19 January, 2009

TAHNIAH ANAK-ANAK SAUDARA PAK CIK HUSSAIN

Tahniah diucapkan buat anak-anak saudara pakcik Hussein (kumpulan Meet Uncle Hussain) yang telah dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu 2008 yang berlangsung semalam. Tanpa diberi sebarang harapan tinggi oleh peminat muzik, Lan, Taja dan rakan-rakan berjaya membuktikan mereka seharusnya memenangi anugerah berprestij ini. Ketika mata semua tertumpu kepada Faizal Tahir, akhirnya Meet Uncle Hussain (MUH) diumumkan sebagai juara. Kemenangan MUH dan pada tahun lepas oleh Estranged membuktikan bahawa Malaysia masih lagi mempunyai anak-anak muda yang berbakat besar. Persembahan bersahaja tetapi mantap oleh MUH dan Estranged mungkin boleh mengubah persepsi peminat-peminat tempatan yang tergila-gilakan band seberang. MUH dan Estranged telah membuktikan mereka setanding dengan band-band Indon yang menyerang Malaysia, bahkan mungkin lebih hebat daripada band-band tersebut. Dengan vokal high pitch Lan, dan gabungan muzik yang bertenaga (kredit buat Ramli M.S kerana berjaya mengabungkan muzik okestra yang cukup hebat), serta sedikit solekan di muka, Lagu Untukmu yang dicipta hampir empat tahun yang lalu berjaya menewaskan calon-calon favorite yang lain seperti Bukan Di Sini (Sofaz), Aku Stacy (Stacy) dan Yang Pernah (Estranged). Dari persembahan di gig-gig yang kecil, akhirnya MUH berjaya membuktikan bahawa mereka sudah benar-benar sedia keluar dari kepompong Underground. Walaupun aku bukanlah peminat kumpulan ini, tetapi sebagai seorang yang mengikuti perkembangan muzik di Malaysia termasuk kumpulan-kumpulan muzik underground, rasanya mulai saat ini para peminat muzik tempatan perlu terus menyokong dan memberi peluang kepada bakat-bakat baru seperti mereka untuk tampil dalam muzik mainstream tempatan.
Tahniah juga kepada saudara Ku Seman Ku Husin, di mana lirik lagu yang ditulis oleh beliau iaitu Persoalan Cinta (Farawahida) telah memenangi dalam kategori Etnik Kreatif.
* Takziah buat keluarga penulis, penyair dan aktivis teater Kelantan, Allahyarham Sazalee Yaacob yang telah kembali ke rahmatullah pagi semalam. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

2 comments:

green apple said...

wah....series cam wartawan cara tulis entry.

Tuan Punya Blog said...

Terima kasih, memang minat gak tulis sikit-sikit...tapi tak terror macam awak.....