23 September, 2007

Kenangan 'Berlakon' Drama

Kisah berlakon drama ini berlaku hampir 15 tahun lepas, ketika aku berada di tingkatan 5. Biasanya bila tiba hari cuti, kami pelajar Sek. Men. Teknik Pulau Pinang akan diberi keluar 'outing' selama separuh hari bermula tengah hari sehinggalah pukul 6 petang. Dan destinasi kami pada ketika itu sudah tentunya KOMTAR yang ketika itu begitu popular. Cerita bermula ketika aku bersama sahabat baik aku iaitu Pick (Rasydi) sedang berjalan-jalan di sekitar bangunan KOMTAR. Sedang kami berjalan terlihat sekelompok manusia sedang mengerumuni sesuatu dan kami pun bergegas hendak melihat sama apa yang berlaku. Tiba sahaja di situ di dapati ada penggambaran drama sedang dilakukan dan ketika baru sedang hendak meninjau seorang lelaki menarik aku dan Pick dan meminta kami berjalan melintasi sekumpulan pemuzik yang cacat penglihatan (pelakon) sedang bermain muzik. Kami dan juga beberapa orang lain yang turu dipanggil sama diminta melintas beberapa kali di hadapan pemuzik tersebut ketika penggambaran dibuat. Selesai penggambaran lelaki itu mengucapkan terima kasih dan meneruskan kerjanya dan kami pula begitu teruja kerana secara tiba-tiba terbabit dalam adegan drama itu.
Beberapa bulan selepas itu, drama yang bertajuk Matahati itu disiarkan di slot cerekarama TV3. Melalui promo yang disiarkan sebelumnya, aku yakin drama itulah yang kami 'berlakon' tempohari dan tidak sabar menanti waktu tayangannya. Setelah beberapa lama menonton, akhirnya sampai ke babak yang aku rasa melibatkan kami dan jeng..jeng..jeng...rupa-rupanya semasa babak itu dibuat kamera hanya merakam gambar kaki kami yang melintas di hadapan pemuzik buta itu bukannya gambar penuh. He..he..he..patutlah pengarah drama tersebut suruh kami lintas beberapa kali, rupanya hendak ambil syot kaki sahaja. Aku sendiri tak pasti yang mana kaki aku dan yang mana kaki Pick semasa babak drama itu ditayangkan. Alkisah akhirnya ia menjadi kenangan lucu buat kami berdua dan yang manisnya pengarah drama yang menarik aku dan Pick dan meminta kami melintas di hadapan kamera itu ialah pengarah tersohor di Malaysia pada ketika ini iaitu U Wei Haji Saari yang pada ketika itu aktif menghasilkan drama TV.

No comments: