan dua muka penuh dengan gambar warna. Rasa bersyukur sangat kerana dapat peluang ni walaupun sebahagian artikel tersebut telah diedit oleh editor tanpa mengubah keseluruhan cerita yang aku buat. Di bawah ini aku paparkan artikel penuh yang telah aku hantar kepada Harian Metro sebelum diedit dan disiarkan dalam akhbar tersebut. 

SELEPAS 35 TAHUN, SEARCH TERUS TEGUH
Oleh : Sharrul Rizal Hashim

Mengikut perancangan, mereka akan menyambut temasya ulang tahun ke-35 pada tahun 2016. Tetapi semua perancangan tersebut musnah dalam kemelut yang sudah diketahui umum. Pada ketika itu, banyak khabar angin dan tohmahan yang mereka terima sehingga membuatkan moral dan semangat setiap anggota jatuh sama sekali. Mereka dikecam netizen melalui media sosial dan lebih malang terdapat segelintir peminat setia turut sama mengambil peluang mengutuk dan mempersoalkan kredibiliti mereka. Ramai yang tidak tahu cerita dan punca sebenar kemelut yang terjadi, tetapi ramai pula lebih bijak menghakimi keadaan yang berlaku pada waktu tersebut. Selepas mengharungi perjuangan dalam bidang seni selama 35 tahun, peristiwa tersebut menjadi sejarah hitam buat empat orang sahabat ini.

Mengimbau sejarah kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 1981 ini, mereka mula bertapak bermain muzik di sebuah kelab di Kuala Lumpur sehingga berjaya menarik minat komposer M. Nasir untuk membawa mereka ke studio rakaman sehingga terbitnya album Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1985. Album tersebut telah membuka mata banyak pihak dan mendapat sambutan daripada peminat dan seterusnya Search melalui karier perjalanan yang panjang. Setiap album mereka terjual ratusan ribu unit, di samping barisan konsert di pelbagai lokasi yang mendapat sambutan hangat daripada ribuan peminat. Lebih manis mereka berjaya menakluki jutaan peminat di Indonesia berbekalkan lagu Isabella yang termuat dalam album Fenomena. Pencapaian mereka juga telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah yang diterima dari dalam dan luar negara sehingga berjaya membuat persembahan di New York pada tahun 1991. Selain itu, video berkaitan mereka juga pernah ditayangkan televisyen Belanda dalam sebuah  rancangan popular Veronica Goes Asia pada tahun 1993.

Ketika para peminat masing-masing merasakan tidak ada lagi sambutan ulang tahun ke-35 pada tahun ini, tiba-tiba empat rockers legenda ini kembali bangkit menerusi dua siri konsert khas yang dibawakan oleh Artist’s Colony dan Decode. Konsert secara percuma di dua buah lokasi menjadi tanda kebangkitan semula Search untuk meneruskan perjuangan sebagai ikon legenda rock Malaysia. Pemilihan lokasi di luar Lembah Klang, iaitu di Kota Bharu dan Alor Setar oleh penganjur menjadikan konsert ini ditunggu-tunggu oleh para peminat di kedua-dua negeri tersebut. Kali terakhir Search mengadakan persembahan di Kota Bharu pada tahun 2010, menerusi siri persembahan percuma Malam Bersama Search yang dibawa oleh Define, manakala konsert terakhir di Alor Setar kira-kira 25 tahun yang lalu, pada tahun 1991.

KOTA BAHARU – 24 DISEMBER 2016

Siri konsert Decode Legenda Search bermula di Kota Bharu pada 24 Disember 2016, di Grand Ballroom, Hotel Renaissance, Kota Bharu. Biarpun tiada hebahan menerusi media arus perdana, namun dengan menggunakan kemudahan media sosial secara atas talian pada era hari ini, menjadikan para peminat menantikan kemunculan Search sejak pukul 7 petang lagi. Di Kota Bharu, peminat dihidangkan dengan persembahan selingan oleh sebuah kumpulan buskers tempatan dan seterusnya kehadiran Monoloque makin menghangatkan suasana. Search hadir di pentas lewat pukul 10 malam dan memadamkan keresahan penonton yang menunggu dengan irama Langit dan Bumi. Kelainannya di Kota Bharu, Search tampil dengan kostum yang agak kemas berbanding kostum ‘biasa’ mereka sebelum ini. Momentum persembahan diteruskan dengan Pelesit Kota yang menjadikan penonton semakin menggila. Seterusnya atas permintaan daripada pihak penganjur, Search memainkan dua buah lagu daripada album solo Amy iaitu Tiada Lagi dan Kerja Gila, namun begitu penonton tetap layan dan terus menyanyi bersama. Aksi diteruskan dengan Honky Tong Kosong sebelum disusuli dengan syahdu Rozana dan Gadisku. Seterusnya penonton terus berhibur dengan Paranoid, No Way!, Isabella, Gothik Malam Edan, Diari Habil dan Qabil, Isi Atau Kulit, Fantasia Bulan Madu dan pengakhiran konsert menerusi lagu wajib Search, Pawana. 15 buah lagu, dan orang Kota Bharu tersenyum puas. Lebih membanggakan, khalayak penonton bukan sahaja daripada orang Kota Bharu sahaja tetapi menjangkau peminat dari negeri Terengganu, Pahang dan Perak. Rata-rata peminat layan dan berpuas hati dengan persembahan dan sistem bunyi yang ditampilkan Search pada malam tersebut.

