28 August, 2007

MASIH ADA CAHAYA BUAT SKUAD NEGARA


* Gambar ihsan Berita Harian

Aku sengaja memilih tajuk yang agak klise dan tipikal ini kerana tajuk sebegini seringkali digunakan oleh akhbar tempatan untuk melaporkan mengenai perkembangan skuad kebangsaan negara. Namun malam tadi aku benar-benar gembira kerana akhirnya skuad bawah 23 tahun Malaysia berjaya menunjukkan jalan keluar kepada Singapura apabila mereka layak ke perlawanan akhir kejohanan Pesta Bola Merdeka setelah menumpaskan negara Singa yang berpura-pura 3-1. Kejayaan mara ke perlawanan akhir bagi aku merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi skuad muda ini kerana mereka pada awalnya tidak diberi harapan yang besar dan merupakan skuad bidan terjun yang dipaksa untuk bermain dalam pertandingan ini. Sekurang-kurangnya skuad ini mampu mengubat kedukaan yang dipamerkan oleh skuad senior yang teruk dibelasah dalam Pertandingan Piala Asia lepas.
Walaupun permainan mereka masih belum mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, dan masih ada kelemahan di sana-sini, namun mereka berjaya menunjukkan aksi menarik dan menghiburkan. Terbukti, masih ada anak-anak muda Malaysia yang tahu dan mahir bermain bola sepak ketika ramai yang lain telah menjadi Mat Rempit dan lebih berminat memasuki Akademi Fantasia. Kemenangan besar ke atas Lesotho dan persembahan yang menyakinkan semalam boleh memberi keyakinan kepada peminat tempatan untuk terus menyokong dan membakar semangat para pemain dalam perlawanan akhir bertemu Myanmar esok.
Cuma aku agak terkilan semalam kerana perlawanan sepenting ini tidak disiarkan secara langsung. Sudahnya aku terpaksa berjaga sehingga ke angka dua pagi semata-mata untuk menyaksikan aksi persembahan skuad negara ini. Kalau perlawanan peringkat kumpulan tempohari boleh diadakan siaran secara langsung, tetapi perlawanan separuh akhir hanya disiarkan rakaman tertunda. Pelik bukan? mungkin strategi FAM untuk menggalakkan peminat memenuhkan stadium agaknya dan mungkin juga kabel tak cukup panjang dari Angkasapuri untuk membuat siaran langsung di Petaling Jaya! Apa pun, tahniah sekali lagi kepada skuad bawah 23 Malaysia yang mempamerkan semangat kental dan berjuang berhabis-habisan menjulang nama negara. Buat para peminat dan pengkritik sukan tanah air, marilah kita sama-sama memberi sokongan yang padu kepada skuad ini. Kalau nak kritik pun, biarlah kritikan yang membina, bukannya membunuh. Kali ini rasanya skuad ini harus diberi pujian dan seharusnya kita tidak segan-segan untuk menyokong dan memuji skuad kebangsaan kita sendiri. Dan dengan sokongan padu semua pihak rasanya masih ada cahaya buat skuad muda ini untuk membawa nama Malaysia kembali disegani dan ditakuti pihak lawan...

No comments: