16 June, 2009

MENGIMBAU KEMBALI KISAH ARWAH TUK WAN AKU


Gambar seorang insan yang berpakaian seragam Polis itu adalah arwah Tuk Wan aku, Sarjan Mejar (B) Allahyarham Ariffin Bin Ismail yang memakai nombor polisnya 11203. Semasa hayatnya, arwah Tuk Wan aku selalu mengimbau kisahnya ditembak komunis semasa berjuang menjaga keselamatan negara sekitar tahun 1950-an, di kawasan hutan negeri Kedah (tak silap aku). Menurut Wan, (nama panggilan kami sekeluarga kepadanya) dia ditelah ditembak komunis di bahagian kaki (sekitar betis) dengan dua butir peluru menembusi kulit kakinya dan sambil bercerita Wan akan menyelak kain yang dipakai untuk menunjukkan kesan parut tembakan komunis yang telah mencedarakannya itu. Wan terus bercerita setelah dia ditembak, Wan berpura-pura pengsan atau mati untuk mengelakkan dari terus ditembak dan komunis pada waktu itu telah menyeret tubuh Wan lebih dari satu kilometer di dalam hutan. Tak silap aku, (menurut cerita Wan)dengan takdir Tuhan, komunis mendapat maklumat bahawa ada sepasukan polis lagi berada berhampiran kawasan tersebut dan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan itu segera untuk membuat tindakan lain. Namun, tubuh Wan bukan ditinggalkan begitu sahaja. Sebelum mereka meninggalkannya di dalam hutan, salah seorang anggota komunis telah menghentak mulut Wan dengan belakang senapang sehinggakan kesemua gigi Wan patah dan hancur. Setelah berpuas hati barulah komunis ini bergegas meninggalkan tubuh Wan di dalam hutan sebelum dijumpai oleh rakan sepasukan yang lain. Semenjak itu sehingga akhir hayat, Wan memakai gigi palsu akibat hentakan belakang senapang komunis yang telah menghilangkan kesemua giginya. Parut akibat tembusan peluru di betisnya pula sentiasa menjadi kenangan buat Wan, betapa dia pernah berjuang membela negara suatu masa dahulu.


Pada hari ini, komunis bukan lagi ancaman kepada negara tetapi kebelakangan ini makin ramai yang membela keinginan Ketua Komunis Malaya ini untuk pulang dan bermastautin di bumi tercinta bernama Malaysia. Aku boleh pejam sebelah mata kalau mereka yang beria-ia setuju agar makhluk laknat ni dibenarkan pulang ke Malaysia adalah daripada kalangan bangsa dan keturunan ia sendiri tetapi aku amat-amat terkejut apabila ada juga MANGKUK-MANGKUK HAYUN dari bangsa aku sendiri yang bersetuju agar makhluk hutan bernama Chin Peng ini dibenarkan untuk pulang ke Malaysia. Aku tak pasti adakah pendirian yang diambil ini atas dasar simpati atau sekadar ingin meraih sokongan politik yang pada aku sekarang semakin gila! Cuma aku berharap agar orang-orang yang melemparkan pandangan dan cadangan ini memikirkan implikasi dan kesannya terlebih dahulu kepada bukan sahaja mangsa kekejaman komunis ini tetapi juga kepada keluarga dan anak-cucunya yang masih terasa keperitan yang dilalui dahulu.


Kiranya Wan aku masih hidup, aku tahu dia juga akan menentang habis-habisan cadangan ini. Tentu sekali dia akan terus bercerita dan menunjukkan kesan parut tembakan komunis dan gigi palsu yang perlu dipakainya akibat kekejaman anak-anak buah Chin Peng. Bagi mereka yang setuju sangat agar makhluk hutan ini dibenarkan pulang ke Malaysia, satu sahaja yang aku ingin ingatkan; Darah yang mengalir akibat kesan tembakan di kaki Wan dan gigi yang bersepai akibat hentakan senjata oleh komunis laknat itu masih lagi membayangi diri cucunya ini. Dan kalau boleh, ingin sahaja aku buat begitu kepada mereka-mereka yang terus bersetuju untuk mengizinkan mahkluk bernama Chin Peng itu pulang ke Tanah Melayu!

2 comments:

Syaidul Azam Bin Kamarudin said...

rul,
hentak saja sesiapa yang benarkan chin peng pulang!

Anonymous said...

hehe... nak buat macamana PM Malaysia anak dengan bapak pun sama gak pi melawat chief komunis kat China...