09 July, 2008

ANTARA DUA DARJAT


Kalau catatan aku sebelum ini menggunakan perkataan 'Antara' di awalnya, kali ini aku masih mahu menggunakan perkataan ini sekali lagi. Cuma tajuknya kali ini Antara Dua Darjat. Ceritanya begini.....Hari Sabtu lepas aku berpeluang mengikuti satu seminar berkaitan dunia perpustakaan yang dibuat di Kuala Terengganu. Semasa sedang duduk menunggu ketibaan tetamu kehormat, aku disapa oleh seorang kawan lama (perempuan) yang sama-sama menuntut di universiti dahulu. Perbualan awal hanya berkisar tentang perkembangan terkini dan keluarga masing-masing. Sebenarnya semasa belajar dahulu aku memang tidak rapat sangat dengan dia kerana beberapa faktor, antaranya kerana dia seorang yang rajin, alim dan baik. Manakala aku pula dalam kategori kurang rajin, kurang alim dan kurang baik...he...he...Lagipun aku memang agak kurang rapat sangat dengan pelajar-pelajar wanita, makanya perhubungan kami masa di universiti dulu hanya setakat kalau ada benda penting barulah bercakap.


Berbalik pada kawan aku tadi, dalam rancak berbual tiba-tiba dia menyatakan rasa kesal dengan beberapa peristiwa yang telah berlaku pada dia. Sebenarnya, kawan aku ini buat masa sekarang memegang jawatan penolong pegawai di sebuah perpustakaan cawangan. Walaupun mempunyai ijazah, tetapi oleh kerana masih tiada rezeki maka dia masih kekal dengan jawatan tersebut. Dalam ceritanya kepada aku, dia merasa sangat sedih dan kesal kerana dipandang rendah dan dihina oleh rakan-rakan yang sama-sama belajar di universiti suatu ketika dahulu. Kebanyakan mereka ini berkhidmat sebagai pegawai di salah sebuah perpustakaan terulung negara. Hanya kerana perbezaan status pegawai dan penolong pegawai maka apabila mereka berjumpa dengannya ada yang melarikan diri, ada yang menunjukkan rasa kurang senang dan ada juga yang sanggup menghina. Aku tak pasti sama ada benar atau tidak ceritanya ini, dan sama ada kawan-kawan yang lain itu sekadar bergurau. Tetapi dari gaya penyampaian ceritanya, aku yakin ianya benar. Lagi pun tiada faedahnya dia nak menipu kerana aku bukanlah orang yang ada kuasa yang boleh merubah segala-galanya.
Bila mendengar cerita tersebut, macam-macam perasaan yang timbul. Marah pun ada, nak tergelak pun ada. Rupa-rupanya masih ada lagi manusia yang terlalu bangga dengan status dalam zaman milenium ni. Hello....kakak-kakak dan abang-abang, ini bukan zaman macam filem Antara Dua Darjat sehingga Ghazali dihina oleh keluarga Tengku Zaleha. Ini juga bukan lagi zaman Ibu Mertuaku yang perlu memilih kedudukan dan harta. Kalau pun anda semua terlalu bangga dengan jawatan pegawai yang disandang tetapi janganlah terlalu riak atau bongkak. Tak salah untuk berbangga dengan kedudukan anda setelah berhempas-pulas belajar dahulu tetapi janganlah sampai tak kenal kawan dan rakan. Kalau pun anda tak suka dengan kawan kita yang seorang ni, tak perlulah menunjukkan sikap yang kurang adab sehingga boleh menjatuhkan aib beliau. Mungkin perbezaan status itu masih boleh diguna pakai semasa menjalankan tugas rasmi tetapi sekiranya luar dari tugas rasmi seharusnya kita perlu menghormati kawan.
Sebenarnya gejala Antara Dua Darjat ini bukan pertama kali aku dengar, banyak juga cerita-cerita dari dari jabatan lain yang pernah singgah di cuping telinga. Percaya atau tidak ada pegawai yang tidak membenarkan staf lain yang tidak ada diploma dan ijazah untuk makan sekali satu meja dengannya. Agak lucu sebenarnya memikirkan golongan-golongan sebegini yang terlalu riak dengan ijazah dan pangkat mereka sehingga harus mengenepikan silaturahim sesama insan. Itu baru menjadi pegawai, tak tahu la apa nak jadi sekiranya menjawat jawatan yang lebih besar dan tinggi. Dan aku juga bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku mungkin tidak tergolong dalam golongan ini. Bukan niat meninggi diri, tetapi aku tidak pernah meletakkan batas pangkat dan jawatan aku yang tidak seberapa ini untuk bergaul dengan rakan-rakan lain yang rendah jawatannya. Bagi aku jawatan itu hanya amanah sementara yang diberi kepada kita untuk dilaksanakannya, dari segi perhubungan dan silaturahim seharusnya tidak ada batasan di situ. Seharusnya keikhlasan dan kejujuran mengatasi segala-galanya. Sejak dari kecil hingga sekarang aku jarang ada masalah dengan kawan-kawan, sehinggakan aku seringkali di perli isteri kerana lebihkan kawan daripada saudara-mara. Dan aku sebenarnya mengakui hakikat itu walaupun sebenarnya aku cuba bersikap adil dalam perhubungan kedua-duanya. Cuma apa yang aku harap kita dapat berfikir sejenak dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita, dan janganlah terlalu sombong dan riak sehingga harus menafikan ikatan persahabatan yang telah lama dibina. Mungkin hari ini kita berada di atas dan tidak semestinya kekal, mungkin suatu hari nanti kita berada dibawah dan harus mendongak pula untuk meminta belas kasihan dari yang di atas. Wallahualam....

No comments: