Sebut sahaja nama Khalid Salleh mungkin agak ramai tak mengenalinya. Insan seni ini tidak mempunyai aura sehebat Mawi. Kisah hidup, kisah percintaan, kisah keluarganya tidak pernah dibongkarkan oleh mana-mana majalah hiburan di tanah air ini. Gambarnya agak asing dikalangan jurugambar majalah hiburan, apatah lagi untuk dimuatkan dalam majalah Mangga sambil berposing dalam kolam renang. Namun Khalid tetap Khalid.
Kesempatan aku bertemu dan berbual dengan Wak (nama panggilan untuk Khalid) baru-baru ini, sedikit sebanyak membuatkan aku teruja untuk terus mengenali insan misteri ini. Berbual sambil makan makanan laut di tepi pantai Teluk Ketapang, Terengganu dan esoknya bersarapan bersama di hotel, sedikit sebanyak membuka persepsi untuk aku mengenali Wak. Dalam usia 59 tahun, Wak terus aktif menghambakan dirinya dengan seni terutamanya teater. Siapa sangka, seorang penjual ubat di gelandangan suatu ketika dahulu telah meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia menerusi Filem Jogho, Anugerah sama yang pernah diraih oleh Tan Sri P. Ramlee. Dan siapa sangka ketika ini berbekalkan segala pengalamannya Wak telah diberi peluang untuk mengajar di UMS dalam bidang teater. Banyak sekali ranjau dan onak yang telah dilalui oleh beliau. Daripada hidup susah dengan menjual ubat, kepada sikap birokrat yang memandang sinis kerja seninya, Wak tetap tabah dalam meneruskan hidup. Percaya atau tidak, insan seni ini pernah mementaskan puisi teaterikal seorang diri selama dua jam, iaitu bercakap, berpuisi dan bermonolog seorang diri di atas pentas. Dan yang lebih menarik beliau pernah membuat persembahan teater tanpa dialog seorang diri selama 45 minit, tak salah aku di Brussel yang membuatkan ramai yang kagum dengan kehebatannya.
Walaupun filem lakonannya boleh dikira dengan jari tetapi hasil kerja seni seniman ini sentiasa boleh dibanggakan. Wak lebih serasi dengan U Wei kerana baginya mereka boleh berbincang, bertekak dan bertegang urat demi untuk mencapai kepuasan di layar. Banyak lagi yang kami bualkan dan episod ini akan bersambung kerana Wak akan datang ke Kota Bharu pula pada 7 Mei nanti...
No comments:
Post a Comment