04 March, 2008

SELAMAT MEMANGKAH, RAPATKAN UKHUWAH

Insyaallah, dalam masa empat hari lagi hampir 10 juta rakyat Malaysia akan menjalankan kewajipan untuk membuang undi. Dan dalam masa beberapa jam selepas itu pula, kerajaan yang mendapat mandat baru daripada rakyat akan dibentuk untuk melaksanakan segala manifesto dan janji yang telah diwara-warakan kepada rakyat. Cuma dalam melalui detik-detik pilihanraya umum ke-12 kali ini banyak yang aku lihat dan banyak juga yang menimbulkan persoalan dalam diri. Tanpa prejudis kepada mana-mana parti, aku melihat demam pilihanraya sekarang ini sebenarnya banyak merugikan bangsa kita sendiri. Ketika bangsa lain hanya memainkan isu-isu yang berkaitan manifesto dan sebagainya, bangsa kita pula saling bercerita tentang keburukan lawan. Agak sedih melihat kita sesama bangsa bersengketa hanya untuk merebut kuasa. Segala cerita keburukan, cacian, hinaan, kejian, dan mungkin juga fitnah dilemparkan sesama bangsa. Kita seolah-olah membuka pekung di dada dengan segala bentuk cerita yang sebenarnya memalukan bangsa kita sendiri. Itu baru senario di peringkat calon dan pemimpin yang masuk bertanding. Belum lagi cerita mereka yang di bawah. Lebih malang mereka yang di bawah ini, lebih-lebih lagi pengikut fanatik dan taksub kepada parti masing-masing sanggup tidak bertegur sapa, bersengketa, bermasam muka, dan sehingga putus hubungan silaturahim hanya gara-gara ideologi politik yang berlainan. Mereka ini sanggup bermati-matian hanya kerana mempertahankan poster dan bendera yang dipasang, sanggup meninggalkan anak dan isteri semata-mata untuk berkempen ke sana ke mari. Itu belum lagi kes cerai-berai yang pernah berlaku akibat berlainan lambang parti antara suami dan isteri.

Itu baru cerita sebelum pilihanraya, selepas pilihanraya pula senarionya akan berterusan. Yang kalah akan terus berdendam dan bersengketa, sehingga kita lupa tentang sahabat dan saudara. Semua ini bertitik tolak daripada kelemahan bangsa kita dan tidak matangnya kita dalam berpolitik. Bangsa kita sebenarnya terlalu gilakan politik sehingga semua perkara akan dipolitikkan termasuklah bab sembahyang, masjid dan sebagainya. Semua ini menjurus kepada faktor yang menyebabkan kita tidak mampu bangun untuk menjadi bangsa yang besar. Kita lebih suka bercakap tentang perkara yang remeh, cerita-cerita dalam kain, suka mendengar fitnah dan umpatan serta tidak mampu berfikiran terbuka dan kritis dalam melalui sesuatu isu dan persoalan yang timbul.

Semua senario dalam masa terdekat ini membuatkan aku terfikir, sampai bilakah kita semua akan bersengketa, bermusuhan, dan bermasam muka sesama sendiri hanya kerana suaka politik yang sebenarnya boleh datang dan pergi. Walaupun tidak dinafikan kepentingan kita untuk memilih dan mengundi pemimpin yang benar-benar boleh memimpin, tetapi wajarkah kita membayarnya dengan harga hubungan sesama bangsa Melayu yang makin bersengketa? Semoga kita tidak terus begini selamanya kerana musuh sentiasa melihat kelemahan kita. Dalam tempoh terdekat ini diharapkan kita dapat terus berfikiran terbuka dan bertindak secara matang agar kita semua dapat hidup dalam damai dan sejahtera. Buat semua rakyat Malaysia, Selamat Memangkah dan Rapatkan Ukhuwah!

No comments: