11 October, 2006

Salam Dunia







"Suara tangis yang kau dengar Memecah hari kudus ini Adalah aku Mengenang pemilikmu Kita pohon kemenangan Meroboh kota keakuan Ini saatnyaYang kunanti-nanti" petikan lagu Salam Dunia dendangan M. Nasir ini merupakan antara lagu kegemaran aku selain lagu Satu Hari Di Hari Raya yang juga hasil ciptaannya. Bagi yang suka bernostalgia dengan lagu sememangnya lagu mampu mencipta satu nostalgia indah yang sukar diungkap. Dan menjelang hari raya, tak akan lengkap sekiranya kita tidak dihidangkan dengan lagu-lagu raya daripada para penyanyi tempatan sejak dahulu hingga kini. Masih aku ingat ketika zaman belajar di T.I Penang, lagu raya menjadi begitu syahdu ketika bersendirian di bilik asrama. Walaupun kami yang tinggal di asrama tidak dibenarkan membawa radio tetapi larangan hanya tinggal larangan kerana radio menjadi teman penghibur hati ketika itu. Begitu juga semasa belajar di UiTM Shah Alam, suasana begitu meriah semasa lepas berbuka terutamanya selepas tarawikh. Bayangkan satu blok kolej menyanyi bersama-sama lagu Balik Kampung yang berkumandang melalui corong radio (ketika itu Radio Muzik jer yang glamour dan semua memasang saluran yang sama). Memang meriah dan sehingga kini masih menjadi nostalgia.

Diam tak diam hari ini sudah masuk 18 Ramadhan, aku agak sibuk membantu isteri membuat biskut raya yang ditempah oleh kawan-kawan. Agak sedih kerana ketika ini ibu mertua sedang terlantar di hospital KB kerana masalah diabetisnya dan jari kakinya terpaksa dipotong semalam.Ini membuatkan aku terpaksa berbuka puasa di luar 2-3 hari ini kerana terpaksa berada dihospital pada sebelah petang. Terima kasih juga kepada Puan Nisah Haron yang melawat blog ini dan sudi memberi sedikit komen. Tak sangka ada juga penulis terkenal yang sudi melawat blog yang tak seberapa ini. Aku tinggalkan catatan ini dengan bait rangkap lagu Salam Dunia...Salam dunia Salam semua Salam Hari RayaBersinar akhirnya Salam dunia Salam semua Salam Hari Raya Bersinar akhirnya Inilah hari kita Tiada lagi rasa ketakutan...

No comments: