20 January, 2007

Salam Maal Hijrah 1428H

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1428H kepada semua teman yang sudi menjengok ke blog yang tak seberapa ini. Diam tak diam usia meningkat setahun lagi. Agak unik kerana pada tahun ini tahun baru masihi dan tahun baru Hijrah agak hampir antara satu sama lain. Cuma acara sambutannya yang tentu berlainan.Diharapkan dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini kita mampu berhijrah daripada sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Antara sedar atau tidak, bila bercakap tentang tahun baru masihi ramai yang bercakap tentang azam tahun baru. Bila tiba tahun baru Hijrah kita bercakap pula tentang hijrah, melihat kepada sejarah penghijrahan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W. suatu ketika dahulu. Azam dan hijrah sama sahaja. Sudah tentu keduanya membawa ke arah kebaikan. Namun orang kita lebih banyak bercakap dari melaksanakannya. Semakin hari bangsa kita semakin ditekan dan ditindas secara halus. Dan kita semakin leka kerana digula-gulakan dengan segala bentuk hiburan, maksiat dan gejala sosial yang meloyakan. Menjelang 50 tahun kemerdekaan negara kita semakin hilang jati diri. Anak-anak muda kita semakin galak mengikut arus globalisasi sehingga lupa kepada adat dan budaya sendiri. Merdeka kita hanya tinggal kepada laungan keramat dan turunnya bendera Union Jack pada 31 Ogos 1957 tetapi minda dan pemikiran kita semakin terpenjara dengan segala bentuk nikmat dunia. Mungkinkah kita terlalu menghargai kebebasan ini sehingga kita semakin lupa dengan tanggungjawab dan amanah untuk membela bangsa dan agama? Terlalu banyak perkara jelik yang berlaku kepada bangsa kita hari ini, dan kita semakin hanyut kerana berada dalam keadaan selesa dan kemewahan. Banjir besar yang berlaku kepada beberapa buah negeri di negara kita pada awal tahun ini seharusnya dijadikan ikhtibar untuk kita semua. Kita boleh hilang segala-galanya hanya dalam sekelip mata. Jika itu ketentuan dan kemahuannya!
Selamat Menyambut Maal Hijrah.

No comments: