Terlebih dahulu Salam Aidiladha buat semua umat Islam terutama kawan-kawan yang melawati blog ini. Agak lama juga aku menyepi, hampir sebulan. Sebenarnya terlalu sibuk dengan tugasan di pejabat membuatkan aku tiada masa dan idea untuk menulis sesuatu di sini walaupun hakikatnya banyak yang bermain di minda. Belum terlambat juga untuk mengucapkan selamat tahun baru. Masih selamatkah tahun baru yang bakal kita lalui ini? Dengan segala malapetaka yang menghantui dunia akhir-akhir ini membuatkan sesekali timbul rasa bimbang akan nasib diri sendiri dan keluarga. Tidak ada azam tahun baru bagi aku kerana seharusnya setiap hari kita perlu berazam menjadi lebih baik dari hari ini dan semalam. Di penghujung + awal tahun ini aku lebih suka untuk mengenang kembali zaman yang telah dilalui, memikirkan kembali segala kesilapan dan keterlanjuran yang dilakukan untuk diperbaiki. Sepanjang 30 tahun kehidupan sebenarnya dah banyak juga yang aku lalui. Semua itu perlu diperhalusi kembali untuk merancang hidup yang lebih baik. Dan apabila mengenang kembali segala suka duka kehidupan yang telah dilalui, timbul suatu perasaan atau nikmat yang mungkin boleh diertikan sebagai nikmat kehidupan. Cuti selama seminggu ini juga aku gunakan untuk kembali ke masa silam dengan mengunjungi rakan lama yang lebih sepuluh tahun tidak berjumpa (akan aku ceritakan dalam catatan seterusnya). Hujung minggu ini aku akan berada di Kuala Lumpur dan sudah tentunya akan menyaksikan Konsert Ulangtahun 25 Search di Stadium Merdeka. Ada dua sebab utama menyebabkan aku tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini, pertama sekali kerana aku peminat setia kumpulan Search dan yang kedua kerana inilah peluang untuk aku melepaskan perasaan dan boleh menjerit semahu-mahunya setelah penat setahun bekerja. Tiket sudah dibeli, hanya menunggu masa untuk menyanyi sepuas hati......Wassalam.
No comments:
Post a Comment