Aksi Search di Kota Bharu membuktikan mereka masih tidak ada tandingan. Tenaga dan energetik Amy yang menjangkau usia 58 tahun merangsang persembahan konsert pada malam tersebut. Sesekali Amy terbang berbaring ke atas khalayak penonton yang sentiasa memberikan sokongan. Nasir di posisi bass pula sentiasa ‘cool’ dalam permainannya yang melengkapkan muzik Search. Noordin Mohd Taib atau lebih dikenali dengan panggilan Din antara figura penting dalam membentuk irama Search. Biarpun agak pendiam namun Din tidak pernah mengecewakan dengan riff-riff dan aksi ganasnya di atas pentas. Kid pula membuktikan dia masih berbisa walaupun masih ada suara-suara sumbang yang terus membuat perbandingan dengan pemain gitar asal Search. Pada malam itu, Kid mantap menerusi sound (bunyi) dan solo-solo yang mencengkam. Kehadiran Pae sebagai pemain drum undangan pula sangat bertepatan dengan muzik Search. Pae cemerlang memikul tanggungjawab sebagai tukang pukul Search yang baru, biarpun sekadar sebagai ‘pemain gantian’.

ALOR SETAR – 31 DISEMBER 2016

Ruang tepi Hotel Grand Alora, Alor Setar yang menempatkan khemah untuk mendapatkan pas masuk ke Konsert Lagenda Search telah dipenuhi peminat sejak awal petang lagi. Bukan sahaja peminat dari Alor Setar dan Kedah, juga dari pelbagai negeri termasuk dari Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kuala Lumpur. Selepas 25 tahun, Search akhirnya singgah juga ke Alor Setar. Lebih istimewa, peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan Search, tetapi sebelum itu disajikan dengan persembahan kumpulan Bittersweet, Hyper Act dan Hujan. Search tampil di pentas selepas persembahan Hujan, ketika itu jarum jam menghampiri ke angka 12. Seperti di Kota Bharu, Langit dan Bumi menjadi pembuka tirai dan disusuli dengan Pelesit Kota. Persembahan terhenti seketika untuk acara countdown tahun baru 2017 dan selepas itu mereka terus beraksi. Tenaga dan aksi Search tetap sama seperti di Kota Bharu, dan yang paling menarik tumpuan sudah tentu kelibat Din dengan seluar bell bottomnya. Seleksi pilihan lagu masih sama seperti di Kota Bharu, tapi dengan susunan yang sedikit berbeza. Cuma peminat di Alor Setar sedikit rugi apabila Search mendapat isyarat pada pukul 1 pagi untuk menghentikan persembahan ketika solo Isabella dimainkan. Biarpun begitu, Search tetap berdegil dan meneruskan aksi terakhir dengan Pawana yang menutup tirai persembahan 13 buah lagu mereka pada malam tersebut. Secara keseluruhannya, dalam tempoh seminggu Search berjaya mengubat kerinduan peminat setianya yang terus menyokong mereka dalam apa jua situasi. Ucapan terima kasih seharusnya diucapkan kepada DECODE dan Artist’s Colony sebagai penganjur yang membawa konsert secara percuma ini kepada khalayak peminat. Biarpun percuma, namun apa yang dipersembahkan secara keseluruhannya adalah eksklusif buat peminat dan Search. Sudah tentu peminat menantikan sebuah konsert yang berskala besar daripada Search. Bagi penulis sendiri, rasa tidak puas menonton persembahan tersebut kerana banyak lagu kegemaran yang tidak dimainkan Search. Purnama, Di Pintu Sepi, Melastik Ke Bintang, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Derap Komando, Pembakar Perasaan, Fenomena, antara puluhan lagi irama Search yang boleh menggegarkan pentas Search.

SELEPAS 35 TAHUN

Angka 35 tahun merupakan satu angka yang agak besar bagi sesebuah kumpulan muzik untuk terus bertahan. Mereka telah melalui pelbagai pengalaman dan ranjau dalam industri, dan semua itu menjadi azimat untuk mereka terus bertahan dengan irama dan nama SEARCH. Tidak dapat disangkal lagi Search tetap terus relevan sehingga kini biarpun banyak kumpulan baru yang muncul untuk menjual bakat tersendiri. Dalam tempoh lebih tiga dekad ini, Search bukan sahaja terus mendapat kepercayaan peminat setianya sejak dari tahun 80-an, tetapi juga menambah peminat daripada generasi Y yang mungkin mendengar Search daripada keluarga masing-masing. Ketika masing-masing sudah melewati usia lebih lima dekad, gabungan empat tenaga ini masih mampu meneruskan perjuangan rock di Malaysia. Pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud ketika dihubungi baru-baru ini melahirkan rasa bersyukur kerana dalam tempoh 35 tahun ini Search terus diterima dengan baik oleh pelbagai peminat daripada pelbagai peringkat umur. Bagi Nasir, muzik sudah menjadi darah daging bagi setiap anggota Search. Setelah sekian lama berjuang dalam industri ini, akhirnya nama Search menjadi satu institusi dan jenama yang kukuh dalam arena muzik Malaysia, bahkan menjangkau ke peringkat serantau. Nasir juga berharap agar kumpulan-kumpulan baru yang muncul dapat mengambil iktibar dan panduan apa yang telah dilalui oleh Search untuk terus berjuang dan mempertahankan irama muzik mereka. Bagi Nasir, tiada jalan pintas untuk berjaya dan setiap artis perlu mencari identiti dan gaya tersendiri tanpa perlu meniru gaya orang lain.


Selepas 35 tahun, SEARCH terus Teguh mempertahankan empayar mereka. Kita tidak dapat menjangka sampai bila mereka boleh bertahan memperdagangkan irama Search, tetapi yang pasti kita tidak pernah jemu untuk terus mendengar dan mendengar lagu-lagu mereka. Untuk hadiah kepada semua peminat setianya, Search bakal muncul dengan single terbaru mereka dan pastinya menjadi penyambung hayat kepada kelangsungan perjuangan Search.