15 May, 2007

Kumpulan Awe Gedebe



Pernahkah anda mendengar nama kumpulan muzik Awe Gedebe? Kalau belum pernah, gambar di atas itulah yang di maksudkan dengan kumpulan muzik tersebut. Kumpulan Awe Gedebe ini ditubuhkan sekitar tahun 2004 secara paksa dan rela untuk menyertai sebuah pertandingan bakat. Kumpulan yang dianggotai oleh Awe Man (Penyanyi), Awe Aziz (Akordian), Awe Mat (Tamborin), Awe Azam (Gitar) dan Awe Sharrul (Bongo) ini pernah mendapat tempat ketiga dalam sebuah pertandingan bakat yang diberi nama Malam Sekalung Seni. Kumpulan ini biasanya menyanyikan lagu-lagu daerah Kelantan dan mampu juga menyampaikan lagu-lagu puisi dengan baik (sekiranya cukup latihan). Terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar muzik yang berlainan, kumpulan ini kini mula meniti nama di persada muzik daerah negeri Kelantan. Baru-baru ini kumpulan ini telah dijemput untuk mengadakan persembahan di Pulau Pinang, sempena perasmian Lepau Seni-Anjung Indah, sebuah tempat khusus untuk acara sastera dan kesenian. Apa yang menarik, persembahan pada malam itu telah ditonton oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Haji Abdul Rahman Abbas bersama beberapa ahli exco dan ADUN peringkat negeri Pulau Pinang. Buat pertama kalinya juga kumpulan Awe Gedebe ini telah dapat bersama-sama membuat persembahan dan berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Rahimidin Zahari, Khalid Saleh, Yus Raja Lawak dan beberapa nama lain yang tidak kurang hebatnya. Selepas persembahan pada malam tersebut, kumpulan Awe Gedebe mula mendapat perhatian dan menerima beberapa undangan untuk membuat persembahan. Menurut jurucakap kumpulan, mereka akan menimbang pelbagai faktor untuk menerima undangan tersebut memandangkan ahli kumpulan ini sentiasa sibuk dan mempunyai banyak komitmen lain. Bagi mereka, penglibatan dalam bidang muzik ini hanyalah untuk mengisi masa lapang dan bukan untuk menjadikan muzik sebagai sumber pendapatan.

No comments: