21 October, 2007

SEMINGGU SYAWAL BERLALU

Setelah penat bergelumang dengan rendang, ketupat, biskut, dan segala juadah 'lepas geram' yang dihidangkan semasa menyambut Aidilfitri minggu lepas, kini masanya untuk kembali bekerja. Dua hari menjelang Syawal aku dah balik ke Parit Buntar, malam tu aku dan rakan-rakan (Ab, Ajan, Pick & Firdaus) ke Sungai Bakau. Misi kami pekena kerang rebus! Sudahnya kami telah berjaya melantak kerang rebus dengan banyaknya. Biasanya sepinggan kerang rebus berharga RM 2.00 dan malam itu kami telah memesan sebanyak RM 20.00 sekaligus.Bayangkan banyak mana yang berjaya kami makan..he..he..terima kasih kepada Ajan yang sudi membayar jamuan pada malam itu dan terima kasih juga kepada Pick & Ab yang berjaya menghabiskan semua hidangan tatkala orang lain telah terlantar kekenyangan. Kemeriahan menyambut Syawal masih seperti biasa kerana rumah opah aku biasanya menjadi tempat berkumpul saudara mara. Hampir semua saudara mara yang balik pada tahun ini dan pada malam raya kedua kami telah membuat barbeque hasil perkongsian modal secara beramai-ramai. Raya ketiga aku bertolak balik ke Machang. Aku agak beruntung kerana laluan balik kampung aku tidak termasuk dalam laluan sibuk yang boleh menyesakkan nafas apabila tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan pergi dan balik semua selamat. Sebelum terlupa, ketika beraya bersama keluarga di Parit Buntar, ramai sepupu aku yang meminta aku membuat satu laman blog khas untuk keluarga besar kami. Sememangnya idea itu dah lama dalam kepala otak aku, dan bermula dari hari ini aku sedang mengumpul bahan untuk membinanya. Jadi mungkin dalam seminggu dua ni aku terpaksa mengabaikan seketika laman blog ini untuk memberi tumpuan membina laman blog tersebut. Aku juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan saudara mara yang sudi menghantar ucapan raya melalui kad dan sms, semoga segala ucapan dan ingatan itu akan mengeratkan lagi silaturahim sesama kita.
SELAMAT KEMBALI BERTUGAS DAN SELAMAT BERJIMAT CERMAT MENUNGGU GAJI BULAN HADAPAN...!

No comments: