31 July, 2008

AL-FATIHAH BUAT SASTERAWAN NEGARA S. OTHMAN KELANTAN

Awal pagi tadi ketika senang diulit mimpi aku menerima sms daripada pengarah memaklumkan mengenai pemergian Sasterawan Negara S. Othman Kelantan atau nama sebenarnya Syed Othman Syed Omar. Sebelum ini aku sedia maklum yang Allahyarham telah dimasukkan ke hospital kerana beberapa komplikasi berkaitan jantung dan kencing manis. Tidak sangka pula terlalu cepat Allahyarham pergi meninggalkan kita dan khususnya dunia persuratan di Malaysia ini. Walaupun tidak selalu dapat bertemu dengan Allahyarham, tetapi sesekali apabila Allahyarham hadir dalam majlis atau aktiviti yang kami anjurkan sempat juga beramah-mesra dengannya. Mengenali beliau secara peribadi, Allahyarham seorang yang gemar bergurau dan berjenaka. Seringkali dalam ucapan dan syarahan yang disampaikannya, kita tak akan kering gusi dengan gurauan dan usikan melalui kata-katanya. Namun kadang-kala banyak maksud tersirat daripada gurauan dan usikan tersebut yang tidak dinyatakan secara langsung. Kini, arena kesusasteraan Melayu di Malaysia hilang sebutir lagi permata berharga yang banyak menyumbang kepada pembinaan persuratan dan tamadun Melayu. Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga Alahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah......
Sedikit Latar Tentang Allahyarham
S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.
Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).
S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.
Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.
Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.
Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.
Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.
Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). -

No comments: