26 July, 2007

Kita dan Telefon Bimbit


L ima belas tahun lalu, alat ini agak asing bagi kebanyakan orang. Tak ramai orang memilikinya, biasanya dimiliki oleh orang yang berada dan juga orang yang mengada-ada. Harganya ketika itu hampir menyamai gaji seorang pegawai kerajaan Gred 41 yang sudah 10 tahun bekerja. Pada waktu itu, alat yang dipanggil telefon bimbit ini bukan seperti sekarang. Saiznya sahaja lebih kurang dengan batu pengasah pisau dan beratnya pula ada yang mencecah hampir setengah kilo! Justeru, mereka yang memiliki telefon bimbit pada waktu itu terpaksa memegang atau menggenggamnya ke mana sahaja. Nak letak dalam poket jauh sekali, takut nanti kelihatan tersembul dan dikatakan orang ‘benda’ lain pula. Maka, tak hairanlah pada waktu itu mereka yang memiliki telefon bimbit ini menjadi perhatian dan pandangan mereka yang tidak memilikinya. Andai kata telefon bimbit itu berbunyi ketika zaman itu, nescaya akan ramailah mata yang memandang hendak melihat siapakah yang empunya telefon itu. Dan tuan yang empunya pula kadangkala sengaja bercakap dengan kuat untuk memberitahu kepada mereka yang berada di sekelilingnya bahawa dia sedang bercakap dengan menggunakan telefon bimbit. Itulah situasi yang sering berlaku pada ketika itu.

Diam tak diam, evolusi teknologi komunikasi pada zaman ini berlaku cukup pantas dan cepat. Pada hari ini, telefon bimbit sudah menjadi barang keperluan yang penting bagi setiap manusia. Kalau dahulu barang siapa yang mempunyai telefon bimbit itu dikategorikan sebagai orang berada, kini mat Indon yang baru kerja tiga bulan di negara kita sudah mampu memilikinya. Itu belum kira lagi pelajar sekolah rendah yang sudah pandai menghantar mesej cinta kepada teman sekelas mereka. Hari ini semua orang mampu memiliki telefon bimbit, tak kiralah model dan harganya. Ada yang semurah RM 50 sahaja dan sudah tentunya ada yang menjangkau lebih daripada harga sebuah komputer riba. Masing-masing punya cita rasa dan minat masing-masing tentang alat canggih ini. Kalau dahulu orang yang memilikinya dikira hebat, sekarang ini siapa yang tidak mempunyai telefon bimbit akan dikatakan ketinggalan zaman. Begitulah hebatnya teknologi yang mampu menguasai manusia pada zaman ini.

Andai kata Alexander Graham Bell, orang yang telah memfailkan paten telefon pada 14 Februari 1876, hidup kembali pada zaman ini beliau tentulah terlopong atau mungkin juga pengsan apabila melihat bentuk telefon yang ada sekarang. Seawal penciptaan telefon, Bell mungkin hanya beranggapan ia hanya mampu digunakan untuk komunikasi dua hala sahaja tetapi apa yang berlaku pada hari ini telah mengatasi segala-galanya. Telefon Bimbit boleh digunakan dalam segala bentuk kemudahan, bermula dari menghantar mesej, menghantar gambar, mengambil gambar (kamera), mendengar lagu (MP3), mendengar radio, mengira (kalkulator), mencatat diari harian, kalendar, bermain alat permainan, merakam suara, melayari internet, dan seribu satu tugas lain yang mampu dimuatkan dalam telefon yang sekecil tapak tangan. Malah beliau mungkin terkejut kerana telefon bimbit juga digunakan oleh orang ramai untuk merakam dan melihat aksi lucah secara visual!

Hari ini, telefon bimbit sudah menjadi teman setia bagi kita semua. Ada orang yang akan gelisah kiranya terlupa membawa telefon bimbit. Ada juga yang telah menjadi hamba kepada teknologi ini kerana akan menukar telefon setiap kali ada model baru yang keluar. Mujurlah aku jenis yang guna sampai jahanam. Selagi tak rosak, tak kan bertukarlah telefon bimbit aku. Yang terbaru ini pun aku terpaksa tukar kerana ianya tidak lagi dapat berbunyi, aku harus meletakkannya dalam poket sepenuh masa untuk merasakan gegaran sekiranya ada panggilan. Ops!, ada panggilan masuk. Aku terpaksa berhenti di sini...

1 comment:

Harith Faruqi Sidek said...

sapa call? M. Nasir kot...