Hampir sebulan tidak mencatat di laman maya ini. Dalam tempoh sebulan ini juga banyak perkara yang berlaku. Bukan tidak ingin mencatat sesuatu tetapi kesibukan dan ruang masa yang terbatas menjadikan aku melupakan laman blog ini buat seketika. Seminggu aku meluangkan masa di kampung pada awal bulan lepas. Pertamanya untuk menunaikan kewajipan untuk mengundi dan keduanya menghabiskan masa untuk bersama keluarga. Dalam seminggu itu juga telah tercatat dalam sejarah negara bagaimana Tsunami Politik telah berlaku dan menyebabkan sedikit keadaan kucar-kacir di sana-sini. Dalam tempoh tersebut juga banyak yang dapat diperhatikan dengan gelagat manusia. Angkuh, bongkak, sombong, takbur, dengki, khianat dan lain-lain lagi menjadikan manusia lupa diri hingga terlupa apa yang telah diamanahkan kepadanya. Tanpa prejudis kepada mana-mana parti politik, aku lebih senang melihat Tsunami Politik ini dari sudut ketuanan politik Melayu yang kian tercabar. Agak malang kerana kita terus bersengketa dan bermasam muka sedangkan 'orang lain' mula mencabar kuasa. Agak malang juga kerana kita lupa dengan sejarah. Jatuhnya Melaka ke tangan Portugis adalah hasil khianat anak bangsa sendiri, dan hari ini tidak mustahil kita akan menjadi hamba di tanah tumpah darah sendiri sekiranya terus leka dan alpa.
Setelah keadaan mula reda, tiba masanya untuk kita kembali bekerja. Biarkan para wakil rakyat yang telah kita amanahkan melalui undi yang dibuang, menjalankan tanggung jawabnya dengan bijaksana. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam politik, seharusnya kita berhenti dari terus berkempen dan bercakap tentang politik. Biarlah wakil rakyat yang kita pilih menjalankan tugasnya. Senario orang-orang kita yang terus sibuk bercerita politik, berhujah dan bertikam lidah tentang politik walaupun musim pilihanraya telah berlalu menjadikan bangsa kita akan lebih lemah sebenarnya. Lebih malang, melihat mereka yang sibuk bercakap politik dan bertikam lidah tentang politik ini adalah golongan-golongan bawahan yang hanya bertugas memasang poster dan bendera, menjaga pos dan markaz, peraih-peraih undi serta pengunjung setia kedai kopi. Golongan ini kadangkala dilihat begitu taksub sehingga adakalanya emosi menjadikan terputusnya hubungan silaturahim sesama bangsa dan saudara seagama.
Aku harap, kita dapat berhenti dari bercakap politik buat seketika. Ini bukan bermakna tidak perlu mengambil tahu, tetapi tidak terus menjadikan polemik situasi politik sekarang ini hingga menyebabkan kita mengabaikan tanggungjawab kita sendiri. Biarkan ahli politik yang kita sanjung dan junjung itu mewakili kita untuk membela nasib bangsa. Seharusnya, dalam situasi sekarang kita kembali bekerja demi kelangsungan hidup dan secara tidak langsung demi keluarga, bangsa, agama dan negara. Sekurang-kurangnya nasib kita lebih baik daripada ahli politik yang tewas dalam pilihanraya baru-baru ini...

2 comments:
Kita "melayu' yang mudah lupa. Kerana kita bangsa yang begitu berkira. Dari satu sudut memang elok bertolak ansur dan 'lembut hati'. Tapi janganlah sampai tertidur sehingga membiarkan diri kita dipijak-pijak.
Apa pun, sebagai rakyat kita ada peranan kita sendiri. itu yang penting.
Selamat berkenalan.
Terima kasih atas pandangan saudara. Apa yang pasti semoga kita terus dapat dalam aman dan harmoni. Wassalam.
Post a Comment