22 August, 2007

KITA DISERANG GERODA


Anda mungkin pernah dengar nama kumpulan Dewa, Gigi, Padi, Peter Pan, Sheila on 7, mungkin juga selalu mendengar nama Kris Dayanti, Melly Goeslow, Ruth Sahanaya, biasa saja menonton Bawang Putih Bawang Merah, Mutiara Hati, Ratapan Anak Tiri dan seribu nama lagi yang pastinya datang dari Indonesia. Sehingga hari ini aku semakin lemas dan sesak dengan kebanjiran 'geroda' ini yang menyerang setiap pelusuk masyarakat kita. Aku juga hampir pitam melihat keterbukaan masyarakat kita menerima serangan geroda ini dengan hati terbuka malah dengan sepenuh jiwa. Meniti beberapa hari lagi ulang tahun kemerdekaan, rupanya pemikiran kita masih terus dijajah. Kebanjiran geroda dari negara seberang ini ke negara kita telah lama bermula, namun akhir-akhir ini kita lihat semakin kronik dan menyeramkan. Mereka terus menyerang dari pelbagai sudut industri hiburan sehinggakan bakat-bakat negara kita sukar untuk mencari rezeki di negara sendiri.

Aku sendiri keliru dengan dasar keterbukaan kita menerima mereka sewenang-wenangnya tanpa sebarang sekatan atau syarat, walhal untuk kita memasuki sempadan mereka, harus mengikuti pelbagai syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Keterbukaan ini dan penghayatan seni yang rendah oleh kebanyakan masyarakat Malaysia membuatkan geroda-geroda ini senang bertapak dan bermastautin dengan mewah di negara kita. Kadang kala aku merasa seperti berada di Jakarta kerana sentiasa dikelilingi oleh geroda-geroda ini. Buka sahaja stesen radio Hangat FM "lebih Indonesia dari Malaysia", kita akan dapat mendengar lagu-lagu geroda ini akan disiarkan setiap waktu sehingga adakalanya melebihi lagu-lagu penyanyi negara kita. Buka pula saluran TV tempatan, dan pastinya setiap hari ada sahaja sinetron geroda ini yang kualitinya kadangkala ke tahap memualkan.

Tak dinafikan terdapat sesetengah daripada geroda ini yang berkualiti. Aku sendiri telah lama mendengar Dewa, Gigi dan Padi. Lama dulu, sekitar awal tahun 2000. Tak dinafikan mereka ini berbakat dan mempunyai lagu-lagu yang agak berkualiti. Tetapi haruskah kerana itu kita perlu menafikan bakat dan kredibiliti anak tempatan kita. Apa kurangnya Search, Wings, May, Exist, Spider, Metalasia, Flopp Popy? Hebat sangatkah Samsons, Ungu, Peter Pan, Radja? Bagi aku mereka hanya setaraf kumpulan Scoin, Spoon, Lestari, EYE, Visa di negara kita. Muzik yang mereka bawa tu sebenarnya dah ketinggalan 10 tahun yang lalu. Cuma mereka ini diberi peluang dan ruang seluas-luasnya oleh orang-orang kita sendiri untuk mengaut untung tanpa memikirkan kepentingan industri muzik tempatan yang kian merudum. Itu belum lagi sinetron-sinetron yang begitu banyak pincangnya. Aku pernah cuba mengikuti beberapa sinetron bersiri kaum geroda ini dan malangnya aku terpaksa merendahkan taraf pemikiran aku ke tahap budak tadika untuk menerima jalan cerita yang ditayangkan.

Aku harap fenomena diserang geroda ini tidak kekal lama. Setelah kita dibanjiri lebih daripada dua juta geroda yang mencari nafkah di sini, seharusnya kita tidak melulu menerima segala budaya dan warisan mereka. Kita boleh menerima dan berkongsi apa yang mereka bawa seadanya tetapi apa yang kita ada seharusnya dipertahan dan diperkukuhkan, bukan dilupakan. Dalam kita sibuk bercerita tentang Mutiara Hati, lara mendengar sepasang kekasih bersuara sengau menyanyikan lagu Cinta, sekurang-kurangnya kita harus punya jiwa yang merdeka untuk mengangkat martabat bangsa di puncak dunia.

No comments: