Seharusnya kita dapat bermuhasabah diri mengenai kekurangan diri yang harus diperbaiki untuk menempuh hari-hari mendatang. Bagi yang suka membazir, mungkin boleh kurangkan sikit tabiat membazir tu. Bagi yang suka menipu, sekurang-kurangnya tahun yang akan datang ini tabiat itu seharusnya tidak lagi menjadi tabiat. Begitulah juga dengan perkara-perkara lain. Dalam erti kata lain kita mencari jalan untuk memperbaiki diri untuk berubah sifat-sifat yang kurang baik kepada yang baik dan lebih baik. Sebagai seorang Islam, sama ada kita sedar atau tidak setiap hari kita sentiasa ditunjukkan jalan untuk berubah. Seruan azan “Marilah menuju kejayaan” secara tidak langsung mengajak kita untuk terus berusaha mencari kejayaan dan dalam bacaan al-Fatihah juga kita sentiasa memohon untuk “Tunjukkan aku jalan yang lurus” . Untuk mencapai kejayaan kita seharusnya sentiasa bersedia untuk berubah dan sememangnya mencari jalan yang diredhai Allah. Kita tidak perlu untuk menunggu akhir tahun atau awal tahun baru untuk berubah dan berazam kerana setiap saat dan jam kita boleh berubah andainya kita mempunyai keyakinan dan iltizam diri.
Ketibaan tahun baru juga bukan bermakna kita diberi kebebasan untuk berhibur sehingga lupa diri. Apa salahnya masa yang sering kita gunakan untuk berhibur menyambut tahun baru ini diisi dengan berkumpul sesama ahli keluarga demi untuk mengeratkan lagi hubungan yang sentiasa erat terjalin. Rasanya itu lebih afdal daripada kita terkinja-kinja di pub-pub atau disko atau berpesta di konsert hiburan hanya demi untuk menyambut tahun baru yang akan terus disambut saban tahun beribu tahun lagi. Entahlah, budaya terlalu gilakan hiburan ini seakan-akan merasuk masyarakat kita dewasa ini sehingga apa sahaja kita perlu disogokkan dengan hiburan. Semoga budaya ini tidak berterusan dan kita mampu menjadi satu bangsa yang lebih bermaruah.
No comments:
Post a Comment