29 August, 2006

Sekeping Gambar Sebuah Cerita


Agak lama juga aku tak menulis, yang terakhir adalah catatan ringkas mengenai Allahyarham Hani Mohsien. Bukan tak punya idea untuk menulis tetapi keterbatasan masa membuatkan aku terpaksa melupakan blog ini sebentar. Banyak kerja yang harus dibereskan pada ketika ini dan aku juga terpaksa ke sana dan ke mari atas tuntutan kerja yang telah diamanahkan. Minggu lepas aku ke Kuantan dan kemudiannya terus ke Kuching sebelum pulang ke Parit Buntar untuk berehat bersama keluarga. Sebenarnya pada minggu lepas aku berpeluang lagi bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Dr. A Samad Said yang sememangnya aku hormati dan kagumi. Kesempatan itu aku ambil untuk mengabadikan gambar puteri kesayangan aku dengan tokoh sastera negara ini. Sekeping gambar bagi aku akan menjadi satu bukti dan sejarah yang mampu bercerita satu ketika nanti. Mungkin bila anak aku dah besar nanti, gambar ini menjadi bukti yang satu ketika dahulu dia pernah berada di ribaan dan pelukan seorang Sasterawan Negara. Apabila seorang anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa bertemu dengan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai pengalaman dan kisah hidup yang tersendiri tentunya kata-kata tidak memainkan peranan penting. Hanya gambar di atas yang mampu menceritakan segala-galanya...

No comments: