14 January, 2007

Cerita Seorang Ayah



Sekali imbas keratan akhbar di atas tidak membawa makna istimewa buat pembacanya. Hanya satu berita ringkas mengenai pertemuan semula rakan sekolah lama. Tetapi ianya menjadi begitu istimewa bagi aku kerana ianya melibatkan ayah aku sendiri. Berita yang disiarkan dalam Kosmo (edisi Utara) sekitar bulan Disember lepas memaparkan pertemuan semula bekas pelajar Gangga English School (GES) di Beruas, Perak. Setelah lebih 40 tahun, bekas pelajar ini yang rata-ratanya berumur 60-an dapat bertemu dan berkumpul kembali untuk mengimbau kenangan lama di samping bercerita tentang perkembangan diri masing-masing. Lebih membanggakan salah seorang bekas pelajar ini adalah Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar. Ayah sendiri (gambar-memakai baju batik merah) merupakan seorang ketua kelas pada ketika itu dan maklumat ini hanya aku ketahui setelah membaca keratan akhbar ini. Dalam majlis ini ayah telah menjadi wakil kepada semua pelajar yang berkumpul menyampaikan hadiah gambar kelas mereka pada tahun 1962 kepada Tan Sri Mohd Bakri Omar. Seingat aku ayah amat gembira kerana dapat berkumpul kembali dengan rakan-rakan lamanya, dan aku juga turut berbangga kerana setelah lebih 40 tahun mereka dapat membuat satu majlis 'reunion' untuk bertemu semula. Ayah juga sering bercerita tentang persahabatannya dengan Tan Sri Mohd Bakri Omar, dan menurut ceritanya ayah merupakan pengapit Tan Sri semasa hari pernikahannya. Sehingga hari ini, kumpulan mereka sering menganjurkan perjumpaan terutama ketika adanya kenduri yang melibatkan anak masing-masing dan ayah sentiasa bangga bercerita mengenai kawan-kawan lamanya....

No comments: